Dec 27, 2007

Pulangku

Sekian lama aku mencari jalan pulang. Langkahku kaku, badanku lesu. Aku tak mampu melangkah tanpa di papah. Dulu, sesekali hati berdoa, agar akan ada insan yg mampu mampir, memujuk hati yg mati. Menyiram rasa dlm diri, agar sedar mampu mekar dan segar. Agar diri akan kembali melangkah, meredah duri mentah yg sering menagih darah, menunjukkan arah berbekal cahaya cerah.... Sungguh aku mahu pulang! Pulang ke daerah aman yg mampu membekalkan aku kekuatan kasih Ar-Rahman!

Entah dari mana bermula, aku memulai langkah PERTAMA. Mengharapkan agar yg pertama ini akan mengubah arah hidupku. Mengisi diri dengan apa yg mampu, agar kekosongan hidup akan berlalu.

Aku resah, hatiku gundah... sungguh aku pasrah... Dalam mencari makna cinta yg gagah, aku masih rebah. Bangun berdiri, cuba berjalan dan berlari sendiri, tapi soalan tentang masa depan yang tak pasti sering menghimpit hati.

Berpandukan cintaMu yg telah diserah, berbekalkan keyakinan tentang kuasaMu Tuhan Al Fattah, doaku melimpah ruah. Beralaskan keikhlasan yang dibentangkan, aku cuba mencari jawapan tentang rahsia kehidupan, tentang apa yg harus ku lakukan.

"Ya Allah Ya Hadii... Untuk setiap keputusan yang ku buat, untuk setiap langkah yang ku atur, untuk setiap tindakan yang ku pilih, berikanlah petunjukMu, agar aku tidak tersalah laluan, agar aku tidak tersilap jalan." Saban masa aku berdoa... dan sungguh hanya itu yang aku lakukan. Agar Dia yg akan membuat keputusan, membetulkan apa yang mungkin terpesong, membaiki apa yang mungkin melencong.

Sungguh aku tak takut lagi pada kehilangan. Aku redha bersendirian dan kesepian jika itu yang Kau takdirkan. Namun aku tak idamkan perpisahan. Aku cuma bimbang hati ini terdorong untuk kembali pada kegelapan bila kesunyian yang mengjimpit membuahkan bisikan dari syaitan yang kejam. "Ya Allah Ya Waliyy... lindungilah daku dari kejahatan yang Kau ciptakan untuk menguji iman hambaMu yang amat lemah ini..."

"Ya Allah A Aziiz... Kuatkanlah hatiku. Aku mahu mengejar impian untuk menjadi hambaMu yang teguh iman, mencari jalan pulang, bersumbukan cahaya keikhlasan, menumpang kasih dan cinta insan, berpaksikan panduan dariMu, ya Tuhan."

Aku yakin... dengan keikhlasan, aku mampu menahan kesakitan, pedih hati aku akan beransur hilang. Aku akan mampu memiliki kekuatan, aku mampu mengejar impian dalam diam. Kerana suara hatiku, tak akan ada yang tahu kecuali Allah Yang Satu.

Aku cuma insan yg dulunya sesat dlm perjalanan, mencari kekuatan sebagai bekalan, kerana sedar lambat laun diri ini harus mengadap Tuhan. Aku mahu berusaha melengkapkan diri sebagai hamba pada Yang Abadi, agar pulangku padaNya nanti dengan wajah berseri. Aku tahu diri tak layak sebagai penghuni syurga, tapi aku tak mahu menjadi penghuni neraka.

"Aku ingin berjuang untuk agamaMu Ya Rahman, berjihad dgn cara yang sesuai mengikut kemampuan dan zaman. Ingin disokong dan menyokong, ingin didorong dan mendorong. Memberi dan menerima, berkongsi kekuatan jika ada."

Pengalaman hidup yang silam, ingin sekali dicurahkan, mengharapkan yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan, kesilapan lama di perbetulkan, agar hidup melimpah dgn keberkatan, kerana sesungguhnya kita manusia biasa yang tak boleh lari dari kesilapan.

"Ya Allah Ya Azhiim... Ya Allah Ya Mujiib... Aku sujud padaMu Ya Rahiim, dengan kejernihan titisan airmata aku berdoa bersama keikhlasan yang memenuhi dada, berikanlah kebahagiaan dunia dan akhirat pada kami semua.... Doa yang ku seru bagi diriku dan setiap insan yang kukenali, kabulkanlah selagi ia membawa kebaikan, jangan Kau perkenankan doaku kalau ianya membawa keburukan... Sesungguhnya Engkau lebih tahu mana yang terbaik untuk hambaMu...

Ku mohon padaMu Ya Akhiiru Ya Waduud, terimalah kepulanganku ke sisiMu dan bersihkanlah hatiku dengan cintaMu..... "

No comments: