
"Su, jom kita ambik satu gerai kat bazaar Ramadhan. Kita jual la nasi kerabu ke, nasi dagang ke. Satu dua jenis cukup lah." Ajak Hasni beberapa tahun dulu.
"Boleh jugak. Malam saya boleh masak, tapi sapa yang nak jaga gerai, yang nak menjual? Saya keje, balik dah lewat sangat. Awak pun sama." Balas saya. Tertarik dengan idea menambah pendapatan tapi ada halangan yang tak ada tolak ansur buat saya.
Lalu idea tu terkubur begitu saja.
Hujung minggu, atau tika berpeluang sampai ke rumah agak awal, saya dan suami akan mengunjungi bazaar Ramadhan. Melihat makanan berwarna warni dan pelbagai pilihan, dengan aroma masakan menusuk hidung, saya tunduk oleh nafsu mata dan perut yang berlagu.
"Erm... tak sedap sangatlah." Rungut saya saat menjamah kuih dan nasi yang dibeli. Kecewa.
"Mana nak sedapnya, kalau buat hanya setahun sekali. Jual masa bulan puasa je." Balas suami saya sambil tersengih hambar. Andaian mudah, tapi saya tahu ada kebenaran disebalik kata-katanya.
Kalau saya menjual makanan setahun sekali masa bazaar Ramadhan, agaknya itulah antara komen yang akan saya terima. Cuma mungkin rungutan itu tak kesampaian di telinga saya. Kesian pelanggan, kan? Lalu saya tidak kesal bila idea itu tidak pernah direalisasikan.
"Kalau nak masak untuk orang, nak menjamu orang makan atau nak meniaga, masaklah macam nak makan sendiri. Lemak, masin, manis, pedas... biar cukup rasa. Jangan dok pikir sangat tentang belanja untuk buat makanan sedap. Contohnya kalau masak lemak, pakai santan, janganlah sampai kuah tu cair je. Memanglah matlamat berniaga sebab nak dapat untung, tapi janganlah sampai masak pun tak ada rasa sebab nak jimat garam gula. Harga pun biarlah berpatutan, jangan dok pikir nak untung lebih aje. Kalau sedap dan murah, insyaAllah orang datang beli lagi. Kalau tak sedap, lelong pun orang tak nak...." Pesan mertua saya bila bercakap tentang masakan dan perniagaan makanan ketika saya berkobar-kobar nak cuba berniaga di baazar Ramadhan.
Saya pegang kata-katanya. Masak apapun, biar ada rasa yang cukup. Cuma saya tak berpeluang untuk menjadi peniaga di bazaar Ramadhan, sampai sekarang...