Nov 25, 2009

Doa Hati - Kisah 2

Mata saya melilau mencari ruang dicelah-celah kesesakan manusia. Tak ada!

"Ibu... belakang... belakang... jalan... jalan..." Kata polis wanita yang berpakaian serba hitam yang hanya menampakkan dua matanya. Pelatnya jelas sekali. Maklumlah bangsa Arab berbahasa Melayu Indonesia. Saya yakin hanya beberapa patah perkataan melayu yang mereka fahami. Itu antara beberapa patah perkataan yang sering saya dengar keluar dari mulut mereka, bila memberi arahan pada jemaah Asia (Melayu dan Indonesia).

Saya bergerak sedikit ke belakang. Mata saya kembali meninjau. Sesekali singgah kepada beberapa jemaah yang masih tegar. Mereka melakukan solat sunat tanpa mempedulikan arahan polis wanita itu. Saya faham, ruang tidak berbumbung memang diberi keutamaan kepada kaum lelaki. Tapi apa salahnya kami kaum wanita solat disitu jika ada ruangan yang kosong. Lalu saya mahu mencuba nasib bersama beberapa kumpulan jemaah wanita yang lain.

Saya teringat cerita tentang keistimewaan masjidil Haram yang tak akan ada ditempat yang lain. Antaranya ialah solat. Pahalanya yang berganda, solat yang tiada batasan waktunya, dan tempat solat yang bercampur (tapi jangan terlalu ketara percampurannya, dan selalunya untuk solat sunat sahaja, seperti solat sunat tawaf).

Matahari tegak di kepala. Terik mentari membuatkan badan lencun dek peluh, tapi syukur pada Allah, peluh yang mengalir tak langsung merimaskan saya, malah menyejukkan badan.

Bila dihalau, saya beralih ke belakang, lalu terus mengangkat takbir, melakukan solat sunat. Saya tak mahu melepaskan kesempatan yang ada. Lagipun jemaah yang bersolat biasanya polis tak akan ganggu.

Selesai solat, dihalau lagi. Aduhai...

Saya menghampiri satu ruang solat yang dikhususkan untuk wanita. Ruang yang di sekat dengan dinding plastik (tak tahu nak beri gambaran) dan rak Quran. Penuh. Tapi masih ada yang mencelah masuk, dan saya turut tertolak ke dalam. Mata saya kembali meneroka mencari ruang walaupun kecil, cukup sekadar saya dapat sujud dan rukuk.

Ada jemaah yang menlunjurkan kaki, yang meletakkan beg (sbg tanda tempat telah dibooking) dan ada yang melebarkan sila. Hati saya gelisah. Bagaimana kalau bila solat telah bermula, saya masih tak dapat tempat?

"Ya Allah, aku mahu sujud padaMu ya Allah. Berikan aku sedikit ruang untuk solat...." Hati tak henti-henti berdoa.

Ruang yang ada cumalah tempat untuk jemaah yang telah berada dalam saf sujud. Jika ruang itu dipenuhi, memang akan ada jemaah yang tak dapat rukuk dan sujud dengan sempurna. Beberapa kali saya meminta izin untuk duduk, tapi tidak dibenarkan. Dan saya kembali bergerak.

Hati saya sayu, namun saya faham keadaan mereka. Solat dalam keadaan yang tidak selesa, pasti akan mengganggu kekusyukan. Lalu saya tak rasa sakit hati bila mereka bertindak begitu.

Seorang wanita Arab yang berbadan besar dalam lingkungan usia 50an memandang saya sambil tersenyum. Dia bersila, mengambil ruang melebihi saf. Kebanyakan wanita Arab yang bersaiz seperti dia, akan solat dalam keadaan duduk dan ruang untuk saya pasti tiada. Saya fikir, mungkin saya duduk saja dulu. Bila takbir diangkat, dan jemaah bangun, mungkin akan ada sedikit ruang buat saya.

Dia mengensot sedikit, memberikan saya sedikit ruang untuk duduk. Alhamdulillah...

Saat solat bermula, tepat seperti jangkaan saya, wanita Arab itu solat dalam keadaan duduk. Dan saya dibelakangnya. Untuk rukuk, saya tak bermasalah, tapi untuk sujud... Bagaimana ya?

"Ya Allah... aku serahkan diriku padaMu ya Allah... Kau jemput aku ke sini, pasti Kau telah sediakan ruang buatku..." Saya berbisik sendiri.

Bila solat bermula, dia sujud... dan saya sujud. Indah sekali aturan keseragaman dalam solat berjemaah. Sekata dalam pergerakan menyelamatkan keadaan saya. Jika saya lambat bangun dari sujud, pastinya punggungnya akan menghempap kepala. Disebabkan pergerakan yang sama dan sekata, ruang sujud buat saya tersedia. Allah Maha Besar, dalam situasi sempit, saya masih mampu mencecahkan dahi ke lantai, sujud pada Dia Yang Maha Pencipta. Tak pernah saya bayangkan situasi sebegitu. Terasa kerdil sekali diri ini.

Selesai solat dan berdoa, dia memandang saya sambil tersenyum. Saya menghulurkan tangan, bersalam dan mencium tangannya. Terus dia menarik dan memeluk saya.

Aduh... nyaman sekali berada dalam pelukannya.

Dengan kekurangan yang ada pada dirinya, jelas sekali dia punya hati yang amat mulia. Allah menggerakkan hatinya untuk memberikan sedikit ruang buat saya duduk. Jika tidak, pasti saya masih melilau mencari tempat solat. Saya bayangkan, bila dia menjadi penghuni syurga nanti, pasti dia akan jadi wanita yang amat cantik dengan potongan badan yang langsing dan amat menarik. InsyaAllah... Semoga Allah berikan pahala berganda atas kemurahan hatinya.

Tiba-tiba dia bersuara dalam bahasa yang saya tidak faham. Berkerut kening saya cuba memahaminya.

"Maqbul... maqbul..." Katanya sambil satu tangan memegang bahu saya dan satu tangan lagi diangkat seolah berdoa. Saya mengagak, dia berdoa mengharapkan agar doa saya juga akan dimakbulkan Allah.

"Syukran... syukran... " Balas saya sambil mencium pipinya. Hanya perkataan itu yang mampu saya tuturkan.

Mata saya basah...

Nov 20, 2009

Doa Hati - Kisah 1

Aidil Adha semakin hampir. Seringkali rindu saya pada Tanah Haram membara. Pastinya bumi barakah itu melimpah ruah dengan kunjungan pencintanya. Abang ipar dan biras saya adalah antara yang bertuah dijemput menjadi tetamu Allah tahun ini.

Di sana, banyak kisah yang menarik. Banyak detikan hati yang menjadi nyata. Banyak sekali teguran Allah yang menyapa. Soalnya, mampukah kita melihat ia sebagai satu tanda kebesaran Allah?

Memangnya saya tak banyak masa untuk menulis dan menziarah blog seperti dulu. Akhir tahun, banyak yang perlu diselesaikan. Tapi sesekali, saat rindu bertandang, tangan saya gatal untuk memetik keyboard meluahkan apa yang terlintas di minda.

Kisah umrah dulu masih ada yang tersisa. Lalu saya catatkan disini untuk menyegarkan rindu pada Madinah dan Makkah Al Mukarramah.

Selepas melakukan saei, kaki saya memang tak tahan. Malu saya dengan makcik-makcik yang langkahnya jauh lebih gagah berbanding saya. Lantaran lama tak melakukan senaman dan berjogging, saya memang kekurangan stamina ketika di sana.

Namun memikirkan peluang yang tak boleh dilepaskan begitu saja, saya gagahi juga melakukan umrah beberapa kali, untuk diri dan juga umrah badal untuk arwah mak, ayah dan nenek.

Ada sekali, selesai saja bersaei, saya terbaring keletihan. Seorang jemaah berbangsa Arab yang duduk berhampiran tersenyum pada saya. Saya membalasnya sambil menundukkan sedikit kepala tanda hormat.

Di dalam hati terlintas, alangkah baiknya jika saya dapat meneguk air zam zam ketika itu. Saya memejamkan mata, merehatkan diri seketika tanpa niat untuk tidur. Bila saya membuka mata, kelihatan jemaah tadi datang dengan dua gelas air di tangan dan menghulurkan salah satunya pada saya.

Tanpa bicara, tanpa suara, tanpa bahasa isyarat meminta, dia tampil menyuakan air paling berkhasiat di dunia pada saya. Maha Suci Allah yang telah menggerakkan hati wanita itu.

"Syukran..." Hanya itu yang mampu saya luahkan.

Syukur Ya Allah... Alhamdulillah.

Nov 9, 2009

Meeting Larut Malam

Membaca pengalaman Kak Jie tentang MLM , serta merta fikiran saya menangkap kisah-kisah orang yang cuba 'membantu' saya dengan memperkenalkan beberapa produk.

"Macamana dengan kawan lama yang abang jumpa semalam? Mesti banyak cerita lama yang keluar, kan?" Saya bertanya bila melihat dia tak langsung berminat untuk bercerita tentang pertemuan dengan seorang sahabat lama. Keghairahan sebelum pertemuan seolang hilang tanpa berbekas.

"Dia sebenarnya nak ajak abang masuk satu direct selling." Katanya mendatar.

"Ooo... patutlah. Bertahun-tahun tak berhubung, tetiba je beria-ia nak jumpa abang. Rupanya ada udang disebalik batu." Saya tergelak kemudian menyambung; "Abang masuk tak?" Saya bertanya sekadar menguji. Dia menggeleng kepala. "Heh... Mimpilah..."

Saya memang tahu pendiriannya. Setakat ini, tak pernah sekalipun orang berjaya mempengaruhinya untuk masuk mana-mana rangkaian perniagaan MLM.

"Dia orang ni selalu je ajak jumpa waktu malam... kadang tu memang larut malam lah... Sesuai benar dgn namanya... maksud MLM tu sebenarnya 'Meeting Larut Malam'." Saya tergelak. Pandai je dia buat pengertian sendiri.

"Barangan dari orang-orang yang join MLM ni memang selalu dikata bagus kualitinya, baik untuk kesihatan, mampu menyembuhkan penyakit itu dan ini, sebab tu harganya mahal. Padahal sistem yang mereka gunakan tu yang buat harganya mahal. Mana taknya, nak bagi imbuhan berapa peringkat baru dapat kat pengguna akhir macam kita ni. Tapi sebenarnya modal dia orang bukannya banyak sangat. Bila perkenalkan barangan yang dijual, mereka selalu menggunakan motto untuk berkongsi la, atau untuk membantu la, tapi hakikatnya... bla...bla..bla..." Panjang syarahan suami saya bila saya bercerita tentang barangan yang dikatakan dapat membantu menjadikan impian kami satu kenyataan.

"Upline rajin berhubung masa mula-mula je... bila dah dapat apa yang dia nak, lupa la kita ni... Sakit terlantar pun tak datang jengok, sms atau call tanya khabar pun tak ada lagi... Dulu bukan main lagi, sanggup mengaku kita ni macam keluarga dia..." Rintih abang ipar saya yang terlantar sakit. Keyakinannya musnah.

"Berkawan sebab ada kepentingan tertentu memanglah tak kekal lama. Tak ada keikhlasan... Tak pelah, ada hikmahnya tu. Sakit abang ni mungkin sebab Allah nak tunjukkan siapa sebenarnya kawan abang..." Balas saya seadanya. Tak tahu apa yang patut saya katakan lagi.

Bila diimbau kembali kata-kata yang pernah terluah, saya rasakan seperti mereka semua punya skrip dialog yang agak sama...

"Cubalah... Dah banyak tau orang yang pakai / makan / guna barang ni, lepas beberapa bulan je terus mengandung..."

"Memanglah rezeki tu Allah bagi, tapi Allah suruh kita berusaha. Cuba barang ni pun kira salah satu usaha juga. Mana tahu ada rezeki."

"Tak rugi awak cuba. Kalau tak dapat anakpun, paling tidak boleh jaga kesihatan. Awet muda lagi..."

"Perut kita ni tempat terkumpulnya segala penyakit. Sebab tu kita kena bersihkan dulu, buang segala toksid yang ada dalam badan. Makan ni selalu, insyaAllah segala penyakit akan keluar. Nanti senanglah awak nak mengandung..."

Itu antara kata-kata semangat yang sering menjamah telinga saya setiap kali mahu diperkenalkan dengan barangan baru. Walaupun suami saya menentang 100% barangan direct selling atau seumpama dengannya, tapi ada kala dia tak dapat menahan keinginan saya lalu dibiarkan saya mencubanya. Mana tak cair, kalau isteri memujuk dengan air mata, meminta keizinan untuk membeli barangan yang diharap dapat menjadikan impian menjadi seorang ibu satu kenyataan. Aduhai...

Dari makanan tambahan, vitamin, air, aromaterapi, susu, krim sapuan, dan banyak lagi yang tak mampu saya senaraikan disini. Semuanya produk yang sangat 'baik', berkesan dan saya memang sanggup berhabis untuk mencuba. Itu dulu.

Saya kini susah lali, tak berminat lagi. Saya bukan berputus asa untuk mencuba, cuma hati saya agak berat. Ada ketika saya dapat merasakan bahawa ramai yang mengambil kesempatan pada saya.

Kawan-kawan hanya berhubung untuk bercerita tentang baiknya produk yang mereka bawa, dengan harapan saya akan membeli dan menyertai mereka tanpa mempedulikan perasaan saya yang mahukan lebih dari perhatian 'tersirat' itu.

Jika ada yang datang dalam hidup saya untuk 'membantu' dengan cara begitu, cukuplah, simpan saja keinginan itu jauh disudut hati... Saya hanya perlukan doa kalian sebagai sahabat... Saya tak mahu kerana duit, hilang kawan.

Nov 4, 2009

Doa wanita...

Kata ustaz dalam slot Bicara Ad-Din minggu lepas;

"Perkahwinan susah nak diselamatkan jika ada antara pasangan yang mengambil mudah tentang solat. Pergi je ke mana-mana Jabatan Agama Islam, tanya mereka yang sedang buat permohonan cerai; Bila kali terakhir kalian suami isteri solat jemaah bersama? Pastinya jawapan yang diberikan ialah dah berbulan-bulan, atau mungkin bertahun-tahun, atau mungkin jugak tak pernah!"

Sedihkan?

"Aku terkejut tengok adik aku jarang solat selepas kawin. Isterinya solat masa kat rumah mertua je, kat rumah sendiri tak solat, dan dia sekarang dah terikut-ikut sama." Luah seorang teman dengan nada sedih.

Jelas sekali pengaruh perbuatan dan perlakuan seseorang isteri itu amat besar.

***************************************

"Alah... bila dah jadi isteri ni, susah nak kemana-mana macam dulu. Tambah lagi dengan anak-anak. Kadang ada juga jiran bagitahu ada ceramah kat masjid. Aku ajak la, tapi kalau dia tak nak, apa aku boleh buat." Telinga saya menangkap perbualan sekumpulan wanita.

"Aku pun. Kalau laki aku bangun lambat, subuh pun subuh gajah, aku apa lagi, join sekali la." Sampuk temannya sambil ketawa.

Suami teraju keluarga. Nakhoda untuk bahtera rumahtangga. Ke mana anak kapal menghala kalau tidak mengikut arah yang dibawa nakhoda?

***************************************

"Alah... nak nasihatkan orang, awak pun dua kali lima je..." Kata si isteri sambil menjeling tajam ke arah suami. Saling menempelak. Sudahnya hijrah yang diharapkan membawa kebaikan tidak sampai ke distinasi sama.

Siapa yang rugi? Diri sendiri, kan?

****************************************

"Arwah suami saya dulupun payah nak ke masjid. Sibuk. Tapi dia tak halang saya aktif dengan aktiviti masjid. Dan alhamdulillah, di hujung usianya, dia selalu datang ke masjid." Luah Ustazah Hindon yang saya anggap seperti orang tua saya sendiri. Saya kagum dengan sikap dan perjuangannya. Sumbangannya terhadap bidang dakwah memang tak dapat dinafikan lagi. Pengerusi Unit Mubalighat ini pernah memenangi anugerah tokoh maal hijrah bagi negeri Selangor tahun lepas.

"Berkat doa seorang isteri yang solehah. Doa isteri kan mudah makbul!" Sampuk seorang jemaah yang lain sambil memeluk bahu Ustazah. Saya tersenyum sambil mengangguk kepala.

"Orang selalu kata, kubur masing-masing. Tapi Su ada terbaca, yang mana di akhirat nanti ada hamba Allah yang akan menarik ahli keluarganya samada masuk ke syurga atau neraka. Betulkan ustazah?" Tanya saya menyampuk perbualan.

"Betul tu. Sepatutnya kita jangan lah ambil mudah dan hanya fikir nak jaga diri sendiri je. Kena berikhtiar mengajak ahli keluarga dan jiran-jiran kita. Kerja membuka pintu hati tu, hanya Allah je yang boleh buat." Kata ustazah mengakui.

**************************************
Selalu kita dengar...

Wanita itu adalah tulang belakang bagi lelaki.
Lalu, haruskah kita biarkan tulang ini bengkok? Nanti yang bongkok, bukan orang lain, adalah suami dan anak-anak kita.

Tangan wanita yang menghayun buaian, mampu menggegarkan dunia.
Kenapa kita tak gegarkan jiwa suami dan anak-anak dengan doa kita?

Disebalik kejayaan seorang lelaki, di belakangnya adalah wanita.
Kenapa kita tak pastikan kejayaan itu bukan saja untuk dunia, tapi juga untuk akhirat yang abadi?

Kena saya hanya fokus pada wanita? Lelaki?
Lelaki dianugerahkan Allah 9 akal dan satu nafsu. Moga mereka tahu apa yang mereka pikul dan sedar apa yang patut mereka buat...