Sep 27, 2008

Syawal oh Syawal...



Salam Ramadhan penuh keberkatan...
Dan selamat bersedia untuk menyambut Syawal yang bakal menjelang.

Ucapan ini saya tujukan buat semua pengunjung blog ini, yang saya kenal dan tak kenal, yang kenal saya dan yang tak kenal saya juga....

Seboleh mungkin saya cuba untuk tidak menyakitkan hati sesiapa, namun saya perlu akur bahawa tanpa saya sedari dan sengajakan, mungkin ada hati-hati yang tercalar akibat kata-kata saya. (Ada ke?)

Lalu sedaya upaya saya cuba untuk melayangkan dan menayangkan permohonan maaf saya di tempat-tempat yg saya selalu singgah. Namun masa dan kesempatan yang ada begitu terbalas. Mungkin saya tak dapat nak berkelana dari satu blog ke satu blog untuk menyusun kata dan memberikan ucapan.

Jadi disini saya ingin melontarkan (macamlah kata-kata tu berketul-ketul, boleh dilempar. hehe...) ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin (standard ucapan dlm kad raya. Biasa lah tu...) kepada semua.

Ini pantun raya yg saya jaja kat rumah kekawan blogger (mana yg sempat je lah... huhu)

Salam Ramadhan penuh keberkatan
Salam Syawal yg bakal menjelang
Andai salah kemaafan dipohonkan
Moga rahmat Allah terus berkekalan.

Ucapan tambahan;
Sebulan Ramadhan dah puasa sakan,
tiba masa nak beraya dan makan,
tapi jangan sampai semua benda nak ditelan,
hanya pesanan, ingat-ingatlah jugaklah kat Tuhan.
(Ingatan untuk saya sebenarnya nih...) ;)

Nota : Tika n3 ini di terbitkan, mungkin saya sedang sibuk mengejar dan memintas ayan dan itek di kampung untuk di jadikan hidangan berbuka puasa. Mungkin juga saya sedang memanggang ikan terubuk bersambal sambil memasak sup kaki lembu (sup gear box).

Ini adalah n3 yang dischedulekan lebih awal. Bukan apa, kadang kesibukan kerja datang tanpa di duga dan saya tak mahu terlepas menghantar n3 terakhir dalam bulan Ramadhan ini.

Sep 26, 2008

Kemaafan bonda.

Satu hari di pagi raya.

Mak menarik tangan nenek. Memimpinnya masuk ke bilik. Hairan. Apa yang rahsia sangat sampaikan diajaknya nenek ke bilik. Aku memerhati dengan hujung mata, tanpa bersuara untuk bertanya walaupun fikiranku sarat dengan pertanyaan.

"Adik jangan masuk bilik mak dulu ya. Tunggu sampai mak keluar." Pesan kakak yang seolah tahu pertanyaan yang bermain di kepalaku. Dia menyarungkan baju ke tubuhku. Kemudian menyapu sedikit bedak ke muka.

Lamanya.
Itu yang aku rasa. Rasa ingin tahuku makin membuak-buak.

Selesai menyiapkan aku, kakak beredar ke bilik. Aku memandang langkah kakinya yang kemudiannya menghilang di sebalik daun pintu. Pandanganku beralih kembali ke pintu bilik mak. Tak langsung kedengaran apa-apa. Curiga sungguh.

Rasa ingin tahu tak mampu ku tahan lagi. Apa yang aku nak cakap kalau aku tiba-tiba masuk ke biliknya ye? Fikiranku ligat mencari alasan.

Mengintai kakak yang masih berada di bilik kami, aku mengatur langkah untuk masuk ke bilik mak tanpa mengetuk terlebih dulu. Sungguh kurang sopan, tapi rasanya itu akan memberikan aku peluang yang lebih untuk tahu apa sebenarnya yang mak sedang lakukan dengan nenek.

Aku terpaku di muka pintu.

Nenek duduk di birai katil dengan mata yang basah. Mak pula berada di atas lantai sambil jejarinya kemas memegang tangan nenek. Suara mak serak dan sayu... tangisannya beralun bersama bilah kata yang meluncur keluar dari bibirnya yang merah.

"... Halalkan makan minum Som yang mak berikan pada Som sejak lahir, halalkan titis susu yang pernah mak berikan pada Som dulu. Maafkan kekasaran Som kalau ada ketikanya suara Som agak tinggi dari biasa..." Sendunya bersilih ganti.

Aku menutup pintu perlahan.
Tak pernah aku melihat mak menangis seperti itu.

"Adik!!" Panggil kakak bernada amaran bila dia sempat melihat aku memegang tombol pintu.

"Err... Adik nak ambik gelang dengan mak." Aku memberi alasan. Rasa bersalah menyerang diri. Kakak tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Melihatkan kakak yang tak langsung marah, aku memberanikan diri untuk bertanya bagi memuaskan hati; "Kak... Kenapa mak dan nenek nangis?"

"Hari ni kan hari raya. Pagi macam ni, selalunya mak memang akan ajak nenek masuk bilik untuk mintak maaf dengan nenek." Jelas kakak ringkas.

Aku diam.

Mataku kembali menatap majalah di depan mata.

"Mak.. maaf ye kalau saya ada buat salah. Kira kosong-kosonglah ye!?" - Petikan kata-kata dalam salah satu artikel dalam majalah Anis yang membicarakan tentang kemaafan di pagi raya.

Begitukan orang sekarang meminta maaf di pagi raya dengan ibubapa? Aduh... berbeza sekali dengan cara arwah mak. Lembut dan syahdu. Mungkin bukan semua, tapi pasti ada yang mengucapkan kalimah penuh erti itu dengan nada bersahaja dan selamba.

Aku terfikir, andai arwah masih ada, adakah aku mampu lakukan seperti dia? Penuh ikhlas dan begitu berbekas.

Lakukan begitu dengan mak mertua? Ahh... tak mungkin sama perasaannya.

Baru kini aku faham kenapa mak bawa nenek ke bilik. Mahu bersendirian dengan nenek. Untuk mengumpul kekuatan menguasai perasaan. Itu tanggapanku.

Rinduku pada arwah mak terkumpul semenjak 21 tahun yang lalu. Masih sama. Tak mungkin ada pengubatnya. Hanya ingatan pada Allah yang menjadi penawar hati yang lara.

Pandangan mataku kabur oleh air mata yang hampir melimpah. Selamat hari raya mak!

Sep 23, 2008

Antara Sedih Dan Syukur.




Lailatul Qadar.
Sedih. Syukur.

"Malam ni sejuk semacam je. Rasanya mungkin malam ni lah." Kata Haji Jamulus semasa di tangga masjid. Ramai yang menjangkakan malam lailatul qadar tahun ini jatuh pada malam 21 Ramadhan. Itu bisik-bisik yang saya dengar dari makcik-makcik yang saya temui di masjid.

11.45 malam.
Saya menjengok ruang solat di tingkat bawah. Kelihatan ramai sekali pelajar tahfiz yang masih berkumpul, cuba untuk menghabiskan bacaan Quran 30 juzuk dalam masa kurang lebih 24 jam. (Mereka bermula awal pagi. Saya sempat mengikuti bacaan mereka untuk Surah Al-Baqarah sebelum saya beredar untuk meneruskan tuntutan lain yang perlu diselesaikan.)

Malam ini juga, orang-orang biasa seperti saya kelihatan lebih ramai berbanding hari yang lepas. Masing-masing tenggelam dalam alunan bacaan kitab suci dan zikir munajat.

"Ish... Su rasa tak nak tidur je malam ni." Kata saya pada suami sambil langkah terus diatur menuju tempat parking. Dia diam.

"Tapi esok nak bangun awal. Kalau tak tidur, takut pulak tak terjaga terus untuk qiamullail." Tambah saya lagi. Hati berbelah bagi. Nak tidur dan bangun awal atau nak cuba untuk tak tidur. Bimbang kalau saya akan tertidur terus hingga ke subuh lalu terlepas qiamullail bersama adik-adik tahfiz. Bimbang kerana mengejutkan suami adalah tugas saya.

"Sebaiknya tidur dan bangun awal. Nak solat tahajjud kan kena tidur dulu." Saya akur.

12.15 pagi.
Mata cuba dipejam tapi fikiran masih sedar. Tidurlah mata, esok kan nak bangun lagi. Saya memujuk diri.

1.45 pagi.
Terjaga. Ahh.. Masih awal. Jam dikunci pukul 3 pagi.

2.20 pagi.
Tersedar. Tapi badan lemah sangat. Mungkin sebab baru sekejap terlena.

3.00 pagi.
Tersedar oleh bunyi alarm. Bangkit dan terus ke bilik air. Perut rasa memulas. Lama jugak saya bertapa dibilik sempit. 15-20 minit rasanya. Sedangkan masa itu emas.

3.45 pagi.
Sampai di masjid. Qiamullail yang dipimpin oleh pelajar Tahfiz terus bermula.

6.40 pagi.
Pulang awal walaupun ada kuliah Subuh sedang berlangsung. Abang pula sakit perut dan rasa nak muntah. Salah masakan saya agaknya. Saya pun sedikit pening. Kurang tidur barangkali. Balik nanti, tidur pasti di sambung kembali.

9.00 pagi.
Saya tersedar dari tidur. Langit begitu tenang dan suram. Lain sekali suasananya. Mendung tapi tak berawan. Mungkin benar semalam ialah malam keemasan yang ditunggu ramai umat Islam.

Tiba-tiba saya rasa sedih.
Saya tak patut tidur semalam.

Sedih sangat.
Patutnya bila saya tersedar, saya bangun walaupun hanya sekejap saja mata lelap.

Saya punya banyak permintaan dan impian untuk disebutkan pada Ar-Rahman. Dan saya ingin sekali ianya dikabulkan. Mahu ia jadi kenyataan. Saya juga mahu mohon keampunan atas dosa-dosa menimbun yang saya pernah lakukan.


Saya insan yang sering membuat kesilapan. Dan hanya Allah tempat saya mengadu, hanya Dia yang tahu betapa dada saya sarat dengan rasa bersalah dan berdosa atas segala kesilapan yang saya sengajakan dan tidak sengajakan. Saya mahu mohon keampunanNya... mahu minta perlindunganNya. Lindungi saya dan keluarga dari kejahatan dan kelalaian dunia.

Saya mengharapkan Ramadhan ini saya akan temui keajaiban yang sering diceritakan. Melihat pohon-pohon tunduk menyembah bumi mungkin. Agar saya tahu bahawa itulah antara waktu yang Allah tak akan tolak permintaan hambaNya. Dan saya mahu memperdengarkan segala keinginan dan harapan saya.

"Sekurang-kurangnya kau boleh puasa dan solat. Aku nih, cuti terpanjang pulak kali ni. Doa dan zikir je yang aku boleh buat." Kata teman lama yang saya hubungi semalam. Syukur mula mengambil ruang dihati.

Dan hari ini, dalam kesibukan tugasan yang ada, saya mencuri masa menjengah beberapa blog untuk mencari motivasi bagi meneruskan usaha mengejar keistimewaan Ramadhan yang masih tinggal seminggu saja lagi.

Hati saya lega bila membaca tulisan Ustaz Zaharudin.
Syukur Alhamdulillah. Jangan kita bazirkan masa Ramadhan yang masih ada.

'Ya Allah... berikan aku kekuatan dan ketahanan diri untuk meneruskan perjuangan menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya...'
Keazaman. Mampukah saya bertahan hingga ke akhirnya?

Sep 16, 2008

Rezeki yang 'pulang'


Teringat zaman dikampung dulu. Buat satu kueh atau lauk dgn banyak, kemudian akan ada ahli keluarga yang ditugaskan untuk menghantar pinggan yang berisi tu ke rumah jiran dan saudara mara. Selalunya saya le. Balik nanti, pinggan tak kosong. Diganti dengan kueh atau lauk yg lain.

Sudahnya bila tiba waktu berbuka, meja terhias indah dgn makanan yg pelbagai. Rezeki yg 'dipulangkan' memang menambah kemeriahan Ramadhan.

Hidup di bandar mungkin sedikit berlainan. Kesibukan memang membuatkan ramai yang meraih rezeki dan membuang rezeki di bazaar Ramadhan. Tapi itu rezeki masing-masing. Bila ada yang menjual, maka adalah yang membeli. Dan bila ada pembeli, maka ramailah penjual yang mengambil peluang berniaga utk menambah rezeki. Harapnya mereka tak lupa pada Tuhan Yang Maha Pemberi. Merebut peluang untuk mengumpul 'rezeki' utk akhirat juga!

Alhamdulillah, sepanjang 2 minggu lebih berpuasa, hanya sekali saya dan suami ke bazaar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Program ziarah bazaar Ramadhan untuk diri saya tak semeriah tahun-tahun sebelumnya. Saya masak biasa-biasa je, tapi abang tetap berselera.

Keazaman memperbaiki Ramadhan kali ini berbanding dengan yang lepas, membuatkan saya tak berselera nak ke sana. Sungguh ia pemberian dari Allah. Memberikan rasa cukup pada keperluan saya dan mengekang nafsu perut dan mata. Saya tahu susah nak menolak keinginan membeli bila melihat juadah yang pelbagai warna.

Malah selepas terawih pun, sebelum tadarus bermula, saya akan 'berpiknik' dalam 10 minit dgn suami disatu sudut masjid untuk minum dan menyantap baki kuih masa berbuka yang saya bawa bersama. Indah sekali perasaannya. Lebih indah dari piknik di Pantai Irama. Syukur Ya Allah...

'Murei' (betul ke ejaan ni?)mmg disediakan pihak masjid, tapi saya tak pernah sertainya. Memikirkan masa yang nak dipadatkan dan pembaziran yang nak dielakkan, saya memilih untuk berbekal.

Kembali kepada budaya memberi di Ramadhan ini, weekend (2 minggu) lepas saya cuba praktikkan di sini. Minta tolong abg untuk hantar pada jiran-jiran... Dan hujung minggu lepas, saya buat lagi. Menu yang lain pula. Abang masih diberikan tugas yg sama. Menghantar kuih pada jiran-jiran. Tapi kelakarnya, mereka (para suami) bertembung sesama sendiri semasa nak menghantar kueh muih...

Penuh meja saya hari tu. Senyum pun melebar. Alhamdulillah, budaya memberi masih wujud. Cuma perlu memulakannya.

Pengumuman:
Malam ini di Masjid Negeri Shah Alam (MSSAAS) akan diadakan ceramah dan qiamullail sempena Nuzul Quran.
Ceramah oleh Ust Wan Sohor Bani Leman selepas solat terawih.
Qiamullail pula bermula pukul 4.00am di MSSAAS (Masjid Negeri Shah Alam) akan dipimpin oleh Kpt Zulkarnain Hamzah. Sahur disediakan oleh pihak pentadbiran masjid.

Nota :
Mampukah saya untuk bangun berqiamullail? Moga Allah berikan kekuatan, jauhkan malas dan ringankan mata... InsyaAllah, sebelum ni pun, setiap hari saya memang tidur antara pukul 1 pagi dan bangun pukul 4.45 pagi untuk siapkan juadah bersahur. Bangun awal sejam, rasanya tak susah sangat. Mohon bantuanMu Ya Allah...

Sep 15, 2008

Satu kisah tanpa tajuknya....

Assalamualaikum...

Saya ingin kongsikan satu kisah yang amat menarik. Gambaran kehidupan muda mudi masa kini yang amat membimbangkan. Ianya diforwardkan pada saya tanpa sebarang rujukan. Malah tajuknya pun tak ada. Apatah lagi penulisnya.

Saya ingin berkongsi pengajaran dan perasaan tika membaca kisah ini walaupun saya terfikir yang mungkin tak patut saya siarkan karya tanpa mendapat keizinan penulisnya. Tapi membiarkan ianya bertapa di inbox saya, rasanya begitu membazir. Apatah lagi saya memang suka kisah yang mempunyai nilai pengajaran.

Andainya ada sesiapa yang membaca cerpen ini tahu siapa penulis asal atau sumbernya, diharap dapat memberitahu saya. Ingin sekali saya mengucapkan tahniah kepada penulisnya....
***************************************

Berdosakah
Jika mereka dibiarkan tertimbus
Sedang menanti diriku sempurna
Bagai menanti sesuatu yang takkan tiba
Melihat mereka terus-terusan menggali lubang kemurkaan Tuhan,
Lantas memekakkan telinga menafikan kebenaran mata
Umpama menempah tempat tidur dalam kebencianNya
Mengeluarkan warkah nasihat
Seolah menyiat kepercayaan sahabat sendiri
Tersepit
Sahabatkah?
(Sahabat tidak meninggalkan sahabatnya)
Rimas

I
Hari-hari yang berlalu cukup merimaskan. Seolah ingin pulang ke sekolah lama. Sekolah yang majoriti pelajarnya tidak mengakui ketauhidan yang Esa. Paling tidak dia mampu mengerti mengapa remaja di situ selalu menghilang tiap kali pemeriksaan dijalankan, bahkan cukup kagum dengan kehandalan menghilangkan diri tiap kali serbuan dilakukan. Cukup faham sebab mereka mendiami parit belakang waktu pembelajaran, dengan asap-asap yang menyesakkan. Tahu faktor mereka mengeluarkan kata-kata kesat kala ditegur penjaga asrama. Gelak tawa mereka mempersendakan pelajar yang dinilai sebagai ulat buku. Manusia-manusia jahil itu memang dimaklumi kebutaan hati mereka. Diterima kekurangan keberanian mereka dalam menerima hidayah. Mereka mungkin masih tidak memperoleh penyampaian ilmu daripada mana-mana sumber (hatta dirinya).

Tapi insan-insan bertuah di bumi ini...? Naik muak jiwanya yang sudah sedia sebal. Kadang-kadang lebih kuning daripada manusia yang mengamalkan budaya kuning itu. Seolah-olah lupa erti perkataan `Islam' itu. Seperti lambat menyerap makna `Melayu' itu.

"Nak ikut?" Hafizi menyedut rokok, dalam. Entah sedar atau tidak darah yang mengalir dalam pembuluh itu ada Penciptanya.

"Huh?" Ezeqiel tersentak. Merentap pandangannya dari jendela ke wajah kurniaan Pencipta di sisinya. Lampu masih merah. Tidak dengar barangkali alveoli miliknya juga meraung-raung.

"Clubbing malam ni. Last night was a blast!" asap dilepaskannya bebas ke udara. Jin-jin di sekitar menari kesyukuran. Rezeki...

"Oh," dia mengangguk mengiyakan. Raut muka ditarik tenang biar dia keliru. Hafizikah nama lelaki di sisinya ini? Pemimpin Islam masa depankah ini?

"Aku rasa kau dah seminggu memerap dalam bilik belajar. Cuti lama lagi! Aku rasa kali terakhir kau keluar mungkin 3, 4 tahun lepas haha.. Tak pernah nampak kau kat mana-mana," Hafizi senyum. Terbayang-bayang indahnya malam kota dipeluk nikmat di Espanza.

Ezeqiel menekan pedal sebaik lampu bertukar rona. Kadang-kadang rasa tersepit. Mahu menegah, ingin sekali tapi itu bukan prinsipnya. Dia tahu hati manusia seperti ini. Lagi dilarang lagi dilaku. Mahu menurut, dia enggan. Mahu menasihati, dikhuatiri tidak mampu diterima.

"Zaman meronda dari bilik ke bilik malam tadi," terngiang-ngiang suaranya dua minggu sudah. Tergambar wajah bersih milik Zaman, pelajar yang aktif berdakwah di luar kolej. Kagum Ezeqiel dengan kesungguhan Zaman.

"Dia datang jugak bilik aku," Hafizi menyahut. "Aku malas nak dengar, keluar je," sambungnya. "Daripada cakap belakang, baik aku tunjuk aku tak suka," terangnya lagi. Dia tak suka senyum di depan, mencaci di belakang. Itu bukan Hafizi. Ramai yang kononnya menerima inti yang cuba Zaman sampaikan, tapi di belakang, segala macam sumpahan yang dilemparkan. Tunjuk alim, ingat kita ni di zaman batu, kolot...

"Tapi betul jugak apa yang dia cakap," Ezeqiel cuba meyakinkan. "Ilmu ubah diri itu ada enam; paksa, perhati, hisab dan hukumlah diri. Tanamkan azam dan usaha. Kemudian celalah diri..." Kalau tak paksa sampai bila-bila begini!

Hafizi diam sebentar. "Memanglah betul... tapi bila aku tengok dia macam tu, aku takut. Macam susah sangat je nak jadi orang baik ni..." Tergambar kopiah putih yang selalu mendiami rambut Zaman. "Kau boleh bayang tak, aku pakai jubah, jadi imam tiap-tiap hari?"

"Kau pesimis!" Ezeqiel tergelak kecil. "Baik tak bermaksud pakai kopiah semata. Lagipun, sampai bila kita nak terus macam ni..."

Hafizi mengeluh. "Aku tau. Tapi, ah, nantilah... Aku tak sedia lagi..."

Biarpun kematian itu sentiasa mengejar? "Bila lagi?" Berubah, tiada kena mengena dengan orang yang menegur, masa lampau sekali juga keluarga, Hafizi, dia berbisik dalam hati.

Hafizi tunduk. "Bila orang tak lagi prejudis," katanya. Aku sendiri tak ingin mendiami lubuk rasa penuh puaka ini. Sesekali terasa diri terlalu kotor untuk kembali ke jalan pulang. "Aku tak kata Zaman, tapi sesetengah orang, pandang aku ni macam jijik sangat. Nak cakap pun tak boleh nak masuk. Macam ada dinding," katanya.

Ezeqiel menelan payah. "Dinding yang kaumaksudkan?"

"Bila orang yang menegur tu tegur sebab dia rasa dia lebih baik." Tegas dan tepat.

Ezeqiel diam.

"Malam ni kita ke Zouk," Hafizi senyum, menarik sahabatnya dari alam lampau.

II
Belum apa-apa lagi mata Ezeqiel menangkap kelibat lelaki yang terbaring di kawasan parkir. Huh. Perkara lazim. Kejang. Dia menggeleng. Kalau nasib baik, dua atau tiga jam. Kalau dari subuh sampai ke senja seperti Adam dulu, tanggunglah. Datangnya tak kira masa. Tapi jika sudah begitu berani acap kali menelan, beranilah pula untuk sekali-sekala merasa. Dan kalau tak serik lagi, Ezeqiel senyum kecil. Adzmin di sebelahnya menggeleng. Sakit satu hal, malu satu hal lagi...

Dari dalam kereta dia resah. Menyesal tak sudah... terseksa hatinya membiarkan keretanya dikenderai ke tempat sebegitu. Jalan Ampang yang hidup sedari tadi semakin hangat dibanjiri manusia. Ezeqiel menarik langkahnya. Terkadang rasa bosan. Dia sudah muak sebenarnya mencampuri situasi ini. Terasa bebalnya mereka yang berniat mencari ketenangan di celah kemurkaan Tuhan.

Hafizi di sisi tak luak dengan senyuman. Terasa bangga menjejak tanah maksiat ini. Kagum kerana melanggar suruhan Fikri. Sesekali peristiwa itu menimbulkan kemarahan dalam hatinya.

"Sekali lagi aku tahu kau balut weed ni, mampus kau!" terdengar suara kasar Fikri di gegendangnya. Petang itu entah bagaimana Fikri boleh datang ke rumah sewa Robert, teman sekelasnya.

"Asal cuti, sinilah syurga kau, kan?" puas agaknya hati seorang abang melihat pipi adiknya merah ditangankan sendiri.

"Kau ingat aku tak tau, Glow, Thai Club, tempat-tempat haram yang kau pergi tu? Aku tunggu masa ibu takde je, tau tak? Kau ni ada agama ke tak?!" mulut itu masih terus-terusan memuntahkan panah. Disabarkan hati, berkali-kali diingatkan, lelaki itu sembilan tahun lebih tua daripadanya. Lelaki itu abangnya. Dan lelaki itu tak tahu tekanan yang dia hadapi. Fikri anak kesayangan. Fikri anak yang baik. Selalu dibangga-banggakan. Sering menurut kata. Gemar duduk di rumah. Sedang dia, takkan mampu menjadi Fikri. Dia anak terbuang.

Sedari dulu, semua kesalahan akan dilemparkan ke mukanya. Keputusan peperiksaan tak pernah menyenangkan. Fikri sentiasa lebih baik daripadanya. Jika keluar malam ke rumah teman, dituduh panjang kaki. Terjumpa abu rokok dalam kereta, dia dituduh menghisapnya. Sesekali terasa kebenaran berkawan dengan tukang besi, terasa juga panasnya. Tapi dia masih bijak mengawal diri. Masih, ke mana pergi mesti diberitahu. Pulang sebelum waktu yang ditetapkan. Dia 17 ketika itu, tapi terasa seperti tujuh tahun! Takkan ibu dan ayah mengharapkan dia akan menjadi seperti Fikri? Mengharapkan dia ke surau selalu? Macamlah ayah selalu ke sana! Dia seorang yang non-conformist (jika masyarakat masih meneruskan adat mengikut peraturan). Dia tak sukakan protokol. Tapi bukannya dia tinggalkan solat, macam ayah.

Mungkin dia seorang yang ekstrovert, gemar mencari teman. Tapi bukannya dia bergaul bebas. Dia mahu berteman cuma. Siapa yang mahu memahaminya di rumah itu? Ibu sentiasa sibuk dengan persatuan yang entah apa fungsinya. Menjadi pemangkin keretakan rumah tangga mungkin. Ayah selalu di pejabat. Fikri lebih senang dengan komputer dan buku-bukunya. Semua kesalahan diletakkan di atas pundaknya.

Terkadang terbetik persoalan di hatinya, Fikri benar-benar memarahinya kerana menyayanginya, atau kerana Fikri rasa lebih hebat? Fikri fikir dia tiada perasaan? Bosan dituduh, alang-alang dikata, biar dia laksanakan. Biar dia panjang kaki. Biar dia kenal erti rokok. Mereka yang mulakan. Biar dia teruskan. Biar sakit hati Fikri.

"Aku tak minum," terdengar suara Ezeqiel menolak apabila Aizad menghulurkan segelas minuman yang dicampurkannya sendiri. Hafizi lirik botol di sisi jag Coke. Jack D? Heh. Dia senyum. Patutpun.

"Aku minum," katanya kepada Aizad. Terasa pandangan Ezeqiel menegah, namun diendahkannya. Biar kata-kata Fikri jadi realiti. Fikri memang selalu menampar mukanya dengan tuduhan mabuk, biarpun dia bersumpah dia tidak pernah meneguk air najis itu. Biar malam ini kata-kata Fikri jadi suatu fakta baru. Dia puas.

Muzik semakin rancak. Ezeqiel semakin pening melihat rakan-rakannya meneguk racun itu. Memerhati benci Adzmin yang tersenyum menelan pil-pil kecil yang ditakuti neuronnya sendiri. Seolah-olah kisah silam menari-nari di depan matanya.

III
Resah. Galau. Kacau.

Macam mana postinor tak jalan? Ah. Bingit.

"Saya telan lewat sedikit" gadis comel itu tampak tenang, tak menggambarkan kecut hatinya. "Mungkin sebab itu.."

Ezeqiel mundar-mandir. Entah siapa ayahnya, perempuan ni pun mungkin tak pasti. Aku apa cerita? Takkan mama nak anak tu? Dah tu... takkan nak gugurkan?

"Tak mengapa. Saya faham." Veronica tunduk. Malam itu dia menelan aramin 5, namun dia cukup pasti memang Ezeqiel yang bertanggungjawab. Dia terdesak, buntu. Dan kini dia sendiri tertanya-tanya mengapa dia menceritakan semuanya kepada lelaki itu. Dia tahu Ezeqiel kaki perempuan tapi dia sendiri tak punya kekuatan untuk menerima kelahiran itu. Jika perkara ini diketahui bapa tirinya, dia pasti akan dibelasah. Untuk membeli setin beer pun terpaksa peras dari ibu, inikan pula menanggung seorang cucu! Tapi takkan kerana itu dia harus belajar membunuh nyawa yang tak berdosa?

"Saya.. perlu pergi," perlahan suara Veronica. Dia bangun meninggalkan Ezeqiel sebelum lelaki itu sempat berkata apa-apa.

Ezeqiel hanya mampu membiarkan. Serasa ingin diputar masa. Serasa ingin dicampak botol Swing yang ditaja entah siapa di parti haram itu. Memaki-maki polis yang malam itu tidak pula mengadakan serbuan. Jiran-jiran buang tabiat, sudah serasi dengan muzik berdentum barangkali. Menyalahkan rakan-rakan yang menariknya ke parit belajar mengenal rasa Heineken tatkala pelajar lain mengenal istilah saintifik. Menyumbat sistem saraf dengan up john dan red camel dan entah apa-apa biji lagi. Memarahi peraturan sekolah berasrama yang terlalu menekan (tapi tak pernah pula terfikir untuk menghukum diri sendiri).

Dia bangkit, pantas. Meninggalkan perempuan itu sendirian sudah cukup menambah rasa berat di hatinya. Paling kurang biar dia yang sediakan wang untuk wanita itu - sama ada untuk gugurkan, atau... dia sendiri tak sanggup nak teruskan. Untuk membesarkan zuriat yang dikatakan anaknya itu... ah, dia sendiri jahil membezakan perasaan gentar membunuh nyawa suci atau menggendong tanggungjawab!

Belum sempat keluar dari rumah, Ezeqiel terdengar dentuman yang maha kuat. Dia gegas berlari. Sebuah treler sebesar raksasa terperosok ke arah sebatang pokok, di bawahnya darah merah yang likat mengalir. Dan sekujur tubuh yang berbalutkan blouse yang baru dilihatnya tadi, terbaring lesu.

Tuhan!

Entah dari mana kalimah itu hadir. Begitu lama rasanya lidah itu kelu dari menyebut perkataan keramat itu. Terasa dalam mimpi. Mimpi di mana nafasnya tersekat. Nyawanya melayang. Meninggalkan mama dan papa. Melepaskan zaman kanak-kanaknya. Melepaskan rakan-rakannya. Melihat mereka tertawa dalam alam khayal, mempersetankan pemergiannya, mengendahkan julang api yang kian meninggi, yang semakin menghampirinya.

Tuhan!

IV
"Kau dah gila?" terkejut Hafizi dibuatnya.

Belum sempat syaitan bergolek bangga membuatkan manusia meneguk hasil kumuhannya, Ezeqiel bingkas menarik tangan Hafizi. Air najis itu tumpah membasahi lantai.

"Aku nak balik," perlahan suaranya.

Aizad bangun. "Eh, enjoy..."

"Aku nak balik," pintas Ezeqiel. Dia separuh mencampak kunci kereta sebelum bergegas ke luar. Dia semakin mual. Bukankah dia pernah berjanji dulu?

Dari jauh kelibat Adzmin yang sedang asyik menari diseret sayu. Aizad kembali duduk. Terbayang-bayang wajah remuk Veronica yang beberapa saat sebelum itu begitu sempurna.

Tuhan!

Dia menapak di tengah lautan kereta.

Kau sepatutnya lebih kuat! Bukan lalang!

Betapa rela dirinya mendiami Gua Kahfi! Daripada punya iman namun tak punya kekuatan menjananya ke dalam diri teman-teman. Punya diri tapi tak punya kepimpinan.

"Ezeqiel!" Hafizi tercungap-cungap memaut bahunya. "Kau ni kenapa?"

Ezeqiel berhenti, merenung mata Hafizi. Tajam. "Aku sayang kau. Tinggalkan semua ni," dalam kepalanya kata-kata Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady berlegar-legar. "Tak perlu kaukisahkan apa orang lain fikirkan, jangan jadikan keluarga sebagai pembatas, kalau mahu kau sendiri yang perlu membuat langkah," bergetar-getar dilafazkan satu per satu kepada Hafizi.

"Ilmu ubah diri itu ada enam; paksa, perhati, hisab dan hukumlah diri. Tanamkan azam dan usaha. Kemudian celalah diri..."

Hafizi terpempan.

Dan katakanlah (wahai Muhammad)): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya." Kerana kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (Al-Kahf: 29)

bandar sungai buaya
june 4th 2006
4.10pm

Trimas


Award ini saya terima dari Kak Kamsiah. Terima kasih... Saya ambik jugak walaupun saya tak rasa saya layak. Ye lah... paling cun tu... macam bukan saya je... huhu.... Sesekali perasan tak pe kan?
Anyway, trimas ye kak kam.... Muah.. Muah... (cium pipi kiri dan kanan)

Ini pun saya terima dari Kak Kamsiah jugak. Kak Kam ni mmg pemurah.... Penuh lemari saya dengan koleksi award. Hehehe... Tapi best blogger..? Terangkat dan terjolok bakul saya nanti... Ish... Malu pulak saya...


Ini saya angkut dari rumah Eda. Memang ceria sungguh... walaupun posa dan matahari bersinar terik, tapi tetap bersemangat... Makacih ye Eda... Muah.. Muah... (ciuman pipi kiri kanan gak)


Yang ini saya kena terbang dan berenang jauh untuk mengambilnya. Mesir... Jauh tu... Ibnurashidi, syukran jazilan. Terima kasih. (ucapan je lah ye... tak leh muah muah macam Eda dan Kak Kam... kekeke)

Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna buat kita semua. InsyaAllah.

Sep 12, 2008

Tazkirah 4 : Kerana mata...


Rasulullah saw telah bersabda, "Pandangan itu panah diantara panah-panah iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, akan diberi iman yang dapat dirasakan hatinya."

Pernah ditanya kepada platon, "Manakah diantara keduanya yang lebih membahayakan hati? Pendengaran atau penglihatan?" Dia menjawab, "Bagi hati, keduanya ibarat dua sayap burung yang tidak boleh naik mahupun turun tanpa salah satu darinya. Jika sayap itu kuat, mampulah dia terbang tinggi, tetapi jika salah satunya dipotong, tentulah dapat melemahkan yang lainnya."

Telah berkata Ali bin Abi Talib ra, "Mata itu perangkap syaitan. Melahap seluruh anggota dengan cepat. Jika nafsunya menyuruh anggota untuk taat kepada Tuhannya, sampailah angan-angannya. Namun jika anggota badan memperturutkan nafsu mendapatkan kelazatannya, sungguh rosaklah amalnya."

Nota : Menjaga penglihatan dan pendengaran begitu penting untuk memelihara peribadi. Kata orang 'dari mata turun ke hati' tapi sebenarnya bukan itu saja yang perlu dijaga tapi telinga juga. Mungkin perlu dicipta satu pepatah baru, 'dari telinga turun ke jiwa' (ish... tak sedaplah, memang tak sesuai langsung tapi tak kisahlah), kerana manisnya kata yang dihalwakan ke telinga mungkin akan membuatkan jiwa yang lemah semakin lemah dan mudah tergoda.

Hakikat manusia yang penuh dengan kelemahan, punya
keinginan dan nafsu yang terkadang mengatasi pertimbangan akal. Apa yang terhidang dimata dan telinga mungkin menghilangkan kewarasan yang cuba dipelihara. Tapi kita ada Allah yang sentiasa ada untuk menjaga kita, sentiasa bersedia untuk kita bergantung kepadaNya, lalu mintalah pertolonganNya.

Kita harus berusaha untuk menghidangkan minda kita dengan ilmu yang mampu
menyelamatkan kita dari terpedaya. Sentiasa percaya bahawa tetap ada cara untuk kita menjauhi keburukan dunia jika kita berusaha, berdoa dan bertawakkal kepadaNya. Sesungguhnya hanya Dia yang tahu segala tipudaya syaitan yang menyesatkan.

"Ya Allah, Ya Samii' Ya Allah Ya Basir,
peliharalah penglihatan dan pendengaranku daripada menjadi alat untuk syaitan mempengaruhi dan melemahkanku. Aku lemah tanpa pertolonganMu, lalu bantulah aku Ya Tuhan.

Ya Allah, hiasilah mataku hanya dengan airmata kekesalan terhadap segala dosa yang pernah aku lakukan, hidangkanlah telingaku dengan bacaan puji-pujian terhadapMu dan juga suara dari kalam yang Kau turunkan, semoga dengan itu terjagalah hatiku dari segala pengaruh kemaksiatan yang hanya akan membawa aku jauh dari rahmatMu. Bantulah aku Ya Allah, ampuni daku ya Tuhan. Amin."

P/S : Bicara Ad-Din (program mingguan) di dewan seminar, masjid negeri Shah Alam, 13/09/08, pukul 6.45-8.00am. Penceramah jemputan ialah Ustaz Mohd Fitri Abdullah.

Sep 10, 2008

Tazkirah 3 : Asas Perkahwinan


"Ibu kata ibu sayangkan ayah."
"Ayah... Ibu memang sayangkan ayah, tapi cinta ibu bukan pada ayah..."
"Tapi dulu ibu kata ibu cintakan ayah!"
"Erm... Dulu ibu memang pernah jatuh cinta. Bukan pada ayah, tapi pada lirik dan lagu-lagu ayah..."


Itu antara dialog yang saya mampu ingat samar-samar. Dialog dalam slot drama cerekarama lakonan Afdlin Shauki dan juga Shiela Rosli. Saya tak pasti tajuknya. Satu lagi kisah kehancuran rumahtangga yang berlaku bila suami ditimpa musibah dan tidak mampu lagi mencipta lagu.

Ia mengingatkan saya kepada artikel lama yang saya baca berkenaan hakikat perkahwinan atau artikel penuhnya bertajuk Perkahwinan Berasaskan Ibadah Jamin Kebahagiaan.

  • Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.

  • Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.

  • Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.

  • Jika asas perkahwinan kerana anak, maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.

  • Jika asas perkahwinan kerana keperibadian, pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.

  • Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.

  • Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah.

Mungkin boleh tambah satu lagi untuk drama ini...

  • Jika asas perkahwinan kerana kesamaan minat pada lagu dan muzik, pasangan akan beralih arah bila ilham sudah membeku.

Setiap orang mahukan perkahwinan yang kekal dan bahagia berpanjangan. Tapi kita hanya merancang, namun Allah yang menentukan.

Bagi pasangan yang telah berkahwin dan masih kekal terikat, yang tenang atau yang sedang bergolak, ada baiknya jika kita dapat nilai kembali niat dan juga tujuan perkahwinan. Jika perlu dan dapat, ubah atau tukar niat/tujuan perkahwinan, jadikan ianya bermatlamatkan ibadat kepada Allah.

Yang belum berkahwin dan akan berkahwin suatu hari nanti (InsyaAllah), pastikan niat yang betul dan terarah kepada Yang Maha Esa. Semoga dengan membetulkan niat kita, jalinan ikatan lebih terpelihara dan terjaga.

Program Sepanjang Ramadhan - MSSAAS

Masih ada 20 hari lagi untuk kita menjalani ibadat puasa. Sepanjang Ramadhan ini sememangnya setiap masjid dan surau punya aktiviti yang banyak sekali untuk disertai.

Saya baru dapat jadual aktiviti untuk Masjid Negeri Shah Alam, dan diharapkan sesiapa yang tinggal di sekitar Shah Alam tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti program menarik yang disediakan di bulan penuh keberkatan ini. Secara ringkasnya jadual program adalah seperti berikut :

Setiap hari Isnin Rabu dan Jumaat - Tazkirah sebelum berbuka
Setiap hari Selasa dan Khamis - tayangan jejak Rasul sebelum berbuka
Setiap Jumaat malam Sabtu - imam jemputan Akademi Al-Quran
- 5/9 - Ust Hafas
- 12/9 - Ust Mawardi
- 19/9 - Ust Radzi Kamarulhailan
- 26/9- Ust Radzi Kamarulhailan
Tadarus Al-Quran - Setiap malam selepas terawih
Qiamullail - bermula 4.00 atau 4.30 pagi sehingga masa bersahur. Sahur disediakan oleh pihak masjid
- 17/9 Malam Nuzul Quran akan dipimpin oleh Kpt Zulkarnain Hamzah
- Setiap 10 Malam Terakhir
Ceramah Nuzul Quran oleh Ust Wan Sohor Bani Leman 16/9 - Lepas Terawikh
Majlis Khatam Quran - 27/9 ( Insyaallah)
Majlis Berbuka bersama Tuanku Sultan - 6/9 dan 12/9

Sep 7, 2008

Sep 6, 2008

Tazkirah 2 : Apa pilihan kita?

"Orang yang banyak ketawa itu, kurang wibawanya. Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina. Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menghormatinya. Barang siapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatannya terjaga." (Umar Al-Khattab r.a)

"Senyum dan ceria-cerialah tatkala berurusan dengan manusia, menangislah semasa bersunyi-sunyian bersama Dia." - Saifulislam

Nota: Kita bagaimana? Ada yang kata ketawa itu awet muda, tapi kita tak akan muda selamanya. Kematian akan datang bila-bila masa saja. (Asyik-asyik mati... mati.. mati... kata kawan saya...) Mungkin esok, mungkin lusa, mungkin jugak malam ini kita akan mati. Siapa tahu, kan?

Cuba bayangkan malam ini kita tidur kekenyangan tanpa sempat berdoa dan mengucap. Esoknya kita tak bangun lagi. Sedar-sedar kita berada di alam sempit dan terhimpit. Di ikat kemas dari hujung kepala hingga ke hujung kaki, tertimbus oleh tanah.

Mungkin tangisan masa tu tak lagi mengeluarkan airmata. Suara juga telah hilang. Tangisan yg dulunya murah, mudah mengalir walaupun sekadar menonton drama Korea kini telah tiada. Suara yg dulu digunakan untuk bergelak ketawa dan bercerita, kini tak kedengaran lagi. Semua dah tak ada lagi.

Merenung kata-kata di atas, memang telah membuatkan saya menilai kembali diri saya. Sikap saya bila bercakap dan berbicara, bercerita dan berjenaka. Bagaimana diri saya bila berada dalam keadaan suka dan gembira, duka dan menderita... Segalanya.

