Lagu zikir oleh kumpulan Munif Ahmad dari kumpulan nasyid Hijjaz terngiang-ngiang di telinganya. Merdu dan indah, menusuk ke jiwa. Dalam banyak-banyak lagu yang pernah di dengari, tak mampu menandingi keindahan alunan suara yang mengalunkan puji-pujian terhadap Allah.
Kalau dulu, Nisha seronok mendengar gesekan biola Vanessa Mae, petikan piano Richard Clayderman, tiupan saxophone Kenny G dan muzik un-plug Kitaro tapi kini semua itu tidak lagi menjadi pilihan bila dia rasa kesunyian. Muzik tanpa lagu dan lagu tanpa muzik, memberikan ketenangan pada dirinya dengan cara yang berbeza.
"Kak Yus tahu sangat cinta orang muda ni, sbb kak Yus pun bukannya tak pernah lalui masa macam korang. Kalau tulis surat cinta, kalau bercakap dengan yang tersayang, ayat bukan main lagi boleh berbunga-bunga, puisi terindah pun boleh dicipta sampai hati pun boleh sampai hanyut dan terlena. Tapi kalau bercakap dengan Allah, boleh ke kita buat macam tu jugak?" Kata kak Yusmiza semasa bertembung di surau.
"Bercinta dengan Allah tu sebenarnya lebih indah untuk di hayati. Lebih menenangkan dan tak menyakiti, malah mampu mengubati duka di hati. Belajarlah bercinta dengan Allah dan Insyaallah, Nisha akan lebih tenang. Kak Yus yakin, bila Nisha dekat dengan Allah, Dia akan tunjukkan jalan yang perlu Nisha ambil setiap kali Nisha ada masalah..." Bicara lembut dari wanita itu begitu meresap ke jiwa. Nasihat yang basah menyirami kekeringan hati yang selalu mengharapkan curahan kasih sayang yang memberikan panduan.
Nisha memejamkan mata. Terbayang bicara indah, nukilan hati seorang hamba untuk Penciptanya yang dibaca diblog yang selalu dilawati.
'Ya Tuhanku.. Dalam perjalanan langkah yang belum terhenti ini, jalan selangkah yang lalu, penuh dosa dan noda.. Bersilih ganti, antara godaan dan keinsafan... Layakkah aku untuk berada dibawah lembayung rahmat-Mu ya Allah? Walau seringkali godaan yang memburu, seringkali itu juga seribu keinsafan berbisik dihati.. Wahai Tuhanku..ku merayu dimalam hari, menagih ampunan dan kasih sayangMu. Wahai Tuhanku, rayuanku..terimalah daku kembali sebagai hambaMu yang dalam lindunganMu setiap saat masa yang berlalu.. Walau seribu yang memberikanku kasih, tidak kan sama kasihsayangMu Ya Rabbi. Ya Allah... dengarlah rayuanku sayup-sayup berbisik dimalam yang hening, bertemankan cahaya bulan, sinaran bintang yang memancar, mengharapkan doaku bertaut dalam restuMu... Wahai Tuhanku, Pencipta kasihsayang, yang memiliki setiap hati, kasih sayang yang luhur buat hambaMu. Ya Rahman Ya Rahim, kusedari cinta manusia cuma setitis dari selautan cintaMu Ya Rahman.. Rayuanku, janganlah kasih yang setitis didalam hati ini melalaikan daku dari mengingatiMu.. Pautkanlah daku pada cinta dan rahmatMu agar daku tidak tenggelam dengan fitnah dan mehnah duniawi... Ampunilah dosa-dosaku Ya Allah...' - Cahaya
Terasa begitu kerdil dan hinanya diri di sisi Allah bila mengingatkan pengalaman lalu. Hanyut dan lalai memang sifat manusia, dan Nisha hanyalah manusia biasa. Dia tahu banyak lagi kelemahan diri yang perlu dibaiki. Terlalu berliku perjalanan hidup yang pernah dia lalui. Mengelirukan, terkadang segalanya membuatkan diri terasa begitu letih, namun hidup harus di teruskan. Perjuangan dibumi Allah ini belum selesai selagi nafas masih ada.
Nisha mengangkat tangannya tinggi, menumpukan sepenuh perhatiannya pada Yang Esa, memusatkan segala perasaan pada Al Azhiim. Dia memejamkan mata, mencari kekuatan untuk menghalang suara-suara maya dari mengganggu tumpuannya bila berdoa kepada Allah.
"Aku memohon perlindungan dari syaitan yang direjam.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang menguasai pemerintah hari pembalasan (hari akhirat). Engkau sahaja (ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang yang Engkau murkai, dan bukan pula (jalan) orang yang sesat.
