Sep 30, 2018

Jalan Ke Syurga - 6


Sungguh bagai di kata... hanya mengambil masa sesaat untuk terluka, tapi mengambil masa yang lama untuk menyembuhkannya.

Bagai memujuk anak kecil, kata2 yang diluahkan kedengaran agak janggal bila diaplikasikan dalam keadaan sekarang. Tapi biarlah, tak salah jika mencuba, kan?

Faham benar apa yang dirasai. Kerana bagi wanita yang sama-sama bergelar isteri, lebih mudah menyelami hati.

"Sabar ya ma...." tangannya masih dalam genggaman. 

"Su tak mahu pertikaikan siapa yg betul atau salah dalam hal ni. Dah nak jadi, tak perlu perkara besar pun untuk jadi penyebab." Pandangan matanya di tundukkan. 

"Ma.... Ma maafkanlah ayah ya.... dan mintak ayah supaya maafkan ma jugak. Bukan sebab ianya salah siapa2. Tapi maaf tu perlu untuk pulihkan keadaan..." Merayu dan merayu. Aduhhh... payah sungguh untuk menghuraikan. 

"Boleh kan ma? Lupakan apa yang dah terjadi. Kalau sakit tu ada lagi, katakan dalam hati, niatkan apa yg ma buat tu kerana Allah... kerana matlamat akhir kita adalah syurga...." semoga ungkapan itu mampu menurunkan suhu hatinya. 

"Su bukan nak ajar ma pasal hidup. Cuma bila hati tengah panas, kita mudah lupa apa sebenarnya yang kita nak."

Ma masih diam. Aduhai... sukar nak dijangka apa yang berlegar difikirannya. Tapi diamnya itu memberi harapan. Diamnya itu mungkin kerana sedang cuba menghadam apa kata-kata yg dilimpahkan tadi.

"Su pun bukannya tak pernah gaduh. Tapi setiap kali Su marah atau sedih, Su ingat harapan ma dan ayah utk lihat kami bahagia. Su istighfar dan maafkan dia." Mana ada hubungan yg sempurna dlm rumahtangga. Tapi dia lelaki yang dipilih untuk memenuhi ruang hati dan menyandang gelaran suami, yang mana akad telah dimeterai, ikrar janji untuk susah senang sama2 dihadapi, jadi seharusnya apa jua dugaan yg datang, seboleh mungkin harus bertahan. 

"Lelaki payah nak mintak maaf ma, apatah lagi bila dia rasa dia tak salah. Tapi biarlah... Su yakin sangat2, yg Allah akan bantu hilangkan rasa sakit, marah dan sedih dalam hati, bila kita niatkan segalanya kerana Allah." Bimbang benar jika disangka cuba mengajar, sedangkan pahit manis kehidupan sendiripun belum cukup asam garamnya. 

"Malam ni, ma tenangkan hati ya. Istighfar banyak2... baca bismillah bila masuk bilik... baca ayat yang kita selalu baca dalam sujud terakhir solat tahajjud. Mohon Allah buka jalan keluar dari masalah ni..." pesanan demi pesanan diulang, ibarat seorang ibu menasihati anak yang nak masuk exam.

"Niatkan semuanya kerana Allah ya ma..." tiada kata yang terkeluar dari bibirnya. Nafas ditarik dalam, seolah mencari kekuatan yang hilang, dan keluhan berat dilepaskan, seolah cuba melepas keluar bahang yang menyesakkan.

"Sekarang... ma masuk bilik dan tidur ya! Percayalah... ayah dok tunggu ma masuk tu. Esok, bila ma bangun, in shaa Allah, hati ma akan tenang dan segala perasaan negatif dalam hati ma akan hilang lenyap." Bahunya disentuh mesra. Andai ada aura positif yg boleh dialirkan, nescaya disalurkan kekuatan sebagai bekalan. 

Adakala bila hati terusik dan terluka, jangan dikaji siapa yg memulakannya, jangan diselidik ianya salah siapa. Kerana ia hanya akan memudaratkan lagi keadaan yg sedia ada. Kita hanya perlu memandang ke depan, membetulkan semula matlamat yang tersasar, mengilatkan kembali niat yang mungkin pudar. 

"Su sayang ma dan ayah... Su nak kita sekeluarga kekal bahagia sampai ke hujung nyawa, sehingga ke syurga... in shaa Allah..." Perlahan susuk tubuh tua itu ditarik, dipeluk kemas dengan iringan mata yang mula basah. 

Moga dengannya, kusut yang menyesakkan dada dan minda dapat dirombak.

Ma meleraikan pelukan. Dengan wajah yang mulai jernih dan pandangan mata yang membayangkan kegugupannya, perlahan2 dia menggagahkan diri untuk bangun. Ibarat pengantin baru yang mahu melalui malam pertama, ma memulakan langkah menuju bilik yang terbuka dengan seribu satu rasa yang tak mampu digambarkan dengan kata2. 

Langkahnya diiringi doa. Suami yang tersandar di ruang tamu mengangguk dengan senyuman.

Langsir diselak perlahan dan daun pintu pun ditutup. 

Ya Allah... permudahkan urusan mereka.

~♡ bersambung ♡~

No comments: