Dec 22, 2009

Rayuan di keheningan pagi...

"Salam kak. Saya nak tanya ni." Tiba tiba pc saya memaparkan IM dari teman sepejabat.

"Salam. Apa?" Tangan saya menaip laju, sambil meneruskan kerja yang semacam tak surut. Apatah lagi menjelang akhir tahun begini.

"Doa qunut tu kalau tak baca tak pe ke?"

"Ngapa? Tak baca ke?" Balas saya menduga. Fikiran saya mula ligat mencari jawapan. Mengingati apa yang pernah disampaikan pada saya. Kabur.

"Baca. Cuma keliru sebab ada orang yang tak baca doa qunut."Jelasnya.

"Doa qunut tu tak wajib dan tak berdosa kalau ditinggalkan. Tapi sebaiknya baca la sebab ia sunat yang amat digalakkan." Jawab saya. Penjelasan dari orang biasa yang pengetahuan agama setakat perkara asas saja.

"Kalau tak baca pun tak pe lah ye!?" Tanya Lela lagi mencari kepastian.

"Tak nak baca ke?" Soal saya padanya, tanpa mengesahkan apa yang ditanya.

"Baca la. Cuma hairan sebab susah benar nak dapatkan maklumat tentang doa qunut dalam internet." Itu rupanya yang menyebabkan dia bertanya.

"Ye ke? Kalau macam tu, cari je buku." Jawab saya mudah. Masa yang terhad di office membuatkan saya tak malas nak bermesra dengan Pakcik Google dan Makcik Yahoo.

Hakikatnya, saya tak tahu bagaimana nak mengemukakan hujahan tentang isu doa qunut. Aduhai, memang ianya kelemahan diri.

Kemudian, Allah menghulurkan bantuan buat saya 2 minggu lepas. Masjid Shah Alam menjemput Ustaz Farid Ravi Abdullah untuk mengisi slot Bicara Ad-Din. Beliau ada menyentuh sedikit tentang isu doa qunut. Allahuakbar! Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia segera sediakan jawapan buat hambaNya ini melalui mereka yang arif dan berilmu.

Pagi itu Ustaz Farid berkongsi kisah;

"Ada seseorang sms saya bertanya tentang doa qunut:
'Assalamualaikum ustaz, Saya nak tanya, kalau tak baca doa qunut berdosa tak?'

Saya jawab, 'Doa qunut tu hukumnya sunat, dan kalau tak baca, tak berdosa.'

Dia tanya lagi, 'Kalau lupa doa qunut, kena sujud sahwi kan? Kalau lupa sujud sahwi, berdosa tak?'

Saya jawab la, 'Qunut tu sunat, sujud sahwi pun sunat, kalau tinggal atau tertinggal, tak berdosa.'

Dia tanya lagi, 'Kalau tak baca qunut dan tak sujud sahwi, sah tak solat yang dibuat tu?'

'Solat tu sah.'

'Tak berdosa lah ye kalau tak baca doa qunut pun?'

Saya jawab 'Yang berdosa ialah kalau tak solat langsung!'" Dewan seminar penuh dengan tawa buat seketika. Kisah soal jawab yang simple tapi penuh sindiran dan kesedaran. Kelihatan para jemaah khusyuk mendengar buah bicara dari Ustaz bersuara merdu yang seringkali muncul dalam rancangan Tilawah Interaktif, TV1.

"Yang membezakan antara solat subuh dengan doa qunut dan tanpa doa qunut ialah dari segi lebihnya pahala yang diperolehi. Ibarat duit RM50 dan RM10, dua-duanya sah diperlakukan untuk jual beli, tapi tentulah lebih besar nilai RM50 berbanding dengan RM10. Begitu juga dengan solat subuh bila di baca doa qunut dan tanpa doa qunut. Mana yang kita nak? Kalau duit, semua orang akan cakap nak RM50, kan? Kalau macam tu kenapa bila soal solat, kita nak pilih yang nilainya seolah RM10 je? Rugi, kan?" Perumpamaan yang cukup cantik.

Sambungnya lagi.
"Fahami erti doa qunut, hayati maksudnya dengan penuh perasaan, pasti kita tak akan ambil mudah amalan sunat yang besar sekali kesannya dalam kehidupan kita. (Kemudian Ustaz bacakan ayat pertama doa qunut) Maksudnya, 'Ya Allah, pimpinlah aku bersama orang yang Kau pimpin...' kita mintak pada Allah agar kita jauh dari segala keburukan, terjaga dari melakukan kesilapan, sentiasa bersama dengan mereka yang diberi petunjuk oleh Allah."

"(Ustaz bacakan ayat seterusnya) Maksudnya, 'Afiatkan aku bersama orang-orang yang telah Engkau berikan keafiatan...' Dengan doa qunut, pagi-pagi lagi kita mulakan hari dengan berdoa kepada Allah agar dijaga kesihatan kita, dipelihara roh dan jasad kita dari penyakit, dan kita berada bersama orang-orang yang sihat. (Ayat doa qunut seterusnya dibaca lagi) Maksudnya, 'Anugerahilah daku seperti orang yang Engkau anugerahi...' Kita mohon kelebihan dan kejayaan dalam apa juga yang dilakukan. Anugerahkan kita dengan nikmat yang melimpah ruah, seperti mana yang Allah berikan pada mereka yang kita lihat banyak sekali kelebihan yang kita ingini." Suaranya lantang menusuk ke hati. Dalam diam saya menilai ibadah yang saya lakukan sebelum ini. Berbicara dengan Allah saban waktu dan saban hari, namun sejauh mana saya menjiwai apa yang meniti dibibir ini? Ampun Ya Allah...

"Sebenarnya banyak yang kita minta dari Allah bila kita baca qunut dan Allah menunggu untuk memperkenankan doa kita. Jadi, kenapa tak baca? Bila mahukan sesuatu, tak nak berdoa pada Allah, macam mana tu...?" Katanya kesal.

Sesungguhnya doa qunut itu ibarat rayuan diri pada Allah Yang Maha Memiliki.... rayuan yang harus difahami dan di hayati....

"Kalau kita ke tempat yang tak baca doa qunut, seperti di Mekah, patutnya kita baca atau tak?" Tanya seorang jemaah yang hadir.

"Kita kena faham, kita pengamal mazhab apa. Dan bila kita ke Mekah, kita gunakan mazhab apa. Di Malaysia, kita pegang mazhab Shafie. Membaca doa qunut dalam solat subuh amat digalakkan. Ada sekali, Imam Shafie ke satu Masjid, yang mana di dalamnya ada kubur Imam Hanafi. Mereka tahu yang Imam Shafie dan pengikutnya mengamalkan doa qunut ketika solat subuh. Bila beliau mengimamkan solat Subuh, didapati beliau tidak membaca doa qunut." Ustaz Farid menjawab. Tenang sekali suaranya mengatur buah kata.

"Lalu seorang makmum bertanya, 'Kenapa tuan tak baca doa qunut?'
Dijawabnya, 'Aku menghormati tuan tempat ini.'
Kita lihat bagaimana seorang yang begitu tinggi ilmu dan kedudukannya, tapi bila dia satu tempat yang mana pengikutnya adalah mazhab lain, beliau menghormati kebiasaan mereka, sekalipun Imam Hanafi masa tu telahpun meninggal dunia."

"Jadi sekarang, dah tahu kan apa yang patut kita lakukan berkenaan doa qunut...?" Ustaz menutup topik selingan dengan soalan yang mana dia yakin jawapannya ada di fikiran masing-masing.

Kalau kita ke Perlis, bagaimana ya? Tiba tiba satu soalan menerpa minda saya.
'...Di Malaysia, kita pegang mazhab Shafie...'
Bukankah Perlis tu kan sebahagian dari Malaysia. Kenapa ada yang berani mencari kelainan dan mengubah apa yang telah dipersetujui? Hmm... Saya tak layak untuk berhujah panjang tentang isu ini. Sekadar berkongsi sedikit dialog yang bermain di minda sendiri.

Di celah-celah tirai yang menghiasi bilik seminar itu, saya melihat sinar pagi telah mula menyimbah bumi. Itu bermakna, masa sudah hampir tiba untuk kami bersurai dan melangkah meninggalkan bilik seminar. Saya berfikir, alangkah baiknya jika Bicara Ad-Din hari itu mampu dilanjutkan sehingga 2 atau 3 jam lagi... Di luar sana, wajah-wajah ceria peserta kursus perkahwinan sedang menunggu giliran untuk menggunakan bilik seminar.

Nota : Bagi yang mahu menyemak doa qunut yang di baca dan tak berkesempatan untuk membeli buku, boleh rujuk bacaan Doa Qunut di sini (klik).
Baca juga kupasan tentang doa qunut dan Imam Syafie oleh Ustaz Mohd Amin.