"Kat sekolah aku sekarang ni pun dah ada cucu angkat." Kata Misah tiba-tiba bila kami bercerita tentang masalah sosial di kalangan remaja. Keningku berkerut. Isyarat meminta penjelasan atas pernyataan yang dibuat.
"Ye lah... dah anak murid dapat anak. Maknanya kami cikgu-cikgu sekolah dapat cuculah." Sambungnya lagi.
"Anak murid kau dapat anak? Anak terlanjur?" Soalku meminta kepastian. Dia mengangguk.
"Budak tingkatan 4. Mangsa cinta monyet." Jelasnya lagi.
Astaghfirullah.....
***************************************************************
"Macam mana praktikal? Ok? Jumpa kes pelik-pelik tak?"Aku bertanya, ingin tahu. Sesekali berjumpa, aku memang akan bertanyakan perkembangan pelajarannya.
"Pelik? Erm... Ada budak tingkatan dua bersalin kat hospital tu. Anak luar nikah. Ish... geram pun ada, kesian pun ada." Katanya sambil mengeluh perlahan.
"Abih tu... Ana sambut kelahiran dia ke?" Tanyaku lagi.
"Tak lah. Ana tengok yang dah bersalin je."
"Anaknya? Sapa jaga?"
"Tak tahu." Jawabnya ringkas.
****************************************************************
"Su nak ambil anak angkat tak?" Tanya Kak Ha, teman sepengajian di MSSAAS.
"Ehh... Kenapa akak tiba-tiba tanya tanya Su ni?" Hairan. Soalan berbalas soalan.
"Tak de lah. Saja tanya. Su tak de anak lagi kan? Jadi kalau Su nak, akak ada baby yang bakal lahir." Jawabnya menjelaskan.
"Mak budak tu kenapa? Tak nak ke?" Aku bertanya lagi. Keinginanku menjadi ibu bukan bermakna aku akan menyanggupi untuk mengambil bayi orang sebagai anak angkat begitu saja tanpa usul periksa.
"Belajar lagi. Student U." Jawabnya teragak-agak.
"Kawin masa belajar?" Tanyaku meminta kepastian. Manalah tahu, kalau-kalau ibu muda itu mahu menyerahkan anaknya kerana mereka suami isteri sama-sama masih belajar.
"Sebab tak kawinlah, nak cari keluarga utk anaknya." Aku terdiam. Kes terlanjur dengan kekasih rupanya.
*****************************************************************
"Masalah sosial di kalangan anak-anak remaja kita sangat kritikal. Sedarkah kita yang anak-anak kita terlalu banyak terdedah dengan segala bentuk pengaruh buruk yang sukar nak di kawal? Media massa, TV, majalah, internet, pergaulan dengan kawan-kawan dan banyak lagi. Malah handphone sekarang pun tak boleh nak percaya lagi. MMS, 3G, adalah agen buruk yang diluar kawalan kita." Bilah-bilah kata dari ceramah Ustaz Riduan Tee begitu jelas kedengaran. Jemaah lain juga tekun mendengar. Kerutan di dahi para ibu jelas kelihatan.
"Tahukah tuan-tuan yang satu kajian telah dilakukan dengan mengambil satu kumpulan remaja perempuan di Klang (atau Lembah Klang... saya tak ingat). Percaya tak tuan-tuan, dari 50 orang pelajar, hanya 7 orang saja yang masih virgin, masih dara? Saya pun tak percaya, tapi itulah keputusan dari kajian yang di buat. Boleh tuan-tuan bayangkan seburuk mana tahap akhlak anak-anak remaja sekarang? Anak-anak kita? Tak bimbangkah tuan-tuan?" Tegas dan keras bunyinya. Bercampur sebak, sedih dan kecewa. Aku terpaku mendengarnya. Bimbangku bersarang.
"Tak kan tak ingat kisah-kisah kaum Nabi Luth, Nabi Musa dan ramai lagi kaum terdahulu yang musnah akibat penyakit akhlak dan akidah yang menular? Musibah yang menimpa mereka tak mustahil akan berlaku pada kita jika kita leka dan sibuk dengan dunia sehingga mengabaikan jagaan dan pendidikan agama untuk anak-anak!" Lantang. Cukup menakutkan.
Ya Allah... apa yang dapat aku lakukan untuk menyelamatkan generasi muda yang sedang menuju kemusnahan ini? Pastinya tak cukup dengan doa...
****************************************************************
Di mana harus kita mulakan? Mungkinkah di awal perkahwinan? Rasanya tidak perlu menunggu sehingga itu. Dan yang telah pun bermula, telahpun melayarkan bahtera rumahtangga, haruskah kita biarkan tanpa manual dan panduan? Membiarkan saja nakhoda mengemudi mengikut upaya yang ada? Bukankah co-pilot (isteri dan ibu) juga perlukan ilmu?
Tangan kita adalah tangan yang menghayun buaian, tapi tangan inilah juga diakui mampu menggegarkan dunia. Saya yakin tangan kita juga mampu menghentikan gegaran yang mungkin memusnahkan dunia.
Bagaimana?
Mungkin menyertai Kursus Bimbingan Keluarga Bahagia adalah langkah yang harus kita mulakan. Terutamanya mereka yang berada di Lembah Klang. Hanya sebulan sekali dan hanya beberapa jam saja masa yang harus kita peruntukkan mengutip ilmu yang bakal di curahkan. Sukarkah untuk kita lakukan?
Mar 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
18 comments:
Adoi....itulah yang membimbangkan. Masa kecik2 ni memanglah mana2 ibu pun akan didik seberapa baik yang mungkin.
Tapi bila dah keluar, belajar atau hidup sendiri, hanya doa kami , ibubapa saja yang dapat mengiringi mereka2 ni.
Rasa sedih, marah, dan bimbang melihat kerenah remaja yang terlalu bebas. Harap dan berdoa agar semua keturunan kita terpelihara.......
Tie...
Kita membina asas akidah masa mereka kecil dan remaja, masa mereka masih berada dalam 'ketiak' kita. Moga itu akan menjadi kekuatan untuk menahan pengaruh buruk yang wujud di sekitar mereka.
Ops... dalam ketiak pulak. di bawah ketiak lah... hehe... sorry.
Salam Kak Su.
Masalah sebegini di negara kita memang sudah terlalu parah. Abqori sendiri dapat rasakannya ketika pulang tempoh hari. Melihatkannya membuatkan Abqori rasa perlu segera pulang berkhidmat menyedarkan masyarakat, tak lupa diri sendiri. Namun apalah dayanya sedangkan diri ini masih cetek ilmunya.
Kalau dulu hal ini mungkin hanya berleluasa di kawasan-kawasan bandar, sekarang ia juga telah sangat-sangat menular ke kawasan di luar bandar.
Semuanya perlu berganding tenaga dalam menanganinya. Bukan hanya menyerahkannya kepada para ulama dan ustaz-ustaz, bahkan ibubapa, guru-guru dan yang paling utama sekali kerajaan. Rancangan-rancangan hiburan yang melampau patut dihentikan. Tak salah berhibur, namun carilah hiburan yang dibenarkan. Tapi kalau berhibur sehingga adanya percampuran lelaki dan wanita, apalah yang dapat kita jawab nanti di hadapan Tuhan.
Suasana beragama juga amat-amat perlu diwujudkan di mana-mana sahaja. Kerana tanpa suasana ini amat sukar sebenarnya untuk kita membentuk diri kita dan tanpanya jugalah kita mudah kecundang dalam melawan hawa nafsu kita.
Salam Abqori...
Lega hati kak su bila tahu hasrat dan semangat yg abqori miliki. Memang kak su berharap dan berdoa agar ada ramai lagi yang berjiwa dan bercita-cita seperti Abqori.
Kak su bersetuju dgn Abqori, gandingan semua lapisan masyarakat dari pelbagai peringkat amat perlu. Hiburan perlu dikawal. Rancangan di TV adalah permulaan, sbb disitulah bermulanya pengaruh awal pada anak-anak.
Sesekali terfikir, patutkah kita lancarkan kempen boikot Astro? Dari berpuluh-puluh channel yg ada di Astro, berapa channelkah yg memberi kesan positif pada minda anak-anak yg sedang membesar? Dan berapa pula yg menyiarkan siaran negatif ataupun siaran yg melekakan tanpa motif? Seperti rancangan kartun yg menjadi kegemaran kanak-kanak? Ada sesiapa yg boleh memberi penilaian untuk setiap channel yg ada?
Erm... kak su tak de Astro, jadi tak boleh nak buat kajian atau menilainya secara terperinci.
salam kak su yang dirindui ^^
ikutkan nafsu,lesu...
rasa takut nak balik Malaysia....tak tahu macam mana nak berinteraksi dengan golongan2 ini sewaktu bekerja nanti...aduhai...
Salam Damai sayang...
Malaysia perlukan Damai, baliklah dgn hati yang tenang. Setiap hari itu Allah sediakan pelajaran dan pengajaran. Cuma kita yang perlu menapis sebaik mungkin, agar apa jua yang datang hanya akan membuatkan diri semakin teguh berpegang pada tali ALlaj.
Bila Damai dah mula bekerja di hsp nanti, pasti punya banyak cerita dan pengajaran yg Damai boleh kongsi.
salam kak su..
♥ along nak demam nie.. ♥
♥ huhu.. kak su sihat ker? ♥
♥ lama tak nampak kak su.. ♥
♥ hurm.. isu yang panas skang nie.. ♥
♥ buang anak.. ♥
♥ ikutkan hati binasa.. ♥
♥ hanya kiter jer yang dapat mencorakkan baik buruk kiter.. ♥
♥ kiter tak bleh nak salahkan sesiapa.. ♥
♥ tepuk dada.. tanya iman ♥
parent bz carik duit..tak sempat nak 'bermain-main' dgn anak2.. :(
salam kak su yang dirindui..
kak su, hari tu kawan saya mahu memperkenalkan saya dengan sahabat dia..dia kata, "yang ni lain, aku kalau nak carikan dia pasangan, kena yang macam kau". awalnya, saya hairan. tapi, bila dia sambung, "sebab bdak rumah aku 9 orang, 8 orang dah tak teruna dah. yang sorang ni memang jaga sikit bab tu".
bayangkanlah kak su, sampai macam tu sekali. punyalah terkejut saya. inilah dunia akhir zaman. minta Allah s.w.t sentiasa menjaga iman saya, merahmati saya dan menjauhkan saya dari maksiat dan kemurkaan-Nya..aminn~
Salam along...
