".... tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina. Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan...." - Dr MAZA, akhbar Sinar.
Saya kecewa bila membaca petikan pernyataan begitu, keluar dari seorang yang tinggi ilmu agamanya.
Melihat dan menilai sebelum menghukum, memang baik dan harus dilakukan. Tapi dimana garisan penentunya?
Saya tak banyak ilmu di dada, dosa juga menimbun banyaknya, tapi bila membaca petikan itu hati saya rasa cukup tak selesa. Lalu saya menulis di sini, sekadar mahu berkongsi suara yang terlintas di minda saya;
1. Jika lapar dan terdesak, mencuri boleh dilepaskan dari hukuman? Lalu bagaimana masyarakat terutama generasi muda nak belajar tentang apa yang dikatakan 'yang salah tetap salah'?
2. Bukankah zina bertaburan kerana tiada hukuman yang mampu membuatkan orang yang melakukannya berfikir berkali-kali untuk melakukannya? Lalu mestikah membiarkan penzina lepas selagi semua kes penceraian tak selesai? Mungkinkah selama ini hukuman diberi sekadar melepaskan batuk di tangga kerana menimbangkan banyaknya pendorong zina dan hukuman berat tak akan memberi kesan seperti yang di harapkan?
3. Mana yang lebih berkuasa dalam sesebuah negara, pemerintah atau golongan agama? Jika langkah dua golongan ini tidak seiring, tidak sehala, tidak sehaluan, bagaimana mahu merungkaikan kekeliruan secara berkesan?
Adakala kita tak payah menunggu sehingga kita berjumpa punca masalah, dengan alasan mahu mencari cara terbaik untuk membetulkan keadaan. Kita cuma perlu bertindak bila ada peluang dan keizinan Allah. Apapun tak akan selsai jika kita lebih banyak habiskan masa dengan menyelidik dan mencari sebab sesuatu musibah itu berlaku.
Ibarat selsema babi yang mengandungi virus babi, burung dan manusia. Mana yang nak dihapuskan untuk menghalang virus ini terus merebak? Babi, burung atau manusia? Pilihlah yang paling jelas. Dah namanya selsema babi, bunuhlah dan hapuskan babi dulu (dalam ertikata lain, tak payahlah nak besarkan dan tambahkan lagi ladang babi yang telah sedia ada)... tak kan nak tunggu manusia jadi pupus baru nak hapuskan babi?
Opss... tetiba emosional la pulak. Ampun Ya Allah...
Tetiba saya teringat satu ceramah dalam slot Bicara Ad-Din yang saya hadiri.
"Bila berlaku sesuatu musibah keatas sesuatu kaum atau seseorang individu, Khalifah Umar bertanya, 'Apakah dosa kaum kamu sehingga Allah timpakan musibah sebegini?'. Khalifah Umar tak sibuk mencari punca kenapa musibah itu berlaku, sebaliknya menyoal kaum tersebut dengan soalan begitu. Itu sudah cukup untuk menyelesaikan masalah. Ia membuatkan kaum tersebut berfikir apa yang perlu diperbetulkan dalam kehidupan mereka. Cara hidup, pendirian dan pegangan terhadap sesuatu perkara. Lalu, tak bolehkah kita gunakan soalan yang sama untuk situsi H1N1 yang kian parah kini?"
Apa dosa saya, dosa kamu, sehingga Allah timpakan musibah ini pada negara kita? Jom kita fikirkan dan kita perbaiki apa yang kurang dan rosak.
Nota : Maaf jika pengisian bercampur aduk, bahasa juga tak tersusun. Saya sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran yang sedang hebat terhayun bagai pusingan roller coaster. Salam Ramadhan semua.
Sep 8, 2009
Aug 25, 2009
Ekau nok kayo tak?
Su : "Semalam ada classmate saya edarkan buku 'Bagaimana Mahu Kaya Dunia Dan Akhirat?'. Memang tajuk yang boleh menarik minat orang untuk membeli."Hasni : "Awak beli tak?"
Su : "Tak."
Hasni : "Tak nak kaya?"
Su : "Hehehe... Mestilah nak. Tapi kaya yang bagaimana? Apa maksud kaya yang sebenarnya? Kaya dunia ni apa ukurannya? Kaya akhirat pulak apa ukurannya?"
Hasni : "Erm... Kalau kaya dunia mestilah banyak harta, kereta dan rumah pun mestilah besar. Tapi kaya akhirat? Erm... entahlah."
Sue : "Ada kereta dan rumah yang besar, makanpun lebih dari cukup, tapi kena keje siang malam, rehat pun tak ada, weekend pun entah ke mana. Rasa-rasanya mereka tu kaya ke? Tak terfikir ke yang mereka tu miskin, sebab tu masih keje kuat. Nak kena settle hutang rumah dan kereta besar."
Hasni : "Hehehe... Awak?"
Su : "Janganlah cakap pasal saya dan awak."
Hasni : "Ohh... ok."
Su : "Ada orang yang rumahnya kecil, kenderaan pun takat motor atau kereta kecil, atau mungkin tak ada kenderaaan pun, tapi makan pakai memang cukup, dan paling penting hidup mereka tenang. Siang keje, malam rehat dengan keluarga. Bila-bila masa nak bercuti pun boleh. Walaupun bukan bercuti ke luar negara, tak boleh nak shopping sakan, tapi paling penting mereka tak payah fikir tentang hutang."
Hasni : "Betul tu."
Su : "Kita ni ada kat ranking mana ye?"
Hasni : "Hehehe... Sendiri lebih tahu la kan."
Su : "Utamanya hati. Kalau hati bersyukur dengan apa yang ada, kita pun boleh jadi kaya sebenarnya. Dah ada kereta yg abih bayar, walaupun kecik, oklah kan? Kalau tukar yang lain, dah buat hutang baru lak. Rumah yg ada, kalau beli rumah baru yang lagi besar, tambah hutang namanya tu. Nanti elok-elok dah jadi orang kaya, jatuh miskin pulak. Elok-elok keje siang dan malam boleh rehat, dah kena buat bisnes sampingan sampai keluar jumpa customer hingga lewat malam. Kalau siang malam dok buat keje sebab nak bayar hutang dunia, bila pulak kita nak ada masa nak kejar kaya di akhirat?"
Hasni : "Betul..Betul.. Betul... Ehh... Kaya akhirat pulak macamana ye?"
Su : "Kalau setiap apa yang dibuat tu ikhlas, insyaAllah lebih mudah menempah kaya di akhirat. Bila bagi sedekah atau derma beratus ribu pun, kalau tak ikhlas, lebih kepada nak kan publisiti. Tak guna jugak. Orang yang ada 2 ringgit dalam tangan, bagi sedekah pada anak yatim seringgit, tak de publisiti apapun mungkin lebih ikhlas berbanding dengan orang yang ada harta berjuta. Bila nak bagi derma, semua media dipanggil. Serampang dua mata konon. Satu nak membantu, satu lagi nak dapatkan nama baik buat diri atau syarikat. Jadi mana ukuran ikhlasnya?"
Hasni : "Erm... payah nak ukur ikhlas ni."
Su : "Memang pun. Ikhlas tu adalah panduan asas untuk mengejar kaya di akhirat. Buat ibadat pun, kalau terdetik hati sebab nak tunjuk kat orang, bimbang pulak hilang ikhlasnya."
Hasni : "Abih tu macam mana?"
Su : "Banyakkan berdoa kepada Allah agar kita punya hati yang ikhlas. Hati yang bersih dari perasaan riak, hati yang hanya mencari keredhaan Allah, yang menjadikan dunia ni sebagai jambatan untuk ke akhirat. Selebihnya biar Allah saja yang menilai setiap apa yang kita buat."
Hasni : "A'ah, kan. Ehh... kemain lagi. Pandai lak awak berceramah ye?"
Su : "Hehehe... Mana ada. Dengan awak je saya boleh bebel macam ni. Itu semua apa yg saya kutip dalam dalam buku dan apa yang ustaz kelas saya bagitahu. Sebenarnya saya sendiri risau, kaya ke miskin saya ni? Kaya bagaimana yang saya nak? Ish... takut jadinya. Ye lah, bimbang jugak kalau kaya dunia buat saya miskin akhirat. Lebih teruk lagi, kalau miskin dunia dan miskin akhirat. Tapi kunci kekayaan dunia dan akhirat ni ada dua je. Bersyukur dan ikhlas. Harapnya kita tak jadi orang yang tak tahu nak bersyukur dan tak ikhlas bila buat sesuatu. Confirm miskin nye lah."
Hasni : "Adoi... Tak nak le macam tu. Ehh... apa isi buku tu? Awak tak tengok langsung?"
Su : "Saya tak tengok. Tapi ustaz tengok la. Memang bagus buku tu, banyak doa. Tapi saya nak tanya awak, setakat mana amalan murah rezeki yang awak dah amal?"
