Feb 1, 2020

Risau

Suaranya sedikit sengau, bersin yang kerap dan hidung berair. Disertai batuk² kecil. Tanda awal selsema.

“Abang dapat virus selsema dari mana nih? Ada kena hujan ke?" Soal saya sebaik saja mengesan kelainan dari suaranya sebaik pulang dari kerja.

"Takde kena hujan pun." Jelasnya ringkas.

Risau. Maklumlah, sekarang kan musim Corona Virus. Allahu....

.....

Bila penyakit datang, maknanya ada amaran yang badan mahu nyatakan. Mungkin ada sesuatu yang kurang dalam makanan. Kurang vitamin dan mineral.

Rehat secukupnya dan tambah apa yang kurang. Itu langkah pertama yang saya ambil.

Capai je dulu apa yang ada di dapur. Allah tu kan Maha Penyayang. Dia sentiasa memudahkan urusan hambaNya. Ubat untuk penyakit apa sekalipun, selalunya ada disekitar kita sahaja.

Yang diperlukan hanyalah sedikit usaha dan doa.

.....

Malamnya saya siapkan air rempah yang direbus, dicampurkan sedikit madu dan sepinggan kecil potongan nenas.

Teringat satu petua yang diberi oleh Dr Hisham Hashim, seorang perawat perubatan alternatif dari Perlis.

Katanya, jika ingin membuang kepanasan dalam badan menggunakan madu akibat demam, masukkan madu dulu dan diikuti dengan air. Kemudian dikacau dengan sudu mengikut arah pusingan tawaf. Insya-Allah, ia akan memberikan kesan yang diinginkan.

Kalau mahu membuang kedinginan dalam badan, gelas diisi air dulu dan kemudian baru masukkan madu.

"Abang habiskan air sebelum sejuk ya. Minum masa suam. Habiskan nenas ni sekali. Untuk vitamin C." Pesan saya sambil meletakkan gelas dan piring yang berisi di tepi komputernya.

.....

Pagi ni. Suaranya kembali pulih. Alhamdulillah. Tapi kebimbangan saya masih ada.

Sarapan. Air madu+rempah dan minyak zaitun. Saya pastikan dia minum sebelum melangkah keluar rumah.

Cuma breakfast pagi ni sedikit berbeza. Ubah sikit.

Kentang, kurma dan limau.

Ya Allah, semoga demam dan virus selsemanya terhalau terus 🤲

#ubatanalami
#menusihat

No comments: