Feb 14, 2008

Bahagia itu apa?

Dan hari demi hari terus berlalu. Musim pantas mencantas waktu bagai embun dijilat suria. Hidup tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.

”Bahagiakah kita?”
Soalan itu kembali mengusik rasa.
”Di mana bahagia itu?”
”Di hujung atau di pangkalnya?”
Lalu saya temukan jawapannya...
”Bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga di hujung jalan... tetapi ia ada di sepanjang jalan.”
”Bahagia itu apa?”
Sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. Mencari kata untuk menggambarkan rasa. Mampukah?

”Bahagia itu ketenangan!” kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.
”Ketenangan itu apa?”
”Hati yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang, miskin ataupun kaya, sihat mahupun sakit, pujian dan kejian... sama sahaja.”
”Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?”
”Ingat Allah... hati akan menjadi tenang.”
Bertalu-talu monolog diri itu menerjah kamar hati. Apa yang diketahui, apa yang dirasa, apa yang dilihat, apa yang dibaca sekian lama... terburai semuanya di malam ini – ditusuk sebuah pertanyaan: "Bang, bahagiakah kita?”

”Tanpa Tuhan, tiada ketenangan. Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan.”
”Isteriku, kebahagiaan itu terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu dapat dirasai. Jika kau tanyakan, bahagiakah kita? Ertinya, kau tanyakan tentang ketenangan kita. Dan jika kau tanyakan tentang ketenangan kita... kau sebenarnya bertanyakan sejauh mana kita ingatkan DIA – Tuhan kita!”
”Bang apakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?”
”Jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu... apakah aku telah tenang?”
”Kenapa?”
”Hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan...”
”Ah, semakin sukar pula mencari jawapan... semakin diselam, semakin dalam.”

Perlahan-lahan, saya bangun, bergerak ke meja tulis. Sebuah sajak yang saya hasilkan sewaktu berjauhan dahulu saya keluarkan dari lipatan buku catatan peribadi. Terasa kesal juga tidak kirimkan kepadanya. Akibatnya, sajak ”Jauh itu dekat” tidak pernah dibacanya. Saya baca kembali baitnya satu persatu:

Kembali kita berjauhan
salam terpisah, senyum tertahan
rindu berbuah, sayang merendang
jauh-jauh begini...
menguji percintaan

Suaramu telus di langit kelabu
setiamu selimut dingin hujanku
arca bayang-bayang malam
sinar remang-remang siang
melukis setiamu di awan gemawan

Terpisah semakin indah
kian terlarut keruhan rasa
terimbau semula nostalgia lama
jari-jari merahmu...
di malam pertama

Sayang... Jauh itu DEKAT!

Note : Petikan daripada tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya.
Entah kenapa bila baca sajak dlm karya ini, teringat pada cara dan gaya penulisan Ani.
Erm... Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama kepada kenalan saya, Ani dan Anuar. Semoga bahagia dihati kekal dimiliki.
Selamat menyambut ulang tahun kelahiran untuk Ana (anak buah saya). Semoga bahagia yg dirasa mekar sentiasa.
Amin

4 comments:

Jie said...

bahagia tu bukan destinasi...tetapi kaedah...cara kita seharian..ada dlm diri sendiri.

Anonymous said...

su penah tanya ramai gak org ttg bahagia macam mana yg dimahukan... banyak jawapan, byk pengertian bahagia yg diberikan... tapi su suka istilah bahagia dlm cerita ni

Anonymous said...

Walaupun masih budak hingusan lagi, tapi perjalanan hidup yang dah dla tempuh selama ni memang banyak mengajar. Memang benar bahagia itu bukan di pangkal mahupun di hujung jalan. Sedar atau tidak, ianya di sepanjang jalan.

Dla pun suka tulisan-tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Dia sama sekolah ngan dila rupanya. My grandsenior la kiranya ni. Hihi..

p/s: Thanks for sharing, Kak Su!

suara said...

Pengalaman (terutama yg pahit) mmg mematangkan diri kita. Pemahaman kita ttg bahagia yang sebenar juga berubah tiap kali kita melalui fasa tertentu. Dan kak su rasa, bahagia yang dicungkil di sini adalah yg paling tepat.

Uih... sama sekolah erk. Macam jejak kasih yg bertali la pulak. :)

p/s : Sharing is caring...