Hasni : "Adushhh...."
Su : "Ada baca surah Al-Waqiah setiap hari? Surah Yaasin? Ayat seribu dinar? Ada bangun malam untuk solat tahajjud? Buat tak solat Dhuha? Istighfar? Amalkan Asma ul-Husna?"
Hasni : "Huhuhu..."
Su : "Amalkan yang tu dulu secara istiqamah dan tengok hasilnya. Bila rasa tak cukup dengan rezeki yang Allah bagi, belajarlah ketuk kepala sendiri dulu. Saya pun rasa nak ketuk kepala sendiri dah ni... Huuaaaa...."
Nota : Saat diri mengeluh resah kerana kehilangan rasa syukur di hati, saya kembali menyoal diri, apa yang saya mahukan dalam hidup ini. Terlalu bercita-citakah saya? Tinggi sangatkah angan-angan yang bertandang? Dan saya akan kembali membaca catatan lama (klik sini) untuk membasuh hati...
Bagi teman-teman yang merasa reseki susah nak masuk, apa kata cuba praktikkan 20 Amalan Murah Rezeki ini. InsyaAllah...
Aug 21, 2009
Ramadhan Kali Ini...
Ramadhan kembali lagi...?Tak lah.
Ramadhan datang dan pergi
Tapi tak pernah kembali.
Teringat arwah Ustaz Asri dari kumpulan Rabbani. Teringat juga arwah Yasmin Ahmad. Teringat anak jiran yang dah jadi arwah, yang tersenyum riang tatkala menerima ijazah sarjana di UTM Sabtu lepas. Hanya dengan sekelip mata, dia diambil kembali oleh Sang Pencipta. Ramadhan tahun ini tak sempat dirasa.
Adakah mereka tahu bahawa Ramadhan lepas adalah Ramadhan terakhir?
Dan kita? Sempatkah menikmati Ramadhan tahun depan? Sempatkah menghabiskan Ramadhan ini sehingga ke hujungnya?
Ayuh... kita jadikan Ramadhan ini lebih baik dari tahun sebelumnya. Lipatgandakan ibadat dan hayati Ramadhan ini dengan rasa kehambaan yang mendekatkan diri kita dengan Tuhan Ar-Rahman.
Ya Allah Ya Razzaq... Rezekikan kami dengan ketaqwaan dan penuhilah hati kami dengan kerinduan padaMu, agar dengan itu kami akan selalu menyebut dan menyeru namaMu.
Aug 20, 2009
Jalan Kita
Kami sekelas hanya selama 6 bulan. Dia pergi bila mendapat tawaran (panggilan kedua) ke MRSM. Saya tak rasa sedih pun. Lega sebenarnya. Dia pernah mengejek saya dikelas, sehingga air mata anak manja ini tumpah dek geram yang amat. Dia tak tahu, dan tak pernah ambil peduli. Itu dulu."Awak balaslah surat dia. Nanti boleh mintak bertukar-tukar kertas soalan periksa. Saya tukar dengan kawan di Maktab Tentera, awak dengan dia diMRSM. Lepas tu kita bincang dalam kumpulan, buat latihan sama-sama." Avy memujuk. Tak suka dia, bagaimana nak merutus surat?
"Alah... dalam surat je. Tulis je lah pasal cikgu ke, pasal aktiviti sekolah ke. Tak kisahlah, asal jangan terputus hubungan. Dia pun mesti nak kertas soalan periksa kita jugak." Pujuk Avy lagi. Dulu, kalau nak soalan peperiksaan percubaan dari sekolah lain, kena usaha sendiri.
Kesian juga bila memikirkan surat yang dikirim untuk kelas kami, tak ada seorangpun yang mahu membalasnya. Akhirnya saya membalas suratnya setelah hampir 4 bulan menimbang suara hati.
Tingkatan 4 dan 5, saya pula ke sekolah berasrama. Surat-suratnya masih setia mengunjungi, selalunya sebulan dua kali.
"Ehh... kenapa surat kamu selalu lepas ye?" Tanya Zakida, teman sebilik bila dia tahu surat yang mengunjungi saya setiap 2 minggu, penulisnya adalah seorang lelaki. Rutin biasa untuk surat-surat yang datang dari luar, cikgu merangkap felo asrama akan membaca surat-surat kami untuk memastikan tiada unsur yang menghanyutkan perasaan sebelum menyerahkan kepada pemilik sebenar.
"Mestilah lepas, sebab kami cuma bercerita tentang aktiviti sekolah dan pelajaran je. Kami kan kawan. Mana ada bahasa jiwang-jiwang ni. " Saya menjelaskan sambil tergelak kecil.
"Dia tinggal kat mana?"
"Errr... kalau ikut alamat kampungnya, kat Kg K*****."
"Eh, aku biasa dengan kampung tu. Rumah dia kat mana?"
"Entah."
"Tak penah pegi?"
"Tak penah."
"Erm... Dia anak ke berapa? Mak ayahnya keje apa? Ada gambar tak?" Soalan bertalu-talu dihemburkan pada saya.
"Ish... mana la aku tahu. Dulu dia sekelas kejap je. Gambar kelas kan selalunya ambik akhir tahun. Mana ada muka dia." Jelas saya.
"Tadi kata dah berkawan lama, tapi macam tak kenal dia pun. Tanya apapun tak tahu..." Zakida memuntahkan kemusykilan yang tersimpan dibenaknya. Aku terkedu. Benar, untuk seorang kawan yang dah lama wujud dalam hidup saya, yang selalu berutus surat dan bercerita, saya tak perasan yang kami sebenarnya tak kenal diri masing-masing.
Setelah hampir 5 tahun berutus surat, baru kami mula mengambil tahu tentang latar belakang diri dan keluarga.
"Nak jumpa kawan? Lelaki? Erm... kalau nak borak, suruh dia datang rumah waktu mak ada. Tak elok jumpa kat luar." Kata arwah mak, memberikan syarat kepada kakak. Dan saya tahu, arahan itu kekal untuk saya walaupun mak telah meninggal.
Lalu, hanya sekali setahun kami berpeluang untuk berjumpa. Raya. Ayah sempat kenal teman saya itu (kini, suami saya) sebelum dia meninggal dunia. Tapi ayah tak tahu bahawa lelaki yang menjadi tetamu saya setiap kali raya menjelang adalah lelaki yang akhirnya memiliki hati dan jasad anaknya ini.
Saat kami melanjutkan pelajaran di IPTA, hubungan kami tidak berubah. Saya dikelilingi hutan hijau nun di Utara, dia pula di hutan batu. Terpisah oleh jarak ratusan kilometer. Kami kekal berhubung dengan surat, lantaran kemampuan kewangan yang terhad. Handphone tika itu adalah barang mewah.
Tahun ke3, dia melamar saya menjadi teman istimewa. Melalui surat tentunya.
"Aku rasa baik kau terima dia. Percayalah, mulut aku ni masin tau. Kau akan menyesal kalau lepaskan peluang ni." Kata Misah, teman sebilik saya.
"Yang kau beria-ia sangat ni kenapa?"
"Dia baik, dan aku rasa dia sesuai dengan kau."
"Kalau kau berkenan sangat, apa kata kau je lah yang ambik?"
"Kalau dia nak, aku memang sanggup je. Tapi dia tak nak aku. Aku dah cuba 'ayat' dia, tapi tak jalan. Memang jenis lelaki yang payah nak masuk perangkap jugak lah."
Antara yakin dan curiga pada kesetiaan cinta jarak jauh, saya terima lamarannya.
".....Saya tak mahu hubungan kita menyekat peluang awak atau saya untuk bertemu dengan orang yang lebih baik. Kita jauh, dan peluang awak untuk mengenali orang lain masih banyak. Selagi kita tak punya ikatan pasti, kalau awak jumpa orang lain yang lebih sesuai dari saya, silakan. Cuma tolong beritahu saya sendiri. Jangan sampai saya tahu dari orang lain. InsyaAllah, saya tak marah. Dan terus terang saya cakap, saya jugak nak kenal orang lain....." Tulis saya. Cuba untuk jadi sejujur mungkin, bersedia dengan segala kemungkinan.
"....Saya dah jumpa orang yang saya cari dan saya akan tunggu masa awak yakin saya lah orang yang awak cari...." Balasnya.
Satu ketika, saya benar-benar rasa takut. Keliru sebenarnya.
"....Bukankah lebih baik cari orang yang sayangkan awak dan dia akan jaga awak dengan baik...."
"....Kalau itu yang awak rasa, sebenarnya ia untuk diri awak. Bagaimana kalau saya katakan saya sayangkan awak dan saya akan jaga awak sebaik mungkin. Bukankah itu yang awak cari?..."
Lalu lantaran jodoh kami telah tertulis, kami bersatu dengan restu keluarga. Alhamdulillah...
"Su ni anak yatim piatu. Lepas ni, Su sepenuhnya menumpang kasih abang dan mak ayah abang. Harapnya abang tak akan sesiakan Su..." Bisik saya sambil mencium tangannya setelah kami sah diikat olah lafaz akad.
Abang,
Selamat Menyambut Ulang Tahun Perkahwinan.
Terima kasih atas segala cinta sayang, perhatian, kemeriahan dan keindahan yang abang berikan sepanjang usia perkahwinan kita.
Nota : Tahun lepas, suami menghadiahkan saya buah durian yang cukup enak. Saya ketawa sakit perut. Kononnya nak suprisekan saya dengan hadiah istimewa tapi gagal sebab bau buah tu memenuhi segenap ruang rumah sebaik saja saya membuka pintu. Pemberian dari suami yang mengisinya dengan cinta kasih dan tawa, terlalu mahal harganya buat hati saya. Su sayang abang..... :)
Ya Allah... Kurniakan kami hati yang penuh dengan kasih sayang dan cinta antara satu sama lain. Kekalkan ikatan akad ini sehingga kehujung usia dan satukan kami diatas sana. Jadikan kami saling berpaut berkongsi kekuatan untuk menempuh dugaan di bumi sementara.
Aug 14, 2009
Prof... Terima kasih.
Awal tahun 2009."Awak pergilah umrah dulu sebelum buat IVF ni. Mintak petunjuk dengan Allah." Kata Hasni, sepupu rapat yang menyarankan saya menunaikan umrah sebelum melakukan IVF.
"Awak ingat saya tak nak pegi? Kan dah berapa kali saya cakap, kalau ikutkan hati saya, dah lama saya pergi. Masalahnya Nas nak pergi buat haji terus bukannya umrah dulu." Nada suara saya tinggi.
Ini bukan kali pertama. Sudah berkali-kali dia mencadangkan. Saya bengang tapi bukan kerana cadangannya, tapi kerana dia tak faham halangan yang saya hadapi walaupun telah banyak kali saya memaklumkan.
"Amacam pengalaman kat Tanah Suci, best tak?" Tanya saya pada teman lama saya, Awiey sekembalinya dari menunaikan haji tahun lepas.
"Best sangat. Awak pegilah cepat-cepat. Mintak doa kat sana. InsyaAllah, makbul nanti." Dia membalas ym saya dicelah kesibukan.
"Bukan saya tak nak pergi, tapi Nas belum bersedia." Tangan saya lemah menaip bait-bait kata.
"Dah daftar dgn Tabung Haji? Nas tu, pandai-pandailah pujuk dia." Mata saya membaca kata-kata yang terpampang di skrin.
"Dah daftar beberapa tahun lepas, duit pun insyaAllah cukup. Tapi giliran kami katanya tahun 2013. Dah pujuk berkali-kali, tapi hati belum terbuka agaknya." Balas saya lagi sambil melepaskan keluhan.
"Pujuklah lagi. Sebagai persediaan, awak beli lah buku Prof Kamil, Travelog Haji. Best sangat. Banyak yang boleh belajar dari pengalamannya." Cadangnya.
Lalu bila saya ke PKNS, saya temui buku-buku Prof Kamil, terus saya membelinya. Travelog Haji dan Travelog Dakwah. Memang saya teruja bila membaca buku itu. Dalam sehari, saya berjaya menghabiskan Travelog Haji.
"Abang bacalah... Menarik sangat. Buku ni lain tau. Lebih pada pengalaman perkongsian Prof Kamil secara keseluruhannya. Cerita di sebalik setiap kisah dia pegi haji. Bahasanya pun mudah je..." Saya bercerita pada suami dengan penuh semangat. Mengharapkan agar dia turut merasa teruja sepertimana saya.
"Ok... ok... Nanti abang baca. Banyak lagi buku yang Yang beli belum abang baca ni..." Katanya seperti selalu. Saya tahu, saya banyak membeli buku. Malah sebahagian besarnya saya sendiripun belum habis lagi. Bila buku yang sedang dibaca agak susah untuk di hadam oleh minda, biasanya saya tinggalkan bila saya beli buku yang lain. Aduhai diri...
Buku Travelog Haji itu tak pernah saya lihat suami menyentuhnya, sehinggalah...
"Abang, Su baca blog Prof Kamil, katanya ada ceramah di surau seksyen 7 Jumaat malam nanti. Kita pergi nak?" Ajak saya bila membaca tentang ceramah yang bakal diadakan dalam blog beliau.
"Eh... bukan ke malam tu ada ceramah Ustaz Harun Din kat masjid? Lagipun, lepas tu abang ada futsal pulak." Balasnya.
"A'ah lah... Su lupa. Erm... dua-dua best. Mana nak pegi ye? Tapi Su teringin nak dengar ceramah Prof Kamil. Surau seksyen 7, tapi tak tahu kat mana." Balas saya lagi. (Tak ingat nama surau tu, tapi tak jauh dengan UiTM.)
"Nantilah. We decide later, k?" Katanya lagi. Saya mengangguk lemah. Memahami sikapnya yang sukar nak di pengaruhi, saya tak mahu mengharap sangat.
Hari Jumaat.
"Yang, betul nak pergi ceramah Prof Kamil ni?" Tanyanya dalam satu panggilan telefon.
"Ye la. Abang nak pegi tak?" Hati saya bagai dipercik bunga api, harapan menyala indah.
"Ok. Kita pergi ceramah Prof Kamil. Abang dah tanya kawan. InsyaAllah, boleh rasanya cari jalan ke surau tu." Dia memberi kata putus.
Sebelum Maghrib, kami bertolak. Hampir 15 minit kami berlegar mencari surau yang dimaksudkan, tapi tak ditemui. Ya Allah... berikan peluang untuk kami menghadiri ceramah Prof Kamil. Dalam diam saya berdoa sendiri.
"Kalau tak jumpa jugak, kita pergi ke masjid je lah." Kata saya hampir putus asa. Apatah lagi bila melihat dia mula mendiamkan diri. Sehampir Mahgrib, kami bertemu satu surau yang berhampiran dengan apartment. Lega. Alhamdulillah, sempat juga kami solat berjemaah. Tapi melihatkan surau yang agak lengang, hati sekali lagi berdetak. Apatah lagi bila melihatkan jemaah perempuan hanya 3 orang saja. Nyata sekali kami tuju surau yang salah.
Dengan bantuan kompas rakyat, kami kembali mencari surau yang dimaksudkan. Kali ini mudah sekali. Syukur.
Celoteh Prof Kamil memang langsung tak membosankan. Bermula sejurus selepas solat Maghrib, sehingga hampir pukul 10 malam. Suami saya hampir ketinggalan permainan futsalnya, tapi tak pulak dia mengajak saya balik. Akhirnya selepas selesai ceramah Prof dan solat Isyak, barulah kami bergegas balik.
Esoknya saya mulai melihat dia mengelek buku Travelog Haji. Dan seminggu dua kemudian, dia mula bercerita tentang umrah.
"Yang, ada masa cuba lah survey pekej umrah. Mana tahu kalau ada rezeki kita nak ke sana." Saya mengangguk laju saat suami berkata begitu.
Sepupu saya menjadi tempat yang paling sesuai untuk saya 'mengada-ngada'.
"Nie, memandangkan awak dah ada pengalaman pegi haji dan umrah, dan awak pun bercuti panjang sekarang ni, apa kata tolong saya cari pekej umrah untuk saya." Hanya beberapa jam, Hasni membuat panggilan dan senarai beberapa pekej di beri untuk dibincangkan dengan suami.
Ketika meneliti senarai yang saya hulurkan, suami tiba-tiba berkata; "Ehh... ini travel ejen classmate abang ni! Nanti abang call dia sendiri lah."
Esoknya selepas kelas, saya melihat dia mengelek 2 buah beg travel berwarna kuning biru.
"Yang, esok atau lusa malam kita pergi bayar pekej umrah yang abang dah booking. Kita buat umrah bulan depan. Beg pun dah dapat ni!" Katanya teruja. Senyum saya melebar.
Di dalam flight pulang ke Malaysia selepas 13 hari di Tanah Suci, dia berbisik lembut, "Terima kasih sebab ajak abang pergi ke ceramah Prof Kamil hari tu...."Tangan saya digenggam kemas. Saya tersenyum puas.
Syukur Ya Allah... Akhirnya Kau kabulkan doaku...
Terima kasih Prof Kamil, kerana semangat dan kesungguhan Prof berceramah telah menambat dan membuka hati suami saya....
Nota : Saya yakin setiap orang ada peluang untuk ke Tanah Suci. Kita cuma perlu berusaha dan berdoa meminta kepadaNya. Bila Dia akan beri peluang tu, hanya Dia yg tahu masa yg sesuai buat kita.
P/S... Opss... saya letak gambar kuda laut. Tak de kaitan. Saja letak sbb dia comey sgt. Hehehe...
Subscribe to:
Posts (Atom)