Mar 29, 2011

Cinta Dan Airmata... Part 2

~Merasai nikmat dan kemudian kehilangannya, lebih pedih dari tak pernah merasai kenikmatan itu. Anda setuju?~

"Dua minggu selepas kami balik dari umrah, semasa dalam perjalanan untuk berjumpa pelanggan, pakcik dapat panggilan. Anak dan isteri pakcik terlibat dalam kemalangan." Dia berhenti seketika. Mencari kekuatan untuk meneruskan cerita barangkali.

"Satu-satunya hasil cinta kasih kami meninggal ditempat kejadian." Dia berkata tenang. Saya yang mendengarnya merasakan ada takungan air dikolam mata. Aduh.... Aliran ini harus ditahan!

"Dan isteri pakcik dimasukkan ke ICU disebabkan kecederaan yang parah." Dia menyambung. Ya Allah... Besarnya dugaanMu terhadap dia!

"Kereta yang dipandu anak pakcik cuba mengelak bertembung sebuah kereta lain yg memotong lori. Sebenarnya kereta tu mahu mengikut 2 buah kereta lain yg memotong lori, tapi memang tak lepas. Disebabkan nak mengelak dari kereta tu lah, keretanya memanjat tebing jalan dan terbalik dengan 4 tayar ke atas." Minda saya memutar kisah itu sepertimana yang diceritakan. Ngeri!

"Sebenarnya pakcik seharusnya keluar dengan mereka. Tapi disebabkan ada panggilan yang penting yang memerlukan pakcik ketempat lain jugak, jadi kami keluar seperately. Itulah aturan Allah... Kalau pakcik yang memandu kereta tu, mungkin jasad pakcik yang tertanam sekarang ni." Ahh... saya mengesan nada sedih didalam ayatnya. Saya akui, bila kita ditimpa musibah, seringkali statement 'kalau' itu muncul. Cabang laluan hidup adakalanya memang diluar kawalan. Takdir hidup kita dalam genggaman Allah.

"Selesai urusan bedah siasat, hari dah petang. Urusan pengkebumian di Seksyen 21 Shah Alam hanya setakat pukul 6.30 petang. Memang tak sempat nak kebumikan pada hari yang sama."

"Ketika itu, isteri pakcik yang dimasukkan di ICU, pakcik serahkan segala urusan pada doktor. Nak mengangkut jenazah ke sana sini, memang sukar. Sudahnya arwah terpaksa ditumpangkan semalaman di surau berdekatan rumah kami yang terbakar. Sepanjang malam pakcik tak tidur." Siapa yang mampu melelapkan mata bila segala miliknya diragut dengan tiba-tiba.

"Untuk anak pakcik, solat jenazah dilakukan 2 kali; malam tu dan esok paginya. Ramai yang datang. Ada yang kenal, ada yang tak." Jelasnya. Termasuk ustaz kami yang mana ketika itu hanya mengenali isteri pakcik sebagai anak murid dalam pengajian Bahasa Arab.

"Isteri pakcik dalam ICU hampir sebulan lamanya. Dalam tempoh itu banyak perkara yang berlaku. Dokumen penting hanya tinggal abu. Segala urusan tergendala." Sambungnya lagi. Saya dan beberapa teman sekelas yang lain khusuk mendengar. Sesekali ada yang mencelah, bertanyakan soalan. Saya memilih untuk mendengar sahaja. Tak langsung menyampuk.

"Masa itu lah, pakcik boleh nampak wajah sebenar orang-orang di sekeliling pakcik. Saudara mara, kawan-kawan. Ada yang menjauhkan diri. Pakcik faham. Mungkin mereka bimbang pakcik akan meminta bantuan, terutama bila timbul isu duit. Belanja hospital bukan sedikit, berpuluh ribu kami habis untuk rawatan." Dia bekerja sendiri, menjual insuran.

"Allah tolong pakcik. Sebagai agen insuran, pakcik memang ambik insuran untuk anak isteri pakcik. Belanja perubatan lepas lah. Kalau tak, mana pakcik nak cari duit." Dia memandang keluar. Kelas lain sudah mulai kosong.

"Pampasan untuk anak, dapat tak?" tanya salah seorang teman sekelas.

"Tak dapat. Kes tu memang masuk mahkamah dan kami diwakili oleh polis. Pemandu kereta yang memotong lori tu diwakili oleh peguam. kami turun naik mahkamah beberapa kali disebabkan rayuan pemandu tu. Sudahnya mahkamah memutuskan untuk meluluskan rayuan. Dari jumlah 15 ribu ringgat denda yang harus dibayar, dia hanya dikenakan denda 3 ribu. Itupun duit tu diberikan kepada perbendaharaan, bukan kepada mangsa kemalangan. Kami tak dapat satu sen pun." Dahi saya berkerut. Tak pernah saya tahu tentang selok belok sistem perundangan di Malaysia yang menguruskan kes sebegitu.

"Pakcik ingatkan kalau diwakili oleh pihak polis, kes tu lebih kuat berbanding dengan ambik lawyer. Lagipun masa tu manalah terfikir nak ambik lawyer. Apatah lagi bila melibatkan duit, seboleh mungkin pakcik nak elakkan." Katanya sayu. Kesal bertapak dihati kami yang mendengarnya. Terasa sangat ketidak adilan yang berlaku. Tapi itulah ketentuan hidup.

"Ada tak pemandu tu jumpa pakcik dan berikan sedikit duit sebagai tanda kesal atas apa yang terjadi?" Rasa ingin tahu membuak.

"Tak ada. Dia langsung tak kisah. Bukan saja duit, kata maaf pun tak ada. Semasa terserempak di mahkamah, tak ada reaksi bersalah yang ditunjukkan." Siapakah insan itu? Ingin sekali saya lihat reaksinya. Keras hatikah dia... sehinggakan sepatah kata maaf pun tak terucap olehnya.

"Biarlah..." Itu saja kata pakcik M bila kami sasarkan persoalan. Dia redha dengan apa yang telah berlaku. Mungkin sudah letih untuk menangani apa yang berlaku.

"Anak kami, Allah pinjamkan sekejap saja. Pakcik ingat, kami yg tua ni akan pergi dulu. Bolehlah tinggalkan zuriat yang diharap dapat mendoakan. Tapi... Allah ada rancangan lain untuk kami. Dia exam sebelum pergi umrah dan meninggal semasa cuti semester. Bila buka semester, kami diberitahu oleh pihak universiti, dia dapat anugerah pelajar terbaik." Aduhai, berita gembira itu makin menambah sayu hati bapa yang baru kehilangan.

Malam itu perkongsian Pakcik M membuatkan saya cukup sebak. Dia bercerita tentang kehidupan dan kematian. Kejayaan dan kegagalan. Insan datang dan pergi. Anugerah dan dugaan. Rasa syukur dan terkilan. Saya terkasima.

Hebatnya dugaan buat dia. Orang-orang di sisinya.... Yang pernah ditatang, menghilang. Yang pernah di suapi, melarikan diri.

"Memang kecewa dengan reaksi mereka, tapi nak buat macam mana. Kita tak boleh paksa. Mengungkit pun tak guna." Keluhan dilepaskan. Sinar matanya pudar. Namun tak ada getar yang terzahir dari suaranya. Mungkin masa telah mengurang pedih, mengubat luka, membersihkan duka... Tapi yang pasti, Allah bantu dia menghadapi segalanya. Menunaikan doanya di Makkatul mukarramah. Menjadi insan yang tabah. Dia redha... benar-benar pasrah.

Allah Maha Pengasih. Bantuan Allah tak terjangkau dek minda. Katanya, dalam kemelut diri menghadapi kehilangan cinta anakanda dan melayani kecewa yang tak terzahir dek airmata, muncul insan lain yang diutuskan Allah untuk membantu. Yang tak pernah rapat sebelum ini sanggup menghulur bantuan dan memberi. Meringan beban yang kepalang beratnya. Syukur Alhamdulillah...

Buat Pakcik M dan keluarga, semoga Allah akan menemukan mereka kembali... Di syurga... Menganyam bahagia dalam kehidupan yang kekal abadi....

7 comments:

epalejau said...

salam kak su..
epal kadang dengan dugaan yang sedikit, sudah cukup dengan rasa ingin putus asa.
pakcik M, besar dugaan yang dia terima,
masih lancar di mulutnya mengaku itu dugaan dari ALLAH yang perlu diterima.
doa epal cuma sama seperti dia.
semoga epal terima dengan penuh ketabahan setiap dugaan yang diterima.

kak su..
kat bawah tu...

"katanya, dalam kemelut diri menghadapi kehilangan cinta anakanda dan melayani kecewa yang tak terzahir dek airmata, muncul insan lain yang diutuskan Allah untuk membantu."

ada Part 3 ke?:)

suara said...

@epal...

Jika kita ingat yg apa jua dugaan yg menimpa itu adalah dari Allah, tanda Allah sayang pada kita, pasti beban yg diterima tu terasa ringan. Itulah formula yg diberikan oleh Pakcik M.

Tak de part 3 dah... Takat itu saja yg diceritakan.
Apapun perkongsian kisah lain akan muncul bulan depan...
Tunggu!!!

Kaktiny said...

Betul sgt formula tu kan su..


"Allah tidak membebani seseorang itu sesuai dgn kesanggupannya". (Al-Quran Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 286)

itu janji Allah kepada kita kan!!..

sebab tu, bila terkena ujian yg rasa berat, segera ingatkan diri dgn ayat tu.. terus mulut melafas "INNALILLAHI WAINNAILAIHI RAAJIUN".. masalah tu pon kan makhluk Allah, dia (masalah) tu datang bila Allah suruh dia turun kepada kita... dan adalah HAK MUTLAK Allah untuk tarik balik dan ganti dgn rahmat atau nikmat.. kan?!.

Mmg perit ujian pakcik tu.. tapi, setidak-tidaknya, bila dia sudi bercerita kepada para jemaah, maknanya, dia dah benar-benar redha.. dan redha Allah adalah apabila kita redha dgn setiap ujian dan rahmat-Nya..

Allahu.. beruntungnya pakcik M itu.. anak dan isterinya, InsyaAllah sedang menunggu... sedangkan kita ini, (tiny terutamanya), entah bagaimanakah ye Su?.. huhuhuhuhu....

Myza Pesona said...

Sesungguhnya hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui akan hikmah dan nikmat di sebalik ujian dan dugaan ke atas setiap hambanya itu...

suara said...

@tiny

"Tuhanku... aku tidak layak untuk syurgaMu tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa nerakaMu, dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku..." Terngiang-ngiang munajat yg benar-benar buat su rasa kerdil.

Bila hati rasa pedih diduga... su ingatkan diri sendiri yg itu adalah cara Allah menunjukkan cintaNya... sesungguhnya kafarah yg diturunkan Allah adalah untuk membersihkan dosa lalu. Su ni banyak dosa tiny... huhuhu...

==================
@myza

Moga kita mampu melihat hikmah disebalik dugaan yg diberikan Allah...

dangarumbia said...

Hidup kita memang sering diduga, sedih lak baca kisah hidupnya.

.
.
.
Su, kak tie pindah lagi laa... terpaksa, huhu...

suara said...

Laa.... Kak Tie ke... Ingatkan sapa la dangarumbia nih...