Aug 23, 2008

80% tidak mengerjakan solat?

SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting bagi setiap Muslim yang mukalaf kerana ia adalah fardu ain. Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud:

'Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.'

Pun begitu, pakar motivasi dan penceramah bebas terkemuka, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, mendedahkan 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari.

Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.

"Mereka boleh berada di padang bola lebih dari satu jam, peniaga pasar malam terlalu sibuk melayan pelanggan sehingga terlupa menunaikan solat biarpun hanya mengambil masa 15 atau 20 minit."

"Malah ada juga yang sanggup membuang masa di pusat membeli-belah, pusat karaoke, menyaksikan konsert, menonton perlawanan bola sepak, terlibat dengan lumba motor haram selama berjam-jam tetapi mengabaikan taklif agama yang mengambil masa pendek,'' kata Dr. Fadzilah dengan suara tersekat-sekat menahan sebak pada majlis pelancaran album motivasinya yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari. Jumlah ini terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini.

Lebih menyedihkan, senario yang berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari.

Kekecewaan dan kebimbangan Dr. Fadzilah jelas tergambar apabila beliau tidak dapat membendung air mata dan menangis, membuatkan hadirin tergamam seketika.

"Biarpun masa yang diperlukan itu pendek, tetapi banyak orang yang ingkar untuk melakukannya kerana tidak menghayati ibadah tersebut, natijah daripada tidak ada latar belakang pembelajaran agama."

"Kewajipan solat sering dipandang remeh atau dianggap tidak ada nilai sensasi untuk diketengahkan kepada umum. Namun hakikatnya, ia terpaksa disampaikan ke pengetahuan semua kerana saya khuatir umat Islam akan menuju kehancuran apabila umatnya sudah seperti penganut agama lain yang sembahyang mengikut kehendak sendiri atau suka-suka sahaja,'' terang beliau.

Kata Dr. Fadzilah lagi, kepincangan ini terpikul di bahu setiap individu Islam itu sendiri, bak kata pepatah Melayu, tepuk dada tanya hati. Di dalam al-Quran, banyak firman Allah yang memerintahkan kita mengerjakan solat, antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud:

'Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.'

Ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang menunaikan solat sebenarnya telah menunaikan tanggungjawabnya dan dikasihi oleh Allah dan rasul-Nya kerana mengikut ajaran Islam.

"Semua pihak kena peka terutamanya ibu bapa kerana tidak menerapkan kewajipan ini menjadi amalan harian di dalam diri anak-anak. Rasa kasihan untuk mengejutkan anak solat Subuh merupakan salah satu contoh kerugian besar dan cara yang salah dalam mempamerkan kasih sayang kepada anak."

"Sebenarnya di dalam solat manusia diajak untuk mengabdikan diri kepada Allah. Selain itu, solat merupakan benteng diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar."

"Orang yang melakukan solat juga mampu menjadi orang yang melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama,'' kata beliau.

Menurut beliau lagi, terdapat banyak sebab rapuhnya keimanan seseorang itu; kerana suasana kerja, pengaruh teman-teman, pengaruh luar yang tidak menggalakkan dan sebagainya.

Namun, punca sebenar berlakunya demikian ialah kerana tidak ada rasa tanggungjawab atau minat untuk menunaikan sembahyang, kerana tidak memahami rahsia-rahsia keperluan sembahyang. Dr. Fadzilah mengakui kebenaran bahawa manusia lebih peka menumpukan perolehan yang bersifat material.

"Allah s.w.t. menyuruh agar manusia menjadikan dunia ini laluan bagi kehidupan di akhirat, tetapi manusia sering mengeksploitasi hidup di dunia ini, seumpama hidup yang kekal, menyebabkan mereka lupa hidup di akhirat dan membelakangkan perintah-perintah-Nya,'' ujarnya.

Nota : Artikel ini saya dapati dari email yg dihantar teman. Terdiam seketika saya bila membacanya. Memikirkan tanggungjawab berpesan-pesan (surah Al Asr) yang perlu dilaksanakan... Memikirkan kata-kata ramai pemerhati yang menyebut bahawa kitalah umat akhir zaman yang penuh dengan kerosakan akhlak.

Terlintas ingatan pada surah Al-Waqiah yang menceritakan 3 golongan; golongan kiri, golongan kanan dan golongan terdahulu. Golongan terdahulu adalah golongan yg paling banyak daripada umat Muhammad dan yang terkemudian pula golongan yang paling sedikit dari umat Muhammad. Kita ni umat Muhammad yang terkemudian kan?

Sebagai penganut agama Islam, kita dah memang tahu bahawa solat itu ialah tiang agama. Perkara paling penting dan asas yang perlu dipenuhi. Mengerjakan solat akan dapat mencegah diri dari perkara mungkar. Tapi walaupun tahu betapa solat itu amat penting, kenapa masih ramai yg mengambil mudah?

Lalu soal lah diri; dimana kita sekarang (didalam peratusan yang yang berikan oleh Datuk Dr Fadzilah)? Di kalangan 20% atau 80%?

Dan dimana kita mahu berdiri? Di kalangan 20% atau 80%?

Tepuk dada, tanya minda. Tepuk dahi, tanya hati.

18 comments:

Tie said...

Kadang2 kita terlalu sibuk mengejar kehidupan di dunia hingga lupa tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim...

suara said...

Tu lah... Sibuk mengejar yang sementara, memenuhi keperluan dan kemahuan dunia. Sedangkan ia bukannya boleh di jadikan bekal kita bila mengadap Al-Malik nanti.

Kita manusia mmg mudah lupa, tapi tak sepatutnya yang menjadi tiang agama ini dilupakan juga. Su ingat kata ustazah, permintaan yang paling perlu diutamakan dalam doa kita ialah supaya ditetapkan iman kerana hanya iman yg mampu menjaga kita dari leka dan lalai dunia...

Ibnurashidi said...

salam kak su..smga sihat selalu..

Benar, bukan sahaja solat tapi dalam masalah lain juga sama. Saya berasa kecewa ketika menonton rancangn Malaysia ttg hal kahwin apabila disoal kpd bakal pengntin hal ehwal agama lintng pukang dijawabnya. Jangan terkejut kalau ada yg belum tahu apa itu rukun Islam dan Iman..

Cuba survey Sek.Men tanya dan tgk cara solat..dimana silapnya?ibu bapa?keluarga?masyarakat?kerajaan?

Sama-samalah kita memperbaiki solat kita supaya lebih sempurna dan khusyuk..semoga tergolong dalam golongan yang tidak "mencuri ketika solat"

Anonymous said...

Salam farid.
Alhamdulillah, kak su sihat.

Sebut ttg kawin kak su teringat satu forum dalam laman web apa tah... dah lupa. Ada yg kata, 'kalau dah cinta, kawin je. lebih baik dari terus buat dosa'. Kalau tengok dari satu sudut, mmg cadangan itu adalah yg terbaik.

Tapi hakikatnya, kalau perkahwinan berlangsung tanpa menitikberatkan aspek-aspek lain dlm perkahwinan, risiko penceraian terlalu tinggi. Berdasarkan apa yg kak su perolehi dari cerita teman-teman, sebahagian besar dari mrk yg bercerai, diantara suami atau isteri, ada yg mengambil mudah urusan solat.

Ya... semoga kita tidak tergolong dalam golongan "mencuri ketika solat".

Zamz said...

betul ke 80%..tingginya..

suara said...

Zamz...
Betul atau tidak, tak tahulah... Anggaran peratusan itu dibuat berdasarkan tinjauan masa program atau majlis yang beliau hadiri. Dan ianya anggaran utk solat lengkap 5 waktu (tak termasuk yg solat sesedap rasa atau hanya solat bila rasa nak solat je.)

Masjid atau surau adalah tempat utk solat. Kita cuba buat perbandingan kasar dan mudah. Pegi je ke mana-mana masjid di hari-hari biasa. Mana-mana waktu solat. Maksud saya bukan hari raya.

Mudahnya kita cuba ambil hujung minggu, (sbb itu masa yg boleh dikatakan semua org ada waktu terluang), dapat tak 2 saf makmun waktu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib atau Isyak? Kalau perlu, campurkan saf lelaki dan saf perempuan. ada tak memenuhi 10% dari keluasan ruang solat dlm masjid?

Dalam masa yg sama, hujung minggu yg sama, cuba pegi ke shopping kompleks, berapa ramai yg berkeliaran utk benar-benar shopping atau window shopping? Berapa besar surau yg disediakan?

Memang ada yg akan solat walaupun keluar shopping, tapi berapa peratus yg solat lengkap 5 kali sehari? Ada yg solat hanya bila ada kesempatan yg terluang, bukan menjadikan diri sentiasa mencari peluang untuk mengerjakan solat walau sesibuk manapun, walau dimanapun berada.

Membaca artikal ini bukannya saya mahu melihat berapa ramai yg solat atau yang tak solat, tapi saya bertanya pd diri saya sendiri, saya berada didlm peratusan yg mana satu? Utk masa lepas, kini dan akan datang.

Semoga kita semua berusaha utk menaikkan peratusan kecil yg dikatakan itu. Ia menakutkan saya...

Akak said...

Salam Su...

Betul ke Su sampai 80% hurmm tingginya...

tapi kalau diperhatikan mcm ada kebenarannya especially time2 ada Sure heboh, konsert and so on...

Hurmmm sebolehnya cuba memperbaiki diri & solat dan kalau boleh tak mau lerr termasuk dlm peratusan tu..

suara said...

Salam akak.
Hanya Allah Maha Mengetahui sejauh mana benarnya peratusan yg diberikan tu.

Masa ada Sure Heboh, konsert dsbnya, lagilah. Sebab tu lah ada yang mengatakan kita tak patut adakan konsert sbb ia melalaikan. Ada yg sanggup beratur dan menunggu sehingga mengabaikan solat. Bukan itu sj, mengikut kata salah ustaz yg su dgr ceramahnya di masjid Shah Alam, selepas konsert tu, keesokannya boleh tengok banyak botol dan tin minuman keras bersepah. kondom pun ada. Astaghfirullah...

Su tak penah pegi, dan su tak tahu bagaimana situasinya di tpt konsert ataupun tpt Sure Heboh. Sekadar tgk dlm TV je. Itupun dah leka... kalau pegi, tak tahulah.

Bagi Su, lebih baik menjauhi perkara sebegitu sedari awal. Semoga diri kita sentiasa terjaga...

Ibnurashidi said...

Salam kak su..busy yer?lama xnampak..

Bagaimana mencari solat yang khusyuk?

kamar hati said...

salam...tq sudi sggh & tggl jejak kat blog kamar...kamar link ye... :)

setuju dgn kata akak...
"tepuk dada, tanya minda."
"tepuk dahi, tanya hati."

suara said...

Salam ibnurashidi

bz la jugak. tapi bila ada masa mmg kak su masuk jengok sekejap-sekejap. keje perlu diutamakan kerana itu punca rezeki kak su....

Sblm ni pun, kak su pernah masukkan entry ttg solat.

Alahai... ustaz farid ni tanya kak su soalan cepumas... malu le pulak.

Bagi kak su, solat yg khusyuk mesti dtg dari hati yg tenang. Memahami apa yg diucapkan bila berhadapan dgn Allah.

Kak su sentiasa berusaha utk mencapai tahap khusyuk dlm solat. Teringat kisah sahabat Nabi yg mampu khusyuk sehingga sakit ditikam pun tak terasa. Kak su nih... kena gigit semut pun dah rasa terganggu... huhu...

Antara buku yg kak su suka dlm usaha mencari kekusyukan dlm solat ialah Bio Mekanik Solat oleh Dr Yusof Abbas. Menarik bukunya. Banyak ilmu sains yg terbongkar... Mengagumkan!

Zu Ismail said...

suara, terimakasih menyinggah di blog saya... dan terimakasih berkongsi entry sebegini..untuk panduan dan teladan serta peringatan

suara said...

salam kamar...

Tq atas kunjungan balas.
Err... apa lagi yg boleh tepuk erk. :)

suara said...

Azura...
TQ juga utk kunjungan balas. Kita manusia perlu saling mengingatkan, betul tak. Su menulis ni pun, antara tujuan utama adalah utk mengingatkan diri sendiri.

attyfir said...

suara.timakasih singgah di blog saya, dan thanks sbb ingatkan benda2 mcm tu...kekdg kita alpa..dan lalai..

Anonymous said...

kita mmg digalakkan utk saling berpesan, kan? Semoga Ramadhan yg datang, kita perbaiki segala amalan.

echah_syed said...

apapun..tuhan maha megetahui & pengampun..

ade org waktu remaja solat bagai nak rak..tp bila dah tua terbalik laa pulak..alasan dulu tak smpt enjoyzz :(

dulu combi pun mcm su gak..membuat andaian bahawa org yg lepak2 kat shopin kompleks,kat sure heboh,konsert dsbnyer tak solat..

adalah tak benar sama sekali(bkn semua).kebanyakan dari mereka melakukan solat jamak atau menqada solat..

semua terletak pada hati su..hiburan adalah makanan jiwa..jgn smpi kita rase semuanyer rumit :)

kdg2 teori dari pakar motivasi pun bkn bole diambil tanpa berfikir byk kali..kdg2 kajian dorang tidak menyeluruh.

apapun yg baik jadikan teladan,yg buruk mohon dijauhkan :)

wallahualam.

suara said...

Ya... Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengampun.

Lain padang lain belalang... lain
orang lain alasannya. Kata Ustaz Abah "Kalau Allah nak duga kita, Dia boleh berikan kita dugaan dlm bentuk suka ataupun duka..." Mungkin perasaan nak enjoy tu muncul sbb nak uji sejauh mana ketahanan iman masa seronok dgn nikmat yg ada.

Semoga Allah pelihara kita dari segala dugaan yg melalaikan.

Su pun bimbang kalau masa tua (skrg ni pun rasa dah tua sbnrnya, uban pun dan ada 2-3 helai) nanti tetiba Allah beri nikmat yg buat su lupa... Ya Allah... mohon dijauhkan.

Su bukan merumuskan bahawa org yg pegi konsert, atau sure heboh atau yg lepak kat shopping kompleks tu tak solat. Su cuma berkongsi apa yg su baca/dgr je. Perkara yg melalaikan sebaiknya dijauhi. Tak kan nak jama' atau qada solat semata-mata sbb nak hadir majlis sebegitu? Bagi Su, kita perlu utamakan Allah, lebih dari yg lain. Bukannya utamakan yg lain, dan bila berkesempatan atau ada kelapangan baru ingatkan Allah.

Kemudahan (jama', qasar dan qada)yg Allah beri pada kita adalah bersyarat. Musafir (utk jama' dan qasar)dan lupa yg tak disengajakan (utk qada) adalah antara syarat utama.

Kalaulah Su ke tempat konsert atau sure heboh di Stadium Shah Alam yg jaraknya hanyalah 10 minit dari rumah su, dan su jama' atau qada solat (kena pegi cepat sbb nak rebut tempat) dan sbb tak ada tempat yg sesuai utk solat kat sana (surau disediakan sempit dan mungkin penuh sgt), rasanya alasan su tu banyak tak kena. Silap gaya, Allah makin murka.

Hiburan mmg makanan jiwa, tapi jangan 'makan' sampai kita terleka. Kenyang kita ni hanya sementara, kat dunia ni je...

Su tak ambil kajian tu bulat-bulat, su cuma harap... benar atau salah pun peratusan yg diberikan tu, Su berazam utk mengekalkan dan memperbaiki apa yg su pegang skrg ni. Su ni banyak dosa... tapi su mahu jadi kuat untuk setiasa melangkah mencari peluang memperbaiki kelemahan yg ada. Doakan su ya...

Su sayang semua... keluarga dan teman (walaupun ada yg su belum berpeluang utk kenal lagi), su menulis utk mengingatkan diri... dan kalau ingatan itu boleh dikongsi, su mahu melakukannya di sini... di blog ini.