“Esok akak akan bertolak ke Mekah, nak buat umrah…” Bisiknya
ke telingaku dengan senyuman lebar. Aku ternganga, terkejut dan teramat teruja.
Terasa baru setahun dua yang lepas dia ke sana, kali ni ke sana lagi? Ya Allah…
kerapnya Kau menjemput mereka kerumahMu. Aku cemburu.
Kak Faridah dan Abg Aziz, mereka ku kenali hampir sepuluh
tahun yang lalu, saat diri ini mula belajar bertatih mengisi masa dan hati yang
kosong di rumah Allah. Masjid biru yang tersergam indah itu dihampiri dalam
usaha mencari pengisian dalam kehidupan yang di rasakan amat suram, kurang dan
kosong. Ada sesuatu yang tidak kena, ada aturan yang tak sempurna.
Mendaftarkan diri dikelas pengajian bersijil Masjid Shah
Alam menemukan aku dengan sahabat-sahabat yang berbeza usia. Mereka berada
diperingat kematangan yang amat mengagumkan, penuh dengan pengalaman kehidupan dan memiliki segalanya.
Tapi kami mempunyai matlamat yang sama; mencari ilmu agar kami lebih dekat
dengan Allah dan Rasululllah.
“Su nak panggil apa ya?” Awalnya terasa sedikit janggal bila bergaul dengan mereka. Perbezaan usia dan latar belakang paling ketara. Ramai yang telah pencen sedangkan diri ini belumpun sampai sedekad bekerja.
“Panggil apa-apapun boleh, panggil kakak pun boleh, nak
panggil makcik pun tak pe.” Katanya tersenyum.
“Su panggil kakak lah ye. Biar akak rasa muda…” Usikan
pertama dengan senyuman paling manis cuba diberikan. Dengan usia begitu, jelas
mereka hanya sedikit muda dari ibu mertuaku sendiri.
Habis pengajian bersijil, kelas khas kami mohon diadakan
dengan guru pembimbing, ustaz Burhan. Pelajarnya kebanyakannya adalah suami isteri
yeng telah pencen. Aku dan suami adalah pelajar yang paling muda.
Alhamdulillah, diberikan ruang oleh Allah untuk bersama di majlis ilmu walaupun
siangnya kami sibuk dengan tugasan.
Semenjak mengenali mereka, hidup terasa begitu terisi. Siang
sibuk dengan kerja, malam dipenuhi dengan pengajian dan kemudian bersembang
sambil membuka bekalan makanan yang disediakan Kak Faridah. Paling tidak, ubi
rebus cicah sambal dan kopi panas. Lebih bermakna dan membahagiakan apabila suami
masing-masing melangkah seiringan disepanjang perjalanan persahabatan ini.
Mereka seluarga tak lokek dan sentiasa cuba meletakkan
tangannya di atas, tangan si pemberi. Bersusah payah menyediakan dan menghantar
“supper” untuk kami yang tergeliat lidah membetulkan sebutan ayat-ayat cinta
Allah… sehinggakan pak guard juga turut mendapat tempias rezeki makan lewat
malam kami. Tak hairanlah jika rezeki Kak Faridah sekeluarga memang murah.
Kak Faridah hanya surirumah. Abang Aziz hanya berniaga
digerai kiosk di tepi tasik Shah Alam, menjual keropok dan minuman. Mereka
bekerja hanya 5 hari seminggu untuk menanggung anak-anak seramai 7 orang. Dan
ketika musim hujan, mereka terpaksa menutup operasi kerasa keadaan cuaca yang
tidak sesuai. Pendek kata, cuti mereka lebih banyak dari kita yang bekerja
makan gaji dengan kerajaan mahupun swasta. Pendapatan mereka mudah terjejas dan
tidak menentu. Tapi segalanya berjalan dengan mudah kerana mereka suami isteri
mengamalkan ‘hidup dengan kadar kemampuan’.
Pandangan luaranku menafsirkan, mereka berjaya membentuk kehidupan
yang sederhana tapi bermakna. Rezeki yang berkat, dari sumber yang jelas dan
halal, menghasilkan anak-anak yang ringan tulang membantu di gerai diwaktu
siangnya, yang sedia memberi sedikit masa untuk mengurangkan aliran keringat
ayah bonda… malah lebih menyejukkan hati bila sesekali ada anak-anak kak
Faridah yang turut menghadiri kelas malam kami, memperbaiki bacaan Quran dan
mendalami ilmu tajwid.
Kak Faridah dan Abg Aziz yang kami kenal tak pernah
bersungut tentang kesusahan hidup, seolah tak pernah ada istilah dugaan
atau cabaran dalam kehidupan mereka.
Bila ditanya, dia akan selalu menjawab; “Mana ada kehidupan
yang tak ada cabaran… mestilah ada ketika untuk merasa perit dan ada masa airmata
tumpah. Tapi, kita kan ada Allah…”
Lalu aku menyimpulkan…. Syukur
mereka selalu lebih sehingga menutupi segala kepahitan yang mereka lalui.
Agaknya kerana itulah, rezeki mereka untuk ke Tanah Suci selalu melimpah ruah,
jemputan Allah buat mereka selalu tiba.
Dalam cemburu, doa dari hati sentiasa
bergema, mengharapkan agar kami juga mampu mengikuti jejak langkah mereka,
hidup dalam ketenangan sehingga tiba masa kami dijemput menghadapNya….
No comments:
Post a Comment