May 27, 2019

Utamakan Yang Afdhal

Utamakan yang Rasulullah amalkan. Itu lebih afdhal.

"Ramai yang terlalu ghairah dengan amalan yang diajar oleh ustaz atau ustazah masing-masing. Saya tak kata salah, cuma selidiki dulu dari mana sumbernya." Tekun saya mendengar patah perkataan yang keluar dari mulut ustaz.

"Kadang tu ianya dari hadis dhoif atau hadis mungkar. Kadang tu ianya dari ajaran guru-guru terdahulu. Ada jugak yang dari mimpi. Kalau itu sumbernya, tinggalkan dulu. Utamakan apa yang diamal oleh Rasulullah. Ikut apa yang disebut dari hadis soheh dan Hasan." Erm... Saya pun dulunya tak pernah selidik ajaran untuk mengamalkan sesuatu itu dari mana sumbernya.

"Contohnya ustaz?" Soal salah seorang jemaah yang hadir.

"Solat sunat tasbih dan solat sunat tahajjud. Mana satu yang dilakukan oleh Rasulullah?" Tanya ustaz kembali.

Diam. Tak berani nak menjawab.

"Solat sunat tahajjud tak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah. Itu dari hadis soheh. Sedangkan solat sunat tasbih, ada pertikaian tentangnya. Ada yang kata ianya soheh, ada ulama yang mengatakan ianya dhoif." Semua memasang telinga. Penuh perhatian.

"Mengerjakannya mendapat pahala, Insya-Allah kerana ia adalah ibadah. Tapi sebaiknya, amalan yang Rasulullah buat, kita perkemaskan dulu. Solat sunat tahajjud, witir, rawatib dan lain-lain lagi. Itu antara amalan baginda yang jelas dilakukan dan tak ada perbahasan tentangnya." Penerangan yang cukup jelas.

Tangan ligat mencatatkan sesuatu.

Terasa benar diri ini kekurangan ilmu.
Kitab hadis terlalu banyak. Walau ada yang dialihbahasa tapi bimbang pemahaman berbeza. Ada juga kitab dengan bahasa yang tak mampu difahami.

Kerana itu, harus ada seseorang boleh dirujuk. Pastinya ustaz atau ustazah yang punya kepakaran dalam ilmu berkaitan.

Ilmu harus dicari bukan dinanti. Berguru sebaiknya secara berdepan kerana senang nak mintak penjelasan. Agar apa yang didengar tak disalahfaham.

.....

"Bukan dia seorang je ustaz di Malaysia nih. Ramai lagi yang boleh dirujuk. Jangan kerana dia cakap begitu, pendapat orang lain semua salah!.." Saya terdiam saat cuba berkongsi apa yang diajar.

Tak punya kekuatan untuk membantah, tak punya ilmu untuk berhujah. Ahh... Kerdilnya diri.

.....

"Jangan rujuk dengan satu sumber, jangan terlalu bergantung dengan Mr Google, jangan terlalu fanatik dengan seorang sahaja guru agama atau ustaz. Banyakkan belajar, banyakkan berguru. Mohon petunjuk dari Allah selalu. Berdoalah setiap kali melangkah mencari ilmu. Insya-Allah, kita tak akan salah haluan." Pesan salah seorang dari ustaz yang pernah saya ikuti kuliahnya.

......

"Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut [menjadi tinta], ditambahkan kepadanya tujuh laut [lagi] sesudah [kering]nya, niscaya tidak akan habis-habisnya [dituliskan] kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." Surah Luqman, ayat 27.

Apa yang saya belajar tak sampai pun satu titik dari ilmu Allah yang Maha Luas.

Allahuakbar!

#notakuliah
#muhasabahdiri
#sakitnyatudisini
#BDC2019

No comments: