Sep 24, 2018

Jalan Ke Syurga - 5


Suram malam tanpa suluhan bulan memang melemaskan. Celik atau pejam, warna sekitar tetap hitam. Sesak nafas bila ada bayangan melintas. Cemas. 

Suram di hati juga sama. Bayangan ngeri tentang segala kemungkinan terus bertandang. Silih berganti.

Walaupun berpuluh tahun menyemai kasih dan sayang, tapi tak mustahil ia akan hilang dek salah faham yang tak dapat dihuraikan. 

Gelisah melihat ma yang tak mahu mengalah. Cemas. Lemas. Terasa seolah udara malam ini kekurangan oksigen.

Aku tak berganjak. Kalau perlu tidur di sofa ini dengan ma, akan kulakukan. Biar ma rasa tak selesa bila aku menempel dengan dia dan membiarkan anaknya, suamiku lena sendiri. 

"Ma... Su suka sangat tengok ma layan ayah. Jaga makan minum ayah, teman ayah pegi mana2 dan bercerita semua perkara dengan ayah." Aku menyambung bila sunyi kembali menyelimuti. Ruang untuk aku berkata2 terbuka luas. Mampukan aku untuk menyentuh hati dan mindanya?

Ya Allah... Tolong.... 

Terbayang di mata, segala layanan istimewa ma pada ayah.... Isi ikan dicubit, diasingkan tulangnya dan diletakkan di pinggan ayah. Persis memberi makan pada dimanja yg belum pandai makan sendiri. 

Ma sentiasa memasak lauk kegemaran ayah, kadang tu sehingga mengabaikan keinginan sendiri. 

"Hari ni ayah ada majlis kat masjid, bolehlah ma masak singgang ikan, makan dengan ikan pekasam!" Berselera ma makan. Bertambah2. Sesekali berpeluang juga memenuhi keinginan sendiri.

Daging panggang akan dihiris nipis, untuk memastikan ayah dapat makan dengan mudah.

"Uishh... tebal nih... Ayah tu gigi tinggal beberapa batang je tapi nak jugak makan daging. Kena hiris nipis sama macam nak bagi makan kat budak2 la jugak... Bak sini, biar ma je buat..." katanya sambil mengambil pisau dari tanganku dan mula menghiris.

Aduhai, layanan ma pada ayah memang superb!

"Ma dan ayah selalu jadi rujukan anak2, adik beradik, sedara mara, jiran2 dan kawan2. Su kagum. Memang contoh terbaik bagi Su. Pasangan yang ideal." Mengumpan lagi. Cuba menjinak hatinya dengan pujian, menyuarakan seikhlas mungkin pendapatku tentang mereka.

"Su harap sangat, jangan sebab perkara kecik macam ni, ma dan ayah rosakkan imej tu." Sambungku lagi. Sayu....

"Su tak faham hati ma. Sakitnya dah lama. Dah tak boleh tahan lagi dah..." Luahnya memberi alasan. Jelas mendedahkan hati wanita yang terluka. Penuh emosi.

"Su faham ma.... Bila dah lama sangat ma bersabar, sakit tu terkumpul, memang pedihnya lebih dari biasa." Cuba untuk menunjukkan empati. 

"Tapi Ma... hidup kita tak lama. Muda atau tua, sampai masa kita akan mati. Sakit itu tak akan kita bawa dan tak akan kita ingat lagi bila nyawa dah putus dari badan." Dia diam. Mungkin memikirkan ke arah mana sebenarnya perbualan ini nak ku bawa. 

Merenung balik punca pergaduhan ini, membuatkan aku yakin, ia menjadi separah ini kerana hembusan syaitan. Makhluk yang tak senang melihat tenang dalam hubungan, yang pernah bersumpah untuk menarik manusia untuk bersamanya di neraka dengan pelbagai cara. 

"Kita tak tahu di mana kesudahan kita; syurga atau neraka. Semua orang nak syurga. Su pun harap dapat masuk syurga, ma pun sama kan?" Diam. Ma tak memberi apa2 reaksi.

Aku bukan ustazah, bimbang jika salah bicara, akan kedengaran seperti orang yang nak berdakwah.

"Tapi kita dah lama tahu, perempuan paling banyak masuk neraka, paling mudah berbuat dosa. Amalan yg kita kumpul, belum tentu boleh bantu kita masuk syurga." Aku menarik nafas, mencari kekuatan untuk menyambung kata, meluahkan apa yang dirasa. 

Teringat kisah orang alim yang bangga dengan ibadat yang dilakukan, tapi sudahnya ke neraka juga sudahnya akibat terpengaruh dengan bisikan syaitan. Kita...? 

Terasa kerdil. Sebak sendiri.

"Tapi Su tahu cara mudah utk masuk syurga. Ma pun tahu... Syurga isteri terletak pada suami, dihati suami. Jika dia redha dengan kita, in sha Allah, peluang kita masuk syurga cerah..." Tegang wajahnya mula mengendur. Harapan dihatiku bercambah.

"Ma dah hidup dengan ayah lebih dari 40 tahun. Tak kan ma nak lepaskan peluang masuk syurga hanya kerana hal sikit tu..." Sayu... Ma tunduk. Tak ada tindak balas. 

Mungkinkah ruang untuk dia berfikir tanpa dikawal emosi mula terbuka?

Harapnya begitu....

~♡ bersambung ♡~

No comments: