Nov 15, 2019

Ujian

"Mana cikgu yang berani tampar anak saya? Memang melampau!!" Lantang suaranya sambil mata dibulatkan. Merah menahan marah.

Suasana di kantin sekolah yang awalnya riuh, bertukar menjadi sunyi. Pandangan tertumpu pada seorang lelaki yang datang tanpa salam,  bercekak pinggang. Lagak gangster tak cukup asam, tak tahu adat, biadab!

Bukan perkara luar biasa lagi bila ada ibubapa yang datang menyerang cikgu di sekolah. Tanpa mengetahui apa yang sebenarnya terjadi, hanya mendengar aduan anak yang kononnya baik sampai nak pijak semut pun tak sampai hati, mereka mengamuk sampai hilang harga diri.

Ada anak-anak yang mencuri, merokok dan membuli. Menghina cikgu dengan kata-kata keji, sumpah seranah dan memaki. Mereka yang kerjanya keluar pagi dan balik dah tak ada matahari, tak nampak dan tak dengar sendiri bagaimana bisanya mulut itu melukai hati.

Allahu... Bagaimana mungkin anak itu berkelakuan begitu kalau tanpa melihat contoh. Mungkin dari persekitaran terdekat atau dari tayangan yang tak ditapis dan disekat.

"Pakcik risau perangai cucu-cucu pakcik. Mereka tak dididik dengan tegas. Dah jadi kurang ajar. Anak menantu pakcik sibuk sampai solat pun tak lekat. Bila solat, seminit je dah siap. Macamana Allah nak bantu kalau mereka begitu?" Basah matanya bila meluahkan apa yang terbuku.

Cabaran ibubapa dan guru-guru zaman sekarang. Bukan mudah jika hati tak kuat. Kena banyak bergantung pada Allah jika mahu selamat. Harus sentiasa berdoa jika mahu bahagia dunia akhirat.

Syukur saya tak diuji begitu. Mungkin Allah tahu saya tak mampu...

Semoga mereka yang bertuah untuk diuji Allah, diberikan kekuatan dan petunjuk dalam apa jua pilihan....

No comments: