Dec 18, 2007

Rindu...

Tiba-tiba Ira rasa ingin tidur diribaan mak. Kerinduan pada arwah terlalu sarat. Teringat wajah mak yang kemas berdandan. Senyuman mak yang murah dan layanan mak yang ramah. Ajaran mak yang lembut menyapa hati, memang berkesan.

Ira masih ingat lagi satu peristiwa yang menyebabkan Ira di marah. Ira dipukul mak dipaha. Pukulan yang langsung tak menyakitkan, tapi Ira menangis sampai tersedu. Anak manja mak memang murah dengan air mata.

“Adik sakit ke bila mak pukul tadi?“ Mak tak tahan bila melihat tangis Ira tak mahu berhenti. Rasa bersalah menyelimuti hati tuanya. Ira perlu dipujuk. Ira diam, cuma sendu yang masih tinggal.

“Mak pukul adik tadi sebab adik memang salah. Tapi mak pukul berlapikkan tangan mak yang satu lagi. Sakit jugak ke?“ Ira terdiam. Baru dia perasan yang pukulan mak langsung tak meninggalkan kesan sakit pada pahanya. Satu tangan memukul, dan satu tangan lagi menahan kepedihan dari menyentuh kulit anak kecil itu. Begitu lembut cara ajaran mak. Menghukum adalah perlu tapi biar nyata alasannya dan dalam masa yang sama melindungi anak kecil itu dari disakiti.

“Mak pukul tak sakit tapi bila mak pukul, adik rasa macam mak tak sayang adik.“ Ira akhirnya bersuara. Hatinya rasa sedikit terpujuk. Sungguh Ira rasa seolah bukan dirinya yang dipukul, tapi hatinya dan kerana itulah tangis Ira jadi panjang.

“Mak sayangkan adik. Mak nak adik tahu apa yang boleh dibuat dan apa yang tak boleh. Cukup kalau adik tahu yang adik salah dan kalau salah memanglah kena hukum. Jadi lain kali adik kena janji tak buat macam tu lagi. Tak kan mak nak pukul sampai adik sakit.” Mak menerangkan sebab disebalik tindakannya tu.

Ira rindu mak. Rindu yang tak mungkin terubat. Selalu membayangkan bagaimana layanan yang dia boleh dapat kalau mak masih ada. Ira pasti akan jadi anak manja mak yang sama. Yang penuh dengan air mata. Tentunya setiap perkara yang berlaku dalam hidup Ira, akan dirujuk pada mak, mengadu pada mak, bercerita pada mak. Pasti mak ada cara untuk menenangkan hati resah Ira. Mak akan pujuk bila Ira merajuk, peluk bila Ira sedih, menghadiahkan ciuman rindu dipipi dan dahi Ira bila lama tak bertemu.

Ira ingin sekali bertemu mak, walaupun hanya dalam mimpi. Tapi tak sekalipun mak pernah singgah membelai mimpi Ira, sehinggakan Ira selalu berfikir yg mak pergi dgn perasaan kecewa kerana sikap Ira yang degil. Mungkin kerana itu, mak tak mahu menjengah Ira, walaupun hanya dalam mimpi. Ira sayu. Rindu Ira tak pernah terubat. Sesekali rasa semacam membeku dalam diri. Tak mampu dilepaskan.

“Ira bacalah surah Ad-Dukhaan selalu. Ia akan menemukan Ira dgn mak di akhirat nanti. Insyaallah.“ Suara Kak Yus bergema.

“Surah Al-Mulk akan menemani Ira di alam kubur. Ira kena baca jugak tau. Kalau boleh setiap hari. Kita tak mungkin tahu bila kita akan mati. Jadi kita harus sentiasa bersedia.“ Kak Yus menyambung lagi. Kak Yus memang selalu menggunakan kesempatan yang ada bila bertemu Ira untuk menyampaikan apa yang dirasakan amat perlu dalam usaha Ira untuk mencari apa yg dia mahukan.

Ira buat. Dalam masa yang terbatas, Ira cuba mencuri masa mengikuti nasihat Kak Yus. Membaca apa yang termampu dan sempat. Ira benar-benar mahu menjadi anak yang baik, walaupun ianya telah terlambat kerana mak telahpun pergi menemui penciptanya lama dulu. Ketika itu Ira baru berada di permulaan umur pembentukan peribadi, di usia remaja yang penuh dengan kekeliruan yang tak terbatas.

Perginya bonda tersayang telah membuatkan Ira merasa benar-benar keseorangan. Bersendirian. Kesepian. Ayah mencari pengganti semasa tanah di kuburan masih merah. Kakak-kakak Ira telahpun melangkah ke alam baru, alam rumahtangga yang dunianya nyata berbeza dengan dunia Ira.

Sedih. Ira mahu lari dari segalanya... Lari dari kenyataan bahawa dia tak punya sesiapa lagi selain dari diri dan bayangannya.

No comments: