May 4, 2014

Saat itu

Dia semakin hampir...
Teramat dekat sehingga takut untuk mengelipkan mata. Bimbang andai mata ini tidak mampu dibuka lagi. Datangnya tanpa siren amaran, tanpa loceng pemberitahuan.

"Pak cik mat tu... dia mengurut anaknya yang kononnya masuk angin, sudahnya dia kata nak berehat kejap, terus dia rehat selamanya... Mudah sungguh." Cerita mak pada saya beberapa tahun dulu.

"Si suami basuh pintu kereta sebelah kiri, si isteri pulak basuh sebelah kanan. Rancak bercerita dan berborak, tetiba senyap dan dengar macam ada benda jatuh. Bergegas si isteri jengok, ingatkan ada dahan menimpa suami tersayang, rupanya jasad suami yang dah terlentang. Itu lah dia... Malaikat maut datang tak mengira masa..." Cerita Ustaz jemputan dalam tazkirah ringkas sempena Hari Keluarga anjuran syarikat.

"Lepas je tengok tv, dia masuk bilik nak tidur. Kami yang masih duduk bersembang kat luar ni tetiba dengar macam dengkuran kuat dari dalam bilik. Sekali je bunyinya... Bila masuk, kami tengok Abg Din dah takde..." Saudara jauh sebelah atuk rancak bercerita.

Andaian yang dibuat sama saja. Kematian mengejut. Meninggal kerana sakit jantung.
Saya? Anda? Giliran kita bila ya? Bagaimana cara?
Sshhh.... Rahsia!

Hanya Allah yang tahu. Tapi Allah dah bagi amaran sebenarnya, cuma kita saja yang buat tak tahu. Rambut yang telah bertukar warna, kulit yang telah kurang anjal dan merekah, penyakit yang satu persatu datang menyinggah.... Bukankah itu peringatan bahawa hampirnya kita dengan kematian?
Y Allah... Alpanya aku dengan peringatan yang Kau turunkan...

Tuhanku.... Bangunkan aku sepertiga malam, kuatkanlah semangat dan badanku agar dapat aku sujud padaMu Ya Rahman. Lembutkan hati dan jiwaku agar dapat aku menitiskan air mata penyesalan... Aku dambakan ketenangan yang berterusan dengan rasa kecintaan padaMu yang tiada bandingan....