Jul 4, 2009

Untukmu Wanita...

Entry kali ini sedikit terkeluar dari kisah perjalanan umrah saya. Sekalipun masih banyak kisah di Tanah Haram yang ingin saya kongsi, tapi saya rasa tak ada ruginya saya selitkan apa yang diterima siang tadi.

Terkesan dengan ceramah Datuk Dr Fatimah Az-Zahra, saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang dapat. Ceramah ini adalah antara aktiviti bulanan anjuran unit Mubalighat yang diadakan setiap Sabtu pertama yang diadakan di Masjid Negeri, Shah Alam.

Dalam sesi yang diadakan khusus buat kaum wanita, beliau sering mengingatkan bahawa memahami apa yang diceritakan dalam Al-Quran itu penting. Lalu ceramahnya lebih menjurus kepada kupasan surah-surah pilihan dan kali ini giliran surah An-Nur, surah yang khusus buat wanita. Peringatan dan panduan Allah kepada kaum wanita jelas difokuskan dalam surah ini.

Banyak sekali yang saya pelajari dari ceramah beliau. Alhamdulillah.

Kupasan awal ialah tentang hukuman yang dijatuhkan kepada penzina dan juga kepada orang yang menfitnah orang baik berzina. Bila mendengar sesuatu berita yang tidak sahih, jangan menokok tambah. Sebaik-baiknya cuba menghentikan tohmahan buruk itu dari terus tersebar. Belajarlah berbaik sangka dan menutup keburukan orang lain. InsyaAllah, kelak Allah akan menutup keburukan kita.

Saya sebenarnya cukup tertarik dengan cara beliau mengupas permasalahan masyarakat kini, memberi semangat, menyindir dan sekaligus menyedarkan kita. Yang terkena batang hidung, memanglah sakit, tapi mungkin itulah titik perubahan yang diperlukan.

Dalam setiap ceramahnya, saya sering perhatikan yang beliau mahu kita melihat diri dulu sebelum melatah menyalahkan pihak lain. Kebimbangannya jelas bila berbicara tentang masalah dalam rumahtangga, masalah anak-anak dan masalah masyarakat yang semakin meruncing.

Pernah terjadi, anak remaja berumur 16 tahun telah menggugurkan 3 kali kandungan. Bila di perhatikan latar belakang keluarga, didapati ibubapanya bukanlah orang yang tiada pegangan agama. Lalu di mana silapnya? Sayang yang tidak bertempat, kemanjaan dan kebebasan berlebihan yang diberikan pada anak-anak. Didikan yang tidak tegas diawal usia. Itulah antara puncanya.

Lalu bila anak tersalah jalan, siapa yang salah? Mahu menuduh orang lain lagi? Sekalipun untuk kisah anak yang cuba merogol ibu sendiri, nak salahkan siapa? Anak? Bukan. Ibu yang salah. Salah dimana? Mungkin dari segi pakaian si ibu, mungkin dari segi pergaulan dan kebebasan yang si ibu amalkan sebelum ini. Hanya si ibu yang tahu. Hanya Allah yang lebih mengerti kenapa ia berlaku.

Beliau mengupas dan mengingatkan agar ibu-ibu yang mempunyai anak perempuan, harus dibataskan hubungan dengan lelaki (biarpun saudara mara) dan diterangkan hukum halal haram, disemai perasaan malu bermula dari usia 9 tahun kerana kebanyakan anak gadis telah mula akil baligh di usia ini. Diwajibkan menutup aurat (bagi anak gadis) dan diterangkan kenapa ia penting. Untuk memastikan maruah kehormatan sebagai seorang gadis terpelihara.

Setiap orang mempunyai impian untuk memiliki keluarga bahagia yang sempurna. Bagaimana? Di mana asas mula perlu diletakkan untuk membina rumahtangga impian?

Allah ada menyatakan;
"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik..." An-Nur, ayat 26.

Itu petunjuk utama. Mahu mendapat pasangan yang baik, pastikan diri juga baik. Bekalkan diri dengan keimanan dan amalan yang berterusan.

