Sep 13, 2018

Jalan Ke Syurga - 2

Ma diam, keras membatu. Wajahnya suram. Dia meramas2 tangannya yg sememangnya sering kebas selepas kena stroke beberapa tahun yang lepas.

Tangannya ku capai dan ku urut perlahan. Tangan yang tetap lembut walaupun setiap ketika bekerja keras di dapur. Kelebihan yang Allah bagi padanya.

"Dia buat tak tahu je. Tak tegur pun..." Balas ma perlahan, sayu. Wanita ini, dalam kerasnya ada lembut yg tersembunyi. Ombak kehidupan membentuk dia menjadi begitu.

Ma kehilangan ibu semenjak berumur 7 tahun. Di usia sebegitu muda, dibesarkan oleh nenek dan ayah. Adik bongsu tika itu baru berusia 2 minggu. Beberapa tahun kemudian, nenek pula menyusul. Terpaksa menjadi dewasa dengan segera oleh tuntutan hidup, menjadikan dia seorang yang cukup kuat dan berdikari.

Bila saja ada peluang, ma akan bercerita tentang kisah suka dukanya. 

"Kulat sisir tu ma kutip. Telor ayam ma ambik walaupun hanya 2 atau 3 biji. Letak dalam bakul. Junjung. Jalan kaki, jaja kat orang kampung. Dapat la 30 sen hingga 50 sen, boleh la beli beras untuk masak hari tu..." Bagai filem hitam putih zaman P. Ramlee, aku bayangkan setiap episod hidupnya dengan penuh kelekaan. Lagi seronok dari melihat drama tv yang penuh dengan kisah hasad dengki dan iri hati.

Seringkali aku terpegun mendengar kisah zaman kanak2nya yang penuh dengan liku. Sungguh tak jemu. Memahami corak dan warna kehidupan yang dilaluinya, berjaya meletakkan dia dalam kedudukan istimewa dalam hati ini. 

Wajahnya yang telah mulai dipenuhi garis2 ketuaan pada usia 60an, melimpah dengan kasih sayang. 

'Ya Allah, mohon padaMu Tuhan, jadikan pahit hidupnya yg dulu tenggelam dengan kemanisan dan moga bahagia menemaninya sehingga ke akhir hayat.' Doa itu sering ku bisikkan setiap kali dia menamatkan cerita laranya. 

Aku menarik nafas. Mencari ilham menghalau suram.

"Buat tak tahu bukan bermakna ayah tak peduli ma. Dia cuma tak tahu nak mula dari mana. Mungkin jugak ayah segan dengan anak menantu." Masih tiada reaksi yang positif. 

"Dah lewat ni, ma masuklah tidur ya!" Pujukan yang disertai doa, mohon Allah bantu meleraikan kusut hati pasangan ini. 

Sedikit saja puncanya. Dan ia bukan salah sesiapapun. Hanya perbezaan pendapat dan pendekatan, lalu rajuk mula berkembang. Rumah adik Liza dijadikan tempat untuk bertenang. Kami sepakat, biarlah ma berehat di sana 2 malam, sambil berdoa dan mengharap rajuk menjadi sejuk. 

"Ma tidur kat sofa ni je la..." Putusnya. Aahh... sudahh... tak selesai lagi lah jawabnya. 

Lagi 30 minit, jarum jam akan bersatu di angka 12. 

"Jangan macam ni ma. Ayah tunggu ma masuk bilik tu. Sebab tu pintu bilik tu, dia biarkan terbuka." Memujuk lagi. Menterjemahkan bahasa aksi yg mungkin tak dapat dibaca kerana tak ada huruf abjadnya. 

"Huh..." Hanya itu yg kedengaran

Dia masih diam. Membekukan diri. Mengeraskan hati. 

Aduhai... Aku mengeluh perlahan. Dalam.... 

~♡ bersambung ♡~

No comments: