
Hati terpanggil untuk turut menulis tentang topik yang sama apabila membaca beberapa kisah tentang sihir dan penyakit misteri yang ditulis oleh teman-teman blogger. Penderitaan blogger Megat yang saya tahu dari tulisan Kujie (sebulan atau 2 bulan yg lepas) dan Irfan (SangPelangi), benar-benar membawa saya kembali mengingati kisah lama. Juga dari sedikit kisah sahabat NahwanNur.
Untuk Megat, saya kirimkan doa ikhlas dari hati, agar Allah membantu anda dalam usaha mencari penyelesaian kepada sakit misteri yang anda alami. Serta sedikit perkongsian kisah di sini, yang saya harap mampu membuatkan anda tahu yang anda tak bersendirian. Jangan lupa, teruskan usaha, berdoa dan bertawakkal.
Telah lama saya simpan hasrat untuk menulis kisah-kisah ini. Kisah yang benar-benar berlaku pada orang-orang yang saya kenali, saudara dan teman-teman, termasuk diri saya sendiri.
Bukan untuk mendedahkan keburukan, jauh sekali untuk mencela, cuma saya mahu berkongsi apa yang saya temui. Semoga ada pengajaran yang mampu dicungkil dari beberapa episod hidup insan yang adakalanya turut dialami oleh orang lain.
Perkongsian saya kali ini mungkin akan jadi panjang, kerana terlalu banyak kisah yang nak saya paparkan. Lalu saya rasa sebaiknya saya bahagikan kepada beberapa bahagian.
Namun saya amat mengharapkan agar setiap pembaca yang mengunjungi blog saya ini, dapat meluangkan masa untuk membaca tulisan emjay tentang pengalaman bersama orang kerasukan serta perkongsian pembacanya tentang azab berbomoh. Tulisan yang buat saya berfikir panjang, menimbang kembali kisah-kisah lama yang pernah saya dengar dan lihat/alami sendiri.
Nota : Ini semua kisah benar, dan saya lakarkan ia kembali untuk tatapan semua dengan cara saya. Namun nama yang digunakan bukanlah nama sebenar.
Kisah 1
Segalanya punah dan musnah dengan sekelip mata. Perniagaan keluarga yang diusahakannya, pekerjaannya sebagai pengurus di salah sebuah syarikat swasta terbesar di Malaysia, malah rumahtangganya juga turut goyah buat seketika.
“Tu lah kau. Dari dulu aku cakap, sakit kau ni bukannya sakit biasa. Bukan sakit jantung tapi sakit yang ‘dihantar’. Tapi kau tak dengar. Tak percaya.” Bebel Karim semasa melawat temannya yang terlantar di katil selepas pembedahan ketiga.
“Aku tak percaya Iblis boleh atasi kuasa Allah. Bukan aku tak percaya cakap kau.” Arman beralasan.
“Samalah tu. Kau tak ingat kisah Nabi Ayub yang menderita sakit berpuluh tahun hanya kerana Allah izinkan iblis mengujinya keimanannya? Tapi dia tu lain. Dia tu Nabi yang Allah lindungi dan Allah tahu dia mampu menanganinya. Tapi kau mampu ke? Sakit terlantar macam ni pun, habis anak bini kau tengking, kau marah. Kesian dia orang.” Syarah Karim lagi. Arman terdiam.
Bukan dia tak simpati pada isterinya, bukan dia tak sayang pada anak-anaknya, tapi kemarahannya ada kala tak mampu dikawal. Entah kenapa, sikap barannya semakin menjadi-jadi. Sakit nisteri yang ditanggungnya, masalah yang menimpanya, bersilih ganti memenuhi ruang fikirannya. Hilang pertimbangan dibuatnya.
Sakit yang berterusan memaksanya berhenti kerja. Perniagaannya diserahkan pada orang luar untuk diuruskan, dan akhirnya hanya kerugian yang terhasil, bukannya keuntungan. Jualan langsung yang membekalkan produk makanan kesihatan tambahan yang disertainya tak mampu memulihkan tahap kesihatannya. Pelanggannya tak lagi percaya pada food suppliment yang dijual.
Life insurance yang dibayar hampir seribu setiap bulan selama berbelas tahun yang lepas, terpaksa dihentikan kerana tak punya pendapatan lagi. Duit yang dilaburkan untuk keluarga hilang begitu saja. Belanja rawatan juga tak boleh dituntut dari pihak insurance kerana bayaran yang gagal dijelaskan untuk setahun yang lalu.
Kawan-kawan yang dulunya ramai dan begitu rapat, malah ada yang mengaku hubungan seperti adik beradik, kini mula menjauhkan diri. Alasannya sibuk. Cuma tinggal beberapa orang teman yang sesekali masih lagi setia mengunjungi. Jumlahnya jauh kurang berbanding tika dia senang dulu.
Ya Allah... banyak sekali dugaan yang menimpa. Bertalu-talu, bersilih ganti. Mungkinkah semua ini diberikan Allah sebagai balasan atas kesibukannya mengejar dunia sehingga terlalai menunaikan kewajibannya pada Allah? Sungguh pedih bila mengingatkan kesilapan sendiri yang mula dirasai. Ngilu.
“Apa kata doktor selepas kau buat pembedahan kali ni?” Tanya Karim bila dilihat temannya tu terdiam lama. Bimbang andai Arman berjauh hati mendengar kata-kata tajamnya.
“Dia nak buat test yang lain pulak. Tunggu aku pulih sikit.” Katanya lemah.
“Erm… Aku ada ikut sepupu aku pergi jumpa satu orang ni, dia pandai menengok sakit orang. Jadi aku tanyakan sakit kau sekali. Katanya kau terkena buatan orang yang dengki dengan kau. Dan yang buat kau ni bukan sorang, tapi ramai. Ada yang baru, ada yang lama. Bertindih-tindih penyakit yang dihantar kat kau ni. Tu yang jadi teruk sangat.” Cerita Karim sambil melihat reaksi Arman.
Arman teringat kata-kata berbau ancaman oleh salah seorang bekas pekerjanya.
"Jangan ingat dengan pangkat kau tu, kau boleh buat sesuka hati. Aku akan ajar kau biar kau sedar. Tunggulah!" Lamin menuding jari tepat ke muka Arman bila Arman menyerahkan notis amaran kerana disiplin yang teruk dan hasil jualan yang amat merosot untuk kawasan yang diletakkan dibawah kendalian Lamin. Tanpa notis perletakan jawatan, Lamin menghilangkan diri begitu saja.
Mungkinkah Lamin telah mengotakan katanya itu?
Terbayang pula tangisan Mai Arani, bekas pekerjanya yang manis dan pandai bergaya. Siapa sangka kehidupan peribadinya agak menyedihkan. Segalanya kerana seorang lelaki yang bergelar suami. Arman simpati dan sebagai majikan, dia cuba melakukan apa yang termampu.
Namun tak siapa menyangka, sikap ambil berat dan jenaka yang dibuat untuk menghiburkan hati Mai Arani telah mencambahkan kasih yang salah. Dia suami untuk isterinya, dan Mai Arani adalah isteri untuk seorang lelaki lain. Mana mungkin ada laluan yang mudah untuk mereka bersama. Paling penting, cinta kasih untuk isterinya tak mungkin dipersiakan. Itu janji yang perlu dikota. Arman menjauh, tapi hati Mai Arani parah terluka.
"Mai sanggup lakukan apa saja untuk bersama dengan Encik Arman..."
Mungkinkah Mai Arani juga...?
Wajah Pak Mahat tiba-tiba muncul dikotak fikirannya.
"Kau ni, dah tak de tempat lain ke nak meniaga? Kenapa kat sini yang kau pilih?" Kata-kata dan jelingan tajam Pak Mahat sungguh sungguh berbekas dihati. Renungan amarah berserta amaran.
Ahh... tafsiran aku mungkin salah. Bisik Arman cuba menyedapkan hati sendiri.
Pelanggan yang mengunjungi kedai runcit Pak Mahat jelas berkurang bila mini market Arman di buka. Armankah yang salah? Bukankah rezeki untuk setiap orang itu telah Allah tetapkan semenjak dari azali lagi?
Arman mengeluh dalam. Lamin menunggu andai Arman ingin berkata apa-apa, tapi hanya kebisuan yang mengisi ruang antara mereka.
“Aku tanya dia, boleh ke dia ubatkan kau. Katanya dia boleh cuba, tapi mungkin prosesnya panjang. Dan kau kena percaya pada dia, barulah mudah dia nak ubatkan kau.” Tambah Karim menyambung kisah pertemuannya dengan seorang insan luar biasa yang kononnya punya kelebihan dalam soal yang melibatkan ilmu sihir. Bomoh, dukun atau orang alim (ustaz)? Arman malas nak bertanya.
“Nantilah aku fikirkan.” Balas Arman sambil tersenyum tawar. Hatinya berbelah bagi. Antara sakit yang mahu diubati dan keraguannya pada kemampuan perubatan alternatif, serta wang yang semakin surut dan susut, mana satu yang lebih perlu diberi keutamaan?
Dia yakin hanya Allah yang mampu menyembuhkannya, tapi mungkinkah dia perlu berusaha dengan cara begitu? Mampukah dia bertahan? Sampai bila...?
Kepalanya terasa begitu berat.
akan disambung dgn kisah 2.....
Nota : Di sebabkan ramai yang bertanya apa kesudahan kisah Arman, saya buat sedikit nota tambahan. Kisah ini belum berakhir kerana ini kisah benar. Sakit Arman masih berterusan. Adakala lega, ada masa sakitnya datang tak kira masa. Menurutnya, bila sakitnya datang, terasa bagai dihiris dan dilapah daging dan kulitnya.
Entah apa yang tak kena pada dirinya, tak siapa yang dapat pastikan. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Dia pernah mencuba kaedah perubatan alternatif, berjumpa dengan orang-orang yang dikatakan dapat membantu, tapi tetap gagal.
Bila membaca tulisan emjay, saya perasan apa yang tak kena pada dirinya. Dulu, dia terlalu sibuk mengejar dunia untuk memastikan tanggungjawab memberi kesenangan pada anak isterinya terpenuh. Sibuk yang membuatkan dia mengambil mudah dan meringankan tanggungjawab pada Allah. Rasanya itulah puncanya...
Sebaik-baik penyelesaian adalah kembali pada Allah. Menilai semula cara hidup yang pernah dilalui dan membetulkan apa yang salah. Memperbaharui niat dan matlamat hidup. Memperbaiki dan memperbanyakkan amalan diri dan keluarga. Itulah yang harus dilakukan.
Namun, mengubah manusia itu kerja Allah. Lalu pada Dia kita meminta. Kita hanya menjadi perantara yang meluah pendapat dan idea.
Semoga Allah memberikan kekuatan padanya. Semoga Allah buka pintu penyelesaian buat deritanya. Semoga hanya yang baik-baik berlaku dalam hidupnya. Kita doakan saja...