Dec 13, 2019

Azam lagi

Akhir tahun dan awal tahun tak memberikan apa-apa perbezaan pada saya.

Apatah lagi bila azam tahun² sebelumnya tidak mampu disempurnakan. Apa yang jelas hanyalah pertambahan usia dan tanda² penuaan yang semakin ketara setiap kali nombor berubah.

Lalu atas dasar untuk menghilangkan rasa kecewa yang keterlaluan dek azam yang kecundang, saya menyertai bengkel ini. Mahu mencari kekuatan untuk menghadapi 2020 dengan berbekalkan apa yang telah Allah turunkan; Al-Quran.

Kemudian saya sedar... Bahawa keazaman yang paling utama untuk dicapai bukanlah setakat untuk tahun 2020 tapi kesudahan saya selepas kematian.

Kejayaan azam saya akan diumumkan keputusannya di akhirat. Misi saya ialah menjauhi keperitan api neraka dengan segenap cara. Semoga dengan jauhnya bahang api neraka, akan mendekatkan saya kepada syurga.

Allahuakbar!
Astaghfirullahalazim...

Sempitnya pemikiran saya sebelum ini. Kecewa bila gagal menyempurnakan azam yang pernah dibuat dan kemudian mengabaikan proses memperbaharui azam untuk tahun-tahun seterusnya.

Tak mahu tunggu tahun baru untuk berazam lagi. Azam baru harus bermula serta merta!
Dan perlu diperbaharui setiap masa. Kerana tempoh tamatnya bukan berdasarkan angka tahun, bulan dan hari, tapi bila angka itu tak bergerak lagi. Dengan kata lain, kita telah mati!

Lalu, selagi helaan nafas ini masih mampu dilakukan, selagi itu keazaman itu tak harus padam. Kecewa harus diketepikan.

Allah lebih tahu apa yang layak diberikan berdasarkan kepada tingkat usaha yang telah dilakukan. Tak harus berhenti meminta, tapi saat keputusannya nanti, redhalah dengan apa jua hasilnya.

".... Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali." Surah Hud, 11:88

Lalu, kenapa harus bermain² lagi dengan azam?

Psssttt... Satu lagi azam saya bersama FB; tak mahu tulis panjang² lagi dah... Bolehkah? Akan berjaya kah? 😃

#akademisynergy
#tadabburalquran

1 comment:

Maryam said...

Assalamualaikum