Dec 2, 2008

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya? (Kisah 2)

Bismillah hirrahman nirrahim...

Saya kembali dengan kisah seterusnya. Kisah yang hanya berakhir disini, kerana realitinya juga telah berakhir.

Mulanya saya memikirkan untuk menjelaskan apa yang saya faham dan pengajaran yang boleh diambil dari setiap kisah diepisod terakhit kisah penyakit misteri ini. Tapi saya bimbang, ada yang tak akan membaca sehingga siri ini tamat. Lalu, saya buat keputusan untuk meletakkan nota, mengulas dan mengupas apa yang saya faham, yang saya tahu tentang kenapa ia terjadi.

Nota diakhir setiap kisah (termasuk kisah 1 yang saya tambah nota dibawahnya), adalah luahan minda saya, pendapat saya, dan saya mahu kita semua mengambil pengajaran untuk setiap peristiwa yang berlaku. Agar kita mampu menetapkan arah bagi hati kita, bahawa hanya Allah yang perlu dijadikan tempat mengadu dan meminta pertolongan.

Itulah yang sebaiknya, itulah ubatnya. InsyaAllah....

Kisah 2

“Aku panasss! Baju ada jarum! Sakit. Tak nak pakai!” Kata Rani sambil menanggalkan satu persatu baju yang membalut tubuhnya. Setiap lekukan dibadannya terlalu mahal untuk dipertontonkan begitu saja. Tapi Rani tak kisah. Dia kini tak mengenal dirinya sendiri, apatah lagi memahami erti malu yang harus ada pada setiap anak gadis. Yang dia tahu, dia rimas, sakit, pedih bila ada sesuatu menyentuh kulitnya.

“Jangan! Malu kat orang!” Tegah ibunya sambil mencapai helaian baju yang dilempar untuk disarungkan balik ke badan anak gadisnya itu. Sambil itu, Mak cik Mah kelam kabut menutup dan mengunci setiap pintu. Bimbang anak gadisnya itu berjaya meloloskan diri seperti sebelumnya.

“Tak mahu. Panas. Sakit. Pedih!” Rani memberikan alasan. Dia melarikan diri, bersembunyi disebalik pintu almari. Kini badannya tak berbalut. Ibu tua itu semakin panik.

“Mari sini, pakai baju ni. Cantiknya gambar kat baju ni. Marilah pakai!” Pujuk Makcik Mah lembut, laksana memujuk anak kecil lagaknya. Rani menggeleng kepala. Matanya melilau, mengintai peluang melarikan diri.

Cahaya yang masuk amat terbatas bila semua pintu dan tingkap ditutup. Suramnya merimaskan Rani. Dia makin gelisah. Panas dan pedih yang dirasa makin menjadi-jadi. Kepalanya memberat, terasa seperti mahu pecah.

“Aaaahhhhhhhhh.....Sakitnya!!!!... Perrgiiiiiiiiii!!!!....“ Jeritnya keras. Makcik Mah menggelabah. Dia tahu dia tak mungkin mampu melawan dan bertahan bila Rani kerasukan. Kekuatannya sebagai ibu tua tak setanding dengan anak gadis itu. Dia perlu segera mencari Pak Mahat dikebun.

Makcik Mah membaling baju ke arah Rani. Helah untuk mengalih tumpuan Rani yang dibimbangkan akan mengikutnya keluar. Cepat-cepat pintu dibuka dan ditutup kembali. Terketar-ketar tangannya mengunci pintu.

Makcik Mah bersandar seketika melepaskan lelah dan resah. Airmatanya mula mencurah.

Baru Makcik Mah mahu melangkah menuruni anak tangga, Pak Mahat kelihatan berlari-lari pulang. Jeritan anak gadisnya walaupun tak mampu didengari, tapi hati seorang ayah mampu mengesan getar derita yang ditanggung anak isterinya. Terus dia melepaskan cangkul dan berlari pulang.

“Ayahnya, cepat tolong!!!… Rani mengamuk lagi!” Seru Makcik Mah bersulam tangisan.

“Pegi cari Atim. Cepat!” Arah Pak Mahat. Tanpa memakai selipar, Makcik Mah berlari ke rumah Atim, satu-satunya menantu lelaki yang tinggal berhampiran dengan rumah mereka.

Pintu yang terkunci dibuka. Bilik kecil itu dah jadi seperti tongkang pecah. Belumpun dia sempat melangkah masuk, daun pintu dihempas kuat dari dalam sehingga mengenai kepalanya. Pandangannya jadi sedikit kabur.

Tiba-tiba badannya dirempuh kuat. Tapi Pak Mahat lebih cekap memaut anak gadisnya yang kini tak berbaju. Rani terus menjerit dan meronta. Pergelutan berlaku. Pak Mahat tak boleh biarkan Rani terlepas dengan keadaan begitu. Maruah anak gadisnya perlu dijaga walaupun Rani tak macam orang siuman lagi.

Rani memaut leher Pak Mahat lalu telinga orang tua itu digigit Rani sekuat hati. Pak Mahat menjerit keras. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Lelehan darah mula mengalir memenuhi tepi wajahnya. Pak Mahat berpusing sehingga Rani tercampak ke dinding. Jeritan sakit dan marah bercampur. Kegilaan Rani semakin menjadi-jadi.

“Rani, maafkan ayah.“ Bisik Pak Mahat. Simpati dan rasa bersalah menyerang benaknya. Tapi dia terpaksa lakukan begitu. Airmatanya mengalir kini. Dia mendekati Rani. Sebaik saja tangannya dihulur untuk membantu, Rani menyerang lagi. Tangan Pak Mahat digigit kuat sehingga dia terduduk. Terkejut dan sakit.

Rani tergesa-gesa bangun bila melihat pintu yg terbuka luas. Peluang untuknya melarikan diri kini di depan mata. Namun kaki Pak Mahat cekap menahan langkahan Rani sehingga anak gadis itu jatuh tertiarap. Tangan Rani dikilas kebelakang. Kain tuala yang berada berhampiran dicapai, diikat tangan Rani agar tidak mampu bergerak. Kain lilit kepalanya dibuka, kaki Rani pula diikat. Rani menjerit dan terus meronta. Pak Mahat menekan badan anaknya, untuk memastikan Rani tak akan terlepas.

Jeritan Rani semakin lemah sehingga akhirnya tak kedengaran lagi. Rani pengsan, keletihan. Pak Mahat tahu kerana itu bukan kali pertama situasi itu berlaku. Sehelai kain batik sarung diambil, dibuka dan diselimutkan sekujur tubuh anak gadisnya yang tadinya tak dibalut dengan seurat benangpun.

Pak Mahat tersandar ditepi katil usang dengan nafas yang tercungap-cungap. Peluh dan darah mengalir sealiran diwajahnya. Pedihnya mula terasa. Setitis demi setitis darah bercampur peluh itu menitik. Selari dengan detikan jam dinding usang di rumahnya.

“Abang!!..“ Jerit Makcik Mah terperanjat melihatkan Pak Mahat yang berlumuran darah. Telinganya.... sebahagian cuping telinganya dah hilang!!!...

Tangisan kuat Makcik Mah bergema bila melihatkan keadaan suami dan anaknya. Jelas menggambarkan keadaan yang berlaku sepeninggalannya tadi. Derita yang menghuni hatinya yang hebat terasa. Rani terbaring dilantai dengan keadaan terikat. Rambutnya kusut masai.

Hati seorang ibu dipagut sayu. Tika rutin hidup mereka mula berubah, usia Rani baru mencecah 16 tahun. Anaknya dulu manis dan sopan, disukai oleh teman dan adik beradik. Walaupun kemampuan belajarnya tidak seberapa, tapi dia rajin berusaha.

Semuanya bermula semenjak perkahwinan anak lelakinya. Sehari selepas kenduri, dia sekeluarga dikejutkan dengan jeritan Rani. Seperti orang kerasukan. Histeria. Rani tak mampu dipegang oleh ayah dan abang-abangnya. Rehatnya hanyalah bila dia pengsan, sedarnya bersulam dengan jeritan, kewarasannya hilang sekelip mata.

Dukun dan bomoh silih berganti ditemui. Pantang ada yang mengatakan ada orang pandai mengubati penyakit misteri, pasti tempat itu akan dituju. Wang simpanan habis dikeluarkan, namun tak mampu memulihkan Rani sepenuhnya. Dia jarang lagi menjerit liar, tapi ada kelakuannya seperti kanak-kanak sedangkan rakan seusianya ada yang telah berumahtangga dan beranak pinak. Ada masa menungannya panjang seolah cuba mencari sisa ingatan yang telah hilang.

“Ada orang yang marah dengan salah sorang anak kamu. Ada yang baru kawin ye?“ Tanya Pak Tam sambil matanya tekun memerhati kain warna berkuning yang terhampar didepannya.

“Anak lelaki saya baru kawin.” Jawab Pak Mahat ringkas.

“Masa tu lah semua ni mula berlaku, kan?” Pak Mahat mengangguk.

“Salah makan ni. Ada orang hantar makanan pada kamu, dan anak perempuan kamu ni yang makan dulu. Jadi dia yang kena paling teruk. Kalau ada orang lain yang makan pun, mungkin kesannya sikit je. Demam atau sakit kepala. Ada tak?“ Tanya Pak Tam lagi. Pak Mahat terperanjat. Memang anaknya Rahim demam selepas kejadian tu. Kata Sita, menantu barunya tu, Rahim sakit kepala sampai tak boleh bangun.

“Ada. Anak lelaki saya yang baru kawin tu lah.“ Pak Mahat mengakui.

“Tapi dia tak de maracau dan mengamuk macam anak kamu yang ni kan?”

“Memang tak. Cuma tak boleh bangun 2-3 hari lepas tu. Sakit kepala katanya.” Jelas Pak Mahat lagi.

“Ada orang suka kat anak kamu, tapi dia tak balas. Marah benar budak tu kat dia. Orang dekat, dan kamu memang kenal dia. Sebab tu mudah dia nak kenakan kau dengan makanan.“ Cerita Pak Tam. Segala penjelasannya seakan kena dengan segala kejadian. Hampir dapat jelaskan segala yang tersembunyi. Menjelaskan sangkaan yang bersarang dihati.

“Kalau ada yang masukkan benda tak elok tu masa masak untuk makanan kenduri, mesti ramai yang kena, tapi kenapa anak perempuan saya yang kena teruk?“ Pak Mahat musykil.

“Dia hantar makanan yang disediakan kat rumahnya, dan dia tujukan pada anak beranak kamu. Sebab tu lah yang kalau ada anak kamu yang makan, dia lah yang kena teruk. Orang luar makan tak ada kesan apa pun.“ Jelas Pak Tam. Pah Mahat dan Makcik Mah saling berpandangan.

“Memang ada yang hantar makanan. Tak tak tahu yang mana satu. Sebab kat kampung kami memang begitu. Bila ada kenduri, orang tu hantar sikit lauk, orang ni hantar sikit kueh. Ramai yang hantar makanan, untuk kami makan sama-sama masa dok bergotong royong buat persiapan kenduri tu.“ Makcik Mah bersuara. “Pak Tam tahu ke mana satu yang buat khianat kat kami ni?“ Sambungnya lagi.

“Itu aku tak boleh cakap. Tak elok menuduh. Allah saja lah yang tahu betul ke tak orang tu. Aku cuma boleh bagitahu sikit-sikit je. Rasanya kamu lebih tahu sapa yang suka kat anak kamu tu, kan?” Balasnya tak menjawab persoalan yang bermain di fikiran Makcik Mah.

Tergambar difikiran mereka, anak lelaki yang baru saja melangsungkan perkahwinan. Pemuda berkulit putih, tinggi lampai dan pandai mengambil hati itu memang ramai yang meminati. Namun jodoh telah tersurat. Pilihan hati telah dibuat. Hubungan dengan kekasih idaman telah diikat.

Kisah cinta tidak berbalas memang perit. Sakit hati hanya sendiri yang merasa. Sakit yang merebak ibarat barah, penyelesaian yang terlintas di minda singkat, hanyalah melepaskan geram dan dendam dengan cara yang hina dan keji.

"Pak Tam tak nak bagitahu, tak pe. Kami faham. Tapi boleh tak hantar balik apa yg orang tu buat kat kami. Biar dia pulak yang rasa!" Pinta Makcik Mah geram.

"Susah... Yang dihantar ni kuat sungguh. Apa yang aku boleh cuba, buat sikit pendinding untuk anak kamu ni. Harapnya dia tak mengamuk lagi. Itupun aku tak jamin berjaya." Kata-kata Pak Tam seperti yang dijangka. Pak Tam bukanlah orang yg pertama berkata begitu. Bukan juga yang kedua dan ketiga. Dia adalah orang yang entah keberapa.


Rani tak pernah pulih seperti asal. Derita yang ditanggung seolah ombak yang sesekali membadai tinggi, sesekali beralun rendah, namun ia tak pernah surut. Apa lagi yang harus dilakukan? Apa yang tak kena pada kehidupan?

Berbelas tahun Rani menderita. Pak Mahat dan Makcik Mah yang memikul bebannya. Bila Pak Mahat meninggal, kesihatan Makcik Mah semakin merosot. Menjaga anak gadis yang ditimpa penyakit misteri bukan mudah.

Saban masa fikiran Makcik Mah berserabut memikirkan nasib Rani. Siapa yang akan menjaga Rani jika dia pula yang meninggal nanti? Abang-abang dan kakak-kakak Rani telah punya keluarga dan tanggungjawab sendiri. Adik-adik Rani juga baru memulakan kehidupan mereka. Tak sanggup Makcik Mah membebankan mereka.

“Ya Allah… bantulah aku… bantulah aku Ya Allah… Tunjukkan apa yang harus aku lakukan....” Hanya doa itu yang kedengaran.

Sesungguhnya Allah itu Maha berkuasa. Mengatur hidup hambanya sebegitu rupa. Doa Makcik Mah didengari Allah. Rintihan Makcik Mah mendapat perhatianNya. Tak lama bersama bonda mengharungi hidup yang semakin sunyi, Rani mengikuti jejak ayahanda tercinta. Meninggal di usia awal 30-an dengan cara yang cukup mudah. Dijemput Allah semasa tidurnya. Berbelas tahun Rani menderita penyakit misteri. Penyakit yang meragut kewarasannya sebelum segalanya berakhir dengan kematian.

Antara syukur dan sedih, Makcik Mah sujud dalam tangisan. Tak sampai 2 tahun, dia pula menyusul. Bersemadi di kerak bumi milik Allah bersama anak dan suami. Al-Fatihah.

....InsyaAllah, kisah 3 akan menyusul...

Nota : Mengingatkan kisah ini, dan kembali pada tulisan emjay, saya seolah faham apa yang Allah cuba sampaikan. Pak Mahat yang saya kenali satu ketika dulu (dengan sedikit masa yang diberi Allah, ketika dia belum ditimpa musibah), juga insan lemah yang kerap meringankan suruhan Allah. Mengambil apa yang paling asas, sekadar sambil lewa.

Iman yang lemah, pastinya mudah syaitan nak menguasai. Lalu Allah turunkan dugaan untuk menarik dia kembali ke jalan benar. Tapi sayangnya, keinginan untuk menyembuhkan penyakit misteri yang menimpa anak gadisnya, membuatkan dia berusaha pelbagai cara, terutama melalui bomoh. Mungkin dia tak pernah terfikir, bahawa bila dia berusaha mencari bantuan dari orang yang tak sepatutnya, dia telah membuatkan syaitan semakin kuat menguasai.

Bukankah mudharat itu Allah datangkan kerana sayang pada hambaNya. Lalu kenapa tak kembali pada Allah, membalas kasih sayang Allah dengan membetulkan apa yang salah? Menampung apa yang kurang? Menjahit apa yang carik?

Saya bukan nak mendedah keburukan insan yang telah menjadi sejarah, tapi kisah kini amat baik untuk dijadikan iktibar oleh kita semua.

'Astaghfirullah.... Mohon ampun Ya Allah atas perkongsian ini. Moga hanya kebaikan yang akan diambil oleh pembaca, dan membuang jauh kejahatan yang tercatat. Lindungi hati kami Ya Allah.'

41 comments:

Anonymous said...

dah macam cerpen bersiri ni kak su..siap ada sambungan ketiga lagi ye..saya punya dah berhenti episodnye..hehe.

apapun teruskan menyedarkan masyarakat dengan kisah-kisah pengajaran begini ya.

ILA said...

Assalamualaikum...
Saya menyusul ke sini,bila terlihat 'suara' mgintai ke blog saya.
Asalnya saya mmg jenis tak nak ambik tahu kes2 'buatan orang'..& anggap ianya seolah2 perkara yg di reka2.
Namun pabila dah terlihat sendiri apa yg terjadi pd biras (kena buatan oleh seseorang yg berminat dgn abg ipar)..saya iftigfar byak2.sgat sukar melihat keadaan biras itu..sehingga muntah darah .ref.dgn doktor,tak dpt buat apa2.Kami terpaksa merujuk kpd pgamal perubatan tradisional .Semuanya menyatakan perkara yg sama.betapa mudahnya manusia meminta pertolongan Syaitan utk melakukan segala angkara.Hanya muslim pd nama,tapi hati di rasuk oleh Syaitan.

BUkan ke mereka telah berjanji dulu..sewaktu di buang ke dunia..bahawa mereka tidak myukai umat manusia & akan myesatkan mereka..

Dearie Pearls said...

Salam Singgah..
first time singgah dan terus 'jatuh cinta' tapi bila baca kes buatan org.. takut jadinya..
kenapa ar manusia2 nie pendek sangat akalnya buat hal sebegitu..
cian Rani.. semoga aku terus kuat di dalam iman dan dijauhi segala perbuatan setan nie..

seramnyer..

Anonymous said...

Salam..kali pertama di sini..Meremang bila baca ni..Sepeti Ceita Jangan Pandang Belakang..Kadang-kadang manusia alpa hanya pada-Nya tempat bermohon yang paling tepat..Walaupun benar perlu berusaha..Tapi jalan yang dipilih serba tak kena.

suara said...

Ibnurashidi...
hehe... memang dah jadi cerpen bersiri pun, cuma sirinya lain-lain. Sekadar mengambil sebahagian dari kisah hidup mrk dan memaparkan dlm bentuk cerpen.

Eh... Farid punya dah abih ke? ingatkan ada lagi sambungannya.

================
Waalaikumussalam Ila.
Su melompat ke blog Ila tadi bila tgk msg yg ditinggalkan kat blog azza. macam berat je luahannya.

Itulah manusia Ila. Bila hati diragut cemburu, bila tak ada rasa bersyukur, bila tak menghayati kepercayaan pada qada' dan qadar, maka ada yang akan bertindak diluar batasan.

Moga biras Ila tu Allah bekalkan kekuatan untuk menahan dugaan ini. Moga orang yg melakukan keburukan pd dia juga, diceruskan Allah kesedaran.

suara said...

LotsOfLove...
Salam ziarah kembali.
Kak su juga punya perasaan takut bila mendengar dan melihat sendiri musibah sebegini. Tapi kini kak su selalu ingatkan hati agar jgn lupa pd Allah, menyakini bahawa Allah akan melindungi kaksu dari kejahatan manusia dan makhluk lain, dgn syarat kak su harus terus-terusan meminta padaNya.

Dan takut itu seharusnya pada Allah, bukan pada manusia, bukan pada makhluk lain yg Allah ciptakan. Sematkan itu dlm hati. Moga kekuatan Allah akan bersama kita.

==================
Salam Syahidah...
Manusia punya pilihan tapi kadang tu gagal memilih yg benar. Gagal untuk jadi kuat dan tetap hati memilih apa yang betul. Itu yg buat kita rasa pilihan yg ada serba tak kena.

Sebaiknya kita minta petunjuk dari Allah, kerana segala yg berlaku dlm kehidupan kita adalah dgn izinNya.

Mak Su said...

tk sudi kongsikan cerita ni utk kita semua teladani

rudy bluehikari said...

setuju. cerminan diri saya sendiri yg sentiasa alpa...

Balqis said...

Sedih kisah ni...
Kesian dekat ibu bapa Rani ni, seriously sangat kesian... Saya tak tahulah, tapi bila saya baca mula2 saya tgk mmg banyak berkorban ibu dan ayah rani melayan anaknya yang sakit. (ish, teringat ibu ngan ayah saya). Bersabar sungguh mereka. Tak patut orang buat macam tu, betul tak patut... kenapalah... ish...hai... tak tau nak cakaplah... aturan jodoh tukan semua di tangan Tuhan, aduhai... sakit macam mana pun hati tu, bawa2lah bersabar... ish...

Iyalah, mungkin ini ujian Tuhan buat keluarga Pak Mahat, InsyaAllah boelh menjadi iktibar kepada kita semua...

Tak sabar nak tunggu kisah 3, hehe...

kak su tulis citer bestlah!!

Anonymous said...

reply to your comment in my blog: oww.. peminat blog tawel aa ni?? haha.. good2.. yup.. of course i know him.. kiteorg housemates for 2 years kat dublin ni.. but then, die pindah rumah lain.. blog kiteorg pun lebih kurang sebaya jugak.. hihihi.. thanx for the comments n wishes!!

Anonymous said...

by the way, i love your stories!!!

MARIA said...

Salam Su, tokma rasa sungguh sedih. Sampai hati orang yang melakukan pekerjaan terkutuk tu. Orang tak bersalah pulak yang menderita. Bertahun pulak lamanya terseksa hingga membawa kepenghujung hayatnya. Menyayat hati sungguh.

Saja2 ler nak ajak Su sama2 renungkan sejenak, gini Su..... musibah tuh disebabkan penolakan cinta dari anak lelaki yang dah kawin. Apa yang dah berlaku antara mereka sebenarnya (anak lelaki pak mahat dg gadis yang tidak dicintainya tu) tidak pula dipersoalkan. Mungkin juga semua ni terjadi berpunca dari anak lelaki pak mahat sendiri hingga menyebabkan nafsu syaitan menguasai tindak tanduk si gadis. Ada sesuatu yang pak mahat sembunyikan, sebab pak mahat sendiri kenal dengan keluarga tu kan!!? Wallahualam.....tokma saja nak peningkan kepala.

Walau apa sekali pun yang berlaku, seperti kata Su....manusia memang selalu leka dan mudah meringan2 & mempermain2kan SOLAT.

suara said...

Maksu...
Kisah ini mmg utk direnungi dan difikirkan.

===================
Rudy...
Kita memang perlu saling mengingatkan.

===================
Balqis...
Memang kesian kat mereka. Tapi itulah ketentuan Allah. Pasti ada hikmah disebaliknya peristiwa yang berlaku.

Manusia mmg mudah hilang pertimbangan bila ada perkara yang melibatkan soal hati dan perasaan. Akal fikiran yg ada pun mudah diambil alih oleh syaitan.

Moga kita semua dilindungi Allah.

==================
JHaZKiTaRo...
Haaa... kan betul tekaan kak su. Yang jhaz kenal tawel. Terer jugak kak su ni kan? Hehehe...

suara said...

Salam Tokma...
Su tak tahu secara detail apa yang sebenarnya terjadi. Namun Su faham, semua perkara yang berlaku ada penyebabnya. Tapi satu yang su pegang, kata-kata bomoh, su mmg tak percaya. Sebabnya.... tokma kena tunggu kisah seterusnya.

Kata ustaz dlm ceramah yg pernah su hadiri, musibah diturunkan untuk membersihkan dosa. Dosa bapa mungkin terkena pd anak, dosa anak juga, mungkin tempiasnya kena pd bapa. Saling berkait. Wallahualam. Hanya Allah yg tahu hakikat sebenar.

Pak Mahat yg Su kenali dan ingati, adalah orang yg baik. Anak lelakinya juga begitu. Mereka suka suka menghiburkan orang lain dgn gurau senda mereka. Cuma mereka tak tekankan sangat soal agama. Cara hidup meraka secara detail, su tak tahu.

MARIA said...

Su...betul tu su, setiap yang terjadi ada penyebabnya. Entahlah Su, ngeri dengan perbuatan yang diluar batas...siapalah kita untuk mengadili baik buruk orang. Hanya balasan dari Allah saja muktamatnya, tak dapat didunia akan dapat juga di akhirat kelak.

suara said...

Ngeri memanglah ngeri... tapi su selalu ingatkan diri, lebih baik ngeri dgn pembalasan Allah, dari ngeri dgn makhluk ciptaan Allah. Nak kuatkan diri sbnrnya tokma. huhu...

kamar hati said...

hmmmmm....tak mampu nak berkata2 lepas baca entry akak ni....apa pun, hanya pada ALLAH S.W.T kita semua berserah....DIA yang lebih mengetahui semuanya...

Anonymous said...

salam su... setuju ngan kamar, apa2 pun kepadaNYA jugalah tempat kita berserah....

suara said...

Kamar hati...
Erm... kak su lebih suka 'meminta padaNya' berbanding 'berserah padaNya'. Sebab 'meminta' juga adalah satu usaha, sedangkan 'berserah', seolah diri telah berputus asa. Ish... macam-macam kak su ni kan. Hehehe....

Sebenarnya kak su boleh agak, itu sebenarnya yg kamar nak nyatakan, cuma kak su lebih suka mencari bahasa yang lebih tepat.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

==================
Kak Sepi...
Salam.
Ya kak, kita harus berusaha, dan kemudian baru berserah. Kerana hidup kita sentiasa berada dalam genggamanNya.

Iliana said...

salam. subhanallah. sy paling tak suka dengan sikap sebegini. menggunakan helah sihir untuk melampias dendam diri. sungguh tak adil bagi si mangsa. bagi sy, tak kiralah bagaimana sekalipun latar kehidupannya, sebagai manusia biasa, kita tak layak menghukum dan menyeksa mereka.

namun, itu semua dah tersurat. yang tersiratnya, kita kena gali sendiri. apa pun mencegah lebih selamat dari merawat kan. beringat sebelum terjadi.

suara said...

e-leeyana...
Salam.
Itulah yang kak su nak tekankan. Mencegah lebih selamat dari merawat. Dan kerana itu, kita kena beringat.

Paling penting, ingat untuk tegakkan tiang agama, iaitu solat. Ibarat membina rumah. Bila tiang teguh, bumbung juga pasti lebih mudah dibina dan selamat. Dan itulah tempat kita berlindung.

Rumah iman perlu dibina sebaiknya, agar diri mampu berlindung dari segala keburukan dunia. Bukankah itu yg kita mahu?

Tokyo BLUE said...

saya print entri2 nie.. baca slalu.. sedap

Balqis said...

Salam kak su...

Salam Aidiladha 1429 H dari saya....
Ampun maaf dipinta nadai ada salah dan silap, ya!

wasslam.

ryann said...

entri ini..hmmmm

btw selamat menyambut raya aidiladha

arsaili said...

salam eid ul adha..hidup ini penuh pengorbanan..semoga di permudahkan oleh Nya

Nooreena said...

Ya Allah, jauhkan kami daripada segala kejahatan dan kemungkaran. :(

Anonymous said...

Salam Kak Su,
Ase sangat 'touched' bile bace cerita ni.Yeh xboleh bayangkan ape yg sedang difikirkan oleh org yang sanggup wat macam 2 kat org lain. Ase sungguh xadil bagi yang dibuat org tu kn.
Mungkin, dgr ujian ni akan diberi ganjaran di akhirat nnti. Apepun dlm susah n senang Allah itu ade untuk kita kn.Wejust have to seek kn?

Yeh suke cara Kak Su smpaikan cerita.Terer r Kak Su.

p/s: Kak Su ape khabar?seronok ke raye Kak Su?

BurungBelatuk said...

salam....sihir ni selalunya punca orang dengki dan sakit ati kat orang tertentu...jalan mudah nak jatuhkan orang...ape2jawab ja kat akhirat nanti...

Hashim said...

Salam
Kadang kadang saya tidak percayakan sihir atau bomoh... tetapi bila mendengar cerita dari kawan kawan rasa cam betul pulak ...

Anonymous said...

seram sejuk bila baca...

bergenang juga mata..

ingatkan sudah hilang sihir dari dunia masyarakat, rupa2nya masih banyak lagi..

sama2 tingkatkan nilai iman di jiwa.

suara said...

Tokyo Blue aka Thafiexq,
Baca dan ambil iktibar yg baik-baik je tau... Thks sbb singgah sini dan tinggalkan jejak. :)

==================
Salam Balqis...
Selamat hari raya aidiladha. Kak su baru balik dari kg ni, beraya... :D

==================
ryann...
tak terkata ye ryann... :)
Slmt hari raya juga untuk ryann.

==================
salam aidiladha.
InsyaAllah, semoga dipermudahkan segalanya.

==================
Nooreena...
Amin...

suara said...

Sheffwed.
Salam Yeh. Kak su mmg seronok sgt beraya... cuti seminggu rasa macam tak cukup je. :D
Mana nak makan-makan dgn keluarga lagi, nak ziarah sedara mara dan kekawan, nak main air banjir lagi... nak shopping barang-barang kg utk bawak balik sini. Kalau cerita pasal raya, tak cukup kolum komen ni karang. Hehe...

Kalau hati dan fikiran terbiar tanpa makanan iman, memang mudah utk mrk melakukan kezaliman pada orang lain untuk memuaskan rasa dendam. Apapun kak su yakin, Allah berikan dugaan sebegitu kerana sayangNya pada hamba.

Dgn dugaan sebegitu, rasanya Rani dah bebas dari dosa kerana dia dikategorikan sbg orang yg tidak waras. Dan ibubapa Rani, mungkin dgn penderitaan dan pengorbanan yg diturunkan, Allah hapuskan bagi mereka dosa-dosa yg lalu. Apapun, Allah lebih mengetahui...

Betu tu Yeh, Allah mmg sentiasa ada utk kita... tapi selalunya dicari kala sakit dan susah, tika senang ramai yg lupa. Ampun Ya Allah....

=================
Burung Belatuk...
Salam. Thks sbb singgah.

Sakit hati dan cemburu itu dipelopori oleh iblis dan syaitan. Bermula tika Allah mula mencipta Adam. Allah jadikan manusia begitu mulia, tapi jika penyakit dengki cemburu itu tersemai dlm diri, apa bezanya kita dgn syaitan? Moga Allah mengampuni kita yg lalai membiarkan diri dikuasai syaitan.

=================
Hashim...
Salam. Slmt dtg ke blog saya.

Kisah sihir ttg sihir ni mmg banyak. Percaya atau tidak, itu hak masing-masing. Cuma kita perlu tahu, sihir ni hanya boleh berlaku dgn izin Allah, dan juga boleh dihalang olehNya. Segala peristiwa dan dugaan berlaku dgn bersebab, lalu sebaiknya kita kembali padaNya, memohon perlindunganNya....

=================
umaralfateh...
seram sejuk ye? musim ujan lak tu... memang sejuk lebihlah jawabnya, kan? :D

Madu Warna Biru said...

salam kak su nak tanya dalam ayat di bawah

“Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka”. Katanya lagi: “Firman Allah: (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini. (Al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/418, Beirut: Dar al-Fikr)

apakah maksud tidak mampu? perlu membantah dahulu dan jika mereka tidak didengari barulah meninggalkan perkara itu ataupun. dia tidak membantah apa yang mereka kerjakan tetapi dipilih maksud ke dua iaitu meninggalkan perkara itu.

mungkin mereka yang mengerjakan itu masih jahil dan perlukan perjelasan tetapi orang yang perlu beri penjelasan tidak tampil kehadapan dan menyebabkan peseption terhadap orang itu adalah buruk.

apa pendapat kak su ek?

Madu Warna Biru said...

kak su lely sangat2 nak bercakap dengan kak su. cemana lely boleh berhubung ye?

Anonymous said...

Salam Lely...
Kak Su ni bukanlah orang yg layak untuk mentafsir ayat-ayat dlm mana-mana kitab, tapi insyaAllah, kak su cuba menjawab soalan Lely setakat yang termampu.

Kita semua nak hidup dengan aman dan bahagia kan? Tapi bila ada unsur maksiat dan kejahatan berlaku disekitar kehidupan kita, pasti hati tak tenang sebab masalah akan selalu muncul. Apa yg kak su faham, ayat itu mencadangkan supaya kita lakukan 'pembasmian' (penyembuhan) ataupun 'pencegahan'.

Tapi kalau nak lakukan proses 'penyembuhan' pada org lain, antibodi kena kuat. Antibodi yg dimaksudkan kat sini ialah iman.

Kalau lemah iman (antibody) dan tak mampu melawan maksiat (penyakit yang menjadi nanah dlm masyarakat), sebaiknya jauhilah. Jangan sampai nak selamatkan orang lain, diri sendiri terkorban. Kalau setakat terkorban nyawa kat dunia je, mungkin boleh di consider. Tapi kalau terkorban dan masuk api neraka, berbaloikah pengorbanan itu?

Tentu Lely pernah dgr org kata, selemah-lemah iman, tentanglah maksiat walaupun dlm hati. Tapi menentang dgn hatipun, kenalah menjauhi dulu. Bukannya tentang dlm hati, tapi terus berada di dlm 'api'. Sebab iman yg lemah ibarat sehelai daun hijau, lama-kelamaan akan terbakar kalau terus berada di dlm api. Dan menentang dgn hati, bukan setakat rasa tidak menyukai, tapi gunakanlah doa sbg senjata menentangnya.

Mungkin apa yg patut dilakukan ialah keluar dari kelompok manusia yg melakukan maksiat/kejahatan dan berusaha menguatkan iman, kemudian bila sudah punya kekuatan untuk menahan diri dari terikut sama, kembalilah untuk menarik mereka keluar dari 'alam' tersebut.

Ataupun, carilah orang yang kuat iman untuk sama-sama menarik mereka yg terjebak.

Kak su selalu ingat maksud ayat surah Al-Asr iaitu; "Demi masa, manusia itu dlm kerugian, kecuali yang berpesan pada kebenaran, dan berpesan dgn kesabaran."

Asasnya ayat tersebut diturunkan Allah untuk memberi galakan pada kita agar berani untuk menegur apa yang salah dan terus bersabar dln usaha mencegah kemungkaran.

Namun manusia punya banyak kelemahan dan kekurangan. Buat yg terdaya. Kalau tak berdaya, sebaiknya berundur saja. Allah itu Maha Pengampun.

mungkin mereka yang mengerjakan itu masih jahil dan perlukan perjelasan tetapi orang yang perlu beri penjelasan tidak tampil kehadapan dan menyebabkan peseption terhadap orang itu adalah buruk.

Kak su teringat kata-kata seorang teman.
"Hidayah itu perlu dicari, bukan ditunggu." Lalu berdasarkan apa yg dikatakan itu, jgn harapkan org lain untuk berubah, tapi mintalah pada Allah agar diberikan kekuatan utk berubah. Itulah yg kak su lakukan. Kita tak boleh mengubah pandangan org terhadap kita, tapi yg pasti kita boleh mengubah diri kita.... InsyaAllah.

Uih... panjangnya komen. Harap Lely boleh faham. Sesungguhnya kak su masih banyak kelemahan, jadi penerangan mungkin tak tepat dan tak jelas... Ataupun mungkin Lely boleh tanya org lain juga... Dan teman-teman pengunjung blog ini, andai sudi, berikanlah sedikit pandangan anda. Kak su dan lely pasti amat menghargainya...

Anonymous said...

Langkah pertama, Lely ada YM kan? boleh online waktu malam? Kalau boleh, Lely add kak su dlm YM, tapi biasanya malam atau weekend saja kak su boleh online... tapi lely kena bgtau agak-agak bila lely nak kak su online sbb kak su jarang sgt bukak YM, kecuali diminta.

Anonymous said...

wah,Kak Su berbakat benar menulis novel!
rasanya mungkin setiap keluarga ada cerita tersendiri berkenaan sihir ini, samaada keluarga terdekat, atau pun saudara mara. memang sesuatu yang amat memalukan kita sebagai orang Islam, kerana asyik saling dengki mendengki.
bila kita guna sihir,kita telah meminta pertolongan jin/syaitan,dan itu boleh menjerumuskan kita ke dalam lubang syirik.nauzubIllah.
seperti di dalam pantun bapa saudara saya, yang buatnya diantara kita juga, sesama Melayu, sesama Islam.musuh kita dengki mendengki!jadi bagaimana untuk bangsa dan agama sendiri maju?

kamikita said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

y4ku24 aka warungkampung...
Sihir dan kepercayaan terhadapnya mmg perlu dibenteras. Sifat cemburu dan dengki adalah puncanya.

Aduh... Memang sedih memikirkan soal ini yang tak pernah hilang dari masyarakat kita walaupun kita dah boleh dikatakan masyarakat maju.

Anonymous said...

Betul tu kak su...
Jangan dok percaya cakap "ada 5 ekor nih", Orang dengki kat kamu nih, orang dekat je yang buat nih...

Sebabnya kita tidak akan sihat bahkan semakin sakit,ditambah dengan sakit hati,huh!

Sepatutnya perawat menasihatkan pesakit supaya redha dan tak perlu fikir sapa buat,sapa hantar.

" Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun, kecuali dengan izin Allah" al-Baqarah-102

Anonymous said...

Zamry...
Sakit hati tu yg buat kita jadi semakin sakit, kan? Sebab hati adalah seketul daging yang akan menentukan baik atau buruknya anggota yang lain Yg akhirnya menghasilkan perlakuan).