Diharap panas hingga ke petang, tapi rupanya hujan di tengahari. Bila hujan, ramai yang mahu berhenti dari berlari. Bukankah hujan itu satu rahmat? Allah turunkan ia untuk melembutkan hati, menyuburkan jiwa hamba yang hampir mati. Pilih, nak berlari dan bermain hujan, atau berhenti.

Banyak berlaku sekarang ini, bila sesebuah perkahwinan mengalami masalah, hanya buruk pasangan tampak di mata. Mengapa tak lihat ia sebagai satu cermin diri?

Kenapa hanya melihat penceraian sebagai jalan keluar?

Kenapa terlupa yang Allah itu ada untuk memberi pertolongan?

Teliti diri dahulu sebelum menuding jari. Perbaiki diri dulu sebelum mengharapkan pasangan berubah. Dan jika merasakan diri telah cukup baik, kekalkan dan tambahkan lagi kebaikan serta teruskan berdoa untuk pasangan. Bukankah doa dari suami/isteri adalah paling mustajab? Allah akan kabulkan permintaan hambaNya bila tiba masa yang sesuai. Yakinlah.

Nota : Ini adalah nota diri yang mahu dikongsi. Moga kalian juga perolehi ilham baik darinya.

Ceramah yang seterusnya akan di adakan ditempat yang sama pada 1hb Ogos, iaitu bulan depan. Sambungan untuk surah yang sama. InsyaAllah. Sesiapa yang tinggal berdekatan, amat dialu-alukan menyertai program ini.

16 comments:

Farid Rashidi said...

Assalamualaikum Kak Su,

Untukmu wanita? saya lelaki, macammana ni? :)

Baiklah, saya tetap mahu menulis.

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana masih ada insan yang cintakan majlis ilmu walaupun dalam kesibukan kerja seharian.

Benarlah apa yang dikatakan, pertama sekali perbaiki diri dulu. Lalu seiring dengan itu, perbaiki orang lain pula. Syurga bukan untuk diri kita seorang. Sangat kena dengan tajuk entri terbaru saya itu.

abuyusof said...

majlis agama belajar dan mengajar dengan tertib dan adabnya akan dinaungi para malaikat hingga ke arashNya.. dan hanya Dia yang dapat memberi faham setiap ilmu yang kau pelajari..

Nooreena said...

Salam akak sayang..
Terima kasih atas nasihat malam tadi. Terharu sangat sebab ada yang sudi ambil berat tentang diri ni. :)

Reen ada terbaca iklan ceramah Dr Fatma di MSSAAS sehari sebelum Reen berangkat pulang. Dah agak pasti akak akan pergi. Sayang sangat.. tiada rezeki lagi nak bertemu dengan akak. InshaAllah kita akan bertemu juga.


PS: 1 Ogos ada program di USM. Aduhai.. :((

Mak Su said...

tq suara :)

saya ada 4 anak perempuan, dan so far, hati saya tak pernah senang :(

suara said...

@Farid,
Waalaikumussalam.

Ooo... baru kak su tahu. Farid ni lelaki ye? (buat2 tanya balik dgn buat muka konfius... hehe...) :D

Teringat kata-kata ustaz, salah satu tanggungjawab muslim,adalah utk berkongsi bahagia dunia dan akhirat. Kerana itu kita kena berpesan dgn kebenaran dan kesabaran. Selebihnya biarkan Allah yang menentukan.

=================
@abuyusof,
Moga kefahaman itu kekal berada dalam hati. Doakan saya ye!

==================
@Nooreena,
Salam dik Reen manja.
Nasihat dari org yg dah banyak tertelan garamlah katakan. Hehehe... Kak su sekadar berkongsi apa yg kak su lihat dan dgr.

Kalau ada suratan pertemuan, jumpalah kita satu hari nanti. Apapun, kak su dah cukup gembira mendengar suara ceria reen. :)

==================
@Maksu,
Tak mudah menjaga anak perempuan kan? Tu yang org dulu selalu kata, jaga lembu sekandang lebih mudah dari jaga anak perempuan sorang. Inikan pulak 4 orang.

Moga Allah lembutkan hati mereka dgn keimanan, untuk kebaikan dunia dan akhirat mrk.

en_me said...

salam kak su ittewww..

Kakak said...

Su,
memang benar, kadangkala kita suka sangat menyalahkan orang lain. tak sedar yang kadang-kala kita sendiri yang menjadi penyumbang kepada kesalahan itu.
Terima kasih berkongsi ilmu. Insya Allah, Kakak mengingatkan diri sendiri tentangnya.

Anonymous said...

Banyak yang dapat dipelajari dalam entri ni. Terima kasih kerana berkongsi bersama2 kami di sini... :)

nohas said...

Syukran diatas perkongsian. Cabaran mendidik anak2 lelaki & perempuan di zaman ini amat mencabar, di dlm rmh & diluar..cuma boleh berusaha sedaya mungkin dan selebihnya berserah kpd Allah SWT..Al-Muhaimin As-Samiq

abuyon said...

Salam Suara. Benarlah peribahasa Melayu ini, bukan salah ibu mengandung, tetapi salah ibu mendidik.

Pendidikan, inilah kata kuncinya.

Boleh juga kita tukar peribahasa tersebut, salah ibu mengandung, kerana hubungan luar nikah.

fusarium solani said...

Kak Su,

Hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya...

suara said...

@en_me,
Salam... :)

==================
@kakak,
Sama-sama kak.
Ingatan dikongsi untuk semua yg sudi menerima.
Selamat datang ye kakak.

===================
@Kayteezee,
Sama-sama kak tie. Kak tie pun banyak kongsi ilmu gak per... :)

===================
@nohas,
Tak mudah menjadi ibubapa, kan? Kata seorang teman, anak-anak sekarang bijaknya mengejutkan. Kena lengkapkan diri dgn ilmu yg pelbagai dan ambil berat apa yg ditanya supaya mereka tak rujuk pd orang yg salah.

Moga Allah lembutkan hati mereka untuk menerima nasihat dan pandu hati mereka pada laluan yang baik, demi kebaikan mereka didunia dan akhirat.

====================
@abuyon,
Salam.
Hehe... agaknya peribahasa juga perlu diubahsuai mengikut zaman, kan?

=====================
@fusorium solani,
Sebaiknya rebung, tapi adakala bonsai pun kena lentur jugak. Tapi kena ikat kuat sikit la. :)

ZURIANI NAIM said...

thank you.... sekurang-kurangnya ilmu yang diberi boleh saya kongsikan dengan students....

teruskan perjuanganmu....

suara said...

@zuriani
Thks sahabat.
Mendidik, bukan harus fokus untuk akademik saja, kan. Sesekali selitkan nasihat kebaikan. Didikan untuk bekalan mrk dunia dan akhirat.

epalejau said...

salam kak su..
:)

erm..
masa kecik2 dulu, epal suka salahkan org len..
epal cakar akak dgn bulu landak.
pastu epal nangis kuat2..
kunun2 akak yg buat epal..haha!
jahatnya epal dulu..

kak su..
hubungan epal banyak kali gagal..
mungkin epal terlalu baik utk mereka..
kan?
hehe..
no offence ya..
epal nak sedapkan ati sndiri aje..
:)

insya ALLAH epal akan memperbaiki kelemahan diri..
:)

suara said...

@epal...
Salam dik sayang.

Hehe... epal ni kan, terlebih nakal ni. Sekarang tak lagi, kan?

Setiap org punya pengalaman berbeza. Epal kaya dgn pengalaman cinta, pasti ada sebabnya.

Buat epal dan adik-adik yang belum sampai keperingkat jalinan ikatan, berdoalah mohon agar ditemukan dgn jodoh yg mana dia baik utk kamu & kamu baik untuknya. Baik dunia & akhirat.

Khusus utk yg dah banyak kali terluka dek cinta, mohon Allah lembutkan hati untuk melepaskan sakit dek pautan kenangan.

Tu dia... Bila kak su beri kaunseling... Cewahhh... Macam le pandai sgt, kan. hahaha...