
Pernah dengar skrip ini?
Atau pernahkah/mungkinkah anda menuturkan kata-kata seiras ayat ini?
Entah kenapa saya rasakan ada sesuatu yang tak kena pada ungkapan itu.
Saya mungkin bukan orang yang layak untuk mempertikaikan kesungguhan sesetengah ibubapa yang bekerja kuat demi anak-anak. Sebagai insan yang belum lagi ditakdirkan untuk memegang title ibu, sungguh saya rasa saya tak layak untuk menulis tentang bagaimana cara nak mendidik anak-anak.
Sekadar pendapat yang melintas di minda, saya percaya setiap patah perkataan yang digunakan bila berkomunikasi dengan anak-anak akan mengukir jiwa mereka, membentuk hati mereka, mencorak mereka menjadi manusia yang bagaimana. Jika jawapan begitu yang terhidang bila anak-anak mempersoalkan tentang masa keibubapaan yang terbatas, pastinya dunia yang akan bertapak di hati mereka.
Bagaimana dengan ayat ini?
"Mama dan papa kena kerja sebab nak cari duit untuk biayai keperluan hidup kita, nak sediakan makan pakai yang mencukupi untuk kita sekeluarga dan juga untuk belanja pelajaran anak-anak papa..."
Boleh nampak berbezaannya? Ayat yang mudah, lebih kurang sama tapi memberi maksud dan kesan yang berbeza.
Ramai yang bekerja bermati-matian dari siang membawa ke malam, demi wang kerana percaya wang dapat memastikan mereka dapat memberikan yang terbaik buat keluarga. Itu dikatakan melaksanakan tanggungjawab. Benar. Saya bukan persoalkan tentang kerja untuk dapatkan wang. Tapi kerja sampai lupa waktu, bertungkus lumus untuk kejar kejayaan melampau (baca : kemewahan) sehingga mengabaikan anak-anak, adakah berbaloi untuk jangka panjang? (matlamat jangka panjang = akhirat)
Bukahkah memberikan kasih sayang, meluangkan masa mendidik mereka juga adalah tanggungjawab ibubapa? Didikan awal tentang agama, tentang solat, tentang ilmu fardhu ain, bukankah lebih berkesan jika asasnya ditanam oleh darah daging sendiri? Kalau tak tahu, belajar. Dan kemudian ajarlah mereka. Kita cuma ada 24 jam saja dalam sehari, dan kalau lebih dari separuh masa telah kita habiskan dipejabat, dimana hak masa anak-anak?
Adakah wang yang banyak mampu membeli ketenangan? Adakah senang itu menjamin kebahagiaan? Adakah hebat berbelanja itu gambaran kejayaan?
Saya seringkali mendengar teman-teman yang bekerja sebagai guru, luahan rakan-rakan dan rungutan jiran-jiran yang terserempak dengan anak-anak yang sepatutnya ke tiusyen tapi hakikatnya mereka tersadai melepak di tepi-tepi jalan dan di cyber cafe (walaupun setelah dihantar ibubapa di depan pintu sekolah). Wang belanja harian untuk membeli makanan buat santapan pagi dan petang, digunakan untuk membeli rokok, leka meratah asap bersama makhluk tak berbentuk (jin dan syaitan la tu).
Sedih....
Anak-anak amanah Allah pada kita, itulah harta yang lebih berharga dari wang berjuta. Tak selesai tanggungjawab kita jika hanya menghantar mereka ke sekolah cuma, walaupun sekolah agama. Bagi saya, mencari duit biarlah berpada. Hidup kita hanya sementara, bersederhana dalam segala perkara itulah sebaiknya.
Maafkan saya jika tulisan saya kali ini banyak yang tak kena, tak menarik, tak berisi. Sungguh... ini sekadar pendapat, ingatan dan pesanan untuk diri sendiri sahaja. Menulisnya di ruangan ini kerana mahu berkongsi apa yang melintas di minda...