Aug 15, 2008

Hadirnya hanya pinjaman...

"Aku tak boleh gambarkan keadaan aku ditempat Faridah. Aku rasa aku tak boleh hidup tanpa Adi... Aku tak ada sesiapapun di dunia ni kecuali dia." Luah Mimi tiba-tiba selepas usai menunaikan solat Zohor. Wani terkejut.

Mungkin ada kaitan dengan apa yang mereka bualkan awal pagi tadi. Berita seorang teman lama yang kematian suami nampaknya benar-benar mengganggu fikiran Mimi. Surau sempit yang hanya mampu memuatkan beberapa orang sahaja menjadi tempat mereka berehat selepas makan tengah hari.

"Kenapa nak gambarkan pulak? Benda tu tak berlakupun lagi." Wani pelik.

"Aku tahu. Aku cuma cakap je. Aku tak bersedia untuk kehilangan Adi." Lemah. Wani sedar semangat temannya tak sekuat mana. Mudah benar rasa gugah bila bercerita tentang perpisahan atau kematian.

"Kenapa nak fikirkan sangat perkara buruk macam tu. Dah.. Jangan fikir sangat." Wani cuba menyingkir kerisauan Mimi.

"Tak tahu kenapa aku terfikir, tapi aku memang bimbang." Keluhan dilepaskan. Berat. Tangannya melipat telekung sembahyang.

"Bimbang tak bertempat lah kau ni."

"Aku tahu. Aku bimbang sebab aku terlalu sayangkan dia." Katanya sambil merenung jauh. Dinding putih yang berada di depannya di tenung kosong.

"Memang patut pun kau sayangkan dia sebab dia tu suami kau. Tapi janganlah bimbang sampai fikiran kau dah jadi tak menentu pulak." Pujuk Wani.

"Aku cuma terfikir, semenjak aku kahwin dengan Adi, dia banyak bantu aku. Memang seorang suami yang bertanggungjawab. Dia melindungi aku, jaga aku dengan baik, pastikan aku gembira dengan penuhi segala kemahuan aku. Dia dah berjaya buat aku jadi sayang sangat kat dia. Sampaikan aku rasa seolah aku tak boleh hidup kalau dia tiba-tiba hilang dari hidup aku." Luah Mimi panjang.

"Dia jalankan tanggung jawab dia sebagai suami untuk menjaga kau. Tapi itu tak bermakna dia mahu kau jadi lemah. Aku rasa dia pun tak suka kalau kau macam ni. Kau dah terlampau bergantung dgn dia Mimi. Jangan macam tu. Bahaya!" Wani memberikan amaran.

"Akupun tak tahu kenapa aku rasa tak berdaya sangat. Dunia aku cuma di rumah dan tempat kerja. Dan itu benar-benar membahagiakan aku. Tapi kalau dia tak ada, maknanya dunia aku dah tinggal sebahagian saja. Dan bahagian yang satu lagi terasa benar kosongnya." Katanya sambil tunduk.

"Kita perempuan, isteri dan ibu. Memang dunia kita seharusnya di rumah. Dan dengan izin suami, kita berada di sini; bekerja. Itu sepatutnya buat kau lebih kuat. Bukannya makin lemah." Wani memandang Mimi yang masih tunduk, kemudian menyambung;

"Kau tak boleh terlalu bergantung pada dia. Lagipun kau bukan tak ada orang lain. Kau masih ada keluarga walaupun jauh. Kau masih ada kawan-kawan. Kau masih ada aku." Tangannya menyentuh bahu Mimi yang tersandar.

"Memang... tapi masing-masing dah ada keluarga, dah ada tanggungjawab sendiri yang perlu diutamakan. Aku ni siapa? Aku tak boleh bebankan mereka. Tak mahu susahkan mereka dengan masalah aku. Dan kau pun sama. Punya tanggungjawab kau sendiri. Aku tak boleh selalu susahkan kau lagi. Tak boleh! Tak sanggup!" Kata Mimi semakin emosi.

"Habis tu?" Geram. Entah apa yang berada di fikiran temannya sehingga begitu sekali perasaan takut menyelimuti diri.

"Aku tak boleh kehilangan dia, Wani. Setiap kali aku sujud, aku mohon pd Allah, biarlah aku mati dulu dari dia." Kata Mimi dengan mata yang mulai panas. Wani terkejut.

"Ada pulak doa macam tu. Tak elok!" Suaranya sedikit tinggi.

"Tapi itulah yang aku rasa. Aku tak boleh bayangkan kehidupan aku tanpa dia." Matanya berair tiba-tiba. Bergenang. Wani tahu dia tak boleh biarkan Mimi berada dalam keadaan begitu. Kalau terjadi apa-apa nanti, pasti dia akan hilang kewarasan.

Wani merapatkan diri dengan Mimi. Nafasnya di tarik dalam. Mengumpul kata-kata terbaik untuk menanamkan kesedaran pada Mimi bahawa segala yang ada di dunia ini adalah sementara.

"Kau kena ingat Mimi, semua yang ada di dunia ini adalah pinjaman Allah. Kau dah selalu dengar itu, kan?" Mimi diam. Hanya hatinya yang mengakui.

"Mak ayah, suami, adik beradik, anak-anak dan kawan-kawan, semuanya dipinjamkan Allah pada kita. Dia berhak ambik balik dengan cara yang Dia tetapkan. Dia boleh ambik secara kekal mahupun sementara." Kata Wani satu persatu.

"Kekal atau sementara?" Kening Mimi berkerut.

"Contoh mudah. Adi, suami kau tu, adalah pinjaman. Allah pinjamkan dia untuk menjadi pasangan kau. Allah berhak ambik balik dan kau tak boleh halang. Kalau dia tak ambik dengan cara kematian, Dia mungkin diambil untuk di berikan pada orang lain. Dia bukan milik kau. Dia dipinjamkan saja. Dan kalau Allah takdirkan Adi tu diambil dari kau dan diberikan kepada perempuan lain, kau kena terima jugak." Sambungnya lagi.

"Apa yg kau nak cakapkan ni?" Hati Mimi terdetak. Bimbang semakin bimbang. Apakah Wani cuba nak jelaskan sesuatu pada dia? Matanya memandang tepat ke wajah Wani.

"Jangan lah tension. Aku bagi contoh je. Aku nak kau sedar bahawa terlalu banyak cara Allah nak ambil barang atau orang yang kita sayang. Bukan dengan cara kematian je." jelas Wani. Dia mengutuk diri dalam diam. Adi tak patut di jadikan contoh. Dah lain pulak yang Mimi fikirkan. Mudah benar perempuan ni jadi gelabah bila sebut tentang Adi.

"Aku ingatkan kau tahu sesuatu tentang Adi yang aku tak tahu." Mimi mengurut dada. Lega. Dia kembali bersandar.

"Tak de lah macam tu. Aku cuma nak kau faham, kau tak boleh terlalu bergantung pada suami kau sehingga hilang pegangan diri. Kau kena ingat, tempat bergantung kau ialah Allah, bukannya suami kau!" Kata Wani tegas.

"Erm..."

"Aku tahu kau sayangkan dia. Aku tahu kau cintakan dia. Tapi kau kena tahu, kau tak boleh keterlaluan sehingga seolah-oleh nyawa kau ada pada dia. Aku tak nak kawan aku hilang pedoman hanya kerana satu nikmat kasih sayang dari seorang lelaki di tarik balik." Terang Wani lagi. Mimi masih diam.

"Bukan tak pernah berlaku kejadian yang mana isteri gila selepas kematian suami. Ataupun suami yang kehilangan harga diri dan kewarasan selepas isteri lari dengan lelaki lain. Bukan tak pernah jadi ibu menderita murung setelah kehilangan anak. Semua tu jadi sebab hati yang terlalu bergantung pada makhluk yang lemah! Lupa bahawa apa jua yang dimiliki, bukan sebenarnya milik sendiri tapi sebenarnya dipinjamkan oleh Allah." Katanya berkobar-kobar. Semangat berpidato masih tersisa walaupun dunia itu telah lama di tinggalkan.

"Aku tahu..." Pandangan Mimi sedikit terbuka.

"Tahu saja tak cukup. Kau kena faham, kena menjiwai. Allah sayangkan kita hambanya melebihi semua kasih sayang yg wujud di dunia ini. Tapi cara kau cakap tadi seolah-olah kau lupa bahawa Allah itu wujud... Allah itu ada... Allah itu berkuasa.... Jangan sesekali gantungkan harapan hanya satu makhluk Allah yang lemah, yang boleh diambil bila-bila masa saja oleh Allah. Tapi bergantunglah pada Dia yang Maha Kekal." Wani terbayang wajah Tok Wan. Mengulang kata-kata yang pernah singgah di telinganya lama dulu. Saat dia kehilangan ayah, saat dia ditinggal ibu.

"Salahkah aku kalau menggambarkan sayang dan cinta aku dengan cara begitu?" Mimi bertanya perlahan.

"Banyak lagi cara lain kau nak gambarkan kasih sayang kau tu." Kata Wani lagi.
"Erm..." Fikirannya sedikit tenang, walaupun masih ada sisa bimbang yang bertapak.

"Sebaik-baiknya kau berdoa agar kasih sayang sentiasa kekal memberikan kekuatan tak kira apa pun yang ditentukan oleh Allah di masa depan. Doakan agar cinta antara kau dan dia sentiasa terpelihara. Semoga nikmat kesihatan yang Allah berikan pada kalian berterusan. Dan banyak lagi yang boleh kau doakan selain dari doa mintak Allah tarik nyawa kau dulu sebelum dia..." Jelas Mira.

Mimi masih diam. Hatinya mula mengiyakan apa yang dikata Wani. Mula rasa yang tadi dia sedikit keterlaluan memikirkan kemungkinan yang entah bila akan berlaku. Mula tahu bagaimana cara nak membetulkan fikiran yang tersasar.

"Aku nak kau fikirkan balik apa yang aku telah cakapkan tadi. Jangan biarkan kasih sayang dan cinta kau tu menjadi punca diri kau jadi lemah. Jangan sampai perasaan kau menyesatkan diri dan akidah kau tanpa kau sedari. Jangan bergantung pada manusia, tapi bergantunglah pada Allah. Ingat tu." Katanya sambil memegang tangan Mimi buat seketika.

"Dah lah... Rehat dah nak abih ni. Jom... sambung kerja..." Ajak Wani sambil bangun mencapai tudung untuk dipakai.

8 comments:

Akak said...

Salam Su...

Boleh atau tidak kita tetap kena terima hakikat bahawa suami, isteri, anak2, ibubapa, adikberadik hanya dipinjamkan oelh Allah buat seketika, bila tiba masanya diambil semula..

Sentiasa berdoa agar diri kuat menerima & menghadapi kenyataan bahawa satu hari nanti kita akan meninggalkan/ditinggalkan..

suara said...

Salam akak...

Seharusnya kita terbuka untuk menerima apa jua keputusan Allah, kan? Kita telah hidup dgn apa yg Allah pinjamkan, dan kita kena bersedia utk teruskan hidup jika pinjamanNya di tarik balik.

Su pun sama. Selalu berdoa agar diri kuat menghadapi apa jua dugaan kehilangan.

Tie said...

Salam su, tie pun pernah terfikir macam mimi,malah tie ni tak bekerja pun. Setiap kali tie berdoa agar dipanjangkan umur hubby, biar tie yang pergi dulu walau terasa malu pada tuhan kerana amalan sejemput je..

suara said...

Salam tie...

Ramai antara kita berfikiran macam Mimi, Tie. Tapi rasanya Tie tak macam tu lagi, kan?

Semoga kita mampu memanfaatkan masa yg Allah berikan untuk menambah amalan, seiring dengan umur yg juga semakin meningkat.

Ibnurashidi said...

Dunia hanya sementara..umur hanya seketika, barang pinjaman sudah tentu akan dipulangkan kepada empunya..Oleh itu, saling ingat mengingati sesama kita itu amalan mulia, malah digelar sebagai manusia yang cerdik pula selalu mengingat akan kematian..setiap detik yang berlalu tidak akan kembali walau sesaat cuma..

Semalam, seorang Mahasiswa belajar di Shoubra, Mesir telah meninggal dunia kerana diserang sakit paru-paru..beliau bernama Azuan berasal dari Terengganu merupakan seorang yang aktif membantu persatuan dalam merencana setiap program induk disini..sedekahkan al-Fatihah kepada beliau.. :(

^aNgRiAni^ said...

dunia hanya pinjaman kan su...
sayu jer baca n3 su nie...

have a nice weekend su :)

suara said...

Kematian... ramai yg tak ingin mengingatinya dalam ertikata yg sebenarnya. Selalu mengingati mati, insyaAllah akan melembutkan hati, membuatkan diri takut utk terus melakukan dosa.

Al-Fatihah untuk arwah Azwan. Berbahagialah dia kerana telah tamat tanggungjawab sbg hamba dan khalifah Allah di bumi sementara. Berbahagialah dia kerana dgn kembalinya dia ke sisi Allah, bermakna dia tak akan menambah lagi dosa. Berbahagialah dia kerana meninggal disaat sedang berjihad menuntut ilmu. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan hamba Allah yang dikasihi.

Bila agaknya giliran kita? Bagaimanakah bentuk dan cara kematian yg bakal kita hadapi? Ya Allah... hidupkan aku dlm iman, matikan aku dlm iman, bangkitkan aku bersama-sama iman...

suara said...

riani...
ya... apa jua yg ada di dunia ini hanya pinjaman. Tapi kita sering lupa sehingga ada masih kekal mengikut dialog P.Ramlee dalam lagu madu tiga... "dunia ini ana yg punya..."