Jul 16, 2009

Ikhlas Yang Dibalas.

Laungan azan Zohor jelas kedengaran. Saya baru selesai menunaikan umrah, ditinggalkan jauh oleh teman-teman jemaah yang lain. Malu juga memikirkan betapa stamina saya begitu kurang berbanding dengan Makcik Imah dan Makcik Zawiah yang jauh lebih berumur dari saya. Walaupun mereka telah bercucu dan hanya bekerja di kampung, namun jelas begitu bertenaga ketika menunaikan Sa'ei.

Bersa'ei, iaitu berjalan antara Safa dan Marwah, bagi saya adalah bahagian yang paling mencabar ketika menunaikan umrah. Berjalan berulang-alik sebanyak 7 kali, jika dicampurkan keseluruhan jaraknya, lebih kurang 3 km. Perjalanan yang cukup jauh buat saya yang dah lama tidak beriadhah.

Saya bergegas mencari ruang untuk solat.

"Su! Sini!" Kedengaran nama dipanggil. Makcik Imah telahpun berada dalam saf. Mereka selesai lebih awal dari saya.

'Alhamdulillah...' Bisik hati saya melihat mereka menyediakan ruang untuk saya. Selesai menunaikan solat, kami berehat seketika sebelum pulang untuk makan tengahari.

"Ngapa makcik?" Tanya saya sambil memeluk bahu Makcik Imah. Spontan soalan itu keluar bilamana saya melihat dia mengesat matanya yang basah. Penyibuk betul saya ni!

"Makcik sedih mengingatkan arwah ayah makcik. Dia tak sempat nak buat haji dan umrah." Luahnya pilu.

"Makcik boleh upah orang buat haji untuk dia." Saya memberi cadangan.

"Itu makcik dah buat. Dah bagi duit kat adik makcik untuk uruskan. Tapi sampai sekarang org yang upah haji tu tak de bagi apa-apapun. Selalunya orang yang diupah tu akan kirim buah tangan dari Mekah, macam sejadah ke, sebagai bukti mereka dah selesai buat upah haji. Ini tak sampai apa-apa pun kat makcik." Jelasnya meluahkan apa yang dimusykilkan.

"Makcik dah tanya adik makcik?"

"Tak tergamak nak tanya. Nanti dia kata makcik tak percaya kat dia pulak." Jawabnya jujur. Jelas menunjukkan dia jenis yang memikirkan perasaan orang lain sebelum berkata sesuatu.

"Erm... Upah haji arwah mak dulu, ayah dan kakak su yang uruskan. Masa tu su sekolah asrama. Jadi tak tahu sangat tentang buah tangan tu." Teringat arwah mak yang juga meninggal sebelum sempat menunaikan haji dan umrah.

"Sebenarnya buah tangan tu bukan perkara wajib pun. Cuma sebagai bukti dan sedekah buat keluarga yg mengupah je. Lebih kepada adat, sebab kebiasaannya orang akan buat macam tu."

"Makcik sedih pasal tu ke?" Soal saya lagi.

"Makcik sedih bila ingatkan arwah ayah, sedih sebab tak dapat nak bawak mak makcik ke sini. Dia dah tua, dan makcik sendiri pun dapat buat umrah sebab ada orang bermurah hati nak taja. Bukan sedara pun, cuma kenalan lama masa sekolah." Ceritanya lagi.

"Ye ke? Alhamdulillah... Memang rezeki makcik tu. Eh...Makcik ada mak lagi?" Dia mengangguk. 4 generasi? Wow...

"Ada mak pun rezeki jugak tu. Mak ayah su dah lama meninggal. Err... Pakcik pun ditaja jugak ke?" Saya bertanya lagi, berusaha meninggalkan topik yang menyedihkan hati secepat mungkin.

"Tak lah. Belanja sendiri. Kebetulan pakcik dah pencen, bolehlah datang sama. Kalau nak harapkan duit makcik dan pakcik, entah bila la makcik dapat datang." Katanya sayu, kemudian menyambung. "Tuhan saja lah yang dapat balas jasa baik kawan lama makcik tu. Dia memang selalu hantar orang buat umrah. Setiap tahun 3 orang dia akan pilih. Memang rezeki dia murah sungguh. Mungkin sebab dia banyak buat baik pada orang." Ucapnya penuh syukur.

"Makcik pun orang baik-baik jugak, sebab tu Allah rezekikan makcik dengan umrah ni." Kata saya sambil memeluk bahunya buat seketika.

"Su ada baca satu buku pasal pengalaman umrah dan haji. Ada satu kisah ni, berlaku di Indonesia. Sepasang suami isteri ni memang dah lama kumpul duit nak buat haji, tapi selalu tak cukup sebab setiap tahun belanja buat haji akan bertambah." Fikiran saya menjelajah pada satu kisah yang pernah buat saya menitiskan air mata. Kisah benar yang bagus sekali jika dapat dikongsi.

"Sehinggalah satu tahun tu, mereka dah cukup duit, tapi tiba-tiba ada sorang kat kampungnya jatuh sakit dan perlukan belanja besar untuk buat pembedahan. Orang kat situ semuanya susah, kumpul duit sikit-sikit hasil derma orang kampung pun, masih tak cukup." Makcik Imah mendengar dengan tekun.

"Mereka suami isteri berbincang, memikirkan antara tanggungjawab membantu saudara seIslam yang kesusahan dan keinginan nak buat haji. Sudahnya mereka buat keputusan untuk dermakan semua simpanan mereka untuk belanja pembedahan." Makcik Imah mengangguk-angguk kepala, dan saya kembali menyambung.

"Doktor yang merawat hairan bagaimana pesakit dapat mengumpulkan duit yang begitu besar jumlahnya dalam masa yang singkat. Lalu diceritakan pada doktor tentang kemurahan hati pasangan suami isteri yang sanggup mengorbankan duit simpanan seumur hidup mereka untuk ke Makkah demi membolehkan pesakit menjalani pembedahan." Rasa kagum memenuhi hati bila saya membaca kisah itu. Keikhlasan seperti itu memang tak mudah diperolehi di dalam masyarakat sekarang. Apatah lagi segala yang ada kini jelas sekali membentuk hati yang cenderung kepada keduniaan dan bersifat individualistik.

"Doktor tu cukup terharu dan meminta untuk berjumpa dengan pasangan suami isteri tu. Kebetulannya dia sekeluarga akan menunaikan haji tahun itu. Katanya lagi, dia ada rezeki lebih dan berharap untuk berkongsi dengan suami isteri yang pemurah tu. Dia ajak mereka pergi sekali dengan semua urusan dan belanja ditanggung olehnya. Terus pasangan suami isteri itu sujud syukur dan menerima pelawaan doktor itu dengan gembira."

Rezeki yang tidak disangka, kebaikan yang berbalas, munculnya tidak mengambil masa jika Allah telah meluluskannya. Subhanallah....

"Setiap kebaikan dan keikhlasan akan ada ganjaran yang disediakan Allah. Samada di dunia atau diakhirat, itu Allah akan tentukan. Makcik dapat rezeki ditaja buat umrah ni, itu mungkin sebab kebaikan yang makcik buat. Cuma Allah lebih tahu kenapa Dia pilih makcik." Kata saya mengakhiri perkongsian. Dia diam sambil tangannya mula memeluk bahu saya. Tak tahu apa yang terlintas di fikirannya. Dan saya tak ingin bertanya.

Makcik Imah yang saya kenali dalam masa yang singkat, memang lembut dan manis sekali orangnya. Berada bersamanya, terasa curahan keibuan yang jernih mengalir di hati. Hangatnya cinta seorang bonda, mengalir dan tersalur bersama sentuhan jejarinya saat dia memeluk bahu saya.

Saya bersyukur, dalam kesibukan dan 'kekerasan' aura kota batu yang begitu mendugakan, saya seringkali bertemu dengan ramai insan yang kaya dengan kasih sayang. Walaupun hanya perkenalan yang singkat, yang berakhir dengan pelukan sesaat, rindu pada arwah mak sedikit terubat.

Alhamdulillah...

17 comments:

Nooreena said...

Salam akak.. Reen dah tersedu-sedu ni. Sob.. sob..

Sangat terasa nilai sebuah keikhlasan dalam cerita tentang suami isteri di Indonesia tu. Sebelum ni, ada masa-masanya Reen mesti terasa berat hati nak lakukan sesuatu yang dipinta oleh rakan-rakan. Hm.. lepas ni, kena selalu ingatkan diri untuk melakukan sesuatu seikhlas mungkin..

AyKay said...

salam ziarah,

semoga keperibadian sebegitu mulia terus terpupuk dalam jiwa2 insan di mana jua mereka berada

Mak Su said...

maksu singgah sebentar di sini, nanti datang lagi

nohas said...

Sesiapa yg bertakwa kepadaNya, rezeki Allah itu dtg dari sumber yg tidak disangka-sangka..

