Nov 25, 2009

Doa Hati - Kisah 2

Mata saya melilau mencari ruang dicelah-celah kesesakan manusia. Tak ada!

"Ibu... belakang... belakang... jalan... jalan..." Kata polis wanita yang berpakaian serba hitam yang hanya menampakkan dua matanya. Pelatnya jelas sekali. Maklumlah bangsa Arab berbahasa Melayu Indonesia. Saya yakin hanya beberapa patah perkataan melayu yang mereka fahami. Itu antara beberapa patah perkataan yang sering saya dengar keluar dari mulut mereka, bila memberi arahan pada jemaah Asia (Melayu dan Indonesia).

Saya bergerak sedikit ke belakang. Mata saya kembali meninjau. Sesekali singgah kepada beberapa jemaah yang masih tegar. Mereka melakukan solat sunat tanpa mempedulikan arahan polis wanita itu. Saya faham, ruang tidak berbumbung memang diberi keutamaan kepada kaum lelaki. Tapi apa salahnya kami kaum wanita solat disitu jika ada ruangan yang kosong. Lalu saya mahu mencuba nasib bersama beberapa kumpulan jemaah wanita yang lain.

Saya teringat cerita tentang keistimewaan masjidil Haram yang tak akan ada ditempat yang lain. Antaranya ialah solat. Pahalanya yang berganda, solat yang tiada batasan waktunya, dan tempat solat yang bercampur (tapi jangan terlalu ketara percampurannya, dan selalunya untuk solat sunat sahaja, seperti solat sunat tawaf).

Matahari tegak di kepala. Terik mentari membuatkan badan lencun dek peluh, tapi syukur pada Allah, peluh yang mengalir tak langsung merimaskan saya, malah menyejukkan badan.

Bila dihalau, saya beralih ke belakang, lalu terus mengangkat takbir, melakukan solat sunat. Saya tak mahu melepaskan kesempatan yang ada. Lagipun jemaah yang bersolat biasanya polis tak akan ganggu.

Selesai solat, dihalau lagi. Aduhai...

Saya menghampiri satu ruang solat yang dikhususkan untuk wanita. Ruang yang di sekat dengan dinding plastik (tak tahu nak beri gambaran) dan rak Quran. Penuh. Tapi masih ada yang mencelah masuk, dan saya turut tertolak ke dalam. Mata saya kembali meneroka mencari ruang walaupun kecil, cukup sekadar saya dapat sujud dan rukuk.

Ada jemaah yang menlunjurkan kaki, yang meletakkan beg (sbg tanda tempat telah dibooking) dan ada yang melebarkan sila. Hati saya gelisah. Bagaimana kalau bila solat telah bermula, saya masih tak dapat tempat?

"Ya Allah, aku mahu sujud padaMu ya Allah. Berikan aku sedikit ruang untuk solat...." Hati tak henti-henti berdoa.

Ruang yang ada cumalah tempat untuk jemaah yang telah berada dalam saf sujud. Jika ruang itu dipenuhi, memang akan ada jemaah yang tak dapat rukuk dan sujud dengan sempurna. Beberapa kali saya meminta izin untuk duduk, tapi tidak dibenarkan. Dan saya kembali bergerak.

Hati saya sayu, namun saya faham keadaan mereka. Solat dalam keadaan yang tidak selesa, pasti akan mengganggu kekusyukan. Lalu saya tak rasa sakit hati bila mereka bertindak begitu.

Seorang wanita Arab yang berbadan besar dalam lingkungan usia 50an memandang saya sambil tersenyum. Dia bersila, mengambil ruang melebihi saf. Kebanyakan wanita Arab yang bersaiz seperti dia, akan solat dalam keadaan duduk dan ruang untuk saya pasti tiada. Saya fikir, mungkin saya duduk saja dulu. Bila takbir diangkat, dan jemaah bangun, mungkin akan ada sedikit ruang buat saya.

Dia mengensot sedikit, memberikan saya sedikit ruang untuk duduk. Alhamdulillah...

Saat solat bermula, tepat seperti jangkaan saya, wanita Arab itu solat dalam keadaan duduk. Dan saya dibelakangnya. Untuk rukuk, saya tak bermasalah, tapi untuk sujud... Bagaimana ya?

"Ya Allah... aku serahkan diriku padaMu ya Allah... Kau jemput aku ke sini, pasti Kau telah sediakan ruang buatku..." Saya berbisik sendiri.

Bila solat bermula, dia sujud... dan saya sujud. Indah sekali aturan keseragaman dalam solat berjemaah. Sekata dalam pergerakan menyelamatkan keadaan saya. Jika saya lambat bangun dari sujud, pastinya punggungnya akan menghempap kepala. Disebabkan pergerakan yang sama dan sekata, ruang sujud buat saya tersedia. Allah Maha Besar, dalam situasi sempit, saya masih mampu mencecahkan dahi ke lantai, sujud pada Dia Yang Maha Pencipta. Tak pernah saya bayangkan situasi sebegitu. Terasa kerdil sekali diri ini.

Selesai solat dan berdoa, dia memandang saya sambil tersenyum. Saya menghulurkan tangan, bersalam dan mencium tangannya. Terus dia menarik dan memeluk saya.

Aduh... nyaman sekali berada dalam pelukannya.

Dengan kekurangan yang ada pada dirinya, jelas sekali dia punya hati yang amat mulia. Allah menggerakkan hatinya untuk memberikan sedikit ruang buat saya duduk. Jika tidak, pasti saya masih melilau mencari tempat solat. Saya bayangkan, bila dia menjadi penghuni syurga nanti, pasti dia akan jadi wanita yang amat cantik dengan potongan badan yang langsing dan amat menarik. InsyaAllah... Semoga Allah berikan pahala berganda atas kemurahan hatinya.

Tiba-tiba dia bersuara dalam bahasa yang saya tidak faham. Berkerut kening saya cuba memahaminya.

"Maqbul... maqbul..." Katanya sambil satu tangan memegang bahu saya dan satu tangan lagi diangkat seolah berdoa. Saya mengagak, dia berdoa mengharapkan agar doa saya juga akan dimakbulkan Allah.

"Syukran... syukran... " Balas saya sambil mencium pipinya. Hanya perkataan itu yang mampu saya tuturkan.

Mata saya basah...

11 comments:

FaridRashidi.Com said...

Assalamualaikum Kak,

Apa khabar? Dah lama saya tak ke sini. Erm, masih dengan episod umrah ya..

Sekarang ini musim haji, kak bila plan untuk ke sana buat haji?

Mak Su said...

kasihsayang itu sangat besar...

salam aidiladha :)

ryann said...
This comment has been removed by the author.
epalejau said...

salam, kak su.

bila kasih sayang tak memilih siapa,
erat pelukannya juga memberi rasa.
kan?

jika di syurga nanti dia menjadi wanita yg cantik, epal doakan kak su juga tak kurang akan mendapat ganjaran yang serupa. Insya ALLAH.

p/s: rindu separuh nyawa dengan kak su. a'ah, skrg tgh cuti sekolah. :)

arsaili said...

salam eid...harap akan sampai ke sana....

Tie said...

Terharunya... mata kak tie pun basah ni...hu hu..

Adliff said...

Salam,

Kak Su,

Lama Aliff tak menyinggah di teratak maya ini. Rindu pada tulisanmu.

Emak dan ayah, insyallah pulang dari Mekah pada 3 Disember ini.

Unknown said...

`salam...setiap manusia akan usaha dengan sungguh terhadap apa yang diyakininya.......kita sebagai orang islam...kene yakin bahawa ,kita akan mendapat kejayaan apabila kita mentaati perintah Allah dengan cara yang dilaksanakan oleh baginda saw....

Iliana said...

saya turut terasa membaca kisah ni..terasa seperti ingin ke sana. mudah-mudahan saya juga berpeluang. amin~

SangPelangi said...

Allahuakbar. Seperti hendak menitis airmata dibuatnya. Kisah paling buat saya tergerak hati untuk ke sana juga. Tidak sabar-sabar.

Sudah lama tidak bersinggah ke sini, akhirnya dihadiahkan satu perasaan yang tak akan hilang. Perasaan untuk ke Tanah haram. Terima kasih buat Kak Su.

suara said...

Salam sayang buat semua yang singgah di sini. Maaf sebab tak dapat nak berlama-lama di alam maya buat masa ini memandangkan kesibukan akhir tahun yang membataskan masa saya untuk menulis dan juga untuk menziarah laman kerawang kalian... ops...laman sesawang. Dan terima kasih pada yang singgah dan meninggalkan komen di sini. Sungguh saya menghargainya. Paling tidak saya tahu yang laman bersawang ini masih dikunjungi. :)