Nov 22, 2011

Bebas!!!

Masa saya semakin singkat atau masa berlalu terlalu cepat? Banyak yang nak dilakukan tapi terbengkalai tak berkesudahan. Keazaman dulu untuk menulis dan menambahkan catatan perkongsian juga jelas tak kesampaian.

Ada yang bertanya kenapa? Saya juga tertanya-tanya... pada diri sendiri. Kenapa begini ya? Tanggungjawab semakin berat mungkin. Ermm... Mungkin juga tidak. Cuma alokasi masa tak lagi seperti dulu.

Dulu tak ada mata yang mengawasi. Tak ada suara yang menegur membatasi. Seenaknya melakukan apa yang diingini. Yang mana didahulukan dan yang mana dikemudiankan, saya sendiri menetapkan.

Saya kini tinggal bersama keluarga... keluarga mertua pulak tu. Bila sebut saja tinggal bersama mertua, pasti ada yang berkata; “Ishh... memang tak rasa bebas, kan?” Aduhai... saya tak pandai bercerita agaknya. Apa yang saya ceritakan buat fikiran mereka menafsir sesuatu yang sebaliknya.

“Terkongkong? Tak lah... Saya tak rasa begitu. Saya tak rasa terkongkong pun bila mertua menegur. Bagi saya, dia tegur sebab dia sayangkan saya. Dia nak saya buat yang terbaik, jadi yang terbaik.” Saya cuba membetulkan tanggapan.

Saya melayan fikiran sendiri. ‘Apa makna kebebasan yang sebenarnya?’ Setiap orang ada tafsiran sendiri tentunya.

Adakan bebas itu adalah bila kita meletakkan pertimbangan pada hati dan bukan pada fikiran? Pernahkah kita teliti, siapa yang bakal menerima kesan akibat pilihan dan tindakan yang dilakukan? Serahkan saja pada takdir sambil mengharapkan yang terbaik. Huh... Itu alasan untuk menghalalkan kemahuan.

Memangnya, di hati setiap kita ada instinct (suara hati) dan nafsu yang mempengaruhi. Ermm... Iman letaknya dimana ya? Di dada yang terletaknya hati dan jiwa atau diminda yang menguruskan timbang tara?

Islam tak pernah memaksa. Islam memberikan pilihan dengan memberikan garisan dalam setiap tindakan. Ibarat melintas dijambatan gantung. Talinya ada untuk dipegang, tapi diabaikan atas dasar kebebasan bergerak dan beraksi. Bukan sekadar diabaikan, malah terus dibuang dan diputuskan. Selamatkah bila melakukan lintasan itu? Bayangkan saja keadaan itu... pasti kita temui jawapan yang sama.

Masihkah anda mahu bebas?

Sep 24, 2011

Saya kesuntukan masa...

Sunyi...

Bukankah sunyi itu mendekatkan diri pada Allah?
Bukankah sepi itu merapatkan hati pada Illahi?
Bukankah sunyi dan sepi itu tenang yang Ar Rahman anugerahkan?

Melihat ayam itik direban, merenung buah mempelam yang merimbun didahan, meneguk nyaman air kelapa muda yang segar melegakan, menelan cempedak goreng yang manisnya tak mampu digambarkan... semuanya buat saya mencari mana perlu diletakkan rasa syukur yang menggunung.

Biarpun adakala sepi itu kadang menyakitkan, saya perlu menukar rasa itu. Mengingatkan diri bahawa itu adalah kelebihan yang tak ada pada kehidupan yang lalu. Bukankah ini yang pernah saya impikan...?

Impian saya... hajat dan keinginan saya... Kembali ke desa dan berbakti pada ayah bonda, menemani mereka melalui hari tua dengan ceria. Walaupun ayah dan bonda yang saya temani kini adalah mertua, tapi nyata sekali kasih sayang mereka pada saya melimpah tak terucap dek kata-kata.

Lalu kenapa harus ada rindu untuk kembali pada masa lalu di rantau sana?

Saya ingatkan diri sendiri... rindu itu adalah ingatan. Dan selagi kita bergelar manusia dan bukan mayat, rasanya ia tak boleh dielakkan.

Saya rindu untuk menulis... mencoret rasa di sini. Cuma... dalam sepi dan sunyi itu, sibuk juga seiring dan sebati.

Sungguh saya kesuntukan masa....

Aug 12, 2011

Tempat jatuh lagi dikenang...

Teringat Ramadhan di Shah Alam.

Sibuk tapi penuh pengisian. Balik kerja dalam pukul 6 - 6.30 petang, kami persiapkan sedikit jus buahan untuk kami bekalan. Selalunya suami yang mengambil tugasan itu sebab dia balik lebih awal berbanding saya. Jus epal, karot, pegaga, susu campuran kurma, oren dan mangga mengambil giliran mengikut stok yang ada dalam peti ais.

Selesai membersihkan badan dan tukar pakaian, kami terus ke MSSAAS untuk berbuka puasa. Semangat bazaar Ramadhan terus kami lupakan. Tak rindu langsung pada keriuhan dan kemeriahan yang tak menjamin kepuasan semasa makan. Bukannya tak bersyukur atas rezeki berbuka, tapi ia berdasarkan pengalaman lama yg mana makanan yang dijual bukan saja mahal tapi tak sedap!

Sementara menunggu azan berkumandang, kami sempat menghabiskan beberapa mukasurat membaca surat cinta dari Allah. Matlamat mengkhatamkan Quran memang membara.

Masa berbuka cukup singkat kerana mengejar solat Maghrib berjemaah. Tapi cukup mengenyangkan dengan hidangan yang menyelerakan. Selesai solat bacaan diteruskan sehingga Isyak.

Selepas Isyak, solat terawih megambil tempat. Kami dipimpin oleh imam yang bersuara merdu menyentap jiwa. Sesekali dihidangkan imam jemputan yang istimewa. 20 rakaat tak terasa pun.

Selesai solat witir, bertadarus sehingga 12 malam. Bacaan saya dibetulkan oleh makcik-makcik yang cukup berpengalaman. Terima kasih. Semoga Allah membalas budi baik kalian. 3 tahun bertadarus bersama mereka setiap Ramadhan, ikatan kami seolah satu keluarga.

Balik kerumah, barulah saya siapkan sedikit lauk untuk bersahur. Satu lauk dan satu sayur, sudah cukup buat kami.

Esoknya walaupun tanpa jam loceng, kami tetap boleh tersedar untuk bangun bersahur. Makan ala kadar untuk mengalas perut, kami terus bersiap untuk ke tempat kerja. Mencari rezeki dan menjalankan amanah yang diberikan.

Penuh dan padat. Tapi langsung tak memenatkan.
Aduhai... Rindunya saya pada Shah Alam!

Aug 2, 2011

Hidangan Ramadhan

Hari kedua puasa.
Ramadhan kali ini saya bersama keluarga. Sepenuhnya. Tak lagi perlu mengambil cuti untuk merasai sausana berpuasa di kampung. Tak perlu risau tentang trafik teruk yang mengambil masa sehingga 15 jam perjalanan bila tiba musim perayaan. Tak perlu ber ooo soommm untuk merebut cuti bersama teman sekerja. :D

Hijrah ke kampung nyata memberi pelbagai perasaan. Suka dan duka... Rindu dan lara. Teruja dan kecewa.

Banyak peritiwa yang berlaku sehinggakan saya tak tahu mana harus bermula.
Biarlah...

Azam pemakanan saya untuk Ramadhan kali ini. Mahu bersederhana dalam makan. Tak mahu keterlaluan. Hidangan memang banyak dan menyelerakan. Tapi itu jugak bermakna berat akan bertambah. Aduhai...

Lalu... hanya roti dan susu akan diambil untuk santapan sahur. InsyaAllah... tak akan pengsan. Berbuka? Saya makan apa yang ada.

Kata kak Ngah, "Untuk bulan puasa ni hidangan kami tetap. Bubur lambuk. Biar penghayatan untuk merasai susahnya orang miskin lebih kuat."

"Tapi kalau Su berbuka rumah kak Ngah, tak kan bubur lambuk jugak kot?" Huh... Mengada-ngada!

"Makan jugak la bubur lambuk." Panjang leher saya nak menelan nanti...

"Su nak nasi air... dengan ikan kering dan budu. Boleh?" Hahaha... Boleh sangat...

Aug 1, 2011

Seruan Ramadhan...

Ramadhan datang...
Membawa bersama limpahan kerahmatan...
Memyeru sayu bicara keinsafan...
Melambai rindu bisikan kesyukuran...

Adakah kita mampu meraih anugerah itu?
Adakah kita gagah untuk menaklukinya?

Apa mungkin... ini Ramadhan kita terakhir?
Yang mengisi helaan nafas yang penghabisan?
Tak mustahil, kan?

Sungguh...
Perancangan Allah tak mampu dibaca.
Perhitungan Allah tak terjangkau dek minda.

Lalu... kenapa harus kita biarkan ia berlalu tanpa disapa?
Kenapa kita tak berusaha untuk menggarapnya?
Ayuh!!!
Kita jadikan Ramadhan ini terbaik dalam sejarah hidup kita...

Buat semua...
Selamat Menjalani Ibadah Puasa Dibulan Ramadhan...

Jul 22, 2011

Kembali....

Hari ini hari terakhir saya bekerja. Bayangan kebun durian memenuhi ruang fikiran. Aromanya merayu saya pulang.

Entah bagaimana perjalanan hidup saya nanti. Suasana yang pasti berbeza. Langkah yang tak mungkin sama.

Saya mula merindukan kehidupan di Shah Alam. Bersama teman-teman sepengajian yang penuh kemeriahan dan senda gurau. Ustaz-ustaz yang cukup berpengetahuan dan tak pernah lokek dengan ilmu. Saya menumpang kasih dan berkongsi cerita suka dan duka.

Dan... Mengusik mereka memang menjadi hobi saya.

Saat saya kesunyian, mereka muncul dalam kehidupan. Saat hati dah jatuh sayang, saya harus harus melangkah meninggalkan mereka bersama kenangan.

Terima kasih atas segalanya. Semoga ada laluan bersilang buat kita di takdir yang akan datang.

Jul 19, 2011

Jalan kita...

Perasaan berkecamuk. Sedih, marah, gembira, kecewa, takut... semuanya bercampur aduk. Banyak perkara yang berlaku dalam sekejap masa dan ianya melahirkan pelbagai perasaan.

Perancangan Allah mendahului perancangan diri. Saya akur. Memang keinginan hidup ini pelbagai. Namun saya selalu ingatkan diri dan berdoa agar Allah pandu laluan hidup saya mengikut apa yang baik bagiNya, dunia dan akhirat.

Saya dan suami selalu rasa yang hidup kami akan berkesudahan diperantauan. Walaupun ayah dan ma selalu mengharapkan kami kembali untuk bersama keluarga, tapi ternyata kerjaya dan rezeki kami disini, dikota batu ini. Itu satu kenyataan yang kami akur semenjak sekian lama berusaha mencari jalan pulang tapi gagal.

Tiba-tiba jalan ke desa terbuka... Berkat doa orang tua kami tentunya. Suami menerima tawaran yang tak pernah disangka, yang tak terlintas diminda... Seluruh keluarga gembira. Apatah lagi dia yang telah berkelana semenjak berusia 13 tahun lagi.

Bagaimana dengan saya...? Kerjaya saya di sini. Saya mahu lakukan sesuatu yang saya suka dan mendapat imbuhan demi membantu keluarga dan mereka yang memerlukan. Kembali ke kampung begitu saja dan menjadi suri rumahtangga tidak termasuk dalam perancangan saya.

Ramai yang memberi cadangan. Terima kasih, saya hargai keprihatinan kalian.

"Bukak bisness. Su pandai masak kan, bolehlah buka kedai makan. Tak pun buat catering." Pandai? hehe... untuk sendiri, keluarga dan menjamu teman-teman makan, bolehlah.

"Kau berbakat menulis. Jadi full time novelis pun ok jugak." Adeh... Minat yang tak pernah terlintas untuk diceburi secara serius. Nak kena hadiri bengkel dulu baru yakin boleh menulis dengan baik. Tak pernah sekalipun saya serahkan hasil penulisan saya pada mana-mana penerbit setakat ini. Kabur.

"Belajar menjahit. Jahit langsir dan cadar. Simple tapi lumayan." Ermm... Setakat nak jahit baju sendiri, bolehlah tumpang mesin jahit orang. Tapi kalau nak buat secara serius, kenalah beli sendiri.

"Buka kelas tiusyen je. Tak perlu modal. Home tiusyen." Mampukah saya? Sukatan pelajaran anak-anak sekarang dah banyak berubah. Lagipun, bila ibubapa menghantar anak-anak ke kelas tambahan, pasti mereka mengharapkan yang terbaik dapat diberikan. Saya tak pernah mengajar, tak tahu sejauh mana kemampuan diri. Risau.

"Dah belajar talaqi tu, mestilah praktikkan ilmu yang ada dan sebarkan. Besar ganjarannya ajar orang mengaji Quran tau." Harapan untuk memanjangkan ilmu yang diperolehi menjadi sebahagian dari impian saya. Tapi, ada ke orang yang belajar dengan saya? Diri sendiri pun masih ada yang perlu diperbetulkan, layakkah saya untuk membetulkan orang?

Buat masa ini, saya mahu lakukan sesuatu yang baru, yang saya minat. Fotografi.

Mungkin juga mengembangkan kebolehan diri dengan sebaiknya. Mengharapkan ianya memberi kebaikan buat diri dan keluarga, dunia dan akhirat. Semoga apa yang dirancangkan selari dengan perancangan Allah untuk saya.

Apapun saya yakin, ketentuan Allah adalah yang terbaik. Saya milikNya dan takdir saya dalam genggamanNya. Ya Allah... jadikan aku hamba yang redha...

Jun 23, 2011

Dimana kamu?

Cerita ini agak basi. Tapi saya menulisnya disini untuk menyampaikan suara hati seorang hamba Allah yang terlibat secara langsung dengan urusan pengurusan 16 jenazah mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak Yatim At-Taqwa di Hulu Langat.

Bila sesuatu tragedi berlaku, memang ramai yang sudi menghulurkan bantuan. Ada yang sanggup ke tempat kejadian walaupun tinggal di tempat yang jauh dan meluangkan masa dicelah kesibukan rutin harian. Alhamdulillah. Malaysia memang mempunyai rakyat yang cukup prihatin.

Kisah ini adalah tentang pengurusan jenazah.

Dia yang saya rasa elok dirahsiakan namanya, seawal pagi lagi telah menapak ke hospital untuk menawarkan khidmat menguruskan jenazah. Dia pasti, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, urusan itu seringkali kekurangan huluran tangan. Menitis airmata pengetua bila tiba-tiba ada hamba Allah yang tak dikenali mahu membantu.

16 jenazah, dan hanya 4 orang yang melakukan urusan memandi dan mengkafankan mangsa. Proses yang mengambil masa lebih dari 12 jam tanpa henti. Memang memenatkan.

Dia bersama 3 orang sukarelawan lain hanya berhenti seketika untuk minum dan menjamah sedikit makanan. Kemudian menyambung kembali tugasan tanpa sebarang sungutan. Berdetik harapan dihati, mengharapkan akan ada insan lain yang sanggup menghulurkan bantuan walaupun hanya sekadar memotong kain kafan. Namun suara hati tidak didengari. Segalanya dia perlu uruskan sendiri.

Namun bantuan Allah itu ada dalam pelbagai bentuk dan cara. Walaupun 16 orang, menurutnya, jenazah mereka begitu ringan dan mudah diuruskan. Tenaga yang Allah kurniakan seolah tak terhakis mana walaupun alas perut hanya sekadar saja. Sedih dan sayu nyata menghilangkan selera.

Bantuan melimpah hanya saat mengusung keranda ke perkuburan untuk urusan pengkebumian. Berebut yang mahu menyambut termasuk mereka yang menyertai program imam muda. Kenapa? Mungkinkah kerana kamera yang tuju menghala, atau itu saja bantuan yang rela?

Apapun, syukur kerana mereka tidak lupa untuk berada disana. Cuma... alangkah baiknya jika mereka turut sama menyingsing lengan, menjirus air kali terakhir kepada jasad hamba yang telah kembali kepada Al-Mutakabbir.

Dia bercerita sambil menyeru dan mengingatkan kami semua, andai ada tragedi sebegini, jengoklah ke bilik mayat. Tawarkan bantuan walaupun hanya memotong dan menyusun kain kafan. Tak perlulah menyesakkan lagi tempat kejadian yang telah sedia sesak.

Dan untuk mereka yang mengeluarkan kenyataan yang memilukan... yang menyebut membina rumah anak yatim dilereng bukit yang tak selamat adalah seperti mengebumikan mereka sebelum mereka benar-benar mati, tolong nilai kembali kata-kata itu. Ia memang menghiris hati.

Mereka yang membina rumah itu berhasrat untuk menyediakan persekitaran yang terbaik bagi penghuninya. Rumah itu bukan sekadar rumah anak yatim, tapi juga pusat hafiz Al Quran. Ada ibu bapa yang juga penyumbang dana rumah At-Taqwa adalah para profesional yang menghantar anaknya mendalami ilmu hafazan Al-Quran.

Segalanya berlaku dengan keizinan Allah. Dia lebih tahu apa hikmah disebalik peristiwa. Usah dipertikaikan, usah dipersoalkan.

Semoga Allah meletakkan mereka yang terkorban dikalangan hamba yang Dia redhai.

Jun 21, 2011

Dimata suara...

Saya amat menghargai kenangan. Manis atau pahit, ia punya nilai tersendiri. Ada pengajaran disebalik peristiwa dan kita cuma perlu menganalisanya. Muhasabah diri dengan kata lain. Yang penting ianya harus membuatkan diri lebih mendekati Allah.

Kenangan dan pengajaran. Itu hanya terukir dihati dan diminda.

Peristiwa. Selalunya yang manis mahu sekali ia kekal diingatan. Mahu dirakam dan ditatap bila kerinduan. Gambar kenangan bersama arwah berdua, banyak yang terpadam manjadi makanan semut putih. Sayang sekali...

Merakam detik bersejarah tak mudah. Harus berada dimasa dan tempat yang tepat untuk mendapatkan gambar yang menarik dan penuh cerita. Dan saya suka merakamkan aksi spontan yang nampak lebih bersahaja. Dari 10 atau 20 rakaman yang diambil, mungkin hanya satu yang menepati kemahuan saya.

Malah ada gambar keluarga seorang teman yang saya ambil, dari lebih 50 keping, hanya beberapa saja yang memuaskan hati. Tak mudah, apatah lagi bila ia melibatkan anak-anak yang aktif dan penuh emosi. Tapi melihatkan kembali setiap rakaman yang diambil, ia seolah bercerita tentang sehari yang penuh dengan wangian cinta dan sayang.

Saya gembira! Dan saya harap dia juga begitu.

Saya ingin berkongsi apa yang saya suka dan dengan itu lahirlah satu lagi blog saya, DIMATA SUARA... Saat yang dirakam... Kenangan diabadikan.

Moga ada yang sudi menjengah dan melihat dari sudut mata seorang yang menggelarkan dirinya SUARA.

Jun 6, 2011

Marah?

Saya suka mendengar Radio IKIM sewaktu memandu ke pejabat dan pulang dari pejabat. Segment teka teki, kuiz, motivasi pagi dan topik hari ini adalah antara siaran yang sering menemani saya.

Saya teringin nak menjawab soalan teka-teki dan kuiz serta menyembang tantang topik hari ini, tapi memandu mana boleh ber-sms dan buat panggilan, kan? (Ceh, macam la tak pernah buat. hehehe)

Bila saja masuk pejabat, saya memang tak berpeluang nak menadah telinga mendengar topik hari ini yang diperbualkan. Betulll... dan andai ada peluang pun, saya belum lagi mendaftar untuk akaun fb yang membolehkan saya 'bersuara' di IKIM fb.

Tapi dah lama sangat saya gian nak menulis... dan apa yang saya tulis ini ialah topik basi yang dibicarakan hari Jumaat lepas.

'Apakah kata-kata atau pesanan ibu ayah yang paling melekat dihati'

Ermm... semua orang sebak bila berbicara tentang pesanan ibu ayah, apatah lagi bagi mereka yang telah kehilangan. Termasuk saya.

Satu masa dulu... Kata arwah bila melihat air mata saya bercucuran dek berkecil hati bila dimarahinya, "Mak nak adik ingat ni... Mak marah kerana sayang tau. Mak larang adik buat itu ini sebab tak nak perkara buruk berlaku, tak nak adik sakit nanti. Biar adik menangis sekarang dari adik menangis kemudian...."

Bila dia pergi, tak ada lagi orang yang memarahi saya. Tak ada lagi orang yang berani menegur saya, melarang saya buat itu dan ini, walaupun untuk perkara yang kecil. Saya rindukan bebelannya. Benar-benar rindu....

Dan kini, saya tanam prinsip itu dalam hati saya. Marah saya bukan tak bertempat, tapi kerana sayang dihati yang melekat...

May 16, 2011

Inilah saya!

Bila saya membaca tulisan orang lain, saya meneka sendiri bagaimana penulisnya di alam realiti.

Tulisan tak menggambarkan peribadi. Saya pernah mengenali orang sebegini. Yang pasti, ada yang sama, ada yang berbeza. Lalu saya terfikir, bagaimana agaknya orang membayangkan diri saya? Bukan dari segi fizikal, tapi dari segi sikap dan peribadi.

Semenjak dulu, setiap kali dalam sesi orientasi, samada di sekolah, diuniversiti ataupun di tempat kerja, bila di minta bercerita tentang diri, soalan pertama yang menerjah diminda adalah; apa mereka ingin tahu tentang saya? Apa yang saya nak orang tahu?

Erm... Apa yang boleh saya ceritakan diri saya di sini ya?

Saya cukup berhati-hati bila berkata-kata. Ya betul. Erm... kata-kata kan lebih berbisa dari mata pedang. Tapi kalau tertikam hati orang, macam mana?

Saya seorang yang serius. Ish... Tak de lah sangat. Saya suka mengusik, bergurau dan berjenaka terutama bila dah kenal lama. Tak percaya, tanya keluarga saya.

Saya jenis yang lepas cakap. Hanya pada yang terlalu rapat dan kenal diri dan sikap saya. Dan hanya pada mereka yang saya rasa boleh menerima kritikan saya. Tapi pernah juga berlaku, tekaan saya salah. Lalu ada yang menjauh. :(

Saya sinis dan suka menyindir? Tidak sesekali. Itu sikap yang cuba dielakkan. Sindiran tu kan ibarat percikan api yang jika terkena hati, pasti buruk kesannya nanti. Apatah lagi jika hati yang kering, ia mampu membakar diri menjadi abu... lepas tu menjadi hantu... berdendam dan memburu... HAHAHA... Opss... saya dah mula nak merapu.

Saya lebih cenderung menyimpan luka dan marah dihati. Bergantung kepada isu jugak. Saya percaya masa akan mengubati. Allah akan membantu. Keyakinan yang satu dan padu.

Saya mudah lupa. Yaa!!! Tapi tengoklah apa perkaranya. Errrk... banyak makan semut gamaknya.

Saya mudah mesra. InsyaAllah... Tapi adakala sikap pemalu lebih menguasai. (Perghhh... perasan! Terbayang wajah-wajah anak sedara yang mencebik dan kemudian ketawa berdekah-dekah. Ciss...)

Saya banyak cakap. Ya... terutama bila orang lain lebih banyak diam. Kesian saya bila terpaksa memerah otak mencari idea untuk menceriakan suasana. (huhu..)

Saya tak ramai teman rapat. Bagi saya, kawan datang dan pergi. Datangnya disambut dengan kesyukuran, perginya dilepas dengan keredhaan. Bukan salah sesiapa, cuma itulah aturan yang telah ditetapkan olehNya.

Paling penting... Saya banyak kekurangan, banyak sekali kelemahan. Saya insan biasa yang amat jauh dari titik kesempurnaan. Lalu, andai ada hati yang terguris, ampun maaf dipohonkan. (tetiba rasa macam nak raya je! ahaks)

Ada soalan tambahan ke?

Apr 14, 2011

Toloonngggg!!!!!!

Saya jadi blogger kerana saya suka menulis. Tapi tak banyak manapun hasil penulisan yang disiar. Kenapa?

Sibuk. Itu alasan yang tak tepat.
Tak ada idea. Juga alasan yang kurang sesuai.
Malas. Ermm... tak jugak sebenarnya.

Setiap catatan dan kisah yang saya paparkan, saya ulang semak berkali-kali sebelum dipublish. Saya terlalu berhati-hati. Boleh dikatakan begitu. Dan itulah sebenarnya yang melimitkan entry saya.

Mata pena lebih tajam dari mata pedang.
Satu kiasan yang sudah sebati dan amat difahami oleh semua. Saya tak mahu melukakan hati sesiapa. Samada secara sengaja atau tidak, direct or indirect.

Catatan saya di ruangan ini sekadar mahu melepaskan suara yang tertanam di minda. Banyak sekali yang mahu diluahkan. Yang baik, yang buruk, yang segar dan yang busuk. Yang tak terluah oleh alunan suara, mahu saya khabarkan kisahnya dengan pena.

Saya mahu berkongsi kisah diri, tapi sungguh ada bimbang yang bersarang. Jika buruk tertulis dan saya dikeji, tak semena hati sendiri terluka nanti. Jika baik tercatat dan dipuji, risau penyakit riak bercambah menghitamkan sanubari. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang berbisik dihati.

Kisah yang dipapar, samada tentang diri atau insan disekitar, saya harap boleh dijadikan iktibar. Andai sesekali saya tersasar, harap ditegur dan dikejut agar tersedar.

Adeh... Apa yang saya tulis ni?!!!

Hidup saya bakal berubah arah. Hala tuju masa depan begitu kabur dan penuh misteri. Ibarat memasuki satu pintu rahsia yang entah bagaimana coraknya disebelah sana. Di satu keadaan, saya tahu itulah yang saya inginkan. Di situasi yang satu lagi, ianya menakutkan sekali dan mahu saya jauhi.

Bolehkah kalian membantu? Memberikan saya peluang untuk meneroka diri saya yang baru, jika itu yang patut berlaku? Tapi... siapalah saya pada kalian untuk saya mohon pertolongan... kan?

Ya Allah... bantulah daku!

Mar 29, 2011

Cinta Dan Airmata... Part 2

~Merasai nikmat dan kemudian kehilangannya, lebih pedih dari tak pernah merasai kenikmatan itu. Anda setuju?~

"Dua minggu selepas kami balik dari umrah, semasa dalam perjalanan untuk berjumpa pelanggan, pakcik dapat panggilan. Anak dan isteri pakcik terlibat dalam kemalangan." Dia berhenti seketika. Mencari kekuatan untuk meneruskan cerita barangkali.

"Satu-satunya hasil cinta kasih kami meninggal ditempat kejadian." Dia berkata tenang. Saya yang mendengarnya merasakan ada takungan air dikolam mata. Aduh.... Aliran ini harus ditahan!

"Dan isteri pakcik dimasukkan ke ICU disebabkan kecederaan yang parah." Dia menyambung. Ya Allah... Besarnya dugaanMu terhadap dia!

"Kereta yang dipandu anak pakcik cuba mengelak bertembung sebuah kereta lain yg memotong lori. Sebenarnya kereta tu mahu mengikut 2 buah kereta lain yg memotong lori, tapi memang tak lepas. Disebabkan nak mengelak dari kereta tu lah, keretanya memanjat tebing jalan dan terbalik dengan 4 tayar ke atas." Minda saya memutar kisah itu sepertimana yang diceritakan. Ngeri!

"Sebenarnya pakcik seharusnya keluar dengan mereka. Tapi disebabkan ada panggilan yang penting yang memerlukan pakcik ketempat lain jugak, jadi kami keluar seperately. Itulah aturan Allah... Kalau pakcik yang memandu kereta tu, mungkin jasad pakcik yang tertanam sekarang ni." Ahh... saya mengesan nada sedih didalam ayatnya. Saya akui, bila kita ditimpa musibah, seringkali statement 'kalau' itu muncul. Cabang laluan hidup adakalanya memang diluar kawalan. Takdir hidup kita dalam genggaman Allah.

"Selesai urusan bedah siasat, hari dah petang. Urusan pengkebumian di Seksyen 21 Shah Alam hanya setakat pukul 6.30 petang. Memang tak sempat nak kebumikan pada hari yang sama."

"Ketika itu, isteri pakcik yang dimasukkan di ICU, pakcik serahkan segala urusan pada doktor. Nak mengangkut jenazah ke sana sini, memang sukar. Sudahnya arwah terpaksa ditumpangkan semalaman di surau berdekatan rumah kami yang terbakar. Sepanjang malam pakcik tak tidur." Siapa yang mampu melelapkan mata bila segala miliknya diragut dengan tiba-tiba.

"Untuk anak pakcik, solat jenazah dilakukan 2 kali; malam tu dan esok paginya. Ramai yang datang. Ada yang kenal, ada yang tak." Jelasnya. Termasuk ustaz kami yang mana ketika itu hanya mengenali isteri pakcik sebagai anak murid dalam pengajian Bahasa Arab.

"Isteri pakcik dalam ICU hampir sebulan lamanya. Dalam tempoh itu banyak perkara yang berlaku. Dokumen penting hanya tinggal abu. Segala urusan tergendala." Sambungnya lagi. Saya dan beberapa teman sekelas yang lain khusuk mendengar. Sesekali ada yang mencelah, bertanyakan soalan. Saya memilih untuk mendengar sahaja. Tak langsung menyampuk.

"Masa itu lah, pakcik boleh nampak wajah sebenar orang-orang di sekeliling pakcik. Saudara mara, kawan-kawan. Ada yang menjauhkan diri. Pakcik faham. Mungkin mereka bimbang pakcik akan meminta bantuan, terutama bila timbul isu duit. Belanja hospital bukan sedikit, berpuluh ribu kami habis untuk rawatan." Dia bekerja sendiri, menjual insuran.

"Allah tolong pakcik. Sebagai agen insuran, pakcik memang ambik insuran untuk anak isteri pakcik. Belanja perubatan lepas lah. Kalau tak, mana pakcik nak cari duit." Dia memandang keluar. Kelas lain sudah mulai kosong.

"Pampasan untuk anak, dapat tak?" tanya salah seorang teman sekelas.

"Tak dapat. Kes tu memang masuk mahkamah dan kami diwakili oleh polis. Pemandu kereta yang memotong lori tu diwakili oleh peguam. kami turun naik mahkamah beberapa kali disebabkan rayuan pemandu tu. Sudahnya mahkamah memutuskan untuk meluluskan rayuan. Dari jumlah 15 ribu ringgat denda yang harus dibayar, dia hanya dikenakan denda 3 ribu. Itupun duit tu diberikan kepada perbendaharaan, bukan kepada mangsa kemalangan. Kami tak dapat satu sen pun." Dahi saya berkerut. Tak pernah saya tahu tentang selok belok sistem perundangan di Malaysia yang menguruskan kes sebegitu.

"Pakcik ingatkan kalau diwakili oleh pihak polis, kes tu lebih kuat berbanding dengan ambik lawyer. Lagipun masa tu manalah terfikir nak ambik lawyer. Apatah lagi bila melibatkan duit, seboleh mungkin pakcik nak elakkan." Katanya sayu. Kesal bertapak dihati kami yang mendengarnya. Terasa sangat ketidak adilan yang berlaku. Tapi itulah ketentuan hidup.

"Ada tak pemandu tu jumpa pakcik dan berikan sedikit duit sebagai tanda kesal atas apa yang terjadi?" Rasa ingin tahu membuak.

"Tak ada. Dia langsung tak kisah. Bukan saja duit, kata maaf pun tak ada. Semasa terserempak di mahkamah, tak ada reaksi bersalah yang ditunjukkan." Siapakah insan itu? Ingin sekali saya lihat reaksinya. Keras hatikah dia... sehinggakan sepatah kata maaf pun tak terucap olehnya.

"Biarlah..." Itu saja kata pakcik M bila kami sasarkan persoalan. Dia redha dengan apa yang telah berlaku. Mungkin sudah letih untuk menangani apa yang berlaku.

"Anak kami, Allah pinjamkan sekejap saja. Pakcik ingat, kami yg tua ni akan pergi dulu. Bolehlah tinggalkan zuriat yang diharap dapat mendoakan. Tapi... Allah ada rancangan lain untuk kami. Dia exam sebelum pergi umrah dan meninggal semasa cuti semester. Bila buka semester, kami diberitahu oleh pihak universiti, dia dapat anugerah pelajar terbaik." Aduhai, berita gembira itu makin menambah sayu hati bapa yang baru kehilangan.

Malam itu perkongsian Pakcik M membuatkan saya cukup sebak. Dia bercerita tentang kehidupan dan kematian. Kejayaan dan kegagalan. Insan datang dan pergi. Anugerah dan dugaan. Rasa syukur dan terkilan. Saya terkasima.

Hebatnya dugaan buat dia. Orang-orang di sisinya.... Yang pernah ditatang, menghilang. Yang pernah di suapi, melarikan diri.

"Memang kecewa dengan reaksi mereka, tapi nak buat macam mana. Kita tak boleh paksa. Mengungkit pun tak guna." Keluhan dilepaskan. Sinar matanya pudar. Namun tak ada getar yang terzahir dari suaranya. Mungkin masa telah mengurang pedih, mengubat luka, membersihkan duka... Tapi yang pasti, Allah bantu dia menghadapi segalanya. Menunaikan doanya di Makkatul mukarramah. Menjadi insan yang tabah. Dia redha... benar-benar pasrah.

Allah Maha Pengasih. Bantuan Allah tak terjangkau dek minda. Katanya, dalam kemelut diri menghadapi kehilangan cinta anakanda dan melayani kecewa yang tak terzahir dek airmata, muncul insan lain yang diutuskan Allah untuk membantu. Yang tak pernah rapat sebelum ini sanggup menghulur bantuan dan memberi. Meringan beban yang kepalang beratnya. Syukur Alhamdulillah...

Buat Pakcik M dan keluarga, semoga Allah akan menemukan mereka kembali... Di syurga... Menganyam bahagia dalam kehidupan yang kekal abadi....

Mar 25, 2011

Cinta Dan Airmata... Part 1

~ Kisah ini buat saya sedar, dugaan yang Allah berikan pada saya tak sehebat mana...~

Kami sekelas dalam pengajian di MSSASS. Namanya disebut oleh ustaz sebagai orang yang dikagumi dalam diam. Ia cukup mencetuskan perasaan ingin tahu.

Memangnya dia (Pakcik M, nama sebenarnya dirahsiakan) contoh yang cukup baik. Insan tabah yang diduga dan diuji. Namun Allah itu Maha Penyayang. Dia dipayungi iman yang melindungi dirinya dari kemurungan dan kekecewaan.

Kasih sayang bagai titisan air dibumi. Walaupun basahnya bukan dari langit yang merintikkan hujan, tapi tetap ada air yg membekalkan kehidupan. Mungkin, disebalik kekontangan tanah, ada mata air yang senyapnya teralir di bawah. Bumi ini belum pernah kering. Sepertimana cinta Allah pada hambaNya.

Perkahwinan pakcik M yang kusam tanpa hilai tawa anak-anak, punya warna yang tersendiri. Indah atau tidak, mata sendiri yang menatap dan menghayati. Lama dia berkongsi kasih sayang hanya pada anak-anak saudara yang ditatang bagai anak sendiri. Kasihnya melimpah. Sabarnya berhasil.

Bila Allah kasih, Dia akan bagi apa yang di minta. Bila Allah cinta, Dia akan uji dan duga hambaNya. Itu pasti.

Kelas bahasa Arab kami bersambung dengan kisahnya. Sebahagian teman sekelas telah beransur pulang. Sebahagian lagi terpahat disitu untuk mendengar kesinambungan kisah airmata Pakcik M.

"Pakcik menanti kehadiran cahaya mata selama 9 tahun. Akhirnya Allah tunaikan doa kami. Satu-satunya permata hati. Segala tentang dia cukup membanggakan. Semester terakhir dia di universiti, dia dianugerahi pelajar terbaik untuk course yang dia ambik." Luahnya sambil merenung ke depan. Matanya bercahaya dan senyuman terukir. Bapa mana yang tidak bangga apabila anak menggarap kejayaan.

"2 tahun lepas kami anak beranak mengerjakan umrah. Seronok! Siapa tak seronok kalau dapat jemputan ke rumah Allah. Di sana, pakcik berdoa agar kami semua dianugerahi ketabahan apabila diduga." Dia tersenyum.

"Semasa di sana, pakcik dapat panggilan dari Malaysia, berita yang buat kami resah. Rumah kami hangus terbakar. Tak ada apa yang boleh di selamatkan. Jiran yang sedar, tak sempat menolong. Yang ada pada kami ketika pulang hanyalah sehelai sepinggang. Pakaian semasa umrah." MasyaAllah.... Hebatnya dugaanMu buat dia. Saya mendengar penuh tekun.

"Nasib baik pakcik ada insurankan rumah tu, jadi bebannya tak membahang sangat. Boleh claim tapi lambat la dapatnya. Jadi buat sementara kami menumpang di rumah saudara mara. Sekejap rumah orang tu, sekejap rumah orang ni. Segan jugak, tapi nak buat macam mana... Terpaksa..." Keluhan dilepaskan perlahan. Menumpang rumah orang bukan perkara yang mudah baginya. Apatah lagi datang bertiga dengan sehelai sepinggang.

Namun dugaannya tak terhenti di situ... Ujian datang bertimpa-timpa. Meruntuhkan hati dan jiwa.

=== bersambung===

Note : Saja nak buat sambungan, nak banyakkan entry, nak lepasi target March tahun lepas.... hahaha :D

Mar 23, 2011

Pasangan


Pasangan serasi = padanan hati

Pasangan secocok = padanan mata
















Pasangan serasi = satu senyuman, satu sentuhan dan satu renungan mampu mengungkap pelbagai cerita penuh pengertian.

Pasangan secocok = beribu cerita diperdengarkan tapi gagal mengolah satu pengertian.
Kita dan pasangan? Pasangan serasi atau pasangan secocok? :)

Mar 10, 2011

Rumahku... syurga atau neraka?

Bulan lepas saya baru saja menulis tentang pinjaman. Walaupun lakaran saya bukan mengenai pinjaman kereta ataupun rumah tapi pinjaman PTPTN, tapi isi yang nak disampaikan tetap sama.

'Pinjaman, penyelesaian jangka pendek, permasalahan jangka panjang.' Ia tersemat kemas dalam ingatan.

Kalau mampu diundur kembali, saya tak akan membenarkan diri membuat pinjaman perumahan dengan kadar maksimum, walaupun kemampuan untuk menyediakan lebih dari 10% bayaran muka memang boleh diuruskan.

Keghairahan untuk mengumpul harta diawal usia, keinginan melabur dalam hartanah, membuatkan saya terjebak dalam beberapa pinjaman yang menyempitkan saluran nafas saya sehingga 25 tahun lamanya. Namun alhamdulillah... Allah membuka fikiran dan jalan penyelesaian buat saya dan ia saya langsaikan tak sampai separuh dari tempoh masa yang tertera dalam perjanjian.

Terkini, kerajaan membuka tawaran untuk pembelian rumah pertama dengan pinjaman sehingga RM220k tanpa wang pendahuluan dan dengan tempoh sehingga 30 tahun lamanya. Tempoh yang terlalu lama untuk merisikokan diri. Ya, benar, dengan skim ini semakin ramai yang berupaya mengejar impian. Tapi dihujung kembara, berjayakah impian itu dipeluk dengan aman?

Sekarangpun, terlalu banyak rumah lelong yang diiklankan. Rumah yang mana dibeli dengan membayar pendahuluan, tapi berkesudahan dengan pengishtiharan bangkrup terhadap peminjamnya. Tak perlu tunggu pinjaman rumah, pinjaman keretapun sama kesannya. Mungkin ianya tak sampaipun 5% dari keseluruhan pinjaman yang bank keluarkan. Tapi masa depan kita di mana? Di kalangan 95% atau 5%? Nampak tak kemana arus aliran pinjaman ini bakal membawa kita? Tak gerun ke?

Hidup ini penuh dengan ketidakpastian. Siapa yang mampu memberi jaminan yang kesihatan diri dan keluarga akan terjaga sepanjang masa? Siapa yang boleh menjamin yang kerjaya diri akan sentiasa mendaki seiring dengan usia? Siapa yang berani mengatakan semua hutang akan lancar dibereskan mengikut apa yang telah dimeterai? Tak ada sesiapa!

Hanya Allah yang tahu corak masa depan yang bagaimana dilakar untuk kita.

Hutang hanya akan melemahkan ummah. Ia mampu memaksa kita meletakkan dunia dihadapan dan akhirat dibelakang. Meminjam dengan bank maknanya menjerumuskan diri dengan riba. Saya tahu, sekarang telah banyak perbankan Islam ditawarkan untuk 'melembutkan' hati mereka yang memandang sepi perbankan konvensional. Tapi bagi saya ia tetap tidak menyelesaikan masalah.

Saya tak mahir untuk berseloka tentang hukum harus, haram dan halalnya pinjaman. Apa yang saya tahu, apa yang membuatkan hati resah dan gelisah, yang berpotensi untuk mengganggu lena tidur saya, harus saya jauhi selagi terdaya.

Garis panduan kesejahteraan hidup telah tertulis dengan jelas dalam Al-Quran dan salah satunya, mengelakkan diri dari terlibat dengan sebarang jenis hutang...

Nota : Ishhh... saya menulis seolah saya tak memerlukan pinjaman langsung, kan? Hakikatnya, saya masih ada pinjaman yang perlu di langsaikan... hutang kereta. Entry ini saya buat untuk menguatkan keazaman diri agar tidak wujud cita-cita untuk menambah hutang. InsyaAllah...

Realisasikan keazamanku ini Ya Allah... Amin.


p/s : Statistik pinjaman itu adalah statistik hentam keromo yang saya reka sendiri. Maaf ya!

Feb 28, 2011

Antara kita dan mereka...

Keinginan manusia tak pernah kecukupan. Asalnya kita semua dari syurga, tempat di mana segala apa yang dimahukan boleh diperolehi hanya dengan membisikkannya. Lalu bila kita dilahirkan di dunia, kemahuan hati tetap tidak terbatas.

Memiliki zuriat sendiri adalah impian setiap pasangan yang berkahwin. Tak semua, 99.9% mungkin. Dan daripada 99.9% tu, bukan semua orang berjaya menggapai impian untuk menjadi ibu dan ayah. Termasuk saya.

"Belum rezeki kita. InsyaAllah, adalah rezeki kita nanti..." Kata suami sambil memeluk dan menghadiahi satu kucupan di dahi. Dia selalu cuba meredakan sebak yang menyesak dada saya. Akur dengan takdir yang Allah tentukan.

Kata ustaz dalam satu ceramah keibubapaan.
"Sekarang ni ramai sangat orang yang mengabaikan anak-anak. Dibuang dan diseksa anak-anak itu tanpa belas kasihan. Tak sedar gamaknya mereka ini betapa bertuahnya mereka. Bukan semua orang bertuah untuk diberikan anugerah itu. Sebenarnya, mereka yang dikurniakan zuriat adalah insan terpilih. Mereka di beri peluang untuk menghayati kebesaran Allah melalui kelahiran cahaya mata. Di beri tanggungjawab dan kepercayaan dari Allah untuk mendidik generasi akan datang. Tapi sayangnya kecetekan ilmu agama buat mereka buta untuk melihat kelebihan yang mereka ada... "

Lalu syaitan membisikkan rasa kecewa yang membuatkan sesekali saya mempersoalkan takdir. 'Tak layakkan kami menjadi ibu dan bapa, sehinggakan permintaan dan penantian sebegitu lama seolah tidak dihiraukan?' Astaghfirullah hal azhim.... Ampun Ya Allah kerana bisikan itu melintas dimindaku...

"Allah dah sediakan sesuatu yang lebih baik buat kamu... Kalau bukan di dunia, mungkin di akhirat nanti." Mudah mengucapkan kata itu. Kata-kata teman dan saudara yang memahami situasi diri. Namun hakikatnya menghayati dan meresapinya tak mudah. Sesekali saya mampu menerima dengan redha, namun ada ketika saya rasakan bait-bait kata itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. Tak berbekas di hati.

Saat diri penuh kekuatan, saya menjadi insan yang mahu berkongsi ilham dorongan.

"Tak semua keinginan kita Allah akan penuhi. Tapi bersyukurlah dengan apa yang ada. Bila kita memaut lengan suami untuk bermanja, bila kita menumpang bahu suami saat berduka, ada orang yang melihat kita sambil berkata; 'Bertuahnya kamu ada teman hidup yg berkongsi rasa. Aku pula ditinggalkan sendiri untuk membesarkan zuriat yg pernah dihasilkan bersama.' Kalau diberi pilihan, mana satu yang nak dipilih. Suami atau anak?" Saya berbicara kepada teman yang senasib. Bicara sendiri yang cuba di resapi agar menambah kekuatan di hati.

"Malah ramai lagi insan di luar sana yang yang tak diberikan keduanya; anak dan suami. Duka mereka lebih terasa. Ada yang hanyut di bawa pilu tapi ada juga yang telah menerima dengan redha. Bahagia bukan hanya dengan memiliki suami dan anak. Bahagia datang dari hati yang bersyukur."

Saya mahu menjadi manusia yang bersyukur dengan apa yang Allah tentukan. Saya dianugerahi suami yang penyayang, memahami dan begitu melindungi. Bukankah itu tanda Allah telah mendengar doa saya satu ketika dulu? Dia tak pernah mengabaikan permintaan hambaNya ini.

Buat sahabat dan saudara senasib;
Sebenarnya Allah tentukan kita bahagian ini sebab kita layak untuk memikul tanggungjawab lain yang lebih besar. Jangan sampai kekurangan dan kelebihan ini buat kita lupa tanggungjawab kita pada keluarga dan masyarakat. Jangan hanyut dalam perasaan dan hidup dalam dunia sendiri yang terasing.

Hidup kita tak lama, walaupun laluan kita dan mereka berbeza tapi kesudahannya serupa. Kematian, akhirat, padang mahsyar... Syurga atau neraka, mana satu milik kita akan ditentukan di sana.

Lalu jadikanlah detik pertemuan kita dengan Allah sebagai matlamat yang mengaburkan segala rasa duka dan kecewa. Dia sedang menanti kita dengan kasih sayangNya yang berganda dan tak ada tandingannya...

"Ya Allah... berikanlah kami kekuatan untuk melalui jalanan yang telah Kau sediakan buat kami..."

Feb 16, 2011

Aksi luar biasa....

Saya dapat email ni dari seorang teman. Ia buat saya tergelak sendiri dan teringin nak kongsi di sini. Ahakss....

100 meter pecut!

Wehhh... ladies belah sana la!!

Aksi akrobatik!

Oittt... Jangan tengok aku nak pee pee ni!!

Lat... Kau dah terlebih sun burn la.
Alah... kau pun sama gak.
Jump!!!

Opss... terlepas!

Lalat tertinggi dan lalat terendah di dunia.

Yeeee haaaa!!!!

Feb 8, 2011

Saya bukan along, saya cuma nak tolong!

"Kita sekarang macam hidup dengan minda Yahudi dan Nasrani." Dahi saya berkerut buat seketika mendengar pernyataan itu. Kelas Bahasa Arab kami bertukar arah buat seketika apabila ada rakan seperguruan bertanya tentang isu penyakit masyarakat yg begitu membimbangkan.

"Minda materialistik. Itu yang saya maksudkan." Sambung Ustaz menjelaskan kekeliruan.

"Masa belajar lagi adik-adik dan anak-anak kita dah terlibat dengan hutang. Belum dapat kerja dah kena bayar hutang. 40-50 ribu tu biasa je untuk pinjaman pelajar IPTA dan IPTS."

"Kalau boleh, janganlah biarkan mereka buat pinjaman untuk belajar. Seawal mungkin kita sebagai mak ayah, menabunglah untuk pelajaran mereka. Biar mereka berhutang dengan kita, jangan dengan bank dan kerajaan." Saya faham maksudnya. Bunganya lebat walaupun tak dibubuh baja. Gugur buahnya sewelkan kepala, sakitkan jiwa. Itulah bunga dan buah hutang/pinjaman.

"Tahu tak kita duit siapa yang digunakan untuk beri pinjaman tu?" Duit kita lah jugak, kan? Saya berbisik sendiri. Tumpuan saya penuh pada butir bicara ustaz.

"Duit orang ramai. Duit mereka yang bayar cukai. Ramai tu." Dia menarik nafaz. Menahannya seketika dan melepaskan perlahan.

"Kalau tak mampu bayar, dengan siapa anak-anak dan adik-adik kita nak mintak halal? Larat ke nak mintak orang halalkan apa yang dah dibelanjakan, tapi tak bayar? Oklah... Iklan dalam surat khabar, mintak dihalalkan. Selesai ke?"

"Kalau tak dihalalkan, macam mana? Tak selesai jugak! Kan?" Suaranya ditekankan.

"Saya bukan nak kempen supaya hutang pinjaman dijelaskan cepat. Saya terpanggil untuk mengingatkan supaya kita menabung bagi pelajaran anak-anak. Lagipun, sebenarnya anak-anak sekarang bukannya guna duit pinjaman untuk belajar pun!"

"Masuk je duit loan, mulalah intai motor. Kalau beli motor yg pakai air paip untuk bergerak tak pe lah jugak. Ini guna petrol. Duit lagi. Dah le harga petrol naik berkali-berkali. Itu satu. Lepas tu beli laptop. Budak-budak sekarang tak pandai berkongsi lagi lah. Laptop mesti sorang satu. Adik tak akan pakai yang kakak abang punya, mesti beli yang lain, yang baru pulak tu. Satu lagi handphone. Tukar ikut trend terkini. Kadang tu ada lebih dari satu. Top up tak payah kiralah. Haaa... itulah sebenarnya cara duit pinjaman tu digunakan. Berapa peratus sangat dari duit tu yang digunakan untuk beli buku, bayar yuran, belanja makan." Setuju!!! Jeritan itu hanya bergema di minda dan dada. Saya mengangguk pantas.

Saya teringatkan zaman saya di universiti dulu. Beli komputer kongsi 4 orang. Desktop, bukan laptop (Laptop masa tu cukup mahal, RM6K lebih kurang). Guna untuk buat assignment je. Sesekali melepaskan tension main game. Nak ke kuliah, jalan kaki. Walau panas terik, atau hujan, memang itulah pengangkutan utama saya. Berat badan saya masa tu hanya 40kg saja (eherrmmm... sekarang dah terlebih 10kg). Tak perlu diet, tak perlu jogging. Jimat belanja, kesihatan terjaga. :D

4 tahun saya belajar, jarang sekali saya ke bandar untuk shopping. Kalau keluarpun, untuk beli tiket balik kampung, bukan untuk bersuka ria. Selalunya kirim pada kawan mintak tolong dibelikan. HP? Bila saya kerja di syarikat telekomunikasi, barulah saya mula guna hp. Satu nombor saja, dari dulu sampai sekarang. Berbeza sekali dengan cara berbelanja remaja sekarang.

Hasilnya, tamat belajar, duit pinjaman saya masih berbaki.

"Ajarlah anak-anak erti kesusahan, agar mereka punya lebih daya tahan bila menghadapi dugaan masa depan. Biasakan mereka dengan sedikit kepayahan agar mereka tahu mengucapkan kesyukuran. Tanamkan dalam minda mereka, pinjaman bukan penyelesaian masalah tapi pencetus masalah." Pesanannya diluah satu persatu.

"Minda Yahudi, minda materialistik. Atas dasar kemahuan, kita buat pinjaman untuk memenuhi keinginan nafsu. Untuk menjelaskan hutang, kita kerja siang dan malam. Bila itu berlaku, hilanglah keseimbangan dalam kehidupan. Dunia di kejar, akhirat di tinggalkan. Tak kan kita nak itu berlaku pada anak-anak kita yang diharapkan menjadi saham akhirat bila kita tiada nanti?" Suasana tenang. Masing-masing melayan fikiran. Ia cukup berbekas di hati saya. Rasanya mereka yang lain juga begitu.

Pinjaman, penyelesaian jengka pendek, permasalahan jangka panjang.

Ustaz, terima kasih atas ingatan dan perkongsian.

Jan 18, 2011

Jom Kejar Bonus Berganda!!!

"Masa muda, belum kahwin, tumpuan lebih pada kerjaya sampai tak ada masa nak beribadat. Yang wajib pun tak sempurna, yang sunat tak payah cerita la..."

"Bila baru kahwin, sayang pulak nak tinggal isteri untuk ke masjid atau majlis ilmu. Alasannya, siang dah kerja, malam je ada masa nak luangkan masa dengan isteri tercinta."

"Bila dah dapat anak, lain pulak alasannya. Anak kecil lagi, suka menangis. Susah nak menyusukan anak. Bila anak besar sikit, alasannya anak lasak, susah nak dikawal. Bising. Nak beribadat pun tak tenang. Lalu jawapannya bila diajak, tunggu anak besar sikit."

"Bila dah besar, sibuk hantar anak tiusyen. Malam pun ada kelas tambahan. Hantar dan ambik sendiri. Saya akui kecemerlangan anak harus diasah dari awal tapi tak kan darjah 1 atau 2 pun dah hantar!"

"Bila anak remaja, kerjaya pulak tengah naik. Sibuk dengan urusan pejabat dan meeting yang tak sudah. Belum ada masa lagi nak ke masjid. Lepas tu bila anak dan kerja, kahwin dan dah mula ada cucu, sibuk lagi....Bla... Bla... Bla..."

"Sentiasa sibuk dan beralasan. Bila pulak kita nak luangkan masa untuk Allah? Kalau kita nak pergi kerja atau interview pun, kita buat persediaan. Paling tidak, dari segi penampilan. Tapi cuba tanya diri sendiri. Setiap hari masa untuk berjumpa dengan Allah dah semakin hampir, apa persediaan kita?"

"Bagi yang kerja bermajikan, kita dah tahu hari apa nak kerja, dari pukul berapa sehingga pukul berapa. Bagi yang bekerja sendiri, lagi banyak masa kita habiskan untuk berusaha. Semuanya untuk masa depan kononnya. Nak kena bersiap sebelum pergi kerja. Nak jumpa customer pun kena bersedia. Tak kan nak jumpa dengan Allah kita tak nak bersedia?"

"Contohnya doktor yang on call, kena sentiasa bersedia untuk dipanggil bertugas. Dengan Allah, kita on call jugak. Bukankah itu bermakna kita perlu persiapkan diri sebaik mungkin? Nak bersolek untuk Allah, tak perlukan alat solek yang mahal, hanya basahkan diri dengan wuduk sentiasa. Nak buat Allah sayang kita bukan perlu duit dan harta melimpah ruah, cuma selalulah sebut namaNya, selalu ingat pesanNya, selalu ikut perintahNya. Nescaya kasih sayang Allah pada kita berganda-ganda balasannya. Bonus yang Allah bagi tak akan mampu dihitung dengan angka. Dah tu, tak kan kita nak buat tak tahu je?"

Nota : Sedikit olahan kembali dari ceramah yang saya hadiri. Saya pernah melalui beberapa fasa yang disebut. Terasa pipi pedih seolah ditampar. Tertunduk merenung diri yang penuh dengan alasan, lemah menahan bisikan yang mahu saya melengahkan hasrat melakukan perubahan. Ampun ya Allah!!..

Setiap tahun satu angka dalam usia kita akan bertukar. Itu bermakna masa kita semakin hampir kepada penamat. Saya on call. Kalian juga. Bila-bila masa kita akan di panggil mengadapNya!

Jan 10, 2011

Who am I?

3 tahun menyertai kelas talaqi di MSSAAS, untuk membetulkan bacaan Al-Quran. Saat hati menetapkan untuk menyertai kelas tarannum, saya berpaling tadah bila mendengar pendapat dari beberapa orang ustaz yang menyatakan kebaikan mempelajari Bahasa Arab, bahasa ahli syurga. Memahami apa yang diungkapkan, akan membuatkan alunan Al-Quran lebih berkesan di hati. InsyaAllah.

Kelas pertama telah berlalu minggu lepas. Seawal perkenalan dengan Ustaz Zainuddin, kami telah diserahkan tugasan untuk menceritakan tentang 5 karekter diri yang mahu dikongsi. Lalu terhasillah esei berikut;

Siapa saya?

Saya seorang yang mementingkan ketenangan. Saya percaya kesederhanaan dalam segala urusan akan membuatkan saya melalui hidup dengan tenang. Sesungguhnya Allah dan Rasulullah telah menegaskan agar kita sentiasa bersederhana. Jika berbelanja, elakkan pembaziran. Jika makan, jangan keterlaluan. Jika berkawan, biarlah bersempadan.

Ada ketika saya agak sensitif. Mudah marah, sedih dan berkecil hati. Tapi amat mudah memaafkan. Penting untuk mencari silap sendiri terlebih dahulu. Dengan cara begitu, maaf mudah di hulurkan, walaupun tidak diminta. Ianya amat senang dilakukan jika sedar ada bisikan syaitan yang memainkan peranan cuba merosakkan hati dan hubungan. Sesungguhnya segala keburukan itu adalah kelemahan saya sendiri.

Saya suka menulis. Itu cara untuk meluahkan apa yang saya rasa dengan lebih tepat. Ia memberikan saya masa untuk menyusun bicara dan memilih ayat yang lebih sopan dan tidak menyakitkan. Bimbang andai ada kata yang menyinggung perasaan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Pantang mengalah sebelum mencuba. Tak ada yang mustahil jika Allah mengizinkan. Lalu, saya yakin kita harus menjadi hamba yang meminta. Berdoa dan merayu sentiasa, hanya dari Allah Yang Maha Berkuasa. Selebihnya biarlah Dia yang menentukan adakah saya layak untuk menerima apa yang diminta.

Setia? InsyaAllah. Saya berazam mahu mengekalkan diri dengan prinsip itu. Setia pada Allah, pada Rasulullah, pada suami dan keluarga tercinta. Itu merupakan tiket untuk menghidu bau syurga. Benarkan begitu ustaz? :D

Saya cuba untuk buat seringkas mungkin, kerana di akhir tahun nanti, Ustaz Zainuddin mahu esei ini perlu dilakar kembali dalam bahasa Arab! Aduhai.... Mampukah saya?

Yang pasti, ia tak mungkin dapat dihantar seperti yang diarahkan, kerana kelas ini, hanya mampu saya hadiri buat seketika cuma. :(

Note: Yessss!!!... entry ke 2 saya dlm bulan ini! hehe...

Jan 7, 2011

Pembuka Selera

Assalamualaikum!..

Banyak yang ingin saya tulis, tapi sebanyak itu juga halangannya.
Banyak suara yang bergema di minda, tapi tarian jari serba tak kena.
Ahh... alasan.

Sungguh diri ini berharap ada sesuatu yang boleh dikongsi setiap hari. Menulis walaupun sebaris ayat, tapi biarlah ianya boleh menjana minda agar hidup lebih bererti.

Saya mahu menulis seperti Bluehikari, ringkas bersahaja tapi penuh erti.

Saya mahu berkongsi cerita seperti pasangan Prof Kamil dan Pn Roza, bicaranya simple tapi menarik sekali apa yang dilakar.

Saya mahu mengarang seperti Ustaz Pahrol, sesekali ulas tintanya cukup indah dan penuh makna.

Saya mahu sesekali berceloteh (bukan repekan meraban) seperti Tawel, biarpun isunya biasa, tapi mampu memecah deria pemikiran kita.

Saya mahu berkongsi ilmu seperti Kak Kujie, tapi banyak yang saya tak reti.

Ramai orang kata, jadilah diri sendiri, tak perlu mengikut cara sesiapa. Menulislah mengikut kata jiwa, berkongsi cerita bila mahu, meluah rasa bila perlu.

Saya mahu menulis lebih banyak dari tahun lalu. Itu azam tahun baru. (Azam macam ni, boleh diambil kira ke? Ahaks...)

Sekian, entry pembuka selera. Andai kerajinan berkekalan, keazaman berterusan dan kelapangan masa diizinkan Tuhan, saya berharap blog ini akan dilawati lagi oleh kalian.

Sebagai tatapan, terimalah pencuci mata (gambar je kan) hasil tangan saya.... ketupat sotong!!!!