Jan 4, 2008

Bohong

Ira mengacau air perlahan. Matanya leka memerhati warna air yang berubah bila di tambah serbuk. Nescafe O pernah menjadi kegemaran keluarganya satu ketika dulu. Namun semakin meningkat dewasa dan terdedah dengan kehidupan dunia luar, selera Ira mula di pelbagaikan.

Arwah maknya pernah membuka kedai kopi untuk membantu mencari duit tambahan. Ira masih kecil untuk membantu, lalu kehadirannya di kedai kopi mak hanyalah sebagai peneman dan juga penghibur di kala tiada pelanggan.

Melihat duit yang bertukar tangan antara mak dan pelanggan, membuatkan Ira begitu tertarik untuk belajar mengenali jenis-jenis air yang Mak Som jual. Ira masih ingat lagi, cara Ira mengenali air agak terbalik dan menggunakan logik sendiri. Antaranya teh di katakan kopi kerana warna airnya agak cerah seperti Nescafe.

Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama mencuri.

Tiba-tiba pantun itu bergema di mindanya. Kenangan lama menyapa.

“Adik, jangan cuba nak tipu mak tau. Walaupun mak tak tahu, tapi Allah tahu. Adik kena lebih takut pada Allah berbanding dengan sesiapapun kat dunia ni sebab nanti Allah akan balas segala perbuatan kita. Mungkin Allah akan balas masa kita kat dunia lagi, tapi kalau tak, Allah tetap akan balas bila di akhirat nanti.” Suara pesanan mak bergema. Ira terdiam.

“Adik cakap betul kat mak, mana adik dapat duit ni?” Soal mak lagi.

“Adik ambik dari dalam laci mak.” Jawab Ira lurus.

“Adik dah belajar mencuri ya?” Suara mak bertukar menjadi agak keras bila mendengar pengakuan tu.

“Adik tak curi, adik pinjam je.”

“Kalau pinjam kena cakap dulu, bukannya terus ambik.” Kata mak sedikit tegas.

“Kalau adik mintak nak pinjam, mak mesti ambik duit dari dalam laci ni, kan. Jadi sama jugak kalau adik ambik dulu dan cakap kemudian, kan? Lagipun adik ambik duit ni sbb adik nak bayar duit kopi yang adik minum kat kedai mak.” Bibir kecil Ira lancar menjelaskan keadaan yang sebenar. Mak menggelengkan kepala sambil tersenyum. Rasa lucu tiba-tiba mencuit hati mendengarkan kata Ira.

“Macam tu ke? Tapi kalau adik nak minum kopi kat kedai mak, adik tak perlu bayar pun. Mak buat percuma kalau air tu untuk adik.” Kata mak lagi sambil tersenyum lagi. Nadanya telah kembali lembut. Tak di sangka itu difikirkan oleh anak bungsunya. Namun dia merasakan ada sesuatu yang perlu di perbetulkan.

“Tapi, ayah kata mak keje jual air sebab nak dapat duit untuk hantar adik sekolah. Kalau adik minum air banyak tapi adik tak bayar, nanti mak rugi. Adik tak nak mak rugi.” Jelas Ika lagi.

“Mak hanya akan rugi kalau adik pegi beli air kat tempat lain. Kalau beli dengan mak walaupun adik tak bayar, mak tak rasa rugi pun.” Mak menjelaskan. Berkerut-kerut muka Ika bila berusaha untuk memahami apa yang mak terangkan. Agak sukar baginya kerana dia baru berusia 5 tahun ketika itu.

“Adik, kalau adik nak kan sesuatu, nak pinjam, kenalah cakap dulu. Bila dah di izinkan, barulah boleh ambik. Kalau ambik dulu, itu lebih pada mencuri. Lagipun, kalau pinjam kena bayar, adik boleh bayar ke?” Soal mak pada adik.

“Boleh. Bila adik dah minum, adik bayarlah.” Ika menjawab mudah.

“Memanglah. Tapi itu bayar sebab minum, bukan sebab pinjam. Kalau pinjam, kena bayar dengan duit sendiri, bukan dengan duit yang di ambil dari laci mak.” Terang mak lagi.

“Kalau adik pinjam duit ayah untuk bayar, boleh ke?”

“Boleh, tapi adik kena mintak dengan ayah dulu. Tapi nanti adik kena bayar pada ayah pulak, sebab adik pinjam dengan ayah.” Jawab mak sambil tersenyum.

“Kalau adik mintak dengan ayah, kena bayar balik kat ayah ke?” Ika bertanya lagi.

“Kalau adik mintak dan bukan pinjam, tak payah bayar.” Mak tekun menjawab pertanyaan Ika tanpa ada perasaan jemu. Sambil itu tangannya memaut pinggang anak kecil itu lalu menciumnya mesra.

“Kalau macam tu, nanti adik mintak duit dengan ayah lah.” Dia bersuara dengan riang.

Ira seronok mengimbau kenangan lama bersama arwah mak. Hanya itu yang ditinggalkan. Hanya itu yang masih Ira miliki. Kasih arwah yang tetap kekal dalam kenangan, bersemadi di mindanya. Pantun dua kerat yang sering di sebut oleh arwah Ayah Aji, bapa saudaranya yang juga seorang peniaga dan pendakwah bebas seolah begitu berkesan di hati. Dakwahnya bukan hanya terhad pada golongan dewasa, tapi juga kanak-kanak seperti Ira. Katanya, lebih senang berdakwah pada kanak-kanak kerana mrk ibarat rebung yang mudah di lentur. Dan pantun itu adalah satu dari ajaran arwah yang masih Ira ingat. Dia meninggal 4 atau 5 tahun lebih awal dari arwah mak.

Tiba-tiba hati Ira disambut sayu. Pembohongan... Memang tak patut dibiasakan. Kerana bohong bermulalah segala masalah. Kerana bohong, banyak yang lelaki itu telah curi dari Ika; perhatian, perasaan simpati, malah hatinya juga hampir di curi. Kerana bohong, ada hati lain yang terluka dan bersedih. Lalu berlakulah segala rentetan peristiwa yang tak sepatutnya berlaku dan tak mungkin berlaku kalau sedari awal wujud kesedaran tentang keikhlasan dan kejujuran.

Ira tak rela pembohongan terus berlaku dalam hidupnya. Tak rela dipermainkan, tak rela membiarkan fikirannya di kelirukan oleh orang yang tak takut pada pembalasan Al-Muntaqim. Biarlah Ira di hukum di dunia, dari di hukum oleh Allah di akhirat nanti. Biarlah Ira di cemuh di dunia, dari Ira di cemuh oleh Allah di akhirat nanti. Lalu Ira melangkah mencari kebenaran, berjumpa dan bertanya pada orang penting dalam hidup lelaki itu, seorang perempuan yang sering di ceritakan segala kisahnya dengan rentak yang berbeza dan mengelirukan. Kemudian, Ira berundur. Sebaiknya begitu.

“Aku rasa kau ni dah kena kencing dek mamat tu lah.” Kata Kak Ros bila mendengar Ira bercerita tentang seorang teman yang di kenalinya.

“Maksud Kak Ros?”

“Dia banyak tipu kau bila dia bercerita tentang dirinya. Kau ni lurus bendul. Mudah lupa, mudah simpati, mudah percaya, mudah di tipu dan di permainkan. Dia sebenarnya cuma nak mainkan kau je. Kau kena ingat Ira, masa mula-mula kenal dia, dia sendiri pernah mengaku yang dia ramai kawan perempuan dan dia selalu dapat apa yang dia nak, iaitu perhatian atau dengan kata lain yang meloyakan aku ialah dia tu kononnya dahagakan kasih sayang.... Kau tak rasa ke yang apa jua yang dia ceritakan tu hanyalah untuk mendapatkan perhatian kau, simpati kau dan kemudian mempermainkan kau?” Kata Kak Ros memang berbekas di mindanya.

Segalanya seolah diputar kembali dan Ira tersedar yang dia juga telah menjadi salah seorang dari mangsa penipuan yang entah ke berapa. Kenapalah ada manusia seperti itu yang tak tahu menghargai orang lain? Ira menggeleng-gelengkan kepala yang tak pening. Tak ingin memahami orang seperti itu, tak ingin membiarkan hatinya di cemari lagi...

Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama mencuri...

Ira tersenyum pedih.
“Ya Allah, sesungguhnya Kau telah kabulkan doa ku bila Kau tunjukkan kebenaran dan berikan aku kekuatan untuk menyelongkar apa yang tersembunyi dalam permainan katanya. Aku bersyukur padaMu. Ya Allah Ya Waliyy, aku mohon perlindungan Mu untuk diri dan keluargaku. Lindungilah daku dari kejahatan yang kau hadirkan dalam kehidupan untuk menduga keimananku....”

No comments: