Dec 30, 2007

Pesan Bonda

Ira melangkah memasuki office dengan bacaan Bismillah. Berdoa agar hari ini dia akan berjaya melalui segalanya dengan tabah. Berharap agar rezeki yang diperolehi nanti akan diberkati, dengan keazaman untuk membelanjakan pendapatannya ke arah kebajikan. Berkongsi rezeki yang diberikan oleh Allah bila berpeluang, seperti pesanan arwah ibunya.

Ingatan Ira terhadap ibunya menyapa minda.

“Mak, Mak Nab tu gila ke mak?“ pertanyaan yang entah ke berapa kali dikemukakan pada ibunya.

“Adik, tak baik cakap orang gila tau. Ingat pesan mak, jangan sebut perkataan tak elok pada orang.” Kata mak tak puas hati dengan bahasa yang digunakan oleh anak kecil itu.

“Abih tu, kenapa dia kadang tu adik tengok selalu cakap sorang-sorang. Mandipun siap kira lagi. Jarang mandi, tapi kalau mandi, punyalah lama. Adik tengok dia kira tau mak. Agaknya dia nak bagi cukup 40 baldi kot?” Ira menyatakan apa yang terlintas difikirannya tentang kelakuan Mak Nab yang agak luar biasa pada pandangannya.

“Tak tahulah dik. Biar je lah. Itu urusan dia.“ Kata mak tak ambil kisah.

“Kenapa dia tak keje? Dia tu sihat je adik tengok. Boleh berjalan kaki berbatu-batu lagi. Kalau dia keje, mesti dia boleh buat belanja hidup dia. Tak payahlah dia merayap dan menumpang rumah orang merata-rata. Ini tidak, makan pun nak harapkan belas kasihan orang je.” Ira terus mengemukakan pendapatnya.

“Manalah mak tahu. Mungkin dia ada penyakit ke. Kita mana tahu, kan?” Kata mak cuba memberikan pandangan.

“Kenapa mak baik sangat dengan Mak Nab tu? Perangai dia pun bukannya baik sangat. Kalau dia tak gila, kenapa dia tak pernah sembahyang? Adik pernah dengar mak suruh dia baca Fatihah, dan dia boleh baca elokpun. Kalau tak ada kain sembahyang, kita boleh bagi, kan?” Ira berkata lagi kemudiannya.

“Itu urusan dia dengan Allah. Tapi kita sebagai orang Islam, kenalah baik dengan semua orang. Jangan suka buat andaian dan hina orang. Tak boleh cakap orang gila tau. Tak elok. Kasar sangat bahasa tu. Walaupun perangai mak nab tu pelik, tapi tak boleh cakap macam tu. Kalau dia dengar, kecil hati dia nanti. Lagipun dia orang tua, kita kenalah hormat dia. Kalau adik tak suka, adik diam je. Kalau kita diam, paling tidak kita tak sakitkan hati orang dan adik tahu kan, menyakiti hati orang adalah berdosa. Nak bersihkan diri dari dosa kena mintak maaf dengan orang tu. Adik sanggup mintak maaf dengan Mak Nab sebab kata dia gila?“ Tanya mak mengakhiri nasihat panjang lebarnya itu. Dia rasa anaknya itu perlu dibetulkan. Bimbang andai besarnya nanti akan menjadi insan yang keras hati. Ira menggeleng kepala laju.

“Tapi adik tak suka dia. Takut pun ada jugak.” Wajah Ira sedikit berkerut. Jelas tidak senang.

“Kenapa pulak nak takut. Dia bukannya kacau adikpun.” Kata mak cuba menghalau kebimbangan yang menghantui anak bongsunya itu.

“Memanglah. Tapi baik dgn dia bukannya bagi apa-apa faedahpun kat kita. Tapi adik tengok mak selalu benarkan dia tidur kat sini, bagi dia makan, dan dia, apapun tak pernah bagi kat kita, tak adapun boleh tolong apa-apa.” Muka Ira masam.

“Mak bagi makan dan tumpangkan dia tidur bukan sbb nak harapkan dia boleh bagi apa-apa kat kita. Adik, dengar mak cakap ni. Kita kena beri dan tolong orang dengan ikhlas, baru boleh dapat pahala. Insyaallah, nanti Allah akan bantu kita bila kita perlukan bantuan, takpun Dia akan hantar orang lain untuk bantu kita. Siapa tahu, nanti kita akan perlukan pertolongan dan insyaallah, nanti akan ada orang tolong kita.” Panjang lebar penjelasan mak. Ira tak mampu berkata apa-apa lagi. Mak memang baik. Terlalu baik. Lembut dan begitu sabar. Walaupun Ira masih tak dapat mengikis perasaan tak senang terhadap mak nab, tapi Ira tahu, kata mak memang benar.

Hati Ira digamit rindu yang terlalu.

“Mak...“ Ira memanggil dengan suara bisikan tanpa sedar. Lebih 20 tahun ibunya meninggal. Saat umurnya baru mencecah 15 tahun. Tahap umur pembentukan peribadi yang kritikal mengikut kata seorang pakar psikologi. Ira ditinggalkan terumbang ambing. Berusaha sendiri mencari identiti yang perlu disandarkan untuk meniti kehidupan yang masih panjang.

Sedikit kenangan bersama arwah ibunya, dijadikan panduan. Ira masih ingat dan masih mampu merasa kegelisahan yang dialami semasa usia remaja, saat dia memerlukan pandangan tentang apa yg paling penting dalam kehidupan, tiada siapa yang boleh dirujuk. Ayah dan kakak-kakak Ira tak punya masa untuk mencungkil resah hati Ira sepertimana yang arwah mak lakukan.

Meniti usia remaja yang penuh dengan kekeliruan, Ira menyimpan impian dalam diam. Impian untuk menemui seorang insan yang mampu bersamanya untuk mencari keredhaan Tuhan. Impian masa depan yang penuh kesederhanaan. Yang paling penting ialah ketenangan untuk menjalani hari-hari dengan orang yang mampu membuatkan dia rasa dirinya benar-benar dicintai.

Seorang lelaki yang boleh menenangkan dia kala hati dalam kerisauan, menghiburkan dia dengan tawa ketika diri dihimpit kesunyian, meneguri dia kala langkah hidup mulai sumbang. Dia impikan begitu kerana sedar dirinya penuh kelemahan dan kekurangan. Perlukan bimbingan, dorongan dan juga ’kongkongan’ agar perjalanan hidupnya tidak menyimpang dari landasan.

Ira mengimpikan diri untuk menjadi wanita yang mampu memberikan cahaya bila insan tersayang dalam kegelapan, mengusik ria mengundang tawa bila wajah rajuk dipamerkan, menyalurkan kekuatan yg tersisa dengan hanya berbekalkan pelukan cinta dan sayang. Harapannya agar nanti, 2 hati yang penuh dengan kasih sayang akan tenang bila saling memberi dan menerima, saling membayangi dan meneduhi hati yang gundah gulana.

Ira tahu dan sedar, hidup ini pastinya tak boleh lari dari dugaan yang telah Allah sediakan untuk menguji keimanan insan sebagai hamba. Entah bagaimana corak dugaan yang Allah akan berikan padanya nanti.

"Ya Allah, biar apapun yang Kau sediakan untukku, susah ataupun senang, suka ataupun duka, sedih ataupun gembira, sihat ataupun sakit, janganlah Kau biarkan aku leka dari mengingatiMu, janganlah Kau lalaikan aku dari tunduk dan sujud padaMu, janganlah Kau sesatkan hatiku setelah Kau berikan petunjuk kerana sesungguhnya aku ingin hidupku bersuluhkan cahaya iman, matiku bertemankan cahaya iman dan perjalananku untuk menemuiMu nanti biarlah bertemankan amal dan iman....."

Dec 28, 2007

Kenangan Melor

Ligat jejarinya mencabut rumput-rumput yg tumbuh meliar disekitar pohon renek itu. Tangannya penuh bersalut tanah dan pasir hitam. Nampak kotor tapi dibiarkan saja. Fikirannya melayang jauh. Sayu dan rindu bersatu. Namun apa yg boleh dilakukan olehnya, kerana takdir telah ditentukan begitu.

Dedaun hijau yg dimakan ulat, dicantas. Kudip bunga yg masih kecil dibelai. Terlalu istimewa pohon renek ini. Melor. Segalanya terkumpul disitu. Rindunya berlagu sayu... basah. Satu demi satu kenangan melintasi fikiran. Kenangan arwah nenek dan bonda... kenangan bersama teman sekolah... dan kini Nisha mencipta satu lagi kenangan melor bersama suami tercinta... segalanya terlalu indah untuk diabaikan begitu saja.

"Nanti kita penuhi laman rumah kita dengan bunga-bunga yang wangi ya. Kita pegi lagi sekali ke Sungai Buloh, kita beli banyak lagi bunga melor, kenanga, cempaka, kasidang dan bunga cina. Kita jadikan rumah kita macam taman yang semuanya ada bunga wangi. Macam mana, ok tak?"Shazrin bersuara walaupun tangannya sibuk menabur baja di setiap pokok yang baru dipindahkan ke dalam pasu. Nisha tersenyum sambil mengangguk lembut. Matanya bersinar riang mendengar bicara lelaki itu yang seolah faham dengan keinginan dan kerinduannya pada suasana desa yang lama.

Kesibukan Shazrin dengan pelajaran membuatkan bunga-bunga di laman sedikit terabai. Masa di hujung minggu yang selalunya mereka habiskan bersama membelai bunga-bunga yang di tanam, kini terpaksa ditinggalkan untuk Nisha menguruskan sendiri. Rindu pada celoteh Shazrin semakin cambah bila dia leka mencantas daun yang berulat dan membelai bunga melor yang hampir kembang.

"Aziey, Nisha suka sangat melor. Bunganya kecil je, tapi baunya kuat betul... harum sangat. Nenek Nisha selalu letak dalam lipatan kain sembahyang. Sebab tu kain sembahyang dia selalu bau wangi. Nisha nak jadikan hidup Nisha macam bunga tu, walaupun kecil, tapi putih bersih dan harumnya mampu menenangkan. Nisha nak jadikan ianya lambang diri Nisha, sampai Nisha mati. Aziey... Nanti kan, kalau Nisha mati, boleh tak Aziey letakkan bunga melor kat kubur Nisha...?" Kenangan zaman persekolahan bersama teman rapat mengambil tempat. Segalanya masih segar lagi diingatan. Permintaan yg entah masih diingat ataupun mungkin telah dilupakan oleh rakannya itu.

Perbualan yg hampir 20 tahun berlalu masih jelas dimindanya. Mana mungkin Nisha lupa permintaan sendiri. Tapi dia boleh mengagak, Aziey mungkin telah lupa permintaannya itu kerana masa telah terlalu lama berlalu. Temannya itu telahpun bergelar ibu pada 3 org anak. Sibuk dgn tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dan pekerja, memang telah merampas masa yg selalu Nisha inginkan dari seorang teman. Namun Nisha faham, tak ada yg kekal dlm hidup ini. Semuanya dipinjamkan... dipisahkan. Sementara atau kekal, hanya Allah yg berkuasa untuk membuat keputusan. Lantas Nisha cuba untuk menghiburkan hati sendiri dgn cara yg dia mampu bila berada di daerah asing yang sememangnya telah menjarakkan dirinya dengan keluarga.

"Nisha tahu tak, Nisha macam bunga melor. Kelopak kecil yg putih bergerak lembut bila di sapa angin, macam reaksi Nisha yg cuba menyembunyikan rasa bila malu diusik...." Benarkah aku begitu? Ira menyoal diri sendiri. Entahlah. Nisha cuma seorang perempuan desa yg sesat di kota. Walaupun telah banyak kali mengintai jalan pulang, nyata rezekinya membuatkan dia kembali terdampar di hutan batu ini.

Tiba-tiba haruman melor menerpa hidungnya. Teringat kenangan lama bersama arwah mak dan nenek. Kenangan tentang bunga-bunga desa yang jelas masih segar bermain di minda. Bau lembut bunga melor yang terselit di sanggul arwah mak dan nenek sama seperti haruman yang dihidunya tadi. Rindunya bertambah pada arwah. Terasa sperti mahu kembali ke zaman kemanjaan bersama mereka.

Sudah menjadi tugasan Nisha memetik bunga melur setiap pagi untuk nenek. Taman kecil dibelakang rumah, nenek tanam dengan bunga melor. Bila tingkap dapur dibuka, keharumannya melor menerpa masuk dibawa angin. Sementara Nisha memetik bunga, nenek akan mengambil kulit batang pokok pisang dan daun kelapa. Kulit batang pisang disiat kecil-kecil untuk untuk dijadikan benang. Daun kelapa diraut untuk diambil lidinya, dipotong pendek and dibuat lubang untuk dijadikan jarum. Semuanya mesra alam, bukan seperti sekarang.

Kata nenek, bunga yg matang tapi belum kembang harus dicucuk dari tangkainya dulu, bukan dari kelopak bunga sebab kalau dibuat terbalik, nanti kelopaknya rosak. Bunga yang kembang pula dijadikan simpulan diakhir benang. Kalau banyak, malamnya nenek akan bawa kemasjid dan dijual pada teman-teman seusia. Hasilnya dia berikan pada Nisha untuk disimpan atau dibelanjakan.

Aduhh, manisnya kenangan itu... semua itu telah lama berlalu. Tapi ingatan Nisha pada mereka masih tetap segar, seolah baru semalam Nisha berada di taman ringkas belakang rumah yang penuh dengan bunga-bunga melor kecil yang berwarna putih bersih.

Nisha menghela nafas panjang... Kembali pada realiti. Kini dalam sekejap waktu, perjalanan hidup telah berubah kerana masa terus berlalu, masa yang tak pernah ada istilah berundur. Takdir telah tertulis yg mrk tak akan bertemu lagi bila Dia menjemput insan-insan kesayangannya itu kembali kepangkuanNya. Di akhirat nanti? Entahlah. Namun doa terus diperdengarkan agar Allah akan aturkan pertemuan untuk mereka bila saat kembali kepada Yang Abadi itu tiba. Nisha tersenyum lagi. Rindu dan pedih beralun dihati mengingatkan kenangan lama yang tak mungkin berulang walaupun nyawa di jadikan cagaran. Hanya kenangan yang menemani Nisha dan kini dia mahu mencipta sebanyak mungkin kenangan bunga desa di kota, kenangan bersama lelaki yang telah di takdirkan untuk menemani sisa hidup yang entah berapa lama lagi tinggal.

“Abang, terima kasih kerana menghadiahkan taman kecil yang di penuhi bunga desa ini pada Nisha. Nisha akan jaga sebaiknya, begitu juga rumahtangga kita...“ Nisha berbisik perlahan, janji yang diucap pada dirinya sendiri. Rumput yg telah dicabut, dikumpulkan ditepi. Fikirannya masih melayang, walaupun tanpa Shazrin sebagai teman untuk berceloteh, Nisha terus menjalankan tugasnya membelai dan memberi kemanjaan kepada pokok-pokok kesayangannya itu. Dia cuba penuhi sunyi hati dengan berzikir terus menerus, mengucapkan kalimah Allah yg diharap untuk menjadi ubat menenangkan hatinya yg sesekali di sapa nada gundah.

Pandangannya disapa oleh satu gerakan di bawah daun. Daun kering itu diangkat. Ulat gonggok hitam berkaki tak terbilang kelihatan merayap mencari tempat berlindung. Nisha malas nak mengendahkan makhluk itu. Di biarkan saja ulat itu bergegas mengatur langkah seribu bila merasakan tempat persembunyiannya terancam. Rindu menerpa lagi. Bibirnya tetap menyebut nama Allah tanpa henti, hatinya berdoa agar kesunyian dan kesakitan dlm diri hilang dibawa awan yg kian kelam. Sesekali hidungnya masih disentuh wangian melor, walaupun didepannya kini hanyalah dedaun hijau tanpa bunga menghiasi.

"Sungguh agung ciptaanMu Ya Allah... Walaupun bunga masih kecil, walau hanya berhias daun hijau, entah dari mana datangnya bau wangi ni..." Nisha berbisik sendiri. Tangannya masih terus menjalankan tugas yg belum selesai. Cuba menyudahkan secepat mungkin apa yg telah dimulakan sedari tadi. Dan rindunya tercurah pada dedaun melor yg telah mulai basah.

Dec 27, 2007

Pulangku

Sekian lama aku mencari jalan pulang. Langkahku kaku, badanku lesu. Aku tak mampu melangkah tanpa di papah. Dulu, sesekali hati berdoa, agar akan ada insan yg mampu mampir, memujuk hati yg mati. Menyiram rasa dlm diri, agar sedar mampu mekar dan segar. Agar diri akan kembali melangkah, meredah duri mentah yg sering menagih darah, menunjukkan arah berbekal cahaya cerah.... Sungguh aku mahu pulang! Pulang ke daerah aman yg mampu membekalkan aku kekuatan kasih Ar-Rahman!

Entah dari mana bermula, aku memulai langkah PERTAMA. Mengharapkan agar yg pertama ini akan mengubah arah hidupku. Mengisi diri dengan apa yg mampu, agar kekosongan hidup akan berlalu.

Aku resah, hatiku gundah... sungguh aku pasrah... Dalam mencari makna cinta yg gagah, aku masih rebah. Bangun berdiri, cuba berjalan dan berlari sendiri, tapi soalan tentang masa depan yang tak pasti sering menghimpit hati.

Berpandukan cintaMu yg telah diserah, berbekalkan keyakinan tentang kuasaMu Tuhan Al Fattah, doaku melimpah ruah. Beralaskan keikhlasan yang dibentangkan, aku cuba mencari jawapan tentang rahsia kehidupan, tentang apa yg harus ku lakukan.

"Ya Allah Ya Hadii... Untuk setiap keputusan yang ku buat, untuk setiap langkah yang ku atur, untuk setiap tindakan yang ku pilih, berikanlah petunjukMu, agar aku tidak tersalah laluan, agar aku tidak tersilap jalan." Saban masa aku berdoa... dan sungguh hanya itu yang aku lakukan. Agar Dia yg akan membuat keputusan, membetulkan apa yang mungkin terpesong, membaiki apa yang mungkin melencong.

Sungguh aku tak takut lagi pada kehilangan. Aku redha bersendirian dan kesepian jika itu yang Kau takdirkan. Namun aku tak idamkan perpisahan. Aku cuma bimbang hati ini terdorong untuk kembali pada kegelapan bila kesunyian yang mengjimpit membuahkan bisikan dari syaitan yang kejam. "Ya Allah Ya Waliyy... lindungilah daku dari kejahatan yang Kau ciptakan untuk menguji iman hambaMu yang amat lemah ini..."

"Ya Allah A Aziiz... Kuatkanlah hatiku. Aku mahu mengejar impian untuk menjadi hambaMu yang teguh iman, mencari jalan pulang, bersumbukan cahaya keikhlasan, menumpang kasih dan cinta insan, berpaksikan panduan dariMu, ya Tuhan."

Aku yakin... dengan keikhlasan, aku mampu menahan kesakitan, pedih hati aku akan beransur hilang. Aku akan mampu memiliki kekuatan, aku mampu mengejar impian dalam diam. Kerana suara hatiku, tak akan ada yang tahu kecuali Allah Yang Satu.

Aku cuma insan yg dulunya sesat dlm perjalanan, mencari kekuatan sebagai bekalan, kerana sedar lambat laun diri ini harus mengadap Tuhan. Aku mahu berusaha melengkapkan diri sebagai hamba pada Yang Abadi, agar pulangku padaNya nanti dengan wajah berseri. Aku tahu diri tak layak sebagai penghuni syurga, tapi aku tak mahu menjadi penghuni neraka.

"Aku ingin berjuang untuk agamaMu Ya Rahman, berjihad dgn cara yang sesuai mengikut kemampuan dan zaman. Ingin disokong dan menyokong, ingin didorong dan mendorong. Memberi dan menerima, berkongsi kekuatan jika ada."

Pengalaman hidup yang silam, ingin sekali dicurahkan, mengharapkan yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan, kesilapan lama di perbetulkan, agar hidup melimpah dgn keberkatan, kerana sesungguhnya kita manusia biasa yang tak boleh lari dari kesilapan.

"Ya Allah Ya Azhiim... Ya Allah Ya Mujiib... Aku sujud padaMu Ya Rahiim, dengan kejernihan titisan airmata aku berdoa bersama keikhlasan yang memenuhi dada, berikanlah kebahagiaan dunia dan akhirat pada kami semua.... Doa yang ku seru bagi diriku dan setiap insan yang kukenali, kabulkanlah selagi ia membawa kebaikan, jangan Kau perkenankan doaku kalau ianya membawa keburukan... Sesungguhnya Engkau lebih tahu mana yang terbaik untuk hambaMu...

Ku mohon padaMu Ya Akhiiru Ya Waduud, terimalah kepulanganku ke sisiMu dan bersihkanlah hatiku dengan cintaMu..... "

Dec 25, 2007

Bagai Pinang.....

Kereta yang di pandu bergerak perlahan. Shazrin memandu dengan tenang walaupun sesekali terdengar dengusan ringan namun tetap tiada sungutan yang kedengaran dari mulutnya. Kesesakan jalan di musim perayaan memang telah dijangka tapi apalah pilihan yang ada selain dari menyertai barisan kereta yang menghala ke destinasi yang hampir sama.

Nisha tahu lelaki di sebelahnya sedang menahan rasa geram kerana beberapa buah kereta memotong dari lorong kiri, laluan yang bertar tapi tidak di khaskan sebagai laluan alternatif untuk pemandu rakus memotong barisan. Sikap mereka yang pentingkan diri dan tidak sabar hanya akan membuatkan kesesakan jalan semakin bertambah buruk untuk orang-orang seperti Shazrin.

Pandangan mata yang terhidang dengan kehijauan pepohon di kiri kanan jalan sedikit menenangkan perasaan. Nisha memerhati dengan leka. Pohon-pohon yang dilihat sebahagiannya memang di ketahui nama dan sebahagiannya memang agak asing. Sebatang pokok pinang yang lebat berbuah menangkap perhatian Nisha. Warna kuning kemerahan pinang masak tampak begitu jelas walaupun dari jarak yang jauh.

"Abang, kenapa ada peribahasa yang menyebut 'bagai pinang di belah dua'?" Nisha bertanyakan soalan untuk memecahkan kesunyian.

"Sebab pinang tu kecik sangat kalau nak belah empat." Jawab Shazrin bersahaja sambil matanya menjeling isteri kesayangan.

"Abang ni... Nisha tanya serius ni."

"Kenapa? Tak sesuai ke peribahasa tu? Nak tukar buah lain pulak ke?" Sengaja Shazrin mengemukakan soalan dengan niat nak mengusik dan yang paling penting, dia sendiri memang tak ada jawapan untuk soalan itu.

"A'ah. Tukar jadi buah kelapa pun ok jugak, besar sikit. Tak pun buah durian ke, tembikai ke, tak pun limau bali, boleh jugak kan?" Nisha berkata geram. Shazrin tergelak kecil bila berjaya buat Nisha menjeling dengan lirikan mata yang paling di sukainya.

Nisha tahu Shazrin tak akan menjawab soalannya dengan logik lalu di biarkan saja soalan itu berlalu tanpa jawapan. Kenangan lama mengambil tempat dan Nisha mencapai buku dan pen yang tersimpan di dalam beg lalu pantas melakarkan bilah-bilah kata di kertas putih itu.

'Memandang pinang masak, membuatkan aku teringat pada arwah nenek, ibu pada arwah ayah yang ku panggil mak tok. Mak tok sememangnya wanita terakhir dalam generasi kami yang menjadikan sireh pinang sebagai makanan ringan ataupun pembasuh mulut.

Hidup di zaman pelita, memang banyak kaedah untuk menyimpan. Mak tok mempunyai cara yang cukup unik untuk menyimpan stok makanan ringannya itu, terutama pinang. Aku masih ingat lagi, Mak Tok mempunyai satu tempayan sederhana besar yang di tanam separas leher tempayan. Seluruh badan tempayan terbenam di dalam tanah dan yang terlihat hanyalah mulut tempayan yang di tutup dengan menggunakan kayu. Arwah ayah yang bekerja sebagai tukang kayu sememangnya lelaki yg cukup kreatif dan dia menggunakan sisa kayu berlebihan untuk membentuk penutup tempayan nenek.

Tempayan yang terisi dengan air dan pinang masak, di buat seolah peti sejuk yang menjaga kesegaran buah pinang masak. Yang penting untuk dijaga ialah isinya yang keras dan bukan kulit sabut pinang yang berwarna oren. Aku tahu lama kelamaan sabut itu akan bertukar warna lalu mereput lantaran terendam dalam air untuk tempoh yang cukup lama.

Apa yang ku ingat, setiap kali mak tok kehabisan pinang, kak ngah atau kak Dah akan ditugaskan untuk mengambilnya. Aku pula pasti tak melepaskan peluang untuk mengikut mereka. Sebaik saja penutup tempayan di buka, bauan busuk masam akan menjamah hidung kami, menyediakan wangian yang cukup meloyakan.

Tak cukup dengan itu saja, berpuluh-puluh ekor nyamuk akan menyerbu keluar dengan gembira kerana bebas dari kurungan yang aku pasti amat tidak menyenangkan itu. Yang nyata, tempayan mak tok bukan sahaja berfungsi sebagai peti simpanan buah pinang nenek, tapi juga pusat pembiakan nyamuk!

Kalaulah di zaman itu ada unit pemeriksaan aedes seperti sekarang, pasti mak tok telah menerima berpuluh-puluh saman dari kementerian kesihatan. Hahaha...'

Nisha menutup bukunya sambil tersenyum. Kenang lama yang begitu bermakna bagi Nisha kerana ia tak mungkin berulang lagi dan bukan semua orang berpeluang untuk mengalami pengalaman itu.

Dec 18, 2007

Rindu...

Tiba-tiba Ira rasa ingin tidur diribaan mak. Kerinduan pada arwah terlalu sarat. Teringat wajah mak yang kemas berdandan. Senyuman mak yang murah dan layanan mak yang ramah. Ajaran mak yang lembut menyapa hati, memang berkesan.

Ira masih ingat lagi satu peristiwa yang menyebabkan Ira di marah. Ira dipukul mak dipaha. Pukulan yang langsung tak menyakitkan, tapi Ira menangis sampai tersedu. Anak manja mak memang murah dengan air mata.

“Adik sakit ke bila mak pukul tadi?“ Mak tak tahan bila melihat tangis Ira tak mahu berhenti. Rasa bersalah menyelimuti hati tuanya. Ira perlu dipujuk. Ira diam, cuma sendu yang masih tinggal.

“Mak pukul adik tadi sebab adik memang salah. Tapi mak pukul berlapikkan tangan mak yang satu lagi. Sakit jugak ke?“ Ira terdiam. Baru dia perasan yang pukulan mak langsung tak meninggalkan kesan sakit pada pahanya. Satu tangan memukul, dan satu tangan lagi menahan kepedihan dari menyentuh kulit anak kecil itu. Begitu lembut cara ajaran mak. Menghukum adalah perlu tapi biar nyata alasannya dan dalam masa yang sama melindungi anak kecil itu dari disakiti.

“Mak pukul tak sakit tapi bila mak pukul, adik rasa macam mak tak sayang adik.“ Ira akhirnya bersuara. Hatinya rasa sedikit terpujuk. Sungguh Ira rasa seolah bukan dirinya yang dipukul, tapi hatinya dan kerana itulah tangis Ira jadi panjang.

“Mak sayangkan adik. Mak nak adik tahu apa yang boleh dibuat dan apa yang tak boleh. Cukup kalau adik tahu yang adik salah dan kalau salah memanglah kena hukum. Jadi lain kali adik kena janji tak buat macam tu lagi. Tak kan mak nak pukul sampai adik sakit.” Mak menerangkan sebab disebalik tindakannya tu.

Ira rindu mak. Rindu yang tak mungkin terubat. Selalu membayangkan bagaimana layanan yang dia boleh dapat kalau mak masih ada. Ira pasti akan jadi anak manja mak yang sama. Yang penuh dengan air mata. Tentunya setiap perkara yang berlaku dalam hidup Ira, akan dirujuk pada mak, mengadu pada mak, bercerita pada mak. Pasti mak ada cara untuk menenangkan hati resah Ira. Mak akan pujuk bila Ira merajuk, peluk bila Ira sedih, menghadiahkan ciuman rindu dipipi dan dahi Ira bila lama tak bertemu.

Ira ingin sekali bertemu mak, walaupun hanya dalam mimpi. Tapi tak sekalipun mak pernah singgah membelai mimpi Ira, sehinggakan Ira selalu berfikir yg mak pergi dgn perasaan kecewa kerana sikap Ira yang degil. Mungkin kerana itu, mak tak mahu menjengah Ira, walaupun hanya dalam mimpi. Ira sayu. Rindu Ira tak pernah terubat. Sesekali rasa semacam membeku dalam diri. Tak mampu dilepaskan.

“Ira bacalah surah Ad-Dukhaan selalu. Ia akan menemukan Ira dgn mak di akhirat nanti. Insyaallah.“ Suara Kak Yus bergema.

“Surah Al-Mulk akan menemani Ira di alam kubur. Ira kena baca jugak tau. Kalau boleh setiap hari. Kita tak mungkin tahu bila kita akan mati. Jadi kita harus sentiasa bersedia.“ Kak Yus menyambung lagi. Kak Yus memang selalu menggunakan kesempatan yang ada bila bertemu Ira untuk menyampaikan apa yang dirasakan amat perlu dalam usaha Ira untuk mencari apa yg dia mahukan.

Ira buat. Dalam masa yang terbatas, Ira cuba mencuri masa mengikuti nasihat Kak Yus. Membaca apa yang termampu dan sempat. Ira benar-benar mahu menjadi anak yang baik, walaupun ianya telah terlambat kerana mak telahpun pergi menemui penciptanya lama dulu. Ketika itu Ira baru berada di permulaan umur pembentukan peribadi, di usia remaja yang penuh dengan kekeliruan yang tak terbatas.

Perginya bonda tersayang telah membuatkan Ira merasa benar-benar keseorangan. Bersendirian. Kesepian. Ayah mencari pengganti semasa tanah di kuburan masih merah. Kakak-kakak Ira telahpun melangkah ke alam baru, alam rumahtangga yang dunianya nyata berbeza dengan dunia Ira.

Sedih. Ira mahu lari dari segalanya... Lari dari kenyataan bahawa dia tak punya sesiapa lagi selain dari diri dan bayangannya.

Dec 17, 2007

Satu ketika dulu...

Batu nesan yang terpacak di kuburan itu begitu tersusun. Teratur kedudukannya. Saiz dan bentuknya hampir sama. Berbeza sangat apa yang terdapat di kampung. Kadang tu hanya batu sungai yang terpacak sebagai tanda kubur. Tanpa nama dan tak mungkin tahu siapa pemiliknya.

“Adik, jgn pijak batu tu. Itu tanda kubur tu. Tak baik pijak atas kubur orang“ Larangan arwah ayah bernada bila di lihatnya Ira leka bermain mengimbangi badan sambil memijak batu sungai yang terpacak di tepi kubur atuk. Kelakuan Ira terhenti bila mendengar kata ayah.

“Kenapa batu macam ni je. Kenapa bukan batu nesan macam yang atuk punya? Nanti macam mana nak tahu siapa yang mati kalau tak ada batu nesan?” Ira mula mencurahkan persoalan yang bermain di fikirannya.

“Mungkin yang mati tu ialah anak yang baru lahir. Jadi tak ada nama lagi...“ Jawab ayah kemudian.

“Kalau adik mati masa kecik, agaknya kubur adik pun letak batu je lah?“ Ayah hanya tersenyum. Tak tahu apa jawapan terbaik yang mampu diberikan untuk memuaskan hati anak kecil itu.

Ira memejamkan mata. Terbayang kubur arwah yang dilawatinya lewat petang beberapa bulan yang lepas. Ira masih ingat lagi, batu nesan arwah nenek dan mak, ayah hasilkan sendiri. Tangan ayah yg kasar itulah yg telah menyediakan segalanya. Ayah bawa balik keratan kayu yang tak lagi digunakan dari tempat kerjanya. Ayah buat acuan dari sumber yang ada. Ayah bancuh simen sendiri, ayah bentukkan ukiran nesan dan ayah tulis nama serta tarikh kematian di atasnya. Ayah angkat batu nesan dan letakkan sendiri di kuburan arwah. Segalanya ayah lakukan sendiri.

Mungkin batu nesan yang ayah sediakan untuk arwah tak secantik yg di tempah sebab membuat batu nesan bukan bidang ayah, tapi Ira tetap bangga. Ayah buktikan kasih sayangnya sehingga ke tahap yg Ira rasa tak biasa di lakukan oleh orang lain.

Bagi Ira, arwah ayah ialah lelaki luar biasa yang sukar untuk diduga hatinya. Tak banyak cakap dan mungkin kerana sikapnya itu, ayah tak ramai kawan. Sampai sekarang Ira tak tahu siapa sebenarnya kawan baik ayah. Ditambah pula dgn hubungan mereka yang sedikit renggang selepas pemergian mak dan ayah berkahwin lain. Ira pula banyak menghabiskan masanya di asrama. Sesekali balik, masa Ira terbahagi kepada kedua kakak yang sering meminta bantuannya merangkap pengasuh tak bergaji.

Tapi Ira masih ingat apa yang mak pernah ceritakan pada Ira tentang ayah. Bila ayah sayangkan seseorang, ayah sanggup lepaskan segalanya. Mak pernah cakap yang ayah pernah lepaskan peluang untuk berhijrah semata-mata tak mahu tinggalkan seorang teman baik yang kebetulan baru berhijrah ke kampungnya. Entahlah... Ira tak tahu sangat kisah mereka tapi Ira boleh lihat perhatian ayah melalui gambar temannya itu yang ayah simpan.

Ada sesuatu yang menarik tentang ayah. Memang ayah pendiam, tapi kasih sayang ayah selalu dibuktikan dengan perbuatan. Ira memang tak berpeluang untuk memahami hati ayah kerana sikap ayah itu. Dan ayah juga pergi meninggalkan Ira sebelum Ira benar-benar faham tentang rahsia kehidupan. Masa mengajar Ira untuk menilai sendiri hati ayah melalui apa yang di lakukannya, walaupun setelah ayah pergi.

“Ayah....“ hanya itu yang terluah.

Dulu pernah Ira terfikir untuk bersemadi sebelah kubur arwah mak, tapi kini tidak lagi. Sungguh Ira tak kisah semua itu. Ia tak mungkin membawa sebarang perbezaan walau di mana saja dia akan di tempatkan nanti. Tak mungkin sepi di alam barzakh mampu di kurangkan kalau dia bersebelahan dgn bonda kesayangan. Entah bagaimana nasib diri di akhirat nanti, Ira pun tak tahu. Amalan tak seberapa. Dosa pula terlalu banyak. Ira melepaskan sesak di dada yang tak mahu berkurang.

Ira menadah tangan. Membaca Al Fatihah dgn niat bersedekah untuk kekasih Allah dan sahabatnya, untuk arwah ayah dan mak, untuk nenek berdua, juga kedua org atuknya yg tak sempat di kenali. Pandangan Ira jatuh ke tapak tangannya yg bercorak tak menentu. Corak yg terlalu banyak garis pecahnya. Berbeza dengan tangan orang lain, yg kebanyakannya hanya ada garis yang ringkas dan jelas.

“Eh… kenapa tangan kau ni macam ni…?“ Kening Zaidah berkerut.

“Kenapa pulak? Tak ada yg kurang. Jari aku pun... Kejap ya, aku kira... Erm... masih cukup.“ Ira berseloroh. Mengusik teman sekuliah yang telah menjadi rakan sebilik selama setahun yang lepas.

“Kau ni... ke situ pulak. Tak de lah... banyak sangat garisan. Susah nak baca pulak tu?“ Jelingan geram di lemparkan pada Ira dan dia kembali menatap telapak tangan Ira.

“Laa... aku ingat kau tahu baca buku je. Rupanya tahu baca garis tangan jugak ye! Nak ganti nujum pak belalang ke?” Sengaja Ira tak mahu mengambil serius apa yg diperkatakan oleh Zaidah yang kelihatan begitu tekun meneliti tangannya.
“Ish… mana ada. Aku bukan nujum lah. Tengok tapak tangan sekadar suka-suka je. Bukannya nak percaya pun. Nasib kita kan, hanya Allah yang mampu menentukan. Cuma bagi aku, tapak tangan kau ni menunjukkan yang kau bakal hadapi banyak cabaran hidup. Kiranya laluan hidup kau ni memang complicatedlah…” Ira terdiam.

“Biasalah tu. Hidup kita kan mesti ada cabarannya. Mana ada orang yang tak ada masalah… kan?” dalam diam hati Ira berdoa, semoga Allah bekalkan dirinya dengan kesabaran untuk mengharungi hidup yg entah bagaimana coraknya.

Ira juga punya impian seperti gadis lain. Impian kecil yang manis dan indah untuk di bawa sebagai bekal saat mengharungi sisa-sisa hidupnya nanti. Mengimpikan hanya yg sederhana, paling penting dia mahu kehidupan yang tenang bersama orang yang di harapkan dapat melindunginya dan memberikan kekuatan untuk menghadapi hidup ini.

Ira mahukan seseorang yang ikhlas menyayanginya dengan segala kekurangan yang ada. Lelaki yang mampu mengukir senyum dibibir Ira bila berduka, yang mampu menyejukkan dada andai ada marah membara, yang mampu memujuk Ira andai ada ketika rajuk menyerang tiba. Permintaan Ira tak banyak, sekadar permintaan biasa untuk seorang gadis yang sering di himpit kesunyian.

Pasrah. Mata Ira basah. Sayu di hati mengalir dan menterjemahkan segala rasa melalui titisan yg jatuh ke tapak tangannya. Pecah dan membasahi garis tangan yang tak mampu dibaca oleh sesiapapun jua kerana rahsia masa depan adalah milik Allah yang tak mungkin ada yang mampu meneka corak perjalanannya.