Mar 13, 2008

Disebalik kisah yg dipaparkan

Izan leka menonton rancangan Bersamamu di TV3. Melihatkan kehidupan susah yang dilalui oleh satu keluarga yang dipaparkan, membuatkan dia merasa begitu bersyukur kerana telah memberikan kehidupan yang agak selesa untuk dirinya oleh Allah Ar-Rahman.

Seingatnya, TV mula menyiarkan rancangan yang memaparkan kehidupan rakyat miskin ketika dia berada di sekolah menengah, hampir 20 tahun yang lalu. Ketika itu RTM yang mejadi pelopor rancangan seperti itu. Satu pembaharuan yang dirasakan amat positif dan menyedarkan. Penonton disedarkan bahawa ada insan lain yang lebih susah, lalu yang menjalani kehidupan yang senang seharusnya bersyukur dan seterusnya berusaha untuk membantu apa yang terdaya.

Teringat satu kisah lama, satu kisah yang hanya diketahui bila diceritakan oleh Kak Idah pada Izan bila dia pulang ke kampung untuk bercuti.

“Kak, siapa yang tinggal kat tanah dusun Ayah Aji kat depan tu?” Izan bertanya bila dilihatnya ada rumah berdinding kayu yang kelihatan sederhana usang terbina secara tiba-tiba. Baru setengah tahun dia tak pulang, dan rumah itu tiba-tiba muncul ditengah-tengah tanah dusun rambutan yang dulunya hanya dipenuhi dengan pohon-pohon kayu.

“Kak pun tak kenal, tapi Ayah Aji yang benarkan mereka buat rumah. Malah Ayah Aji tolong bina rumah tu untuk mereka. Mereka tu orang susah. Yang tinggal kat situ ialah sorang perempuan dengan 3 orang anak dan maknya yang dah agak berumur.” Cerita Kak Idah ringkas, memperkenalkan jiran dan penghuni baru kampung mereka.

“Suaminya?” Izan bertanya lagi, ingin tahu.

“Dengar kata suaminya tak tinggal sama. Tak pasti bercerai ke tak, tapi dia cerita suaminya tu selalu keluar masuk penjara, sebab tu lah dia hidup susah.” Jelas Kak Idah lagi.

“Milah! Milah!” kedengaran sayup-sayup satu suara menjerit memanggil nama yang agak asing. Serentak matanya memandang ke suara itu. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki yang berumur 8 tahun dengan basikal buruk memberhentikan basikal dan memanggil-manggil nama Milah dari laman rumah usang itu.

“Siapa Milah tu?” Tanya Izan sambil kembali memandang wajah Kak Idah

“Orang yang tinggal kat rumah tu lah.” Jawab Kak Idah sambil memuncungkan mulut menghala ke arah rumah itu.

“Milah tu adik budak tu ke?”

“Bukanlah. Mak dia yang nama Milah tu.”

“Mak budak tu? Tapi kenapa dia panggil nama je? Milah tu mak dia kan? Kenapa tak panggil mak? Milah ajar anak dia panggil nama je ke?” Bertalu-talu pertanyaan yang keluar dari mulutnya. Rasa ingin tahu semakin membuak-buak.

“Entahlah. Tapi kak dengar dia bahasakan dirinya mak, cuma anaknya tu yang tak mahu panggil dia mak. Agaknya dia dok dengar neneknya panggil nama dia Milah dan laki dia dulu pun panggil Milah jugak, jadi terikut-ikut agaknya.”

“Tapi budak tu kan muda lagi, masih boleh diajar. Ajarlah dia panggil panggilan yang elok sikit. Panggilan yang lebih hormat, bukannya panggil nama macam tu je. Milah tu kan mak dia. Krang ajar mananya bila panggil nama pada mak sendiri. Kita ni kan orang Melayu, orang Islam, bukannya orang putih.” Kata Izan tak puas hati.

“Memanglah, tapi kalau budak tu tak nak panggil macam tu, nak buat macam mana? Kalau dia dah jadi kurang ajar disebabkan oleh perlakuan dan sejarah keluarganya, apa sangat yang boleh mak dia buat?” Balas Kak Idah.

“Erm.. Dah ada sapa-sapa tegur dia? Suruh dia panggil Milah tu dengan panggilan mak? Mungkin kalau orang luar tegur dia rasa malu dan berubah.”

“Dah. Ayah Aji dah tegur dia, tapi tak diendahkannya. Kalau tak silap kak, Ayah Aji yang hantar kesekolah, tapi dia selalu ponteng. Kata kawan-kawan yang sekelas dgn dia, kalaupun dia ke sekolah, maaaiinn je kejenya dalam kelas, pastu gaduh. Bila balik rumah, mintak duit dengan Milah dan neneknya tu. Kalau tak bagi disepaknya orang tua tu. Mak Su Yah pernah nampak budak tu sepak neneknya bila duit yang diminta tak dibagi. Kesian betul.” Cerita Kak Idah lagi. Simpati dan geram bersatu dalam nada suaranya.

“Ye ke? Budak sedang membesar macam dia tu selalunya belajar melalui pemerhatian. Agaknya dia pernah tengok ayahnya memperlakukan mak dia macam tu tak?” Kata Izan mengagak.

“Mungkin jugak. Tapi memang kesian Milah tu sebab dapat anak yang berperangai macam tu.” Kak Idah berkata sambil kembali memandang rumah usang yang kelihatan kembali sunyi. Entah kemana perginya kanak-kanak tadi.

“Milah keje apa? Macam mana dia tanggung makan minum mak dan anak-anaknya tu?” Tanya Izan lagi.

“Tak keje. Buat masa ni, segala makan dan perbelanjaan mereka didapati hasil belas ihsan orang kampung ni je. Lagipun masa memula mrk tinggal kat sini, Milah mengandung anak ke3. Sekarang ni dah bersalin tapi katanya tak boleh nak keje jugak sebab sapa nak jaga anak-anak dia kalau dia pegi keje.”

