Oct 29, 2009

Impian kecil...

"2 minggu lepas bicara Ad-Din bincang tentang mati, kan?" Tiba-tiba suami bersuara.

"A'ah. Tentang sakratul maut. Minggu ni tak tahu tajuk apa pulak." Teringat cerita ustaz tentang siksanya menghadapi sakratul maut. Kisah pemergian Rasulullah. Betapa halus dan lembutnya malaikat mencabut roh dari jasad, tapi peritnya sampaikan Jibrail tak sanggup mengangkat muka. Kita yang bukan sesiapa ini, pasti sakitnya lebih lagi.

"Ermm... mudahnya orang mati..." Katanya sedikit mengeluh.

"Mudahnya mati? Maksud abang mudahnya orang meninggal atau mudahnya maut datang?" Saya keliru.

"Mudahnya maut datang... Setiap hari ada je orang meninggal. Accident, jatuh bangunan, sakit... macam-macam lah." Jelasnya dengan nada suara yang rendah.

"Erm... Su harap kita nanti akan mati mudah. Tak menyusahkan orang lain. Tapi bukan lah mati accident ke... atau kemalangan." Saya luahkan hasrat yang tertanam jauh di lubuk hati.

Kemudian saya menyambung;
"Macam ma cerita, Pakcik Mahmud tu, dok tengah mengurut anaknya, nak berehat kejap katanya, baring kejap lepas tu terus 'pergi'. Mak Dah tu, sehari sebelum meninggal, elok je dia borak dengan Su Milah, esoknya dah meninggal... Macam mudah je Allah jemput dia orang. Mayat pun jernih... riak wajah tenang je." Ramai lagi sebenarnya yang ma ceritakan pada saya.

"Pakcik Mahmud tu rajin ke surau. Orangnya baik sangat. Mudah mintak tolong dia... Mak Dah pulak memang lembut orangnya, tak pernah buat orang sakit hati. Tak pernah nak menyusahkan orang. Sampailah dia meninggal. Agaknya sebab tu lah Allah mudahkan..." Jelas suami. Abang memang lebih mengenali mereka, semenjak kecil.

"Abg, kalau umur kita panjang, dah tua, dah pencen dan tak ada tanggungan.... nak tak kalau kita tinggal kat pondok? Kita habiskan sisa hidup kita dengan cara yang sederhana je, jauh dari kesibukan dibandar..." Tanya saya tiba-tiba.

"Abang memang pernah fikir jugak, sejak dari zaman sekolah lagi." Jelasnya. Saya terkejut. Tak pernah dia bercerita tentang impiannya yang satu ini.

"Laaa... ye ke? Abang tak bagitahu Su pun."

"Abang tak tahu Yang nak kehidupan yang bagaimana bila tua nanti. Lagipun kita tak tahu apa yang ada depan kita." Jelasnya. Saya teringat impian lama, mahu hidup senang dan berjaya dalam kerjaya tapi tak pernah mendefinasikan senang dan berjaya yang bagaimana mahu saya kejar dalam hidup ini.

"Erm... Su harap sangat moga Allah berikan kesihatan yang baik pada kita, sampai kehujung usia. Kalau kita tinggal di pondok atau di kampung, lepas balik dari solat subuh, kita bersihkan laman rumah, pegang cangkul sikit dan kemudian belajar dan mengajar apa yg kita mampu pada orang lain. Budak-budak atau orang tua, tak kisahlah, asalkan mereka nak belajar. Ajar baca Quran, tajwid dan apa-apa yang boleh bawa kebaikan pada dunia dan akhirat mereka. Kalau kita tak mampu mengajar, kita cari orang yang boleh mengajar mereka...."Saya memasang angan-angan. Dia tersenyum.

"InsyaAllah..." Katanya ringkas.

Impian kecil dan ringkas yang manis sekali untuk digambarkan. Semakin meningkat usia, saya merasakan semakin tiada gunanya mengejar harta dunia yang tak pernah cukup-cukup. Tak mampu memuaskan hati. Gelisah memikirkan banyak perkara.

Mungkin masih ada sedikit keinginan untuk membuatkan ma dan ayah bangga kerana anak menantunya berjaya dalam hidup, dan memberikan apa yang mereka inginkan. Tapi apa yang mereka inginkan? Mereka tak pernah meminta. Ditawarkan, mereka menolak, dihulur, mereka menerima dengan senyum.

Kata mereka, hidup ini singkat, bersyukur dengan apa yang ada. Saya tahu ma dan ayah cukup bahagia bila melihat kami bahagia, walaupun hidup dengan seadanya....

