Untuk ke sekian kalinya, aku menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Berdoa agar diberikan idea dan kemampuan untuk melunakkan hatinya dengan pujukan.
Sunyi malam semakin menghimpit. Selalunya waktu begini, kami masih seronok berborak di dapur. Ye lah, siang hari kami sibuk bekerja. Malam ialah waktu untuk semuanya. Bercerita tentang peristiwa semasa, berita suka duka saudara mara, kisah nakal cucu2 yang bahagia dan ada kala merancang agenda dan aktiviti keluarga.
"Masa ma dan ayah bawak Alin pusing2 kat kampung, ma tunjuk la satu binatang tu... tanya dia, apa tu? Lama Alin diam... lepas tu dia cakap... Biru.... Apa? Biru... confident je dia jawab..." rancak ma bercerita.
"Binatang apa sebenarnya tu ma?" Aku teruja. Tertanya-tanya, apa sebenarnya binatang yang di panggil 'biru' itu...
"Biri-biri la..." berderai tawa kami pecah. Kaletah cucu yang baru masuk usia 2 tahun memang menghiburkan.
Kemeriahan itu terpadam kini. 3 hari, rumah ini sunyi sekali. TV pun tak berbunyi. Radio apatah lagi.
Ayah sememangnya tak mesra dengan TV. Berita adalah satu2nya rancangan yang mampu membuatkan dia mahu duduk bersama diruang keluarga. Dia lebih suka membaca akhbar untuk tahu perkembangan semasa.
Biasanya ma yang suka menonton TV. Berita, Buletin Utama, rancangan agama seperti Tanyalah Ustaz dan Hal Ehwal Islam, Discovery Channel dan beberapa rancangan tempatan adalah antara rancangan kegemaran ma. Bila ma tak ada, TV pun turut bercuti sama.
"Ma... jangan la macam ni. Ma tahu tak, ma dan ayah adalah idola Su semenjak Su kenal ma. Ma dan ayah terlalu istimewa bagi Su..." Sebak. Mengingati kembali saat pertemuan pertama kami. Peristiwa dan perasaan tika itu masih jelas terbayang sehingga ke hari ini.
"Adik, mak ayah kawan adik datang ziarah ayah. Balik la cepat!" Kak Dah menyampaikan berita.
"Siapa?" Dahiku berkerut.
"Mana la kak tahu. Dia cuma cakap dia mak ayah kawan adik." Alahai... fikiranku ligat memikirkan siapa orang itu.
Ermm... kalau mereka datang ziarah ayah, kenapa pulak aku yang dipanggil.
Bergegas pulang. Saat menghulur tangan bersalaman, fikiranku masih lagi tak dapat meneka siapa pasangan ini. Mereka tenang bersila dan bersimpuh di sebelah ayah yang terbaring lemah.
"Maaf ya makcik, pakcik.... Err... sapa... err... pakcik makcik ni, mak ayah kawan saya yang mana ya?" Gugup. Sungguh tak dapat meneka. Tak tahu soalan apa yang sesuai ditanya sebagai pembuka bicara.
"Kami ni mak ayah nasrom..." Ternganga. Kaget. Aku pandang kiri dan kanan. Nasrom tak ada pun...
Pertemuan pertama. Mereka datang menziarahi ayah yang ketika itu sakit tenat.
Mereka yang tak pernah ditemui, yang tak pernah dikenali, yang tak kenal sesiapapun ahli keluarga kami, datang seikhlas hati hanya kerana tahu aku berkawan dengan anaknya. Kawan yang hanya pernah sekelas selama 6 bulan ketika ditingkatan satu dan kemudian terpisah, yang hanya berhubung melalui surat2 untuk bertukar soalan2 peperiksaan dan bertemu hanya setahun sekali, itupun semasa kunjungan dihari raya.
Jauh sekali hubungan kami. Memang tak terlintas untuk menerima ziarah sebegitu.
Sebak semakin menyesak dada.
Ma menundukkan pandangannya. Matanya berkaca. Tuala kecil dicapai buat menyapu lelehan air yang tak dapat lagi diseka.
Wanita. Perasaannya terurai dengan airmata.
No comments:
Post a Comment