“Habis tu?”

“Habis tu, dia orang hidup ala kadar je lah, sebab apa sangat yang boleh dibantu oleh orang kampung ni. Setakat bagi dia orang makan apa yang kami makan, pakai apa yg rasanya kami tak gunakan lagi. Itu jelah. Kami kat kampung ni pun bukannya orang kaya raya. Hidup sederhana je.” Kata Kak Idah sambil merenung jauh.

Kisah itu tak berakhir di situ. Kepulangan Izan beberapa bulan kemudian menghidangkan cerita yang lebih lain pula.

“Eh, kak, rumah tu macam dah kosong je. Milah pindah ke?” Tanya Izan.

“Dah, hampir sebulan lepas.”

“Pindah ke mana?”

“Pindah ke rumah baru, kerajaan yang bagi.”

“Eloklah tu. Rezeki dia. Syukurlah sbb kerajaan sudi membantu.”

“Mahu tak di bantu, kisah dia keluar TV beberapa bulan sebelumnya.” Jawapan Kak Idah membuatkan Izan berhenti menyuap kueh lepat pisang kegemarannya.

“Ye ke? Izan tak tahu pun. Bila keluar TV? Glamourlah Milah kalau macam tu. Mesti dia banyak dapat bantuan lepas keluar TV.” Kata Izan teruja mendengar orang kampungnya masuk TV.

“Memanglah. Banyak dapat duit. Suami dia yang dulunya entah ke mana hilang, dah pun balik.” Balas Kak Idah.

“Eloklah tu.”

“Elok apanya, kalau balik sbb nak mintak duit. Dia tahu bila dah masuk TV, ramai orang yang menderma, Milah memang dapat durian runtuh.”

“Apapun, syukurlah. Paling tidak, Milah tak rasa terbeban sangat. Mungkin duit derma tu dia boleh buat modal untuk berniaga ke, apa ke...” Izan berkata sambil membayangkan kebaikan yang diperolehi oleh Milah, satu permulaan untuk mengubah kehidupannya.

“Memang elok untuk Milah, tapi gara-gara Milah masuk TV, Mak Su Yah kamu dapat nama buruk sbb TV laporkan cerita yang tak abih.” Kata-kata Kak Idah sekali lagi membuatkan Izan berhenti mengunyah.

“Kenapa pulak? Apa kaitannya dengan Mak Su Yah?” Tanya Izan hairan.

“Kamu pun tahu, Ayah Aji dan Mak Su Yah tu macam mana orangnya. Mereka telah bermurah hati benarkan Milah sekeluarga tinggal kat tanah mereka tanpa apa-apa bayaran pun. Tapi lain pulak yang mereka dapat. Nama buruk dan kemarahan orang pada mereka.”

“Ngapa pulak macam tu?” Izan semakin hairan.

“Cerita yang dipaparkan untuk meraih simpati kepada nasib malang Milah, telah menjadi dugaan untuk Ayah Aji dan Mak Su Yah. Bagi kak, laporan yang diberikan tak menyeluruh dan mungkin terlalu mementingkan matlamat akhir yang mahu meraih simpati penonton. Memang tak salah bila mereka mahu membantu dengan memaparkan kehidupan keluarga Milah, tapi mereka tak sedar apa yang diberitakan kat TV tu memberi kesan yang mungkin tak begitu baik kepada Milah dan keluarga, termasuk Mak Su Yah."


"Izan tak faham. Apa yang kak cuba terangkan? Apa yang berlaku? Kenapa kak cakap macam tu?" Bertalu-talu soalan yang dilepaskan.

"Macam mana aku nak terangkan ye?" Katanya mengomel sendiri sambil menggaru-garu kepala, kemudian menyambung; "Erm.... Kata Ayah Aji, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Terkadang orang yang selalu berbuat baik, tak terlepas jugak dari diduga. Yang tak baik pun sama. Namun setiap apa yang berlaku, samada baik atau buruk, pasti ada sebabnya. Kamu pernah jumpa anak Milah yang lelaki tu kan? Kak pernah cerita dulu kat kamu, ingat tak?”

“Ingat.” Jawabnya ringkas.

“Anak-anak ialah rezeki dan amanat. Diturunkan sebagai anugerah, peringatan dan juga dugaan untuk kita. Sebenarnya perangai anak-anak berkait rapat dengan perlakuan mak ayah mereka. Anak-anak yang dilahirkan adalah amanat dan dugaan untuk Milah. Perangai anak-anak Milah tu.... erm...mungkin kerana berpunca dari sikap Milah sendiri yang meringankan perkara yang berkaitan dengan agama, bercampur pulak dengan perangai suaminya yang liar, jadi anaknya tu membesar dengan perkelakuan kurang ajar. Alah... tak tahulah kak nak cakap macam mana, tapi kau boleh fahamlah kan."

“Erm...”

“Milah tu.... Mak Su Yah sebenarnya selalu tegur sikap mereka dua beranak, Milah dan maknya tu, yang dilihatnya tak begitu berusaha untuk cari rezeki, malah bukan tu saja, sembahyang pun tak berapa lekat. Mak Su Yah selalu ajak mereka ke masjid tapi tak dihiraunya. Nak ubah kehidupan, kita kena berusaha dan berdoa, bukannya berserah pada takdir je.” Cerita Kak Idah panjang.

“Betul tu.”

“Bila dah selalu sangat ditegur tapi tak dihiraukan, Mak Su Yah katalah yang dia tak suka orang yang malas berusaha dan beribadat tinggal kat tanah dia, dengan harapan Milah dan maknya tu akan berubah, tapi mungkin mereka tu memang jenis yang tak tau bersyukur dan berterima kasih. Cerita kemiskinan dan kesusahan mereka entah macam mana dapat kat orang TV. Bila orang TV tu datang temuramah mereka, diceritakan yang Mak Su Yah sebagai tuan tanah nak halau dia pulak. Kebaikan Ayah Aji dan Mak Su Yah selama ini tak disebutkan langsung.” Suara kak Idah nyata mengandungi kekesalan yang dalam.

“Abih tu?”

“Abih tu, itu yang dicakap oleh Milah, itulah yang keluar kat TV. Milah mungkin marah dan sedih sebab Mak Su Yah penah sebut macam tu dengan dia, tapi dia tak sepatutnya membuatkan orang melihat Mak Su Yah dengan pandangan yang buruk. Kalau Mak Su Yah tak baik, takkan dibenarkan Milah tinggal kat situ. Orang TV tu pulak, nak jadikan cerita Milah tu lebih sedih lalu diceritakan tentang kisah halau menghalau tu tanpa diselidik lebih lanjut. Akibatnya, ramai orang marah kat Mak Su Yah sebab kata mereka Mak Su Yah dan Ayah Aji ialah orang yang tak berhati perut sebab sanggup menghalau perempuan susah dan malang seperti Milah tu. Mereka tak tahu cerita sebenar. Kami yang dok kat kampung ni, yang tinggal di sekitar rumah Milah, yang lebih kenal Ayah Aji dan Mak Su Yah, yang lebih tahu bagaimana sebenarnya perangai keluarga Milah tu, tak de pulak diinterview.” Kecewa. Bukan saja pada Milah, tapi juga pada TV yang membuat liputan.

“Erm... Macam tu lah pulak ye...” Izan turut merasa kekecewaan yang dialami oleh Ayah Aji dan Mak Su Yah.

“Tapi elok jugak dia orang dipindahkan dari sini. Baik untuk Milah sekeluarga dan baik untuk Mak Su Yah jugak. Kak pun tak suka dengan perangai anaknya tu. Dah macam nak ikut perangai bapaknya pulak, tapi tak tahulah kan. Ada yang kak dengar cerita, ada yang kak tengok sendiri, memang kak tak berkenan sangat kalau dia berkawan dengan anak kak, banyak pengaruh buruk yang dibawanya.” Kata Kak Idah sedikit lega walaupun rasa kecewa tetap ada.

“Erm... Tak sangka macam tu sekali.”

“Itulah kebenarannya. Orang tak tahu sebab mereka tak alami dan tak tengok sendiri apa yg berlaku. Mereka tahu melalui TV je. Ayah Aji kata, segala yang berlaku tu ada hikmahnya. Hanya Allah yang lebih tahu apa yang disediakan untuk hambaNya. Orang nak cakap apa, nak cerita apa, itu hak mereka. Paling penting kita tahu apa yang kita buat, Allah tahu apa yang sebenarnya berlaku. Setiap orang ada bahagian masing-masing. Bersedialah untuk apa jugak baik buruk bahagian yang akan diberikan oleh Allah nanti, sama ada di dunia ataupun diakhirat.” Kak Idah mengakhiri cerita dengan menyerahkan segalanya kepada Allah, seperti yang dinasihatkan oleh Ayah Aji, yang juga bapa saudara mereka.

Izan termenung mengingatkan cerita lama. Rancangan Bersamamu telah lama berakhir. Apa yang ada difikiran Izan semenjak tadi hanyalah kisah Milah. Milah ibu pada 3 anak kecil. Milah yang digambarkan tabah dan pasrah. Milah ibu yang penyayang dan kerana sayang terhadap anak-anaknya, Milah mahu kekal menjaga mereka walaupun ada yang mahu mengambil anak Milah sebagai anak angkat. Milah yang mungkin kerana kebaikan yang pernah dibuat, maka Allah telah anugerahkan dia dgn rezeki untuk memberi dia jalan memperbaiki diri dan kehidupannya.

Izan pernah melintasi rumah pemberian kerajaan yang dikatakan dihuni oleh keluarga Milah satu ketika dulu. Rumah yang sederhana tapi selesa. Pernah melihat anak-anak Milah riang mengayuh basikal baru.

Namun beberapa tahun selepas itu, Izan melalui jalan yang sama, jalan yang melintasi rumah Milah. Rumah yang sama masih di situ, tapi kini kelihatan usang dan sunyi. Tertanya juga di hati Izan, apa agaknya kisah keluarga Milah sekarang? Sebagai manusia biasa, Izan sedar tak semua perkara mampu diketahui dan perlu diketahui. Sebagai makhluk yang punya kemampuan terbatas, Izan hanya mampu tahu apa yang Allah mahu dia tahu dan kisah keluarga Milah mungkin bukan sesuatu yang patut Izan ambil tahu. Semoga hanya yang terbaik akan dimiliki dan dianugerahi pada kita semua kerana setiap orang berhak untuk merasai bahagia. Milah juga sama...

Nota: Ini ialah kisah benar. Kisah bapa saudara saya, arwah Ayah Aji dan Mak Su Yah. (Al-Fatihah) Antara kisah kehidupan yang terkadang buat saya menjadi manusia curiga tentang kebenaran yang dilaporkan. Tapi kita hanya manusia biasa, hanya akan tahu apa yang berlaku kalau Allah mahu kita tahu. Setiap yang buruk pasti ada baik yang terselindung, lalu saya doakan agar diri tak menjadi manusia yang terlalu mudah berprasangsaka buruk terhadap orang lain. Setiap yang baik mungkin ada buruk yang tersembunyi, lalu saya doakan agar diri dilindungi dari keburukan yang tak mampu saya hindari dan tak dapat saya ketahui tanpa izinNya. Ya Allah, ampunilah daku, lindungilah daku dari kesilapan dan kecuaian akibat dari kelemahan diriku sendiri.

Terharunya...




Pemberian dari Angriani


Buat teman (Combi dan Riani) yang buat masa kini hanya mampu Su dikenali melalui dunia blog, Su mahu kalian tahu yang Su benar-benar menghargai kesudian kalian menjengah blog ini. Menerima buku nota dari Combi dan BFF award dari Riani, buat Su rasa seolah permulaan baru untuk Su bila 'terjun' dan 'menyelam' dalam era blog ni. (harap-harap tak lemas... hehe).

Su masih muda dlm dunia blog walaupun dah tua dari segi umur, (adui... kalau boleh tak naklah guna perkataan tu, tapi su selalu guna sbb nak menyedarkan diri sendiri. hehehe...) banyak yang nak kena belajar. Su tak biasa dan takut untuk meluahkan perasaan, tapi dengan blog, Su berusaha untuk melepaskan apa yang berada di fikiran. Sebagai kawan, Su harap kalian sudi menegur andai ada kesilapan yang Su lakukan... Su manusia biasa yang tak sempurna dan banyak kekurangan walaupun dari segi tulisan dan pemikiran, Su mahu memperbaiki diri dan menjadi lebih dewasa dlm dunia blog ini dengan bantuan kalian...


Combi... Riani... Terima kasih ya atas persahabatan dan kasih sayang kalian.

Mar 4, 2008

Pilihanraya

Demam pilihanraya dirasakan di mana-mana saja. Meriah dengan cara yang tersendiri. Semua orang bercakap, bercerita, berkempen dan meluahkan pendapat. Razman memandu seperti biasa, tenang ditemani oleh rakan serumah yang juga teman sepejabatnya.

"Man, kita balik hujung minggu sbb nak mengundi je, letihlah. Tak payah balik lah ye?" Aziz bersuara memecahkan kesunyian yang melingkari ruang sempit didlm kereta milik Razman.

"Tak boleh, kita kena balik. Mengundi tu tanggungjawab kita sebagai rakyat. Lagipun kita kan dah setuju utk balik dgn bas, dah beli pun tiket. Kau jugak yang cakap tak nak drive. Tetiba je tukar fikiran, apa hal ni?" Soal Razman hairan.

"Tak de apa-apa... cuma aku rasa naik bas pun letih jugak." Jelas Aziz ringkas.

"Alah... 5 tahun sekali je kita balik untuk tujuan macam ni. Jangan berkira sangat." Balas Razman.

"Erm... dengar kata kita boleh claim kalau balik dgn bas. Jom kita claim, nak? Jimat belanja sikit." Aziz mencadangkan.

"Claim? Buat apa nak claim pulak. Kita kan balik utk mengundi, dan mengundi tu tanggungjawab. Seeloknya kita laksanakan tanggungjawab tu dgn ikhlas. Unsur-unsur imbuhan macam claim atau sponser tiket tu aku rasa sedikit sebanyak mencacatkan ketelusan proses pemilihan itu sendiri. Kecualilah kalau kita betul-betul tak mampu untuk bayar tambang balik. Kau tahu tak, tawaran yang diberikan tu, sekali aku fikir macam berbentuk rasuah le pulak. Sebab bila nak claim, ada yang mensyaratkan supaya mengundi parti tertentu, ataupun kena jadi ahli dulu." Luah Razman panjang, kecewa dengan situasi yang ada sekarang.

"Duit tu mmg ada dlm bajet untuk kempen pilihanraya la. Semua orang berpeluang untuk menggunakan bajet tu tanpa dipersoalkan atau dikejar oleh BPR, kenapa pulak kau rasa ada unsur rasuah?" tanya Aziz ingin tahu.

"Rasuah tu kan banyak jenis dan bentuk. Sama macam riba yang diamalkan oleh bank jugak. Ia dibenarkan sbb sah mengikut undang-undang, tapi tetap salah di sisi agama. Nak terlibat atau tidak bergantung kepada pilihan kita. Jadi pilihlah yang berlandaskan ajaran agama kerana ia akan menyelamatkan kau bukan sahaja di dunia tapi juga diakhirat. Mungkin kat dunia ni tak ramai yang menyoal tindakan kau, mungkin tak ada pun tapi kat akhirat nanti, kau pasti akan ditanya." Razman berkata sambil sesekali menjeling teman di sebelah yang sesekali kedengaran seperti tidak puas hati dengan penjelasannya.

"Ish... kau ni menakutkan aku pulak." Balas Aziz dengan perasaan sedikit tergugat.

"Aku bukan menakutkan kau tapi mengingatkan. Semasa musim pilihanraya ni, mmg ada orang yang suka mengambil kesempatan. Kesempatan untuk menyogok kerana nak dapatkan undi dan kesempatan untuk menerima sogokan untuk kepentingan diri. Aku tak mahu menjadi sebahagian dari kumpulan yang macam tu. Bagi aku, aku mahu undi aku bersih dari sebarang unsur yang tak baik. Kalau aku rasa perbuatan claim tiket tu satu unsur tak sihat, aku mmg tak mahu terlibat." Terang Razman lagi.

"Tak kan lah sampai macam tu. Kau ni.... jgnlah terlalu lurus. Orang nak bagi, kita terima je. Kalau kita tak ambik, orang lain akan ambik. Sapa yang rugi? Kita jugak. Lagipun siapa yg kita pilih tu hanya kita yang tahu." Ucap Aziz cuba untuk memujuk Razman.

"Kau jangan lupa, Allah tahu. Apapun, terserah pd kau. Semua yang aku cakap tadi adalah pendapat peribadi aku je. Erm.. Lagi satu, kalau kau terima pembiayaan orang dari satu parti ni, lepas tu kau pilih yg lain, kau tak rasa yang kau dah terlibat dlm satu bentuk penipuan ke? Semua orang bencikan penipuan, terutama orang yg kena tipu. Bila kita pilih pemimpin, kita nakkan orang yang amanah dan jujur, tapi tanya diri sendiri dulu, jujurkah kita semasa melalui semua proses membuat pilihan?" Kata Razman lagi, masih berusaha untuk membuatkan temannya itu memandang dari sudut yang dilihatnya.

"Mak oi... seriusnya kau ni... aku cuma ajak kau claim je lah. Yang kau bagi syarahan mengalahkan calon yang nak berkempen ni buat apa?" Usik Aziz bila di lihatnya Razman serius bila bercakap tentang fenomena pilihanraya yang sedang berlaku sekarang ni.

"Bukan aku saja nak bersyarah, tapi aku cuma harap kau boleh betulkan nawaitu kau tu, supaya kau tak akan di soal di padang Mahsyar nanti untuk sesuatu yang kau ambil ringan. Sebagai sahabat, aku cuma mahu mengingatkan kau tentang perkara yang mungkin kau tak nampak, tak perasan. Undi bukan perkara yang boleh di buat main. Kau nak pilih siapa, itu urusan kau. Kau pilihlah berdasarkan pemberat mana yang kau rasa penting dan perlu. Sebelum tu, bersoal jawablah dgn minda kau sendiri. Kau nakkan kemajuan, kemajuan yg macam mana, kemajuan yg setakat mana? Nak kan keadilan, keadilan untuk siapa, keadilan yang bagaimana? Nak kan pendekatan yang lebih ke arah keagamaan, pendekatan yang sejauhmana? Islam Hadhari atau kepimpinan ulamak? Memilih sekarang bukan hanya untuk menentukan masa depan kita bagi tempoh 5 tahun yang akan datang, tapi juga untuk masa depan kita yang melepasi kehidupan kita dibumi ini iaitu kehidupan kita diakhirat nanti." Jelas Razman, masih lagi dengan nada yang serius.

"Erm..."

"Siapa yang kita pilih, dan kenapa kita memilih calon tersebut, akan disoal diPadang Mahsyar nanti. Sekarang ni kita diberi peluang untuk memilih. Kalau tak memilih pun, sebenarnya kita akan disoal jugak, sbb kita tak jalankan tanggungjawab kita." Sambungnya lagi.

"Abih tu, mengundi salah, tak mengundi pun salah. Calon ni dikatakan tak baik, calon tu pun belum tentu baik jugak. Pening aku..."Luah Aziz keliru.

"Sembahyang istikharah. Itu yang sepatutnya kita buat sebagai seorang muslim. Kenapa bila nak memilih jodoh saja baru nak sembahyang istikharah, sedangkan sebenarnya sembahyang istikharah itu adalah sembahyang untuk memohon petunjuk bagi menentukan pilihan. Jadi sebaiknya setiap pengundi harus sembahyang istikharah dulu sblm mengundi. Kita mengundi untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak mengikut apa yang telah Allah gariskan. Bila ciri-ciri asas sebagai muslim yang baik dipenuhi, barulah negara kita akan diberkati dan keseimbangan dalam kemajuan dan keadilan boleh dipenuhi tanpa ada suara-suara yang tak berpuashati bercakaran disana sini." Razman berkata lagi. Meluahkan cadangan dan sekaligus menyatakan pendapatnya.

"Kita menilai calon dan parti yang nak dipilih berdasarkan faktor dan maklumat yang di kutip dari pelbagai sumber. Nak tak nak kita terpaksa bergantung kepada sumber-sumber yang kita dapat melalui pelbagai channel sbb kita tak kenali calon secara individu. Ada sumber yang boleh dipercayai dan ada jugak sumber yang tak berapa benar. Aku pun kadang tu tak tahu mana satu yang benar dan mana satu yang salah." katanya lagi. Mulutnya petah berbicara namun matanya tak lepas memandang ke depan, memastikan diri tidak terlalai bila memandu.

"Tahupun kau. Dah tu... nak buat macam mana lagi?"

"Kita diberikan akal untuk menilai dan berfikir. Kita ada Allah untuk dijadikan tempat bergantung. Bagi aku, apapun pilihan yang dibuat harus bersandarkan pada Allah. Allah yang memiliki hati kita, lalu Dia yang menggerakkan hati untuk memilih siapa selepas semua maklumat yang kita ada tu diproses oleh minda kita. Allah akan membantu kita dengan cara mengilhamkan pilihan yang patut dibuat." Katanya penuh keyakinan.

"Kau ni kan, kalau bercakap, mengalahkan orang berkempen la pulak." usik Aziz bila dilihat temannya itu bersungguh-sungguh bila bercakap.

"Aku tak berkempenlah... aku cuma membetulkan apa yg aku rasakan salah, mengingatkan apa yang aku rasa kau lupa. Pilihan ditangan kau. Pertimbangan juga hak kau. Kau sama macam aku jugak, makhluk yang dikurniakan akal fikiran dan kewarasan untuk menentukan pilihan mana yang terbaik untuk kita. Jadi, gunakanlah apa yang Allah berikan ni dgn sebaik-baiknya..." Aziz terdiam. Sedikit sebanyak apa yang dikatakan oleh Razman melekat dihatinya. Razman bercakap tanpa menyentuh peribadi mana-mana calon, bercerita tanpa dapat dikesan dia berada dipihak mana. Undi adalah rahsia, itu kata Razman bila ditanya calon mana yang menjadi pilihannya...

Nota : Selamat mengundi untuk semua!

Feb 22, 2008

Cinta bersyarat atau cinta tanpa syarat...?

"Apa falsafah cinta kau?" Mirhad tiba-tiba mengeluarkan satu soalan yang menarik untuk dibincangkan.

"Apa maksud kau?" Farid menyoal kembali sambil memandang terus ke mata temannya itu, mengharapkan diberi sedikit huraian untuk soalan yang tiba-tiba tersembur dari mulut kawannya itu.

" Setiap orang ada falsafah hidup yang dipegang, dan cinta adalah satu dari cabang laluan yang mengisi kehidupan. Jadi tentunya kau ada pegangan tersendiri bila bercakap tentang cinta, ada falsafah cinta yang kau jadikan pegangan." Jelas Mirhad.

"Falsafah cinta kau?" Farid memulangkan soalan yang sama.

"Aku tanya kau, kau tanya aku pulak. Aku tak pernah bercinta, tak reti nak bercinta, tak ada orang yg nak bercinta dgn aku, jadi macam mana aku nak ada falsafah cinta. Sebab tulah aku tanya kau, kot-kot aku boleh pegang falsafah cinta kau dan lepas ni mana tahu aku akan ditakdirkan untuk bercinta." Kata Mirhad pula.

"Hahaha... Macamlah aku ni dah ada calon. Aku pun macam kau jugaklah. Erm... Kalau boleh, kita jgn sempitkan istilah cinta. Cinta ada dimana-mana. Ia ada dlm setiap langkah yang kita atur, setiap apa yg kita buat, setiap keputusan yg kita pilih. Sedar atau tidak, semua tu berlaku kerana cinta. Cinta pada harta dunia, lalu ada orang yg berusaha mengejarnya sehingga sanggup mengorbankan masa dan tenaga. Sedari kecil kita telah diajar untuk untuk menyintai ilmu, belajar sehingga keluar negara, itupun cinta sebenarnya. Cinta pada kebersihan, kerana itu kau mandi setiap hari. Dan kerana kau mandi dan bau wangi, aku boleh duduk dekat dgn kau... kalau tak mesti aku dah cabut lari. hahaha...." Farid sedar topik ini satu topik yang menarik untuk dibincangkan. Falsafah tentang cinta terlalu banyak dan ianya hanya sesuai untuk sesetengah keadaan sahaja. Tidak ada satu falsafah yang dia temui yg di rasakan benar-benar bertepatan dgn apa yang digambarkan difikirannya.

"Ceh... ada ke bagi contoh macam tu..." Mirhad juga turut tergelak kecil.

"Itukan contoh... apa-apapun boleh bagi per. hehe." Dia tergelak lagi, kemudian menyambung dengan suara yang lebih serius; "Sebenarnya byk lagi contoh ttg cinta yg wujud setiap masa dan ketika. Sebab tulah aku cakap hidup kita penuh dgn cinta. Itu tak masuk lagi cinta yang paling abadi yang kita perlu sirami setiap hari, cinta Allah. Kita hidup dan bernafas adalah kerana cinta Allah pd kita."

"Erm..."

"Kerana cinta, manusia boleh bangkit dan berkuasa. Kerana cinta juga manusia boleh jatuh, menderita dan mati kerananya." Air tembikai yang tinggal separuh, dihirup lagi.

"Memangpun. Tapi kau jawab lagi soalan yg aku tanyakan tadi. Aku nak tahu falsafah cinta kau, itupun kalau ada lah."

"Bagi aku, cinta itu bersebab dan cinta aku bersyarat." Farid berkata sambil merenung jauh.

"Mestilah cinta tu bersebab... Orang tak akan jatuh cinta tanpa sebab, kan. Tapi cinta kau bersyarat? Apa maksud kau?" Mirhad kelihatan sedikit keliru.

"Yup. Cinta aku bersyarat. Orang mudah terharu kalau disebut cinta tanpa syarat, tapi aku lain, cinta aku bersyarat. Aku tak perlu buat orang terharu dan aku tak kisah orang terharu atau tidak, sebab hakikat cinta aku jelas berpijak di bumi realiti. Itu yang penting."

"Aku tak faham kenapa kau cakap macam tu...."

"Simple. Aku tak percaya pada falsafah cinta tanpa syarat. Kalau adanya satu jalinan yg bernama hubungan, tak kira apa hubungan sekalipun, adik beradik ke, parent dgn anak, hubungan dgn kawan-kawan ke, bagi aku semua hubungan adalah bersyarat. Apatah lagi cinta antara lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi kalau cinta suami dan isteri." Jelas Farid

"Uih... dgn aku pun kau nak bersyarat?"

"Ye lah... syaratnya hari ni kau belanja aku makan? Boleh?"

"Oh... aku ingatkan syarat apalah. Ok, kalau itu syaratnya, no problem. Lagipun sebelum ni pun kau yang selalu bayar. Hahaha." Mereka ketawa.

"Kalau dari segi memilih pasangan, boleh aku tahu apa syarat kau? Mesti yg cantik? Yang muda? Yang berkerjaya atau nak yang dok kat rumah je?" Mirhad bertanya lagi.

"Kriteria seperti itu tak penting bagi aku. Untuk pasangan aku, ia boleh disesuaikan mengikut keadaan dan keperluan. Syarat yg fleksibel. Syarat pokoknya mestilah segalanya berpaksikan hukum Allah. Insyaallah, apa yang aku inginkan, apa yang aku syaratkan, itulah juga yang akan aku berikan."

"Kau nak beri apa? Kau nak mintak apa?"

"Allah menyuruh kita setia pd pasangan, itulah yg aku mahukan. Allah menggariskan kejujuran sebagai satu nilai penting dlm kehidupan, itulah juga yang aku mahukan dari dia. Allah mahukan kita saling mengingatkan dan berpesan-pesan dgn kebenaran, itulah juga yang aku harapkan akan sentiasa berlaku, kerana kita harus ingat, manusia ni makhluk pelupa. Itulah sebabnya Allah jadikan kita berpasang-pasangan, supaya kita boleh saling melengkapkan andai ada kekurangan dan berkongsi andai ada kelebihan."Kata Farid.

"Bila kau sayangkan seseorang, bila kau cintakan seseorang, mesti kau sanggup lakukan apa saja kan, malah akan lakukan apa saja. Pengorbanan tak semestinya di balas dgn wang ringgit atau sesuatu yg boleh dinilai atau di lihat, tapi paling tidak biarlah ada sedikit perasaan menghargai apa yang telah di buat. Contohnya bila seorang isteri sanggup mengorbankan nyawanya bila melahirkan zuriat penyambung keturunan, suami seharusnya membantu bagi membuktikan cinta yang wujud antara mereka. Bukankah itu juga satu syarat? Satu lagi contohnya ialah persahabatan kita. Kalau kau sayangkan hubungan kita, aku harap kau jujur pada aku, jgn tikam aku dari belakang, sesekali temankan aku makan ke, lepak dan berbual ke untuk hilangkan rasa bosan. Itu juga satu bentuk syarat dlm sesuatu hubungan, tapi tentulah aku kena faham jugak keadaan kau. Kalau diizinkan Allah, kita pasti boleh berjumpa macam sekarang ni. Saling berusaha untk faham keadaan kawan, itu juga satu syarat dlm perhubungan, kan?" Jelasnya panjang. Tak mahu kawannya itu salah mengerti apa yang dimaksudkan.

"Erm..."

"Setiap manusia punya kelemahan dan kekurangan. Apa yang lebih sekarang mungkin esok akan kurang. Apa yg kurang sekarang mungkin esok aku boleh lebihkan. Lalu aku tak mahu menjanjikan apa-apa ataupun meminta apa yg aku tahu mungkin hanya sementara. Harta, kemewahan, kecantikan, kesihatan... itu semua sementara. Akan menjadi milik kita jika ada izin Allah. Akupun bukan mencari kesempurnaan kerana kita manusia tak ada yang sempurna, kerana itulah aku hanya letakkan syarat begitu. Erm... Rasanya itulah jawapan yang boleh aku berikan untuk soalan kau tadi, falsafah cinta aku, apa yg aku katakan cinta aku ialah cinta bersyarat." Farid tersenyum sambil menghuraikan.

"Wow! Menarik. Erm... Sebaiknya macam tu lah kan? Alahai... Bila la aku boleh merasa untuk bercinta jugak ni..."

"Buat apa kau nak tergesa-gesa. Biarkan cinta muncul dengan sendirinya kerana Allah akan berikan pd kau bila tiba masanya. Buat masa ni kita jgn bazir masa, kita mulakan dgn menyintai Allah dulu. Ada kata-kata yg menyebut, 'jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya. Tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan-Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.' "

"Betul tu. Aku setuju sangat." Kata Mirhad sambil mengangguk-angguk perlahan.

"Aku pernah baca satu artikel tentang cinta. Dalam artikel tu ada menyebut bahawa cinta ialah rasa yang ada dalam hati dan tidak boleh disukat-sukat. Hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah. Panjang ulasan yg dibuat tentang cinta nafsu dan ianya bagi aku cukup menakutkan. Nanti aku bagi artikel tu kat kau. Tapi yg aku ingat ialah apa yg disebutkan tentang cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah, dan cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya."

"Cinta sebenarnya bukan untuk antara lelaki dan perempuan je. Cinta ialah perkataan lain untuk kasih sayang. Jadi kalau mengikut pengertian itu, cinta tak mengenal jantina dan kedudukan. Dan cinta yang sebaik-baik cinta ialah cinta yang lahir hasil dari perasaan yang sama-sama cintakan Allah. Ia boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya." Jelas Farid lagi. Itulah yang disenangi oleh Mirhad bila berdamping dgn Farid. Temannya itu jelas mempunyai pandangan yang berbeza, dan selalunya pandangan yang diberi menjurus ke arah pendekatan agama.

Mereka terus berbincang dan berbincang. Segala perhatian, pengorbanan dan kemaafan yang diberikan haruslah dibalas walaupun hanya bermodalkan kesetiaan dan kepatuhan, berbekalkan keikhlasan dan ketulusan, bersumberkan kejujuran dan ketaatan. Andainya syarat yang begitu mudah dan murah tidak mampu dipenuhi, jgn rasa terkilan andai satu ketika kehilangan akan bertandang, sepi akan menjadi teman dan benci akan bertaburan kerana harga satu perasaan tak mampu dinilaikan di mana-mana pasaran.

Ungkapan cinta tanpa syarat, sayang tanpa syarat dirasakan terlalu 'buta' kerana ia tidak berpijak dibumi nyata, Tak ada perkara dalam dunia ini yang wujud atau diwujudkan tanpa sebab dan tanpa syarat. Pengorbanan harus disyaratkan agar dibalas dengan rasa dihargai, kemaafan harus bersyaratkan kejujuran dan cinta harus disyaratkan dengan kesetiaan dan keikhlasan. Andai segala syarat yang tak memerlukan modal itu dipenuhi, barulah kebahagiaan sebenar mampu dirasai dan ketenangan akan menjadi milik diri. Bukankah bahagia itu ialah ketenangan?

Feb 20, 2008

Warkah untuk ayahanda

Assalamualaikum w.b.t.

Kembali menemui ayahanda dan keluarga dikampung. Anakanda disini sihat seperti biasa, berkat doa ayahanda dan bonda. Semoga ayahanda dan keluarga juga begitu hendaknya.

Surat ayahanda telah selamat anakanda terima minggu lepas bersama duit yang dikirimkan. Terima kasih yang tidak terhingga untuk semua yang telah ayahanda lakukan untuk anakanda. Terubat juga segala kerinduan anakanda tatkala menatap warkah dari ayahanda. Namun begitu anakanda ingin memohon maaf kerana kelewatan membalasnya. Kesibukan menghadapi pelajaran di sini telah menghadkan masa anakanda untuk menulis, tapi ingatan anakanda tak pernah lepas pada ayahanda. Ayahanda.... anakanda memang selalu rindukan ayahanda dan semua keluarga kita di kampung...

Untuk pengetahuan ayahanda, anakanda akan menghadapi peperiksaan bermula minggu depan. Doakan kejayaan anakanda ya! Doa ayahanda amat penting untuk anakanda. Selesai peperiksaan, anakanda akan bercuti selama dua minggu. Namun begitu anakanda telah ditugaskan untuk menguruskan penerbitan majalah sekolah, jadi kemungkinan anakanda akan balik lambat sedikit kerana perlu menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan oleh guru.

Ayahanda yang sentiasa dirindui,
Kalau mengikut perkiraan anakanda, musim buah sudah menghampiri, kan? Bagaimana dengan kebun kita agaknya. Sudahkah ayahanda menyiapkan bangsal menunggu durian didusun nenda? Oh ya, bagaimana dengan nenda sekarang? Masih sihatkah dia untuk mengerjakan batas-batas kebun di dusun kesayangannya itu? Sudahkan sakit lututnya itu pulih sepenuhnya?

Tiba-tiba anakanda terbayangkan kebun nenda yg pastinya telah penuh dgn batas-batas ubi yang telah mula tumbuh subur. Menjelang masa untuk buah-buah di kebun masak, pastinya tika itu juga durian telah mulai gugur, ubi-ubi yang nenda tanam pula tentunya telah cukup matang untuk di cabut. Nenda memang pakar menjangkakan tempoh untuk ubi itu menjadi besar kan?

Tahukah ayahanda bahawa anakanda pernah bertanya pada nenda, kenapa nenda hanya tanam ubi pada masa tertentu saja? Katanya, dia lakukan semua tu sebab mahu cucunya menikmati ubi bakar semasa menemaninya menunggu durian. Anakanda harap, anakanda akan berpeluang untuk menemani nenda lagi menjelang musim durian gugur nanti. Ketika menulis surat ini, anakanda sedang membayangkan bau ubi kayu dan keledek bakar yang wangi. Aduh... tak sabar rasanya nak menunggu masa itu tiba.

Ayahanda jangan lupa buat bangsal yang tahan lama sikit kali ini ya. Jangan sampai bila hujan ribut melanda, bumbungnya terbang lagi seperti tahun lepas! Anakanda suka sangat tidur dibangsal yang ayahanda sediakan itu. Bangsal yang berlantaikan buluh, berbumbungkan rumbia dan ringkas berdindingkan daun kelapa. Sejuk dan nyaman sekali rasanya bila berbaring disitu...

Ayahanda yang di kasihi,
Surat akan datang, tak perlulah ayahanda sertakan duit belanja untuk anakanda ya, kerana kiriman ayahanda yang lepas masih ada, belum terusik pun lagi. Tak banyak yang anakanda belanjakan kerana anakanda tinggal diasrama dan pihak pengurusan telah menyediakan makanan yang mencukupi untuk keperluan pelajar di sini. Hanya sesekali saja anakanda akan membelanjakan duit itu bila teringin untuk makan kueh di kantin ataupun bila perlu membeli alat tulis di koperasi. Lagipun sekolah ada memberikan sedikit biasiswa untuk anakanda dan rasanya ia mampu menampung sebahagian daripada perbelanjaan anakanda disini. Kalau anakanda perlukan belanja yang lebih sikit dari biasiswa yang diberikan, anakanda akan beritahu ayahanda nanti. Janganlah ayahanda bimbang ya!

Sudah agak panjang surat yang anakanda lakarkan untuk ayahanda, semoga terubat kerinduan ayahanda pada anakanda bila menatap titipan bicara ini. Sampaikan salam kerinduan anakanda pada nenda, kekanda berdua dan juga saudara mara kita yang lain. Andai ayahanda menziarahi pusara bonda, katakan juga padanya, anakanda diperantauan sentiasa merindui segala kenangan bersama dengannya. Hanya Al-Fatihah yang mampu anakanda kirimkan, semoga roh bonda damai dipersemadian. Amin.

Wassalam.

Note : Bila membaca entri k'Kujie, tentang anaknya yang tinggal di asrama, benar-benar buat saya teringat kenangan masa sekolah dulu. Dan entri Sejuta Rasa benar-benar buat kerinduan saya pada arwah ayah membuak-buak. Saya cuba mengingatkan kembali surat-surat yg pernah saya kirimkan pd dia dan cuba mencari kembali surat-surat lama yg pernah dia hantar, tapi tak jumpa. Sememangnya saya masih menyimpan kebanyakan surat-surat yang dihantar oleh keluarga, teman dan suami. Saya ada sekotak yg berukuran sederhana yg isinya hanyalah surat-surat lama. Namun kini yg tinggal hanyalah sekotak kecil saja. Kebanyakannya telah saya buang bila saya dapati ia rosak dimakan anai-anai semasa ia ditinggalkan di rumah arwah di kampung.

Kerana kerinduan yg membuak-buak bila membaca entri
k'Kujie, saya cuba bayangkan zaman yg pernah saya lalui dan melakar kembali surat yg pernah saya kirimkan pada arwah ayah. Terasa agak kekok untuk menulis dgn kata-kata sebegitu, lantaran terlalu lama ia ditinggalkan.

Arwah ayah seorang yang berjiwa seni. Kehalusan jiwanya tergambar dari setiap hasil kerja tangannya. Tulisannya yang kemas bersambung masih jelas terbayang di mata saya. Dulu, kami berutus khabar melalui surat kerana semasa saya mula tinggal di asrama, kampung saya masih belum diberikan kemudahan telefon. Lalu hanya itu saja cara untuk kami berhubung.

Al-Fatihah untuk arwah.