Feb 20, 2009

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya? (Akhir)

Assalamualaikum....

Untuk siri 'Penyakit Misteri : Sihirkah puncanya?', mungkin ini adalah perkongsian terakhir saya.

Saya bukan jenis yang suka mencuba perubatan alternatif, apatah lagi yang jelas sekali perbuatan syiriknya terutama amalan berbomoh. Hanya selepas yakin bahawa kaedah yang dijalankan adalah cara yang dibenarkan dalam Islam (yang menggunakan ayat-ayat Quran dan doa), maka saya berani mencuba.

Namun penting untuk kita sedari bahawa bukan saja kaedah perubatan yang perlu dipertimbangkan, tapi ketahanan diri lebih utama. Ketahanan melalui peningkatan iman dan pembaikan amalan diri sepertimana dalam kisah yang di paparkan di blog emjay ini. Dan boleh juga dibaca luahan orang yang pernah terpedaya dengan amalan berubat yang mengelirukan seperti yang terdapat di entry ini.

Untuk sesetengah penyakit, perubatan alternatif yang paling selamat untuk kita lakukan adalah dengan mengubah cara hidup dan cara pemakanan sepertimana yang sering disarankan oleh saudara Emjay.

Sebagai pengakhiran dan sebelum kesimpulan untuk siri ini, biarlah saya ceritakan satu lagi kebenaran yang saya temui.

Saya pernah membawa seorang kenalan cyber berubat dengan seorang pengamal perubatan alternatif. Saya namakan dia A, dulunya dia seorang blogger. A kononnya mempunyai sakit yang membawa maut. Saya bersimpati dan benar-benar berniat untuk membantunya mencuba kaedah perubatan alternatif. Setelah diyakinkan oleh sepupu mengenai kaedah perubatan tersebut, saya menetapkan tarikh dan masa untuk ke sana. Kami bertiga, saya, A dan juga sepupu saya.

Tak perlu saya ceritakan proses perubatan secara teliti. Mungkin lebih baik saya tak gunakan istilah perubatan sebab pertemuan itu lebih kepada mengenal pasti sakit dan puncanya serta cadangan perubatan yang sesuai untuk A. Jika bersetuju, barulah perubatan diteruskan. Setelah mengenalpasti sakitnya, apa yang perlu dilakukan hanyalah solat hajat, bacaan Quran di rumah (bacaan dimainkan dari tape pun takpe katanya), bersedekah, melaungkan azan di rumah dan mandi ais.

Langsung tak ada kaedah yang meragukan kecuali masa soal siasat sakit yang kelihatannya menggunakan 'bantuan luar' (ala-ala permainan spirit of the coin* tapi tak gunakan syiling tapi menggunakan tasbih dan buku). Kami diberi masa untuk berfikir dan membuat keputusan kemudian. Bayaran tertentu hanya perlu dibuat bila rawatan dimulakan.

Setelah seminggu menimbangkan kaedah rawatan tersebut, A membuat keputusan untuk tidak meneruskan. Tak yakin dengan 'kebersihan' kaedah tersebut. Lebih kurang itu katanya pada saya saat menolak usaha yang mahu dilakukan.

Asalnya saya kecewa kerana bagi saya (pada waktu itu), usaha yang sebenar adalah apa yang dilakukan bila rawatan bermula. Dan semuanya menggunakan cara Islam yang 90% dilakukan sendiri. Paling utama, saya tak mahu lagi mendengar buah bicaranya yang jelas lemah dan putus harapan bila bercakap tentang derita sakit dan ajal yang bakal dihadapi. Simpati saya melimpah padanya....

Beberapa bulan selepas itu, terbongkar punca dan rahsia penolakan A bilamana identiti sebenarnya terdedah. Semua tentang A adalah satu pembohongan. Nama yang diberikan adalah nama samaran dan sakitnya juga adalah satu rekaan! Doa yang saya mohonkan untuk dia adalah sia-sia!

Apa yang saya nak tekankan bukanlah pembohongan A (walaupun saya sedih sangat bila tahu saya dibohongi). Tapi bila menilai kembali apa yang pernah berlaku pada diri saya, buat saya berfikir panjang.

Selalu di ceritakan bahawa jin atau makhluk halus ini tahu tentang apa yang kita tak tahu. Mereka mampu melihat apa yang ghaib dan tak nampak dengan mata kasar kita, seperti tahu siapa yang buat khianat, dan makhluk jenis apa yang mengganggu (seperti jin afrit, saka, hantu raya dsb), tahu sejarah peristiwa dan sebagainya.

Andai ini benar, masakan 'pembantu' pengamal perubatan itu tidak mampu mengesan pembohongannya? Yang nyata dan yang terlintas di fikiran saya ialah 'pembantu' itu juga tak mampu menjangkau misteri yg ada dan mungkin juga makhluk pembohong yang kata-katanya banyak tekaan dari kebenaran...

Katakanlah tidak ada seorangpun yang mengetahui yang ghaib di langit dan di bumi kecuali Allah... (An Naml:65)

Ayat Al-Quran di atas adalah jawapan kepada soalan tersebut.

Dan saya tersedar, bahawa apa jua yang diceritakan oleh 'perantara' (baca : jin) pengamal perubatan (samada yang dipelihara atau dikatakan dihantar oleh musuh yang tak disedari), segalanya mungkin omongan kosong yang harus dibuang jauh-jauh.

Kesimpulan yang saya buat; Mungkin benar ada yang cemburu dan dengki dengan sedikit kelebihan yang ada, tapi menuduh berdasarkan satu kenyataan dari makhluk yang kita tak nampak adalah berdosa! Benar atau tidak, hanya Allah yang tahu. Jika benar, hanya Allah yang berhak menghukumnya, bukan saya. Saya hanyalah seorang hamba Allah yang penuh dengan kelemahan.

Syukurlah sakit hati dan kesedihan yang saya alami hanyalah buat seketika sahaja. Itupun saya pendam dihati tanpa mengambil apa-apa tindakan. Andai ada luka, saya lebih suka membiarkan Allah mengubatinya, membawa pergi pedih hati bersama aliran masa dan airmata keinsafan.

Teringat saya kata-kata seorang teman; "Sakit, penderitaan dan kesedihan yang berlaku dalam hidup kita hari ini datangnya dari Allah... Mungkin ia dugaan untuk menguji keimanan dan mungkin juga ia satu pembersihan dosa untuk kesalahan yang pernah dilakukan (pembalasan). Biar apapun sebabnya, itu sebenarnya tanda Allah sayangkan kita dan mahu kita selalu mengingatiNya... "

Jika melihat ia sebagai pembalasan untuk dosa yang mungkin pernah dilakukan sebelum ini, jiwa lebih terbuka untuk bertaubat. Bertaubat dan beristighfar.... Bukankah Rasulullah yang berperibadi mulia dan di janjikan syurga oleh Allah itu seringkali memohon ampun, bertaubat dan beristighfar, lebih dari 100 kali sehari? Dan kita...?

Saya ingat satu ayat dari cerpen yang pernah saya baca....
"Ilmu ubah diri itu ada enam; paksa, perhati, hisab dan hukumlah diri. Tanamkan azam dan usaha. Kemudian celalah diri..."


Itulah yang saya mahu lakukan, membetulkan jalan dan laluan yang saya lalui, agar dipenghujung perjalanan hidup saya ini, akan saya temui bahagia yang abadi... InsyaAllah.

Mohon Kau bantu hambaMu yang lemah ini Ya Allah...

Nota : Tujuan sebenar saya menulis siri ini adalah untuk menyeru pengunjung blog saya agar berusaha memperbaiki iman di dada, agar ketahanan kita terhadap apa jua pengaruh syaitan dan jin dapat kita minimumkan. Sedarilah bahawa apa jua penyakit hanya Allah yang mampu menyembuhkan, apa jua perkara ghaib, hanya Allah yang mampu menjelaskan. Semoga siri penyakit misteri yang saya tulis ini mampu membuka minda pembaca hanya ke arah kebaikan dan pencerahan fikiran.

* Spirit of the coin - mengikut seorang teman, ianya satu permainan memanggil roh untuk bertanyakan perkara ghaib, ataupun tilikan masa depan. Saya pernah tengok permainan ni dalam satu filem atau drama TV yang saya tak ingat tajuknya.

16 comments:

Mak Su said...

keluarga saya pernah dilanda masalah dulu, saya masih kecil ketika itu. sampai sekarang saya avoiding pengamal perubatan paranormal, trauma.... sebab kita dah lihat banyak auta dari benar.

:(

-SRISUFI- said...

salam KAKAK..

sebenarnya susah untukkita merungkai perkara sebegini,MISTERI kedangkala.

namun biasanya sering saja menggunakan perantaraan makhluk lain selain bergantung pada DIA.

seram gak kan AKAK.

**spirit ot the coin-zaman belajar dulu time budak2 Kristian main ni menjadi...kena rasuk gak...hehehe

Nik Zulina said...