Demam ye? Alahai... cepat-cepat cari ubat sebelum melarat.
Semua orang tahu yg ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tapi kalau dah cinta, mata hati dan deria rasa dah jadi buta. Sudahlah iman senipis kulit bawang, carik pulak tu. Sudahnya hangus oleh api dosa, melayang entah ke mana.
====================
Combi...
Haa... betul tu. Tetiba su teringat satu kisah ttg sibuk cari duit ni. Nantilah su jadikan entry.
====================
Eleeyana... salam rindu kembali buatmu dik...
Aduh... ternganga kak su baca kisah eleeyana. Lelaki, sukar nak tahu mereka teruna atau tidak.
Dan kalau dah tinggal satu rumah, bercerita ttg siapa yg masih teruna dan siapa yg dah hilang teruna, kak su terbayang yg mereka bercerita dgn bangga. Bangga bila mereka dah hilang teruna, rasa hebat bila mampu memujuk gadis menyerahkan diri untuk dicemari.
Siapa yg rugi di sini? Gadis.
Nauzubillah...
Eleeyana sayang, jaga diri, jaga iman. Jangan menyintai lelaki sebelum waktunya. Bila waktunya? Bila diri telah diikat oleh satu lafaz akad.
salam..
dengan 'suasana' sekarang ni, rasa mcm takut pon yer juga untuk ada anak.
takut dengan arus yang deras itu.
Salam fieza...
Samalah kita... bimbang, kan? sebab itulah kita kena siapkan diri dengan segala ilmu yg seharusnya ada dalam diri sebelum menjadi seorang ibu. Agar didikan anak-anak boleh dimula seawal dalam kandungan lagi.
InsyaAllah, jika yang dipilih adalah jalan Allah, pasti kita akan selamat dunia dan akhirat. Anak-anak juga akan terjaga akidah dan imannya....
Salam kak Su..
Apa kabar? Lama tak tinggal komen. Apapun kak Su rajin menulis. Mabruk ya!
Tentang fenomena ini, amat membimbangkan. Malah suami saya sendiri sejak kerja di Wad kecemasan hampir setiap hari menceritakan kes yang membabitkan kes polis i.e rogol, cabul dan seks bebas. Kebanyakan kes rogol sebenarnya adalah suka sama suka tetapi sebab ada masalah, lapor polis. Kebanyakannya anak gadis 14 tahun! Bayangkan kak. Dan kebanyakan mereka sudah biasa bertukar pasangan.
Astaghfirullah.
Semoga Allah membantu kita memimpin mereka. Dari keluarga semuanya bermula. Itu yang Ulama' dan para SalafSoleh tekankan.
Hadakumullah!
Salam adikku AlQasam...
Alhamdulillah, kak su sihat berkhasiat... ops... sihat walafiat. :)
Astaghfirullah...
Pasti Dr suami tertekan jugak kan? Ye lah, melihat sendiri fenomena yang menakutkan dalam masyarakat kita.
Moga Allah berikan kesedaran buat kita semua... tentang tanggungjawab yang harus diutamakan.... kesedaran yang mampu menggerakkan diri untuk berubah mencari jalan Allah.
Salam Kak Su,
Remaja2 Melayu sekarang ni hidup dah macam anak orang putih, bebas tanpa ada erti hidup yang sebenar. Apo nak dikato...
Moga2 Allah sentiasa beri hidayah pada kita, InsyaAllah...
tambahan:
Masa saya praktikal dulu pun samalah, kes2 macam ni memang banyak, masuk wad kata sakit perut, bila check air kencing, positive mengandung. Senyap jer, budaknya, dah tahulah kot...
Udahnya, doktorlah kena pandai handle benda2 ni, kalau masih bwh umur, walaupun buat dgn rela hati, masuk kes juvenile, masuk mahkamahlah doktor bagi keterangan... itu kalau parents nya nak juga buat dakwaan.. peningkan masyarakatkan? Moga menjadi pengajaran buat saya dan semua. Takut sebenarnya kes2 camni, isk...
Wallahua'lam...
Nau'zubillahiminzalik...
Salam Balqis sayang...
Tanggungjawab sebagai seorang doktor kadang tu membuatkan diri berada di persimpangan kan?
Rasanya selain merawat pesakit, doktor kena buat kaunseling dan dakwah pd masa yg sama... mungkin selitan semasa rawatan. Mencetuskan sedikit rasa sedar dan kesal dlm diri mrk. Tapi tu tak cukup, kena tunjukkan jalan untuk perbaiki kesilapan, kalau tak ia akan terus berulang dan berulang.
Sedih, kan?
Post a Comment