Sep 15, 2008

Satu kisah tanpa tajuknya....

Assalamualaikum...

Saya ingin kongsikan satu kisah yang amat menarik. Gambaran kehidupan muda mudi masa kini yang amat membimbangkan. Ianya diforwardkan pada saya tanpa sebarang rujukan. Malah tajuknya pun tak ada. Apatah lagi penulisnya.

Saya ingin berkongsi pengajaran dan perasaan tika membaca kisah ini walaupun saya terfikir yang mungkin tak patut saya siarkan karya tanpa mendapat keizinan penulisnya. Tapi membiarkan ianya bertapa di inbox saya, rasanya begitu membazir. Apatah lagi saya memang suka kisah yang mempunyai nilai pengajaran.

Andainya ada sesiapa yang membaca cerpen ini tahu siapa penulis asal atau sumbernya, diharap dapat memberitahu saya. Ingin sekali saya mengucapkan tahniah kepada penulisnya....
***************************************

Berdosakah
Jika mereka dibiarkan tertimbus
Sedang menanti diriku sempurna
Bagai menanti sesuatu yang takkan tiba
Melihat mereka terus-terusan menggali lubang kemurkaan Tuhan,
Lantas memekakkan telinga menafikan kebenaran mata
Umpama menempah tempat tidur dalam kebencianNya
Mengeluarkan warkah nasihat
Seolah menyiat kepercayaan sahabat sendiri
Tersepit
Sahabatkah?
(Sahabat tidak meninggalkan sahabatnya)
Rimas

I
Hari-hari yang berlalu cukup merimaskan. Seolah ingin pulang ke sekolah lama. Sekolah yang majoriti pelajarnya tidak mengakui ketauhidan yang Esa. Paling tidak dia mampu mengerti mengapa remaja di situ selalu menghilang tiap kali pemeriksaan dijalankan, bahkan cukup kagum dengan kehandalan menghilangkan diri tiap kali serbuan dilakukan. Cukup faham sebab mereka mendiami parit belakang waktu pembelajaran, dengan asap-asap yang menyesakkan. Tahu faktor mereka mengeluarkan kata-kata kesat kala ditegur penjaga asrama. Gelak tawa mereka mempersendakan pelajar yang dinilai sebagai ulat buku. Manusia-manusia jahil itu memang dimaklumi kebutaan hati mereka. Diterima kekurangan keberanian mereka dalam menerima hidayah. Mereka mungkin masih tidak memperoleh penyampaian ilmu daripada mana-mana sumber (hatta dirinya).

Tapi insan-insan bertuah di bumi ini...? Naik muak jiwanya yang sudah sedia sebal. Kadang-kadang lebih kuning daripada manusia yang mengamalkan budaya kuning itu. Seolah-olah lupa erti perkataan `Islam' itu. Seperti lambat menyerap makna `Melayu' itu.

"Nak ikut?" Hafizi menyedut rokok, dalam. Entah sedar atau tidak darah yang mengalir dalam pembuluh itu ada Penciptanya.

"Huh?" Ezeqiel tersentak. Merentap pandangannya dari jendela ke wajah kurniaan Pencipta di sisinya. Lampu masih merah. Tidak dengar barangkali alveoli miliknya juga meraung-raung.

"Clubbing malam ni. Last night was a blast!" asap dilepaskannya bebas ke udara. Jin-jin di sekitar menari kesyukuran. Rezeki...

"Oh," dia mengangguk mengiyakan. Raut muka ditarik tenang biar dia keliru. Hafizikah nama lelaki di sisinya ini? Pemimpin Islam masa depankah ini?

"Aku rasa kau dah seminggu memerap dalam bilik belajar. Cuti lama lagi! Aku rasa kali terakhir kau keluar mungkin 3, 4 tahun lepas haha.. Tak pernah nampak kau kat mana-mana," Hafizi senyum. Terbayang-bayang indahnya malam kota dipeluk nikmat di Espanza.

Ezeqiel menekan pedal sebaik lampu bertukar rona. Kadang-kadang rasa tersepit. Mahu menegah, ingin sekali tapi itu bukan prinsipnya. Dia tahu hati manusia seperti ini. Lagi dilarang lagi dilaku. Mahu menurut, dia enggan. Mahu menasihati, dikhuatiri tidak mampu diterima.

"Zaman meronda dari bilik ke bilik malam tadi," terngiang-ngiang suaranya dua minggu sudah. Tergambar wajah bersih milik Zaman, pelajar yang aktif berdakwah di luar kolej. Kagum Ezeqiel dengan kesungguhan Zaman.

"Dia datang jugak bilik aku," Hafizi menyahut. "Aku malas nak dengar, keluar je," sambungnya. "Daripada cakap belakang, baik aku tunjuk aku tak suka," terangnya lagi. Dia tak suka senyum di depan, mencaci di belakang. Itu bukan Hafizi. Ramai yang kononnya menerima inti yang cuba Zaman sampaikan, tapi di belakang, segala macam sumpahan yang dilemparkan. Tunjuk alim, ingat kita ni di zaman batu, kolot...

"Tapi betul jugak apa yang dia cakap," Ezeqiel cuba meyakinkan. "Ilmu ubah diri itu ada enam; paksa, perhati, hisab dan hukumlah diri. Tanamkan azam dan usaha. Kemudian celalah diri..." Kalau tak paksa sampai bila-bila begini!

Hafizi diam sebentar. "Memanglah betul... tapi bila aku tengok dia macam tu, aku takut. Macam susah sangat je nak jadi orang baik ni..." Tergambar kopiah putih yang selalu mendiami rambut Zaman. "Kau boleh bayang tak, aku pakai jubah, jadi imam tiap-tiap hari?"

"Kau pesimis!" Ezeqiel tergelak kecil. "Baik tak bermaksud pakai kopiah semata. Lagipun, sampai bila kita nak terus macam ni..."

Hafizi mengeluh. "Aku tau. Tapi, ah, nantilah... Aku tak sedia lagi..."

Biarpun kematian itu sentiasa mengejar? "Bila lagi?" Berubah, tiada kena mengena dengan orang yang menegur, masa lampau sekali juga keluarga, Hafizi, dia berbisik dalam hati.

Hafizi tunduk. "Bila orang tak lagi prejudis," katanya. Aku sendiri tak ingin mendiami lubuk rasa penuh puaka ini. Sesekali terasa diri terlalu kotor untuk kembali ke jalan pulang. "Aku tak kata Zaman, tapi sesetengah orang, pandang aku ni macam jijik sangat. Nak cakap pun tak boleh nak masuk. Macam ada dinding," katanya.

Ezeqiel menelan payah. "Dinding yang kaumaksudkan?"

"Bila orang yang menegur tu tegur sebab dia rasa dia lebih baik." Tegas dan tepat.

Ezeqiel diam.

"Malam ni kita ke Zouk," Hafizi senyum, menarik sahabatnya dari alam lampau.

II
Belum apa-apa lagi mata Ezeqiel menangkap kelibat lelaki yang terbaring di kawasan parkir. Huh. Perkara lazim. Kejang. Dia menggeleng. Kalau nasib baik, dua atau tiga jam. Kalau dari subuh sampai ke senja seperti Adam dulu, tanggunglah. Datangnya tak kira masa. Tapi jika sudah begitu berani acap kali menelan, beranilah pula untuk sekali-sekala merasa. Dan kalau tak serik lagi, Ezeqiel senyum kecil. Adzmin di sebelahnya menggeleng. Sakit satu hal, malu satu hal lagi...

Dari dalam kereta dia resah. Menyesal tak sudah... terseksa hatinya membiarkan keretanya dikenderai ke tempat sebegitu. Jalan Ampang yang hidup sedari tadi semakin hangat dibanjiri manusia. Ezeqiel menarik langkahnya. Terkadang rasa bosan. Dia sudah muak sebenarnya mencampuri situasi ini. Terasa bebalnya mereka yang berniat mencari ketenangan di celah kemurkaan Tuhan.

Hafizi di sisi tak luak dengan senyuman. Terasa bangga menjejak tanah maksiat ini. Kagum kerana melanggar suruhan Fikri. Sesekali peristiwa itu menimbulkan kemarahan dalam hatinya.

"Sekali lagi aku tahu kau balut weed ni, mampus kau!" terdengar suara kasar Fikri di gegendangnya. Petang itu entah bagaimana Fikri boleh datang ke rumah sewa Robert, teman sekelasnya.

"Asal cuti, sinilah syurga kau, kan?" puas agaknya hati seorang abang melihat pipi adiknya merah ditangankan sendiri.

"Kau ingat aku tak tau, Glow, Thai Club, tempat-tempat haram yang kau pergi tu? Aku tunggu masa ibu takde je, tau tak? Kau ni ada agama ke tak?!" mulut itu masih terus-terusan memuntahkan panah. Disabarkan hati, berkali-kali diingatkan, lelaki itu sembilan tahun lebih tua daripadanya. Lelaki itu abangnya. Dan lelaki itu tak tahu tekanan yang dia hadapi. Fikri anak kesayangan. Fikri anak yang baik. Selalu dibangga-banggakan. Sering menurut kata. Gemar duduk di rumah. Sedang dia, takkan mampu menjadi Fikri. Dia anak terbuang.

Sedari dulu, semua kesalahan akan dilemparkan ke mukanya. Keputusan peperiksaan tak pernah menyenangkan. Fikri sentiasa lebih baik daripadanya. Jika keluar malam ke rumah teman, dituduh panjang kaki. Terjumpa abu rokok dalam kereta, dia dituduh menghisapnya. Sesekali terasa kebenaran berkawan dengan tukang besi, terasa juga panasnya. Tapi dia masih bijak mengawal diri. Masih, ke mana pergi mesti diberitahu. Pulang sebelum waktu yang ditetapkan. Dia 17 ketika itu, tapi terasa seperti tujuh tahun! Takkan ibu dan ayah mengharapkan dia akan menjadi seperti Fikri? Mengharapkan dia ke surau selalu? Macamlah ayah selalu ke sana! Dia seorang yang non-conformist (jika masyarakat masih meneruskan adat mengikut peraturan). Dia tak sukakan protokol. Tapi bukannya dia tinggalkan solat, macam ayah.

Mungkin dia seorang yang ekstrovert, gemar mencari teman. Tapi bukannya dia bergaul bebas. Dia mahu berteman cuma. Siapa yang mahu memahaminya di rumah itu? Ibu sentiasa sibuk dengan persatuan yang entah apa fungsinya. Menjadi pemangkin keretakan rumah tangga mungkin. Ayah selalu di pejabat. Fikri lebih senang dengan komputer dan buku-bukunya. Semua kesalahan diletakkan di atas pundaknya.

Terkadang terbetik persoalan di hatinya, Fikri benar-benar memarahinya kerana menyayanginya, atau kerana Fikri rasa lebih hebat? Fikri fikir dia tiada perasaan? Bosan dituduh, alang-alang dikata, biar dia laksanakan. Biar dia panjang kaki. Biar dia kenal erti rokok. Mereka yang mulakan. Biar dia teruskan. Biar sakit hati Fikri.

"Aku tak minum," terdengar suara Ezeqiel menolak apabila Aizad menghulurkan segelas minuman yang dicampurkannya sendiri. Hafizi lirik botol di sisi jag Coke. Jack D? Heh. Dia senyum. Patutpun.

"Aku minum," katanya kepada Aizad. Terasa pandangan Ezeqiel menegah, namun diendahkannya. Biar kata-kata Fikri jadi realiti. Fikri memang selalu menampar mukanya dengan tuduhan mabuk, biarpun dia bersumpah dia tidak pernah meneguk air najis itu. Biar malam ini kata-kata Fikri jadi suatu fakta baru. Dia puas.

Muzik semakin rancak. Ezeqiel semakin pening melihat rakan-rakannya meneguk racun itu. Memerhati benci Adzmin yang tersenyum menelan pil-pil kecil yang ditakuti neuronnya sendiri. Seolah-olah kisah silam menari-nari di depan matanya.

III
Resah. Galau. Kacau.

Macam mana postinor tak jalan? Ah. Bingit.

"Saya telan lewat sedikit" gadis comel itu tampak tenang, tak menggambarkan kecut hatinya. "Mungkin sebab itu.."

Ezeqiel mundar-mandir. Entah siapa ayahnya, perempuan ni pun mungkin tak pasti. Aku apa cerita? Takkan mama nak anak tu? Dah tu... takkan nak gugurkan?

"Tak mengapa. Saya faham." Veronica tunduk. Malam itu dia menelan aramin 5, namun dia cukup pasti memang Ezeqiel yang bertanggungjawab. Dia terdesak, buntu. Dan kini dia sendiri tertanya-tanya mengapa dia menceritakan semuanya kepada lelaki itu. Dia tahu Ezeqiel kaki perempuan tapi dia sendiri tak punya kekuatan untuk menerima kelahiran itu. Jika perkara ini diketahui bapa tirinya, dia pasti akan dibelasah. Untuk membeli setin beer pun terpaksa peras dari ibu, inikan pula menanggung seorang cucu! Tapi takkan kerana itu dia harus belajar membunuh nyawa yang tak berdosa?

"Saya.. perlu pergi," perlahan suara Veronica. Dia bangun meninggalkan Ezeqiel sebelum lelaki itu sempat berkata apa-apa.

Ezeqiel hanya mampu membiarkan. Serasa ingin diputar masa. Serasa ingin dicampak botol Swing yang ditaja entah siapa di parti haram itu. Memaki-maki polis yang malam itu tidak pula mengadakan serbuan. Jiran-jiran buang tabiat, sudah serasi dengan muzik berdentum barangkali. Menyalahkan rakan-rakan yang menariknya ke parit belajar mengenal rasa Heineken tatkala pelajar lain mengenal istilah saintifik. Menyumbat sistem saraf dengan up john dan red camel dan entah apa-apa biji lagi. Memarahi peraturan sekolah berasrama yang terlalu menekan (tapi tak pernah pula terfikir untuk menghukum diri sendiri).

Dia bangkit, pantas. Meninggalkan perempuan itu sendirian sudah cukup menambah rasa berat di hatinya. Paling kurang biar dia yang sediakan wang untuk wanita itu - sama ada untuk gugurkan, atau... dia sendiri tak sanggup nak teruskan. Untuk membesarkan zuriat yang dikatakan anaknya itu... ah, dia sendiri jahil membezakan perasaan gentar membunuh nyawa suci atau menggendong tanggungjawab!

Belum sempat keluar dari rumah, Ezeqiel terdengar dentuman yang maha kuat. Dia gegas berlari. Sebuah treler sebesar raksasa terperosok ke arah sebatang pokok, di bawahnya darah merah yang likat mengalir. Dan sekujur tubuh yang berbalutkan blouse yang baru dilihatnya tadi, terbaring lesu.

Tuhan!

Entah dari mana kalimah itu hadir. Begitu lama rasanya lidah itu kelu dari menyebut perkataan keramat itu. Terasa dalam mimpi. Mimpi di mana nafasnya tersekat. Nyawanya melayang. Meninggalkan mama dan papa. Melepaskan zaman kanak-kanaknya. Melepaskan rakan-rakannya. Melihat mereka tertawa dalam alam khayal, mempersetankan pemergiannya, mengendahkan julang api yang kian meninggi, yang semakin menghampirinya.

Tuhan!

IV
"Kau dah gila?" terkejut Hafizi dibuatnya.

Belum sempat syaitan bergolek bangga membuatkan manusia meneguk hasil kumuhannya, Ezeqiel bingkas menarik tangan Hafizi. Air najis itu tumpah membasahi lantai.

"Aku nak balik," perlahan suaranya.

Aizad bangun. "Eh, enjoy..."

"Aku nak balik," pintas Ezeqiel. Dia separuh mencampak kunci kereta sebelum bergegas ke luar. Dia semakin mual. Bukankah dia pernah berjanji dulu?

Dari jauh kelibat Adzmin yang sedang asyik menari diseret sayu. Aizad kembali duduk. Terbayang-bayang wajah remuk Veronica yang beberapa saat sebelum itu begitu sempurna.

Tuhan!

Dia menapak di tengah lautan kereta.

Kau sepatutnya lebih kuat! Bukan lalang!

Betapa rela dirinya mendiami Gua Kahfi! Daripada punya iman namun tak punya kekuatan menjananya ke dalam diri teman-teman. Punya diri tapi tak punya kepimpinan.

"Ezeqiel!" Hafizi tercungap-cungap memaut bahunya. "Kau ni kenapa?"

Ezeqiel berhenti, merenung mata Hafizi. Tajam. "Aku sayang kau. Tinggalkan semua ni," dalam kepalanya kata-kata Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady berlegar-legar. "Tak perlu kaukisahkan apa orang lain fikirkan, jangan jadikan keluarga sebagai pembatas, kalau mahu kau sendiri yang perlu membuat langkah," bergetar-getar dilafazkan satu per satu kepada Hafizi.

"Ilmu ubah diri itu ada enam; paksa, perhati, hisab dan hukumlah diri. Tanamkan azam dan usaha. Kemudian celalah diri..."

Hafizi terpempan.

Dan katakanlah (wahai Muhammad)): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya." Kerana kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang. (Al-Kahf: 29)

bandar sungai buaya
june 4th 2006
4.10pm

No comments: