Subuh penuh debaran.
Hening subuh yang sesekali dihiasi suara penghuni alam bergema seperti hari2 yang biasa. Ayam jantan yang akur dengan rutinnya, berkokok sambung menyambung. Burung tekukur dan ketitir peliharaan ayah juga galak bersembang.
Itu belum lagi dicampur dengan sapaan kambing dan lembu yang sudah bersedia untuk bersarapan. Kucing singgahan yang entah dari mana asal rumahnya sesekali kelihatan mengintai sambil bersuara sayu meraih simpati.
Seketika, bunyi enjin motor ayah memasuki laman rumah kedengaran. Balik dari subuh berjemaah di masjid tentunya.
Entah kenapa bunyi2 itu kedengaran merdu pagi ini. Pasti ada khabar baik yang mahu disampaikan.
Di dapur, bunyi kuali dan senduk kedengaran bercanda seperti biasa, setelah berehat beberapa hari.
Senyuman berbunga. Hati berbisik syukur yang tak terhingga.
Di sudut rehat ayah yang biasa, kelihatan dia leka membelek kitabnya. Air teh dan roti telor bersalut gula sedia terhidang di meja. Bau yang menyelerakan. Kueh ringkas kegemaran ayah.
"Air dengan roti dah siap ni. Mari lah." Ajak ma. Lembut.
Ayah segera bangun menuju meja makan. Tindak balas yang jelas menunjukkan jalan damai telah ditemui. Alhamdulillah....
Ma duduk di kerusi sebelah. Air teh ayah yang masih berasap dicampur dengan sedikit air putih, untuk mengurangkan kepanasannya. Kalau terlalu panas, ayah memang tak boleh minum.
Berbeza dengan ma yang suka teh panas. Tapi perbezaan itu tak langsung menyusahkan ma untuk menyediakannya.
Ayah dan anak, kebiasaan dan kecenderungannya sama. Air teh yang suam untuk alas perut dipagi hari.
"Ayah dah beli nasi berlauk ni. Ayah beli lauk ikan untuk Su dan nasi dagang untuk Yom. Nanti bawak makan kat opis." Jelas dengan kegemaran anak menantu.
"Ohh... ye ke? Terima kasih ayah..." Tanpa diminta, itulah yang ayah sediakan setiap kali balik dari masjid. Singgah di kedai mek nor dan beli beberapa bungkus nasi. Kebiasaan yang ditinggalkan hanya bila dipesan. Kalau tak, memang itulah yang akan dibawa balik. Rutin pagi.
"Kejap lagi nak ke pasar, nak cari surat khabar. Sah ada nak apa2 ke?" Tanya ayah sambil memandang ma.
"Beli lauk la sikit. Wie nak makan apa? Beli la apa yang rasa nak makan." Panggilan yang cukup indah. Boleh dikesan dengan mudah.
Confirmed. Segalanya kembali seperti biasa. Syukur Ya Allah.... senyuman suami dibalas. Lega.
Selesai meneguk air, nasi dicapai. Tangan ma dan ayah dicium. Mohon restu pagi untuk keluar mencari rezeki. Mahu cepat meninggalkan mereka untuk menikmati masa berdua, melepaskan rindu cara orang tua. Pasti banyak yang mahu disembang, menyambumg cerita yang tergendala dan ketinggalan...
Tak perlu ditanya apa kesudahan kisah semalam. Yang dilihat sudah cukup jelas jawapannya. Sebak tapi lega. Kegembiraan yang tak mahu ditunjukkan. Keadaan telah pulih seperti sebelumnya.
Bantuan Allah telah sampai pada yang ikhlas meminta, yang meniatkan segala perkara hanya keranaNya. Keyakinan yang tak berbelah bagi.
Sinar mentari dilangit semakin galak menyebarkan cahaya. Indahnya dirasakan lebih dari biasa. Semoga sinarnya kekal menerangi jalan ke syurga...
"Maka Nikmat Tuhan mu yang manakah yang engkau dustakan?" Surah Ar Rahman.
Suara ayah yang sering mengulang bacaan surah itu setiap pagi jelas kedengaran ditelinga....
Kisah cinta mereka terlalu indah untuk diabaikan. Lalu segalanya mahu dilakarkan, agar bila rindu datang bertandang, kisah ini akan dibaca berulang2. Saat cabaran menduga rumahtangga, ia boleh dijadikan azimat cinta yg dibina...
~♡ ...indah... ♡~
No comments:
Post a Comment