Salam Ukhuwwah..Apa jua ujian Allah.. hadapilah dengan tabah..kerana ianya penambah pahala dan penghapus dosa..

Ibnurashidi said...

salam kak su...

Syahdu saya baca kisah kak su. Hebat juga penangan orang dengki ni. Sabarlah kak su. Semoga dugaan itu menjadi sebab kak su dan keluarga berada di syurga kelak.

Spirit coin tu saya tengok di klip video pendek. Mungkin dalam youtube ada kot.

suara said...

Maksu...
sebaiknya macam tu lah kan?
Bahaya sangat. Bahaya yang saya lihat dari segi akidah kita...

==================
Salam Srisufi...
Hanya Allah yang tahu kisah di sebalik misteri tu. Kita manusia ni mudah benar terpengaruh, apatah lagi minda kita sering mencari sandaran/penyebab untuk sesuatu peristiwa. Aduhai...

==================
Nik Zulina...
Salam ukhuwah kembali. InsyaAllah kak. Doakan saya ye! Thks sbb singgah. :)

==================
Salam Ibnurashidi...
Alhamdulillah, itulah antara anugerah yang Allah berikan pada kak su - kesabaran. Moga ia kekal dalam diri. :)

nooreena said...

Salam Kak Su.

Kisah ini mengingatkan Reen yang kita jangan mudah percaya pada orang. Ibu ayah kawan-kawan banyak kali dah pesan pada Reen.. tapi Reen mudah sangat percaya pada orang. Alhamdulillah tiada apa-apa yang buruk berlaku. Akak pun berhati-hati ya. Sayang akak! *hugs*

suara said...

Salam Reen...
Kak su pun mudah percayakan orang dan mudah sangat terpengaruh. Kata abang, hati kak su ni mudah sangat lembut. Bahaya sangat!

IsnyaAllah, kak su akan lebih berhati-hati di masa depan. Reen pun. Moga Allah lindungi kita semua dari segala bentuk penipuan, terutama yang membawa kita jauh dari jalan Allah.

Sayang Reen juga... *hugs*

kamar hati said...

macam2 yer kak su....apa pun, tetapkan hati dan tabah la dlm menghadapi ujian ni... (",)

suara said...

Macam-macam ada, ye kamar. :)
InsyaAllah... moga kekuatan itu sentiasa Allah bekalkan buat kak su.

e-leeyana said...

salam kak su

agaknya, bilalah permainan halus ini akan berhenti? sehingga ramai yang sanggup ke luar negara untuk menuntut ilmu ghaib ni. malangnya, digunakan untuk menganiaya orang. nak di failkan kesnya, masakan bisa - tak ada buktinya. sungguh licik dan kotor permainan ini

suara said...

Salam eleeyana
Selagi dunia belum kiamat agaknya. Entahlah...

warungkampung said...

kak Su,
setahu saya maksud perubatan alternatif ini meluas, bukan sahaja meliputi bomoh atau ustaz yg baca doa atau ayat alQuran.
menyebuhkan penyakit guna herba, atau gelombang contohnya, itu semua masih termasuk dalam kategori perubatan alternatif (perubatan yg tidak guna dadah/drug atau rawatan di hospital biasa)
sekadar perkongsian :)

suara said...

Y4ku24...
memang pun. cuma antara perubatan alternatif yg paling popular dikalangan masyarakat kita ialah bomoh... dan bg yg beragama Islam ialah ustaz.

Ada yg kata, kesembuhan dan kejayaan sasuatu perubatan itu bergantung pd keserasian. Tapi hakikatnya ia berlaku dgn keizinan Tuhan... kan, dah melencong tu...

rudy bluehikari said...

Astaghfirullah. Sampai begitu sekali dia mahu mengambil perhatian org lain utk rasa simpati dengannya. Sedihnya. Sihat meminta mahu sakit...apa agaknya kalau dia benar2 diharung sakit spt sy ini bertahun-tahun menahan diri. Tetapi spt yg entri suara tulis, kita kena ubah diri melalui pemakanan, ibadah dan lain2. Alhamdulillah, saya nampak jalan keluar. InsyaAllah.

entri ini amat bermakna sekali.

suara said...

Biasalah tu Rudy... Dunia ni kan pentas, dan manusia adalah pelakonnya. Allah Maha Mengetahui apakah drama yang kita mainkan itu neraca hidup atau cerekarama.

suara said...

Sesungguhnya kebenaran akan muncul bila masanya tiba. Moga tidak terlambat. Moga ianya muncul sebelum 'kontrak lakonan' kita tamat di bumi Allah ini.