Kisah yg menginsafkan, what goes around, comes around..

epalejau said...

salam, kak su..

kan da nangis lagi..
malu ngan classmate..
dahla tak bawak tisu..
bantai kesat ngn tudung la jawabnya..

epal terharu sgt..
wlupn mak ayah epal da penah menunaikan haji masa epal kecik..
tp epal sntiasa berdoa epal dapat pegi sana dgn mak ayah epal..
epal nak g sana ngan diorg..
nak diorg jgk..
nak jgk..
:(

kak su doakan ya..
semoga diberikan rezeki itu..
amin..

suara said...

@nooreena,
Salam reen sayang. Nak tisu? :)

Kak su tahu, ikhlas tak mudah diraih. Kak su sendiri masih belajar utk cuba mengikis buruk diri yang mencalar peribadi.

Setiap kita punya sikap yang berbeza, menerima sst keadaan dgn pandangan yang berbeza. Namun kita kena ingat yang kita datang dari permulaan yang sama iaitu dari Allah dan akan berakhir dgn pengakhiran yang sama untuk kembali pada Allah. Jika kita ingat 'kekasih awal dan akhir' kita itu, insyaAllah... ikhlas lebih mudah dialirkan ke terusan hati. :)

===================
@AyKay,
Salam ziarah kembali...
Semoga saya, kamu dan teman pembaca akan miliki keberibadian sebegitu. Amin

===================
@Maksu,
Su mmg tunggu kedatangan maksu tau... siap dgn hamparan karpet merah lagi. :)

===================
@nohas,
Rezeki tu kan milik Allah, apa yang diberi kerana Allah akan dikembalikan oleh Allah. InsyaAllah...

===================
@epalejau,
Salam dik manja.
Err... air mata dgn air idung semua keluar ye... nanti jgn lupa basuh tudung tau. :)

Alhamdulillah... kak su gembira epal punya impian untuk ke sana dgn mak dan ayah. Epal kena berusaha keras tau, dan berdoa supaya keinginan itu mampu direalisasikan secepat mungkin. Kak su berkata atas sebab yang sama; masa. Saat ini epal masih muda... penuh tenaga. Dan mereka juga insyaAllah masih kuat. Kak su tak suka menyebut tapi inilah hakikatnya; masa terus bergerak dan masa kian singkat. Ingat 5 perkara sebelum datang 5 perkara.

Kak su berkata begitu untuk membakar keinginan epal dan keinginan kak su juga. Kak su dan suami pun sering bercakap perkara yg sama, nak bawa ma dan ayah (mertua) ke sana sekali lagi...

Moga impian kita akan Allah restui... Amin.

secangkir madu merah said...

alhamdulillah, aman dunia seandainya ramai manusia yg punya hati seikhlas itu...

suara said...

@secangkir madu merah,
moga lebih ramai org sebegitu dlm masyarakat kita... dan moga kita mampu menjadi sebahagian darinya... kan?

Unknown said...

salam dari akak...first time msk sini..tq sudi jengah rumah akak..

Adliff said...

Salam,
Wah, tulisan Kak Su amat menyentuh jiwa. Sebak dada membacanya. Entri-entri yang lain begitu juga. Bagus entri sebegini, menasihati dan memberi ilmu.

Anonymous said...

Salam Su,

Kak tie dah baca...terharu rasanya. Insyaalah, segala yang baik kita amalkan bersama.

joegrimjow said...

spatutnya dibukukan

suara said...

@kak ina kl,
Salam selamat datang kak. Lain kali datang bwk resepi ye... Masakan akak nampak sedap sgt. :D

===================
@Aliff Muhammad,
Salam aliff.
Entry yg nak melembut hati sendiri... tapi bagus sekali kalau ada yg sanggup berkongsi. Aliff kutip yg baik-baik saja ye!

===================
Kayteeze,
Salam. Moga menjadi semangat untuk kita selalu berbuat baik, kan kak tie.

===================
@joegrimjow,
Baca kat sini free. Buku karang kena bayar pulak... :D

a.k.u.p.e.n.t.o.i said...

salam...

Faridrashidi.Com said...

Begitulah kak su... Allah mampu membalas apa saja kepada setiap perbuatan kita samaada secara terus atau bertangguh.

P/S: Lama tak updates blog?

suara said...

@Farid,

Sibuk membuatkan idea membeku. Nak melawat blog orang lain pun terbatas. Huhu...

Hari ini baru mencuri luang untuk mengintai laman kesayangan yg terbiar.

่”ฅ็ˆ†็‰›่‚‰Frank said...
This comment has been removed by a blog administrator.