Aug 11, 2009

Tetamu Istimewa

"Ada orang tanya saya, tak bawak baju baby sekali ke? Dia takut saya terberanak kat sini nanti." Dia bercerita sambil ketawa kecil.

"Hah?... Adik dah berapa bulan ni?" Tanya saya meminta kepastian.

"Dah tujuh bulan kak." Saya terlopong. Kagum.

"Suami benarkan?"

"A'ah. Dia nak datang sebenarnya tapi tak boleh sebab nanti bila saya bersalin, dia nak cuti panjang, nak temankan saya masa berpantang. Lagipun saya memang nak temankan mak."Jelasnya sambil tersenyum.

"Mintak nasihat doktor tak sebelum datang sini?"

"Dah. Doktor kata boleh je." Memang dia kuat. Katanya, bekerja sebagai software engineer di Brunei, memerlukan dia aktif bergerak dan jelas sekali dia langsung tak memanjakan diri.

"Kalau begitu tak pe lah. Kalau nak mintak tolong apa-apa, cakap je ye!" Hanya itu yang boleh saya tawarkan.

=================================================

"Kak su, tolong temankan mak saya ye. Dia ada masalah short memory lost. Nanti saya risau kalau dia tak dapat cari jalan balik. Saya ngantuk sangat, sebab baru makan ubat batuk dan selsema. Tak larat nak temankan mak." Kata Nashrah sambil terbaring lesu di katil. Suara sengaunya jelas kedengaran.

"Boleh, apa salahnya. Jangan risau, berehatlah." Saya menyanggupi. Simpati bila melihat dia begitu.

Kami ke masjid bersama. Selesai solat fardhu, saya menunaikan solat sunat. Selesai berdoa, Makcik Aishah terus mengambil beg dan melangkah keluar. Kekhusyukan saya terganggu. Risau.

Selesai solat, saya cepat-cepat keluar. Nyata saya telah kehilangan jejaknya.

Ya Allah... Bantulah aku Ya Allah.

Akhirnya di celah-celah orang ramai yang melihat barangan di sepanjang jalan ke hotel kami, saya temui Makcik Aishah. Alhamdulillah...

"Laa... kamu cari makcik ke? Maaf lah. Makcik rasa boleh ingat lagi jalan nak balik, tu yang makcik balik sendiri tu. Tapi entah kenapa tak sampai-sampai lagi kat hotel..." Katanya dengan nada kesal.

"Tal pe lah. Saya risau. Lagipun saya dah janji dengan Nashrah nak temankan makcik. Mari saya bawak makcik masuk hotel dulu." Risau menghilang, simpati bertandang. Kalaulah ibu saya masih ada.... entah bagaimana keadaannya.

==================================================

Saya melangkah masuk ke bilik Makcik Imah. Kelihatan Kak Siti sedang menyeringai menahan sakit geli apabila diurut oleh Makcik Zawiah.

"Aih...Ni ngapa sampai kena urut ni?" Tanya saya ingin tahu.

"Biasalah. Angin. Orang baru bersalin memang mudah masuk angin kalau tak jaga." Jawab makcik Zawiah yang rupanya mengambil upah mengurut orang di kampungnya.

"Baru bersalin?" Hairan. Saya mengulang meminta kepastian.

"Ye la dik oi. Anak kat rumah tu baru 5 bulan." Kata kak Siti bersahaja. Saya terperanjat. Tak sangka, orang yang pernah satu apartment dengan saya semasa di Bahrain, baru saja melahirkan anak kecil.

"Eh... kecil lagi tu. Sapa jaga?" Tanya saya lagi.

"Mak." Jawabnya ringkas.

"Suami?"

"Dia keje."

"Kenapa tak ikut Kak Siti datang sekali?" Menyibuk lagi.

"Kerja banyak katanya. Susah nak dapat cuti. Tapi Kak Siti tak kisah. Dia izinkan Kak Siti datang, itu dah cukup." Katanya sambil tersenyum. Saya tak mahu bertanya lagi. Bimbang andai ia akan membawa saya memasuki urusan peribadi yang tak patut diambil tahu.

===================================================

Persinggahan di Laut Merah untuk makan tengahari, memberi saya kesempatan untuk menghuraikan satu persoalan yang terbuku difikiran.

"Kak Nor, maaf ye. Su nak menyibuk sikit. Nak tanya pasal suami akak tu." Saya membuka mulut, saat hanya tinggal saya berdua dengan kak Nor. Sedikit bimbang bersarang andai pertanyaan saya menyentuh hati.

"Boleh. Tanyalah. Kalau Kak Nor boleh jawab, insyaAllah." Katanya sambil tersenyum manis.

"Sebenarnya Su tertengok nama dia kat tag umrah. Nama lain. Su rasa dia kenalkan diri hari tu sebagai Pak Airik... Bila tengok tag tu, Su dah tak tahu nak panggil dia apa. Bimbang gak takut salah dengar nama dia hari tu." Saya meluahkan apa yang terbuku di hati.

"Hehe... Itu ke yang Su nak tahu. Erm.. Dia mualaf. Baru beberapa tahun masuk Islam. Nama kat I/C belum tukar. Sebab tu guna nama Cina, sebab passport pun nama tu lagi." Berkelip-kelip mata saya mendengar penjelasan Kak Nor.

===================================================

"Eh... Sapa yang guna lampai pakai buang ni?" Tanya saya pada seorang rakan jemaah bila melihat ia berada di dalam timbunan barang yang dikumpulkan sebelum bertolak balik.

"Itukan makcik yang datang dengan anak-anaknya perempuan yang ramai tu. Yang berkerusi roda tu la."

"Hah? Dia pakai lampin ke?" Saya terkejut. Kagum dengan semangat yang ada dalam dirinya. Juga kagum pada anak-anaknya yang begitu setia berada disampingnya, membantu dan menguruskan ibu tua yang uzur menunaikan umrah.

===================================================

Nota : Perjalanan umrah yang saya lalui, memberi saya peluang bertemu dengan bermacam jenis orang. Bila telah tiba masanya, apa jua rintangan dan halangan yang muncul, tak menghalang mereka dari menjadi tetamu Allah.

Bila jemputan ke rumahNya telah tiba, walaupun ada halangan yang merintang, pasti ada penyelesaiannya, ada laluan mudah untuk seseorang individu itu menuju tanah barakah. InsyaAllah.

Aug 7, 2009

Beban Di Hati

"Su rasa ok ke datang dgn pekej yg disediakan oleh travel ejen ni?" Tanya Cikgu Niza tiba-tiba, memenuhi ruang yang kosong antara kami sementara menunggu giliran untuk mandi dan bersiap.

"Kenapa?" Tanya saya kembali. Sedikit samar dengan apa yang dimaksudkan.

"Ye lah, puas hati ke dengan hotelnya, jadual lawatannya?" Dia menjelaskan.

"Erm... bagi Su, alhamdulillah. Su puas hati." Jawab saya ringkas.

"Ooo... ye? Lain kali rasa nak datang dengan travel ejen ni lagi ke?" Dia bertanya lagi.

"InsyaAllah. Kalau berdasarkan pengalaman ni, Su akan fikirkan travel ejen ni lagi kalau nak datang semula kat sini." Jujur dari hati, saya akan pertimbangkan jika kena dengan pekej dan kemampuan.

"Erm... tak pe lah." Katanya sedikit kecewa.

"Su kan kali pertama datang sini, mana lah Su boleh buat perbandingan ok atau tak apa yg dah pihak pengurusan sediakan. Kalau macam cikgu, lainlah. Dah banyak kali datang, boleh buat bandingan." Balas saya cuba membuatkan dia faham kenapa saya berkata begitu. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Saya pasti.

"A'ah kan. Kali pertama datang, memang payah nak buat bandingan." Katanya sedikit lega sambil menyambung; "Saya dah banyak kali datang. Ada rasa kecewa sikitlah. Bukan apa, sbb jauh kena berjalan. Maklumlah, umur dah macam ni, mana nak larat jalan jauh. Masa anak saya register dulu, katanya hotel dekat. Tetiba dapat yg sini." Benar tekaan saya. Ada bebanan di hatinya.

"Erm... Masa Su tanya dulu, orang pejabat tu memang kata ada hotel dekat, dan ada yang jauh sikit. Tapi dia tak janji mana yang dia mana satu yang kami akan dapat." Seketika saya mengimbau kembali apa yang dicakapkan masa taklimat umrah.

"Ehh... masa saya nak booking tu dia janji bagi yang dekat." Tegasnya lagi.

"Erm... mungkin kerana tu cikgu rasa berat hati kot, sebab mereka dah janji. Su pulak, mereka tak de pun. Tapi dah rezeki dapat jauh sikit, Su terima je. Su fikir, mesti Allah nak beri pahala lebih sebab langkah lebih banyak bila jalan jauh ni." Saya kira cara yang paling baik untuk mengurangkan rasa tak puas hati ialah cuba mencari hikmah tersembunyi. Walaupun jawapan sebenar tak pasti, tapi ia mampu mengubat hati.

"Su orang muda, lainlah. Boleh buat ibadat puas-puas. Jalan banyak pun tak pe. Saya ni dah berumur, tenaga pun dah kurang. Mana larat sangat." Sedikit keluhan kedengaran dari nada suaranya.

"Ermm... ye lah cikgu, Su pun faham keadaan cikgu. Memang frust jugak kalau apa yang kita dapat tak sama dengan our expectation." Saya memujuk dan cuba memahami.

"Tapi kita dah sampai sini, cikgu cubalah buat mana yang larat. Kalau ada apa-apa yang boleh Su tolong, bagitahu je."Saya menawarkan diri kerana tahu masalahnya. Dia diam. Mungkin banyak perkara yang menerpa fikirannya. Rasa kecewa, rasa tak berdaya. Datang ke sini untuk beribadat, tapi keadaan yang ada sedikit membataskan pergerakan.

Melihatkan dia begitu, saya menyambung; "Cikgu kan dah banyak kali datang sini. Buat haji dan umrah dah berkali-kali. Pahala pun insyaAllah memang berganda. Bukan semua orang dapat peluang macam cikgu. Su ni baru pertama kali datang, entah dapat datang lagi entahkan tidak." Kata saya cuba menimbulkan rasa syukur atas kelebihan yang telah dia miliki, berbanding saya yang baru merasai pengalaman ini.

Sungguh saya tak tahu bagaimana nak mengurangkan beban di hatinya.

Saya tahu dia kecewa. Bukan salah dia kerana mengharapkan kemudahan yang baik untuk diri dan anaknya yang menghadapi sedikit halangan kesihatan.

Dan saya rasa bukan juga salah travel agen yang membantunya mendaftar. Mungkin sedikit salah faham, bercampur dengan kemampuan terbatas untuk memenuhi permintaannya membuatkan semua ini terjadi. Maklumlah, datang ikut pekej berkumpulan, mana mungkin ditempatkan mengikut kemahuan, tambahan lagi kalau mintak ditempatkan di hotel yang berasingan. Apapun, saya yakin itu adalah rezeki masing-masing yang telah Allah tetapkan.

Semoga Allah menerima ibadat kami. Amin.

Jul 16, 2009

Ikhlas Yang Dibalas.

Laungan azan Zohor jelas kedengaran. Saya baru selesai menunaikan umrah, ditinggalkan jauh oleh teman-teman jemaah yang lain. Malu juga memikirkan betapa stamina saya begitu kurang berbanding dengan Makcik Imah dan Makcik Zawiah yang jauh lebih berumur dari saya. Walaupun mereka telah bercucu dan hanya bekerja di kampung, namun jelas begitu bertenaga ketika menunaikan Sa'ei.

Bersa'ei, iaitu berjalan antara Safa dan Marwah, bagi saya adalah bahagian yang paling mencabar ketika menunaikan umrah. Berjalan berulang-alik sebanyak 7 kali, jika dicampurkan keseluruhan jaraknya, lebih kurang 3 km. Perjalanan yang cukup jauh buat saya yang dah lama tidak beriadhah.

Saya bergegas mencari ruang untuk solat.

"Su! Sini!" Kedengaran nama dipanggil. Makcik Imah telahpun berada dalam saf. Mereka selesai lebih awal dari saya.

'Alhamdulillah...' Bisik hati saya melihat mereka menyediakan ruang untuk saya. Selesai menunaikan solat, kami berehat seketika sebelum pulang untuk makan tengahari.

"Ngapa makcik?" Tanya saya sambil memeluk bahu Makcik Imah. Spontan soalan itu keluar bilamana saya melihat dia mengesat matanya yang basah. Penyibuk betul saya ni!

"Makcik sedih mengingatkan arwah ayah makcik. Dia tak sempat nak buat haji dan umrah." Luahnya pilu.

"Makcik boleh upah orang buat haji untuk dia." Saya memberi cadangan.

"Itu makcik dah buat. Dah bagi duit kat adik makcik untuk uruskan. Tapi sampai sekarang org yang upah haji tu tak de bagi apa-apapun. Selalunya orang yang diupah tu akan kirim buah tangan dari Mekah, macam sejadah ke, sebagai bukti mereka dah selesai buat upah haji. Ini tak sampai apa-apa pun kat makcik." Jelasnya meluahkan apa yang dimusykilkan.

"Makcik dah tanya adik makcik?"

"Tak tergamak nak tanya. Nanti dia kata makcik tak percaya kat dia pulak." Jawabnya jujur. Jelas menunjukkan dia jenis yang memikirkan perasaan orang lain sebelum berkata sesuatu.

"Erm... Upah haji arwah mak dulu, ayah dan kakak su yang uruskan. Masa tu su sekolah asrama. Jadi tak tahu sangat tentang buah tangan tu." Teringat arwah mak yang juga meninggal sebelum sempat menunaikan haji dan umrah.

"Sebenarnya buah tangan tu bukan perkara wajib pun. Cuma sebagai bukti dan sedekah buat keluarga yg mengupah je. Lebih kepada adat, sebab kebiasaannya orang akan buat macam tu."

"Makcik sedih pasal tu ke?" Soal saya lagi.

"Makcik sedih bila ingatkan arwah ayah, sedih sebab tak dapat nak bawak mak makcik ke sini. Dia dah tua, dan makcik sendiri pun dapat buat umrah sebab ada orang bermurah hati nak taja. Bukan sedara pun, cuma kenalan lama masa sekolah." Ceritanya lagi.

"Ye ke? Alhamdulillah... Memang rezeki makcik tu. Eh...Makcik ada mak lagi?" Dia mengangguk. 4 generasi? Wow...

"Ada mak pun rezeki jugak tu. Mak ayah su dah lama meninggal. Err... Pakcik pun ditaja jugak ke?" Saya bertanya lagi, berusaha meninggalkan topik yang menyedihkan hati secepat mungkin.

"Tak lah. Belanja sendiri. Kebetulan pakcik dah pencen, bolehlah datang sama. Kalau nak harapkan duit makcik dan pakcik, entah bila la makcik dapat datang." Katanya sayu, kemudian menyambung. "Tuhan saja lah yang dapat balas jasa baik kawan lama makcik tu. Dia memang selalu hantar orang buat umrah. Setiap tahun 3 orang dia akan pilih. Memang rezeki dia murah sungguh. Mungkin sebab dia banyak buat baik pada orang." Ucapnya penuh syukur.

"Makcik pun orang baik-baik jugak, sebab tu Allah rezekikan makcik dengan umrah ni." Kata saya sambil memeluk bahunya buat seketika.

