Bila membaca entry sisipan dalam blog kak jie, saya teringat diri saya yang lama. Persoalan, "Siapakah yang akan mendoakan saya bila saya meninggal nanti?" memang kerap kali muncul dan menyesakkan hati.Sedih... dan saya memang faham luahan hatinya.
Tapi benar kata kak jie, apa yang menjamin kehidupan kita di akhirat kelak bukan hanya satu - anak yang soleh, tapi salah satunya saja.
Bagaimana kalau anak yang dilahirkan dan dididik tidak berjaya menjadi anak yang soleh? Sama juga kan? Kita masih boleh berharap pada amal dan ilmu, yang datangnya dari diri kita sendiri untuk menyokong 'permohonan' kita ke syurga!
"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan di dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga dengan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yg tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu." Surah Al-Hadid. Ayat 20.
Bila membaca maksud ayat ini, hati saya sedikit lega. Ada sesuatu yang Allah mahu sampaikan pada saya... ada sesuatu yang Allah mahu saya tahu dan beringat. Tentang harta dan anak mampu melalaikan diri dari mengingati Allah... Dan saya? Allah tak mahu saya lalai (InsyaAllah...) dan bermegah-megah dengan pinjamanNya lalu Dia berikan saya, hanya apa yang mampu saya tanggung (Alhamdulillah..).
Anak... itu adalah impian buat setiap pasangan yang telah berkahwin, tapi bukan semua orang berpeluang untuk memilikinya.
"Kau nak ambik anak angkat tak? Ramai yang pelihara anak angkat, lepas tu dapat anak sendiri. Kalau nak, kau tanya je kat mana-mana hospital, mesti boleh dapat nyer... tak payah menunggu lama." Usul sahabat.
"Anak apa? Anak orang susah, anak yatim piatu atau anak ter...?" Soal saya.
"Anak ter... lah..." Jawabnya ringkas. Faham apa yang saya maksudkan.
"Err... tak pe lah. Aku belum terbuka hati nak ambik anak angkat lagi." Jelas saya.
Sayu hati saya. Yang mahu tapi tak dapat, yang tak mahu, mudahnya mendapat.
Dunia akhir zaman.
Ya Allah... hidupku dalam genggamanMu. Rezekiku adalah milikMu. Jadikan aku hambaMu yang bersyukur dan redha dengan segala ketentuanMu.
Saya akan terus berusaha. Doakan saya...