Err... ada yang mahu join saya untuk hidup di pondok jika kita berpeluang untuk melalui usia emas nanti? Mungkin menu hariannya nanti hanyalah nasi panas dengan ikan kering dan sambal belacan dicicah dengan pucuk ubi.... ;)

Oct 16, 2009

Anak... oh anak.

Bila membaca entry sisipan dalam blog kak jie, saya teringat diri saya yang lama. Persoalan, "Siapakah yang akan mendoakan saya bila saya meninggal nanti?" memang kerap kali muncul dan menyesakkan hati.

Sedih... dan saya memang faham luahan hatinya.

Tapi benar kata kak jie, apa yang menjamin kehidupan kita di akhirat kelak bukan hanya satu - anak yang soleh, tapi salah satunya saja.

Bagaimana kalau anak yang dilahirkan dan dididik tidak berjaya menjadi anak yang soleh? Sama juga kan? Kita masih boleh berharap pada amal dan ilmu, yang datangnya dari diri kita sendiri untuk menyokong 'permohonan' kita ke syurga!

"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan di dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga dengan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yg tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu." Surah Al-Hadid. Ayat 20.

Bila membaca maksud ayat ini, hati saya sedikit lega. Ada sesuatu yang Allah mahu sampaikan pada saya... ada sesuatu yang Allah mahu saya tahu dan beringat. Tentang harta dan anak mampu melalaikan diri dari mengingati Allah... Dan saya? Allah tak mahu saya lalai (InsyaAllah...) dan bermegah-megah dengan pinjamanNya lalu Dia berikan saya, hanya apa yang mampu saya tanggung (Alhamdulillah..).

Anak... itu adalah impian buat setiap pasangan yang telah berkahwin, tapi bukan semua orang berpeluang untuk memilikinya.

"Kau nak ambik anak angkat tak? Ramai yang pelihara anak angkat, lepas tu dapat anak sendiri. Kalau nak, kau tanya je kat mana-mana hospital, mesti boleh dapat nyer... tak payah menunggu lama." Usul sahabat.

"Anak apa? Anak orang susah, anak yatim piatu atau anak ter...?" Soal saya.

"Anak ter... lah..." Jawabnya ringkas. Faham apa yang saya maksudkan.

"Err... tak pe lah. Aku belum terbuka hati nak ambik anak angkat lagi." Jelas saya.

Sayu hati saya. Yang mahu tapi tak dapat, yang tak mahu, mudahnya mendapat.

Dunia akhir zaman.

Ya Allah... hidupku dalam genggamanMu. Rezekiku adalah milikMu. Jadikan aku hambaMu yang bersyukur dan redha dengan segala ketentuanMu.

Saya akan terus berusaha. Doakan saya...

Oct 15, 2009

Pilih

"Saya nak beli kereta baru la. Tapi mana lebih baik ye? Kereta baru atau kereta terpakai? Awak rasa kereta mana yang sesuai....?" Tanya sahabat pada suami.

"Beli la kereta baru. Honda...Bla... bla... bla... Toyota...bla..bla..bla.. Proton? Bla.. bla.. bla"

Dan dia beli kereta terpakai.

"Man mintak nak masuk meminang Melia. Apa pendapat Su?" Tanya mertua pada saya.

"Nak bertunang? Eloknya, biarlah dia abih belajar dulu. Man kan lelaki, kalau boleh Su harap dia keje la dulu, lepas tu bolehlah rancang pasal nak bertunang atau kawin."

Akhirnya ma dan ayah buat keputusan untuk pergi meminang.

"Saya nak berhenti kerja, nak berniaga. Lagipun company tawarkan VSS pada sesiapa yang berminat. Saya ingat, bolehlah buat modal nanti..." Sepupu saya bersuara.

"Boleh tak awak fikir balik keputusan tu? Ekonomi tengah gawat, saya rasa baik awak tangguhkan dulu." Saya membantah....

Dan dia mohon VSS dan berhenti kerja.

Apa yang saya nak sampaikan?

Bila seseorang meminta pendapat, berikan saja. Namun keputusan di tangan dia dan diilhamkan oleh DIA. Setiap yang berlaku ada hikmahnya, setiap pilihan yang dibuat ada sebabnya.

Andai baik, alhamdulillah. Andai buruk, usahlah menempelak. Baik dan buruk hasilnya, hanya Allah saja tahu.

Bukankah puncak kematangan itu anak tangganya adalah pengalaman?