"Su ada baca satu buku pasal pengalaman umrah dan haji. Ada satu kisah ni, berlaku di Indonesia. Sepasang suami isteri ni memang dah lama kumpul duit nak buat haji, tapi selalu tak cukup sebab setiap tahun belanja buat haji akan bertambah." Fikiran saya menjelajah pada satu kisah yang pernah buat saya menitiskan air mata. Kisah benar yang bagus sekali jika dapat dikongsi.

"Sehinggalah satu tahun tu, mereka dah cukup duit, tapi tiba-tiba ada sorang kat kampungnya jatuh sakit dan perlukan belanja besar untuk buat pembedahan. Orang kat situ semuanya susah, kumpul duit sikit-sikit hasil derma orang kampung pun, masih tak cukup." Makcik Imah mendengar dengan tekun.

"Mereka suami isteri berbincang, memikirkan antara tanggungjawab membantu saudara seIslam yang kesusahan dan keinginan nak buat haji. Sudahnya mereka buat keputusan untuk dermakan semua simpanan mereka untuk belanja pembedahan." Makcik Imah mengangguk-angguk kepala, dan saya kembali menyambung.

"Doktor yang merawat hairan bagaimana pesakit dapat mengumpulkan duit yang begitu besar jumlahnya dalam masa yang singkat. Lalu diceritakan pada doktor tentang kemurahan hati pasangan suami isteri yang sanggup mengorbankan duit simpanan seumur hidup mereka untuk ke Makkah demi membolehkan pesakit menjalani pembedahan." Rasa kagum memenuhi hati bila saya membaca kisah itu. Keikhlasan seperti itu memang tak mudah diperolehi di dalam masyarakat sekarang. Apatah lagi segala yang ada kini jelas sekali membentuk hati yang cenderung kepada keduniaan dan bersifat individualistik.

"Doktor tu cukup terharu dan meminta untuk berjumpa dengan pasangan suami isteri tu. Kebetulannya dia sekeluarga akan menunaikan haji tahun itu. Katanya lagi, dia ada rezeki lebih dan berharap untuk berkongsi dengan suami isteri yang pemurah tu. Dia ajak mereka pergi sekali dengan semua urusan dan belanja ditanggung olehnya. Terus pasangan suami isteri itu sujud syukur dan menerima pelawaan doktor itu dengan gembira."

Rezeki yang tidak disangka, kebaikan yang berbalas, munculnya tidak mengambil masa jika Allah telah meluluskannya. Subhanallah....

"Setiap kebaikan dan keikhlasan akan ada ganjaran yang disediakan Allah. Samada di dunia atau diakhirat, itu Allah akan tentukan. Makcik dapat rezeki ditaja buat umrah ni, itu mungkin sebab kebaikan yang makcik buat. Cuma Allah lebih tahu kenapa Dia pilih makcik." Kata saya mengakhiri perkongsian. Dia diam sambil tangannya mula memeluk bahu saya. Tak tahu apa yang terlintas di fikirannya. Dan saya tak ingin bertanya.

Makcik Imah yang saya kenali dalam masa yang singkat, memang lembut dan manis sekali orangnya. Berada bersamanya, terasa curahan keibuan yang jernih mengalir di hati. Hangatnya cinta seorang bonda, mengalir dan tersalur bersama sentuhan jejarinya saat dia memeluk bahu saya.

Saya bersyukur, dalam kesibukan dan 'kekerasan' aura kota batu yang begitu mendugakan, saya seringkali bertemu dengan ramai insan yang kaya dengan kasih sayang. Walaupun hanya perkenalan yang singkat, yang berakhir dengan pelukan sesaat, rindu pada arwah mak sedikit terubat.

Alhamdulillah...

Jul 10, 2009

Temu Tanpa Janji.

"Su, akak ada cakap kat abg Aziz, bila kat Mekah nanti nak ajak Su dan Nas makan 'nasi chicken mandi'. Sedap tau..." Kata Kak Faridah seminggu sebelum kami berangkat untuk menunaikan umrah.

"Wokeh. Nanti akak call Su bila kat sana nanti ye!" Lalu saya berikan nombor handphone yang dipinjamkan oleh Anizah pada Kak Faridah. Penyerahan sehala, memandangkan dia tak ingat nombor yang pernah dia gunakan di sana. Malah tak pasti samada simcard yang pernah dibeli semasa beliau mengerjakan umrah tahun lepas masih boleh digunakan lagi atau sebaliknya.

Mereka berangkat 3 hari sebelum kami. Destinasi yang sama, Madinah dan Makkah. Tapi travel agen berbeza. Saya tak tahu dimana hotel yang bakal mereka huni, begitu juga sebaliknya.

Kali pertama ke Tanah Suci, saya tak boleh bayangkan bagaimana aktiviti yang akan berlangsung disana, selain dari ziarah anjuran agensi dan juga senarai ibadat yang mahu ditumpukan. Tak mahu mengharap satu pertemuan yang saya rasa tak mudah untuk berlaku. Jemaah yang ramai, penuh sesak dan pastinya masing-masing akan sibuk mengatur kehidupan singkat tika di sana.

Seminggu berada di sana. Saya seakan terlupa pada janji tak rasmi yang kami buat. Ada sekali ia terlintas di fikiran. Mahu bertanya khabar, tapi tak ada apa yang boleh saya lakukan kerana saya memang tak ada nombor hp kak Faridah.

"Sibuk agaknya. Mana tahu kot Kak Faridah tak tersimpan nombor kita ke. Ish... Yang tanya ni kenapa? Teringin nak makan 'nasi chicken mandi' yang Kak Faridah cakap tu ke?" Tanya suami, mengusik.

"Ish... kesitu pulak. Tak de lah. Nasi kat hotel tu pun dah lebih dari cukup. Saja je, dah kita sama-sama ada kat sini, saja nak tanya khabar." Balas saya menafikan. Malu nak mengaku sebenarnya.

Hakikatnya, cara kak Faridah bercerita tentang 'nasi chicken mandi' memang membuatkan saya teringin. Saya tertanya-tanya, sedap sangat ke? Nak minta suami belanja, dia pun tak tahu mana nak cari. Nak cari di kedai-kedai makan kat Makkah ni, rasanya tak mahu lah. Sempadan komunikasi, tempat yang tak biasa dan masa yang terhad, membuatkan saya lebih rela melepaskan keinginan itu.

Solat Maghrib. Saya agak terlambat, dan sudahnya saya tak dibenarkan masuk ke dewan solat wanita di paras tanah. Kami akan di arahkan naik ke ruang solat di tingkat atas. Walaupun azan kedua belum berkumandang, tapi laluan masuk telah dikawal ketat oleh polis bertugas bagi memastikan tidak berlaku kesesakan yang melampau sehingga mengganggu laluan.

Orang ramai telah mula memenuhi ruang solat. Saya mengatur langkah di celah-celah manusia, mencari peluang untuk berada di kedudukan yang membolehkan saya melihat Ka'abah.

"Su!!!" Tiba-tiba terdengar satu suara memanggil nama saya. Mata liar mencari.

"Kak!!!" Saya menjerit girang dgn volume suara yang terkawal dan minimum bila melihat wajah Kak Faridah. MasyaAllah... Tanpa janji dibuat kami ditemukan Allah. Sungguh tidak disangka. Baru siang hari terlintas memikirkan dia, dan kini berada betul di depan mata.

Selesai solat Isyak, Kak Faridah dan Abang Aziz membawa kami menikmati 'nasi chicken mandi' yang enak. Ianya seiras dengan nasi Arab yang saya makan, dengan sedikit kelainan yang tak tahu saya nak terangkan di sini. Yang penting, memang kena dengan selera saya.

Kedai itu kedudukannya di dalam bangunan Hilton, yang juga merupakan shopping kompleks. Tingkat dua kalau tak silap saya. Dua set dipesan tapi ianya memang lebih dari cukup untuk dimakan oleh 4 orang. Take away.

Kami lepak sambil makan di bangku menunggu di ruang legar shopping kompleks. Makan sambil bertanya khabar dan bercerita. Entah dari mana, seekor kucing muncul. Tanpa suara mengiau, ia memerhati saya dan suami makan.

Lapar agaknya. Bisik hati. Tapi macam mana nak bagi kucing ni makan? Nanti karang bersepah pulak shopping kompleks ni kalau saya berikan nasi atau tulang ayam. Saya teringatkan kucing kesayangan saya tika kecil dulu. Teringat juga kucing terbuang yang sesekali lepak di rumah saya, tapi tak pernah diberi makan (kerana masakan saya selalunya jarang berbaki, cukup-cukup saja, nak elakkan pembaziran).

Sudahnya saya pandang kiri kanan, cubit bahagian dada ayam yang tak bertulang dan hulurkan pada si kucing. Habis dimakannya. Sehingga 3 kali saya bagi ketulan daging ayam, dan semuanya bersih tanpa bersisa. Selepas tu ia menghilang dgn sekelip mata saja. Puas saya mencari, tapi tak jumpa.

Bila di fikirkan balik, saya hairan bagaimana kucing itu boleh berada di bangunan shopping kompleks di tingkat 2? Kalau di Malaysia, di One Utama, di Mid Valley, di Sunway Pyramid, mahupun di SACC atau Alam Sentral, saya tak pernah nampak binatang peliharaan berkeliaran.

Itu situasi biasa di sana atau luar biasa? Satu kebetulan atau ada sesuatu di sebalik peristiwa? Entahlah. Yang pasti, pertemuan dengan Kak Faridah di Masjidil Haram, buat saya sekali lagi rasai kebesaran Allah. Janji, niat dan keinginan yang termakbul hanya dengan satu bisikan hati saja...

Alhamdulillah...

Moga Allah kabulkan semua doa Kak Faridah dan Abang Aziz. Doa kami juga... InsyaAllah.

Nota : Gambar chicken mandi, saya 'pinjam' dari blog Azlie-Makkah. Nak tengok lebih banyak gambar di Makkah, sila masuk ke blog ini. Saya ambil sekeping, sekadar nak memberi gambaran lebih jelas ttg betapa menariknya ayam yg sedang berkubang mandi dgn nasi. :)

Jul 4, 2009

Untukmu Wanita...

Entry kali ini sedikit terkeluar dari kisah perjalanan umrah saya. Sekalipun masih banyak kisah di Tanah Haram yang ingin saya kongsi, tapi saya rasa tak ada ruginya saya selitkan apa yang diterima siang tadi.

Terkesan dengan ceramah Datuk Dr Fatimah Az-Zahra, saya ingin berkongsi sedikit ilmu yang dapat. Ceramah ini adalah antara aktiviti bulanan anjuran unit Mubalighat yang diadakan setiap Sabtu pertama yang diadakan di Masjid Negeri, Shah Alam.

Dalam sesi yang diadakan khusus buat kaum wanita, beliau sering mengingatkan bahawa memahami apa yang diceritakan dalam Al-Quran itu penting. Lalu ceramahnya lebih menjurus kepada kupasan surah-surah pilihan dan kali ini giliran surah An-Nur, surah yang khusus buat wanita. Peringatan dan panduan Allah kepada kaum wanita jelas difokuskan dalam surah ini.

Banyak sekali yang saya pelajari dari ceramah beliau. Alhamdulillah.

Kupasan awal ialah tentang hukuman yang dijatuhkan kepada penzina dan juga kepada orang yang menfitnah orang baik berzina. Bila mendengar sesuatu berita yang tidak sahih, jangan menokok tambah. Sebaik-baiknya cuba menghentikan tohmahan buruk itu dari terus tersebar. Belajarlah berbaik sangka dan menutup keburukan orang lain. InsyaAllah, kelak Allah akan menutup keburukan kita.

Saya sebenarnya cukup tertarik dengan cara beliau mengupas permasalahan masyarakat kini, memberi semangat, menyindir dan sekaligus menyedarkan kita. Yang terkena batang hidung, memanglah sakit, tapi mungkin itulah titik perubahan yang diperlukan.

Dalam setiap ceramahnya, saya sering perhatikan yang beliau mahu kita melihat diri dulu sebelum melatah menyalahkan pihak lain. Kebimbangannya jelas bila berbicara tentang masalah dalam rumahtangga, masalah anak-anak dan masalah masyarakat yang semakin meruncing.

Pernah terjadi, anak remaja berumur 16 tahun telah menggugurkan 3 kali kandungan. Bila di perhatikan latar belakang keluarga, didapati ibubapanya bukanlah orang yang tiada pegangan agama. Lalu di mana silapnya? Sayang yang tidak bertempat, kemanjaan dan kebebasan berlebihan yang diberikan pada anak-anak. Didikan yang tidak tegas diawal usia. Itulah antara puncanya.

Lalu bila anak tersalah jalan, siapa yang salah? Mahu menuduh orang lain lagi? Sekalipun untuk kisah anak yang cuba merogol ibu sendiri, nak salahkan siapa? Anak? Bukan. Ibu yang salah. Salah dimana? Mungkin dari segi pakaian si ibu, mungkin dari segi pergaulan dan kebebasan yang si ibu amalkan sebelum ini. Hanya si ibu yang tahu. Hanya Allah yang lebih mengerti kenapa ia berlaku.

Beliau mengupas dan mengingatkan agar ibu-ibu yang mempunyai anak perempuan, harus dibataskan hubungan dengan lelaki (biarpun saudara mara) dan diterangkan hukum halal haram, disemai perasaan malu bermula dari usia 9 tahun kerana kebanyakan anak gadis telah mula akil baligh di usia ini. Diwajibkan menutup aurat (bagi anak gadis) dan diterangkan kenapa ia penting. Untuk memastikan maruah kehormatan sebagai seorang gadis terpelihara.

Setiap orang mempunyai impian untuk memiliki keluarga bahagia yang sempurna. Bagaimana? Di mana asas mula perlu diletakkan untuk membina rumahtangga impian?

Allah ada menyatakan;
"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik..." An-Nur, ayat 26.

Itu petunjuk utama. Mahu mendapat pasangan yang baik, pastikan diri juga baik. Bekalkan diri dengan keimanan dan amalan yang berterusan.

Diharap panas hingga ke petang, tapi rupanya hujan di tengahari. Bila hujan, ramai yang mahu berhenti dari berlari. Bukankah hujan itu satu rahmat? Allah turunkan ia untuk melembutkan hati, menyuburkan jiwa hamba yang hampir mati. Pilih, nak berlari dan bermain hujan, atau berhenti.

Banyak berlaku sekarang ini, bila sesebuah perkahwinan mengalami masalah, hanya buruk pasangan tampak di mata. Mengapa tak lihat ia sebagai satu cermin diri?

Kenapa hanya melihat penceraian sebagai jalan keluar?

Kenapa terlupa yang Allah itu ada untuk memberi pertolongan?

Teliti diri dahulu sebelum menuding jari. Perbaiki diri dulu sebelum mengharapkan pasangan berubah. Dan jika merasakan diri telah cukup baik, kekalkan dan tambahkan lagi kebaikan serta teruskan berdoa untuk pasangan. Bukankah doa dari suami/isteri adalah paling mustajab? Allah akan kabulkan permintaan hambaNya bila tiba masa yang sesuai. Yakinlah.

Nota : Ini adalah nota diri yang mahu dikongsi. Moga kalian juga perolehi ilham baik darinya.

Ceramah yang seterusnya akan di adakan ditempat yang sama pada 1hb Ogos, iaitu bulan depan. Sambungan untuk surah yang sama. InsyaAllah. Sesiapa yang tinggal berdekatan, amat dialu-alukan menyertai program ini.