Saya mungkin berbeza dengan apa yang saya tulis. Mungkin juga sama. Yang pasti saya tak sempurna. Walaupun itu yang saya harapkan, yang saya mahukan, saya tahu saya banyak sekali 'kecacatan' dan kekurangan. Apa yang mampu, saya sentiasa berusaha mengubah diri menjadi lebih baik dari sebelumnya. Lebih matang seiring dengan hayat yang semakin berkurang.

Kini kita berada di bulan Ramadhan. Bulan yang mana seharusnya kita gunakan untuk mencurahkan segala keupayaan yang ada untuk meminta kepadaNya, merayu kehadratNya, menagih belas kasihanNya.


Semua orang tahu dan sedar bahawa masa yg berlalu tak mampu diputar kembali, semua orang tahu bahawa Ramadhan kali ini tak akan berulang lagi, tapi kenapa masih tegar untuk berubah?

Apa pilihan kita? Apa pilihan saya? Masih mahu menyintai dunia sehingga lupa akhirat yang harus dijadikan matlamat utama, atau mahu bertaubat sebelum terlambat?

Moga Allah memudahkan laluan saya untuk menjadi diri yang saya mahu jadi. HambaNya yang punya keupayaan untuk ceria bila bersama teman dan keluarga, dan menangis, merayu, meratap hiba bila berbicara dengan Al-Khaliq, Yang Maha Pencipta.

"Ya Allah, perbaikilah perlakuanku dan amalanku. Jauhi daku dari segala keburukan yang ada pada diri dan juga pada ciptaanMu yang lain. Aku mohon padaMu ya Allah, lindungilah daku dari cinta dunia yang melalaikan...."

Sep 5, 2008

Dekat tapi jauh.


Saya hantar email Ramadhan Terakhir pada kekawan. Salah seorang teman sepejabat membalas;

"Boleh tak kau jangan sedih sangat, hantar sajak2 sedih camni...sepatutnya kita gembira yang kita masih hidup untuk mellalui bulan puasa 2008. So gunakanlah sepenuhnya..as usual kita ni manusia..the glass will always be half full..tapi jgnlah buat email sepilu-pilu camni....Kita patut gembira dapat berpuasa."

Dan saya balas...

"XXX oi... ada ketika kita kena lah sedih gak...
biar kita menangis sekarang utk kematian yg akan kita lalui dari kita menangis bila kita tak boleh nak ubah apa-apa nanti.
betul tak
yus...?"

Dan dia balas...

"Nak nangis tu biar spontan ...reaction dr dengar berita sedih ke, ada kematian ke, ada binatang peliharaan mati ke.. tapi jangan paksa sedih. Memang la kita kena ingat mati..tapi takyah sedih2 bila ingat mati ni...nanti tak syok. Kita cepat sgt terima takdir yang menimpa... Tanya Yus buat pe?"

Dan Yus membalas...

"Aku paham ngape byk yg sensitif bila kita sentuh tentang kematian, let me share this with you, ada dalil nya tentang ni;

Bila di tanya dari seorang sahabat kpd baginda Rasulullah s.a.w, Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda; 'Org yg paling cerdik di antara manusia adalah orang yg selalu mengingati mati' Saidina Umar sendiri bahagian bwh matanya lekuk kehitaman, bila ditanya oleh sahabat, Rasulullah sendiri mencerita kan bahawa Umar sering menangis bila mengingati mati.

Rasulullah juga ada mengingatkan umatnya, jika perlu di paksa utk menangis, menangis lah kerana takutkan Allah, tak tau selepas kematian nanti apa nasib kita, kerana AIR MATA TAKUTKAN ALLAH itu mampu menjadi benteng penyelamat kita dari siksa API NERAKA. Tak ada niat untuk menakut-nakut kan kawan-kawan, aku sekadar berkongsi apa yang aku tau, dari ustaz yang mengajar dan buku yg aku baca.

Sesungguhnya yg buruk itu dtg dr diri aku sendiri, dan yg baik itu dari ALLAH s.w.t."

Semalam, saya dapat berita salah seorang teman kami (Chinese) bekas pekerja di syarikat ini meninggal dunia. Usianya baru mencecah 28 tahun.

Saya memandang wajah teman saya itu sambil berkata; "Semalam baru kita bercakap pasal mati, hari ni dah ada yang 'dipanggil'. Dan dia tu few years younger than us tau." Dia tersenyum tawar.

Kematian tu amat dekat dengan kita. Kenapa masih tak nak mengingati mati dan berusaha menambahkan amalan?

Sep 4, 2008

Bengkel Ilmu : Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk

ﻪﺗﺎﻛﺮﺒﻭﷲﺍﺔﻣﺣﺮﻮﻡﻛﻳﻠﻋﻡﻼﺴﻟﺍ

Sukacita dijemput tuan/puan untuk hadir kedalam program ‘Bengkel Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk’ anjuran JIM Petaling . Maklumat adalah seperti berikut

Program : BENGKEL DAKWAH DLM MASYARAKAT MAJMUK
Tempat : Dewan Seminar, Masjid Negeri Sultan Salahuddin, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan .
Tarikh : 7hb September 2008 (Ahad)
Masa : 815pagi – 430 ptg
Yuran : RM 10 untuk bekerja, RM 5 untuk pelajar
Maklumat lanjut hubungi :
En Zuraidi Ismail (013-3602035)
Pn Puziah Ahmad (012-6542190)
Pn Normah Yatiman (016-3089787)

Aturcara Program

8.15 - 8.30 : Pendaftaran

8.30 - 9.00 : Pembentangan Kertas Kerja 1 ‘Kewajipan Berdakwah ’ oleh Sdr. Kamarul Zaman Bin Noor Mohamed –Hidayah Centre

9.00 – 9.20 : Perkongsian Pengalaman ‘Mengapa saya pilih Islam’ oleh Sdr Johanes

9.30 – 10.45 : Pembentangan Kertas Kerja 2 'Teknik – teknik Berdakwah kepada Non Muslim’ oleh Sdr. Aizuddin Nuruddin - JK Dakwah Jim Pusat

11.00–12.30 : Pembentangan Kertas Kerja 3 'Soalan – soalan Lazim dari Non Muslim’ oleh Sdr. Kamarul Zaman Bin Noor Mohamed – Hidayah Centre

12.30 – 1.20 : Role Play Dakwah

1.20 – 2.00 : Rehat dan Solat Dzohor Berjemaah

2.00 - 4.00 : Ke medan praktikal

4.00 – 4.30 : Sessi Muhasabah

4.30 : Penutup/Bersurai

Nota: Kita hidup di dalam masyarakat majmuk di zaman yang begitu menduga keimanan. Terkadang kita dihujani oleh pertanyaan mudah tapi mencabar.

Soalan seperti...
"Kenapa kena sembah Allah?"
"Betul ke Islam menindas wanita?"
"Kalau Islam tu adil, kenapa lelaki boleh kahwin 4 tapi wanita kahwin satu saja?"

Dan seribu satu pertanyaan yang mana kadangkala jawapan yang diberikan hanya akan membuatkan ada yang memandang rendah pada ajaran Islam, bukan saja oleh non-muslim, tapi oleh muslim sendiri! Sedih kan?

Berdakwah bukan saja harus pada orang bukan Islam saja, tapi kepada masyarakat Islam juga. Dan bagi saya, matlamat utama dakwah tak semestinya untuk menarik orang bukan Islam memeluk Islam, tapi lebih kepada pemahaman tentang keindahan Islam yang sebenarnya.

Insyaallah, bengkel ini cuba untuk memberikan pendedahan tentang pendekatan berdakwah yang lebih berkesan. Semoga kita mampu menampilkan kelebihan Islam yang sebenarnya jika ditanya.

Sep 3, 2008

Tazkirah 1: Rahmat dan laknat



"....selalulah doakan supaya kita tak berada dalam keadaan 'laknat dalam rahmat' dan juga 'rahmat dalam laknat'...." Dahi saya berkerut mendengar kata ustaz abah. Wajah tua yang tenang itu saya pandang dengan penuh tanda tanya.

Ini kali ketiga saya masuk ke dalam kelasnya. Kelas yang terbuka kepada sesiapa saja. Saya menyertainya bila berkesempatan, bila kelas hafazan saya dibatalkan. Hari Sabtu dan Ahad, bermula dari 9.30 pagi sehingga 11 pagi. Hanya 2 orang lelaki, salah seorangnya ialah anak lelaki abah. Pelajar perempuan pula tak sampaipun 15 orang.

Ustaz abah, atau lebih senang dipanggil abah saja, memang begitu dihormati. Panggilan 'abah' begitu mesra sehingga saya lupa namanya. Semua orang memanggil dia begitu, tak kira usia. Dan saya mengikut saja.

"Laknat dalam rahmat tu ialah bila kita ditimpa musibah atau bala, ia mendekatkan kita kepada Allah. Selalunya kalau ditimpa masalah atau penyakit, masa tu baru ingat Allah. Masa senang masa sihat, Allah tu jauuuhhh... sangat. Jadi Dia turunkan bala untuk memberi amaran supaya kita kembali padaNya. Tapi kalau ia tak mendekatkan kita pada Allah, itu lagi teruk. Laknat di dunia, laknat jugak diakhirat nanti." Jelas abah. Seolah faham maksud kerutan diwajah kami. Dia memandang wajah kami sepintas lalu. Kemudian menarik nafas dan melemparkan senyuman ringkas.

"Rahmat dalam laknat pulak ialah bila kita diberikan kesenangan, kesihatan dan kekayaan oleh Allah, lalu kita lupa padaNya. Sibuk menikmati syurga dunia, sibuk mengumpul harta sehingga tak cukup masa 24 jam sehari, nak solat pun kadang tak sempat, selalu lewat, apatah lagi nak baca Quran dan berzikir...." Muka saya terasa panas. Mata mula kabur dek takungan air. Rasa tersindir dan pedih menikam ulu hati. Saya teringat ajaran lama berkenaan istidraj.

"Dah namanya laknat... musibah... bala... kita tak harap ia berlaku dalam hidup kita. Tak kiralah masa kita ada kat dunia ni lagi ataupun masa kat akhirat nanti. Sebab tu kita kena berdoa, jangan bagi kita lupa pada Allah, masa susah atau masa senang...." Kata abah satu persatu. Saya tunduk. Menyemai azam dalam diri.

'Ya Allah... ampunilah daku. Tetapkan ingatanku padaMu, tika susah mahupun senang'

Nota : Sempena bulan puasa ni, saya akan cuba tekankan kepada n3 yang lebih bersifat pembersihan jiwa dan rohani. Bukan Mohd Jiwa bin sipolan dan bukan juga Rohani bt sipolan, tapi rohani yg ada dlm jiwa setiap dari kita.

Bukan bermaksud untuk mengajar, sebab diri saya pun perlu banyak belajar(InsyaAllah, saya bukan jenis yg kurang ajar) cuma mahu berkongsi ingatan dan pesanan. Untuk diri dan juga teman-teman.

Sep 1, 2008

Ramadhan Terakhir



Aku menganggap ini adalah Ramadhan terakhir...
Esok lusa nafas berakhir
Telah lama aku dilahir
Tiba masa dunia menyingkir
Kematian... ohh... sudah begitu hampir...
Tatkala jasad kaku tak mampu bergerak mampir
Minda juga telah beku tak mampu berfikir
Lidah pun pasti sudah kelu tak mampu berzikir

Aku bisikkan pada diri
Setiap hari...
Mungkin esok aku akan mati...
Allah tak pernah mungkir janji
Izrail kan datang menjemput aku ke alam abadi
Cuma hari dan waktu tak dapat ku pasti

Aku menyoal diri sendiri
Mana amalanku?
Mana zikir munajatku?
Mana solatku?
tahajjudke?
terawihku?
qiamullailku?

Itu bekal yg bakal menyelamatkan aku.
Itu bekal yg mahu ku bawa bersamaku mengadapMu...
Sudahkah ku kutip 'pendinding' itu?
Yang bakal menahan panas api neraka merah biru?
Api panas yang mampu menghangus tubuhku menjadi debu...

Aku terfikir...
Mungkin inilah Ramadhan terakhir
Sebelum aku di ikat kemas
Sebelum aku ditimbus tanah

Andai benar ini Ramadhan terakhir buat ku
Jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...
Menerangi kegelapan yang membaluti
Menyuluhi diri ke jalan yang Kau berkati
menuju redha serta kasih sayangMu Ya Rabbi

Aku mahu bersedia
Menanti masa
Di jemput ke sana...

"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurgaMu tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke nerakaMu"

Nota : Masa berjalan... kadang cepat, kadang perlahan. Tapi itu cuma perasaan. Ingatilah kematian, kerana dengan mengingatinya kita akan tahu, bila umur bertambah, itu juga bermakna masa yg ada untuk kita di dunia ini semakin berkurang. Dengan mengingatinya, kita akan tahu, larian mengejar ilmu dan amal tak harus diperlahankan. Masa semakin singkat... kematian semakin dekat.

Anggaplah Ramadhan ini adalah yang terakhir... dan jadikan ia sebagai Ramadhan yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Seruan dan ingatan untuk saya... juga untuk semua.

Salam sayang penuh keikhlasan. Berserta kemaafan saya pohonkan atas segala kesilapan dan kekasaran.

Koleksi Award


Pemberian dari Azza. Ini boleh dijadikan inspirasi Su nih. Letih camne pun puasa, senyum adalah kemestian, kan? Sedekah tu... kena perbanyakkan di bulan Ramadhan ni. Tul tak? :D Terima kasih Azza... Muahh... Cayang Azza...


Award ni dari Kak Kamsiah... 'Best Blogger'... huhu... Su tak rasa Su layak untuk ini. Tapi Su ambik untuk dijadikan inspirasi. Terima kasih Kak Kam... Su cuma boleh balas dgn pelukan kat alam maya ni je... Tanda sayang Su.... *hug* :-)


Award ni pulak dari Akak. "Spread the Award". Alamak... Tak naklah. Su nak simpan sesorang je... tak pe akak ye? kekeke... ;-) Cayang akak...

Nota : Su masih orang yg sama... org yg suka 'memecahkan syarat'. hehe.... Jangan marah... puasa ni kena banyak sabar tau... kekeke...