Feb 7, 2018

Prasangka

Hati Makcik Nisah pedih, sakitnya tak mahu ditunjukkan. Disimpan kemas, disembunyikan dengan senyuman buatan. Seboleh mungkin dia cuba untuk mengelak dari membalas kata-kata sindiran yang dilemparkan. Biarlah. Allah lebih tahu situasi sebenar, lebih dari faham suara hatinya. 

"Kalau dah berkawan dengan setan tu, buat la baik macam manapun, tak de nya aku terpedaya. Allah tunjuk nanti, Allah akan balas... tengoklah... Aku tak redha perbuatan khianat yang dibuat kepada abang dan kakak ipar kesayangan aku. Sampai mati aku tak akan maafkan...." Kata Maksu Waini keras. Matanya menjeling tajam pada Makcik Nisah, isteri kedua abangnya.

Perkahwinan kedua abang Firdaus telah mencecah lebih 18 tahun, tapi ada lagi ahli keluarga yang belum mahu menerima hakikat bahawa jodoh itu ditangan Allah. 

"Takpe... takpe... kau duduk dan tengok je. Rehat. Biar kami yang buat." Ujar MakNgah sambil tersenyum. Senyuman yang dibuat. Maksu Waini mengangkat ibu jari. 

"Kau jangan biarkan dia usik apapun kat dapur nih. Nanti entah jampi apa dia baca nak kenakan keluarga kita. Termakan apa yang dia jampi karang, haaa.... lemah kau nanti. Ikut telunjuk je la..." Bisik Maksu Waini semalam, semasa mengupas bawang untuk majlis solat hajat. 

Makcik Nisah bukan tak tahu cerita begitu disebarkan. Dia faham bahawa orang seperti dia akan selalu dipandang serong. Menjadi isteri kedua, memangnya besar dugaan yang terbentang di hadapan. Tapi itulah jalan yang dipilih dulunya. Mengenepikan segala pendapat orang termasuk anak2 dan ibunya, mengakhiri status janda yang dia sandang sebelum ini. 

Janji pada diri sendiri, akan cuba memberikan yang terbaik pada suami dan keluarga barunya. Dia mengharapkan dirinya diterima.

Madunya Makcik Suria, merupakan surirumah sepenuh masa. Sedangkan dia wanita berkerjaya. Lalu, soal nafkah tak begitu diberi perhatian. Menerima apa yang diberi seadanya. Malah, kalau dia beli apa-apa untuk dirinya, pasti ada bahagian yang sama untuk Makcik Suria. Tak mahu dianggap suaminya tidak adil walaupun hakikatnya duit yang dibelanjakan itu adalah duit hasil titik peluhnya. 

Saat poket anak-anak tirinya kering, dialah yang tolong "membasahkan"nya. Tika belanja rumah terputus, dialah yang menyambungnya. Sehinggakan pada ketika perniagaan suaminya jatuh, akaun dia lah yang dijadikan sasaran untuk memulakan balik apa yang telah "hilang". Tak sikitpun dicanangkan pada keluarga. Kerana dia tahu, maruah suami dipandangan mata orang perlu dijaga terutama adik beradiknya. 

Tapi bila musibah menimpa Makcik Suria, segala kebaikan yang pernah dia lakukan, didiamkan saja. Sakitnya itu, dibisikkan kerana sihir yang Makcik Nisah hantar. Sedihnya difitnah begitu. Apa bukti yang mereka ada? Adakah kerana dakwaan bomoh yang dipandu lidahnya dek syaitan dan jin? Atau kerana memenuhi sangkaan dan andaian mereka yang tak pernah mahu menerimanya?

"Demi Allah, Makcik tak pernah buat semua tu. Kalau makcik nak sihirkan makcik Suria, patutnya dah lama makcik buat. Tak perlu tunggu selepas 18 tahun... Tak perlu makcik habiskan duit untuk belanja dia berubat Su. Siap gadaikan berang kemas dan tanah lagi..." Esaknya semakin menjadi. Aku kehilangan kata-kata. Tak jumpa perkataan yang sesuai untuk menenangkan hatinya yang remuk dek prasangka orang. 

Jauh di sudut hati, aku berdoa... agar segala permasalahan ini dirungkaikan Allah dengan sebaik cara. Allah Maha Mnegetahui perkara yang ghaib, yang tak mampu dipandang dek mata, didengari oleh telinga, tak sampai nak disentuh jemari yang panjangnya tak seberapa.... 

Dia Yang Maha Berkuasa mengubah hati dan pandangan manusia, menghapus prasangka dan membuka minda... 

Dia Yang Maha Kaya dan Maha Pencinta.... semoga dipenuhi hati-hati mereka dengan bisikan yang baik-baik saja, disaluti dengan rasa kasih dan sayang sesama saudara, dan diganti dengan redha, akur pada ketentuanNya. 

Sesungguhnya segala yang berlaku punya kisah tersendiri yang hanya Dia Yang Maha Mengetahui... 

No comments: