Dia menarik nafas panjang kemudian melepaskan perlahan. Seolah sedang melakukan latihan pernafasan sewaktu warm-up.
Dia menyambung cerita.
"Aku katakan pada diri; aku tak lemah. Kalau aku tak menegurnya, aku mungkin tak berpeluang lagi. Peluang untuk aku melihat dia berubah kerana teguran aku mungkin hanya 0.01% tapi kalau aku tak cuba, percentage tu mungkin jadi 0%. Lagi teruk, kan?" Katanya dengan nada gagah penuh keazaman.
"Kau pegi tegur dia?" Saya bertanya meminta pasti walaupun boleh mengagak apa tindakannya. Dia bukannya baru ku kenal sehari dua, dah boleh mengagak rentak tarinya.
"Kau tahu aku kan? Hehe... Aku bangun... "
Yusliza bangun. Langkahnya teratur penuh yakin. Dia menyentuh bahu anak gadis itu sambil tersenyum.
"Boleh Kak Yus cakap sikit?" Memulakan bicara dengan pertanyaan seolah meminta izin. Selesa membahasakan namanya kerana baginya itu memudahkan mesra bercambah. Gadis itu diam, kemudian mengangguk perlahan.
"Dik... Bila Kak Yus tengok adik kan, rasa macam tengok adik Kak Yus yang umurnya lebih kurang sebaya dengan adik." Dia berhenti seketika kemudian menyambung; "Adik muslim?" Gadis itu mengangguk.
"Ok... Alhamdulillah..." Dia menarik nafas lega.
"Lagilah Kak Yus terasa macam tak salah kalau Kak Yus nak tegur sikit. Boleh kan?" Gadis masih tak bersuara. Lelaki yang bersama dia juga terdiam. Hanya berkelip-kelip matanya memandang.
"Boleh agak tak apa yang Kak Yus nak tegur?" Pertanyaan dengan nada lembut penuh hati-hati terus diasak tanpa menunggu jawapan di beri untuk soalan tadi.
"Erm... pakaian saya?" Jawapan berbentuk soalan diberikan dengan suara sedikit serak. Gugup dan teragak-agak. Yusliza senyum.
"Pandai... Erm... Apa yang tak kena dengan pakaian adik ni?" Tanyanya lagi.
"Seluar saya kot."
"Adik rasa cantik ke?"
"Kalau tanya saya mestilah saya cakap cantik. Tapi mungkin ada orang tak suka tengok." Jelasnya sambil pandangannya matanya dilepas jauh.
"Erm... itu adik sendiri cakap tau. Kak Yus tak tegur pun adik dah boleh tahu apa yang ada dalam fikiran orang lain. Itu tandanya adik masih boleh menilai buruk baik sesuatu perkara." Katanya lembut. Senyuman masih tak lekang dari bibirnya. Gadis itu kembali tunduk.
"Kak Yus pun rasa seluar adik tu rendah sangat. Tak manis untuk anak gadis. Adik lebih cantik kalau tak pakai fesyen macam ni. Betul tak?" katanya sambil fokus matanya beralih memandang lelaki yang sedari tadi hanya memerhati. Mata mereka bertembung seketika.
"Adik ni pakwe dia?" Tanyanya sambil memandang terus lelaki itu, memerhati dan cuba mencari riak yang boleh di jangka.
"Sayang dia?" Dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Mungkin malu dan segan ditanya soalan begitu oleh orang asing.
"Nak kawin?" Lelaki tu terus membisu.
"Mesti nak kawin kan? Tak kan nak bercinta macam ni je." Katanya menjawab soalan sendiri.
"Kalau adik nak kawin dengan dia, adik kenalah didik dia." Lirikan matanya menghala ke arah gadis tadi yang juga membekukan diri.
"Suka ke kalau orang lain tengok makwe adik dengan pakaian macam ni? Suka tengok lelaki lain terliur kat dia? Mesti tak suka, kan?" Matanya masih tak lepas memandang wajah lelaki yang tak bersuara sedari tadi. Kemudian matanya beralih ke arah anak gadis yang juga masih begitu. Kaku.
"Cuba ubah ya sayang?!!.." Katanya sambil menyentuh pipi gadis itu. Tersentak dengan dingin tangan yang menyentuhnya dengan mesra.
"Kak Yus tegur ni macam tegur adik sendiri je. Tegur untuk kebaikan adik berdua. Kalau bolehlah kan, adik janganlah pakai lagi macam ni. Tak elok sangat bila kita bagi orang tengok apa yang sepatutnya kita jaga." katanya sambil memperlahankan suara di hujung ayat. Sedikit berbisik, namun masih boleh didengari jelas.
"Erm... Oklah. Kak Yus pegi dulu. Assalamualaikum." Dia berlalu tanpa menunggu salamnya berjawab. Senyumnya tak dibalas. Dia mengatur langkah sambil melemparkan sekilas pandangan.
Petang itu sewaktu turun untuk makan malam, Yusliza melihat gadis yang sama datang menujunya dengan senyum terukir dibibir.
"Kak... Saya dah nak balik. Mulanya saya ingat nak stay kat sini dengan pakwe saya. Lepas akak cakap tadi, saya buat keputusan nak balik petang ni jugak. Boleh saya ambil nombor telefon akak?" Yusliza tersenyum puas.
"Kau bagi?" Saya bertanya penuh minat.
"Tentulah aku bagi. Tak ada apa yang mengembirakan hati aku dari mendengar pengakuannya tu. Kerana teguran yang ringkas tu, dia buat keputusan nak balik, tak jadi stay kat situ. Secara tak langsung aku dah menghalang satu kemungkaran besar yang bakal berlaku. Kalau dia stay, kau tentu tahu apa maknanya, kan?" Saya mengangguk, tanda bleh mengagak apa maksudnya.
"Allah telah berjanji untuk menghadiahkan kemenangan bagi yang berani berkata kerana benar. Aku tak melihat ia sebagai kemenangan aku, tapi kemenangan adik tu yang pasti lebih hebat. Jihad menentang nafsu." Kagum. Ahh... Yusliza memang begitu sedari dulu. Jujur, berani dan ikhlas bila menyatakan sesuatu. Mungkin kerana itu, setiap langkahnya dipermudahkan.
Baginya, formula untuk jadi berani menentang kemungkaran mudah saja. Lihatlah dan anggaplah mereka sebagai keluarga dan pasti hanya yang terbaik mahu diberikan. Kekerasan hanya akan menjarakkan lalu gunakanlah kelembutan untuk mengalirkan kasih sayang. Teguran itu niatkanlah kerana Allah. Pasti Dia akan membantu membetulkan perjalanan yang jelas bersimpang dan berliku.
Kita tak tahu latar belakang mereka, tak pasti sejarah hidup mereka. Setiap yang berlaku adalah bersebab. Jangan mudah membuat andaian, jangan terus memberi hukuman. Terkadang teguran orang luar lebih berkesan, lalu kenapa tak mahu cuba untuk membuat perubahan? Itu nasihatnya.
"Kalau satu hari nanti anak aku 'tersesat' atau hilang arah, dan aku tak ada disisi untuk membimbingnya, aku harap ada insan yang sudi menegur, menarik dia ke jalan betul. Kerana aku akan lakukan perkara yang sama untuk adik-adik dan anak-anak di luar sana yang aku tak tahupun namanya."
Saya terkedu mendengar katanya, mendengar ceritanya. Semoga ramai lagi yang mampu melakukan sesuatu sepertinya tanpa ragu. Saya juga seperti kebanyakan orang lain, suka mengambil langkah berjaga-jaga. Tak punya keberanian untuk menegur bimbang dikatakan penyibuk dan suka menjaga tepi kain orang. Tapi kisah ini benar-benar membuka mata. Bukankah kita selalu kata; belum cuba belum tahu...
Mampukah saya jadi sepertinya? Dalam diam saya berdoa, "Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk berjuang demi kebenaran, mencegah mungkar di mata yang semakin berleluasa dengan cara yang aku terdaya...."