Makbulkanlah permohonan kami....
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, segala puji yang menyamai sekalian nikmat-nikmatNya dan menandingi keutamaanNya, wahai Tuhan bagi Engkau puji-pujian sebagaimana yang sepatut dengan kemuliaan zat Engkau dan kebesaran kerajaan Engkau.
Wahai Tuhanku, berilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. yang ummi dan atas keluarganya dan sekalian sahabat-sahabatnya.
Ya Tuhan kami, terimakah dari kami (amal kami) sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pemurah.
Ya Allah yang memelihara kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, peliharalah kami dari seksa api neraka. Wahai Tuhan kami, terimalah drpd kami akan sembahyang kami dgn sempurnanya dan ampunkanlah segala dosa kami di hari akhirat, bahawasanya Engkau atas tiap-tiap sesuatu amat berkuasa.
Wahai Tuhan kami, hidupkanlah kami dgn iman, dan matikanlah kami dlm iman, dan bangkitkanlah dgn iman dan masukkan kami ke dlm syurga berserta iman.
Wahai Tuhan kami, sejahterakanlah kami dan sejahterakanlah agama kami, dan sejahterakanlah agama kami dan sejahterakanlah tauhid kami dan sejahterakanlah roh kami dan sejahterakanlah segala tubuh kami dan sejahterakanlah rezeki kami dan sejahterakanlah sekalian saudara kami daripada sekalian muslim lelaki dan perempuan dan sekalian mukmin lelaki dan perempuan yang hidup dan juga yang sudah mati.
Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan sikap berlebih-lebih kami dlm urusan kami serta menangkanlah kami atas orang yang kafir. Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami bermohon kepadaMu keselamatan dari segi agama dan kesihatan pada jasad, pertambahan ilmu pengetahuan, keberkatan reseki, taubat sebelum mati, rahmat ketika mati, keampunan setelah mati.
Ya Allah, ringankanlah ke atas kami semasa mabuk mati, lepaskanlah kami dari azab api neraka dan kemaafan ketika dilaksanakan perhitungan. Ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kami dan dosa kedua-dua ibubapa kami serta kasihanilah ibu dan bapa kami sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kecil. Ya Allah, ampunilah segala dosa kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat samada yang hidup ataupun yang sudah mati.
Ya Allah ya Tuhan kami, jgnlah kiranya Tuhan pesongkan hati-hati kami sesudah Kau berikan petunjuk, anugerahkanlah kepada kami akan rahmat kerana sesungguhnya Engkau Tuhan Maha Pengurnia. Ya Allah, bantulah akan daku supaya dapat selalu menyebut namaMu, bersyukur padaMu dan membaguskan ibadatku padaMu.
Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dari keluh kesah dan dukacita, kami berlindung kepadaMu daripada lemas dan malas, kami berlindung kepadaMu daripada penakut dan kedekut, kami berlindung kepadaMu drpd tekanan hutang dan kekerasan orang.
Ya Allah, jangan biarkan dosa-dosa pada kami kecuali Engkau ampunkan, tidak ada keaiban pada kami melainkan Engkau sembunyikan, tidak ada kekusutan (keserabutan) melainkan Engkau padamkan. Ya Allah, hidupkan hati kamu dengan keimanan dan ketakwaan, jadikan taqwa bekal kami kerana sebaik-baik persediaan ialah taqwa.
Ya Allah, sesungguhnya kami pohon kepada Engkau supaya jauhkan kami dari kekufuran, syirik, nifak dan riak. Dan kami minta jauhkan kami dari keburukan diri kami dan dari sebarang keburukan dan dari keburukan penghasad dengki.
Wahai Tuhan kami, berikanlah kami pasangan dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati kami melihatnya dan jadikanlah kami imam (ikutan) bagi orang-orang yang mahu bertakwa.
Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan di akhirat dan peliharalah kami drpd azab api neraka. Maha Suci Tuhanku, Tuhan Kemuliaan daripada barang yang di bayangkan oleh mereka itu dan kesejahteraan itu atas Rasul dan kepujian bagi Allah Tuhan sebahagian alam. Amin..." Nisha membuka mata perlahan sambil tangannya meraup muka.
Untuk kesekian kali, matanya basah lagi... Airmata wanita sememangnya punya banyak pengertian. Dan airmata Nisha kali ini bukan mengalir kerana kesedihan lagi, tapi airmata yang gugur kerana disinggahi oleh rasa kesyukuran. Syukur kerana diberikan hati yang penuh dengan rasa keinsafan.
No comments:
Post a Comment