Sep 12, 2009

Hanya Impian

Kisah beberapa tahun yang lalu.

"Su, jom kita ambik satu gerai kat bazaar Ramadhan. Kita jual la nasi kerabu ke, nasi dagang ke. Satu dua jenis cukup lah." Ajak Hasni beberapa tahun dulu.

"Boleh jugak. Malam saya boleh masak, tapi sapa yang nak jaga gerai, yang nak menjual? Saya keje, balik dah lewat sangat. Awak pun sama." Balas saya. Tertarik dengan idea menambah pendapatan tapi ada halangan yang tak ada tolak ansur buat saya.

Lalu idea tu terkubur begitu saja.

Hujung minggu, atau tika berpeluang sampai ke rumah agak awal, saya dan suami akan mengunjungi bazaar Ramadhan. Melihat makanan berwarna warni dan pelbagai pilihan, dengan aroma masakan menusuk hidung, saya tunduk oleh nafsu mata dan perut yang berlagu.

"Erm... tak sedap sangatlah." Rungut saya saat menjamah kuih dan nasi yang dibeli. Kecewa.

"Mana nak sedapnya, kalau buat hanya setahun sekali. Jual masa bulan puasa je." Balas suami saya sambil tersengih hambar. Andaian mudah, tapi saya tahu ada kebenaran disebalik kata-katanya.

Kalau saya menjual makanan setahun sekali masa bazaar Ramadhan, agaknya itulah antara komen yang akan saya terima. Cuma mungkin rungutan itu tak kesampaian di telinga saya. Kesian pelanggan, kan? Lalu saya tidak kesal bila idea itu tidak pernah direalisasikan.

"Kalau nak masak untuk orang, nak menjamu orang makan atau nak meniaga, masaklah macam nak makan sendiri. Lemak, masin, manis, pedas... biar cukup rasa. Jangan dok pikir sangat tentang belanja untuk buat makanan sedap. Contohnya kalau masak lemak, pakai santan, janganlah sampai kuah tu cair je. Memanglah matlamat berniaga sebab nak dapat untung, tapi janganlah sampai masak pun tak ada rasa sebab nak jimat garam gula. Harga pun biarlah berpatutan, jangan dok pikir nak untung lebih aje. Kalau sedap dan murah, insyaAllah orang datang beli lagi. Kalau tak sedap, lelong pun orang tak nak...." Pesan mertua saya bila bercakap tentang masakan dan perniagaan makanan ketika saya berkobar-kobar nak cuba berniaga di baazar Ramadhan.

Saya pegang kata-katanya. Masak apapun, biar ada rasa yang cukup. Cuma saya tak berpeluang untuk menjadi peniaga di bazaar Ramadhan, sampai sekarang...

Sep 10, 2009

Rezeki yang mana?

Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan rezeki. Rezeki dunia dan juga rezeki akhirat. Pilih. Kaya dunia atau kaya akhirat?

Bazaar Ramadhan atau gerai-gerai yang dibuka sempena bulan Ramadhan, memberikan rezeki tambahan buat pengusahanya. Kalau ke bazaar Ramadhan, memang selera mata saya besar walaupun perut saya kecil. Banyak sekali pilihan samada lauk pauk, kueh muih, biskut yang pelbagai, pakaian dan kelengkapan rumah. Segalanya on SALE!

Alhamdulillah, memang murah rezeki bagi yang rajin berusaha.

Jangan lupa, Ramadhan adalah bulan rahmat. Untuk umat Islam, itulah yang paling utama. Saya pasti ramai yang sedia maklum.

Segala amalan dan kebaikan di bulan ini dilipat gandakan pahalanya. Tika inilah, sedekah digalakkan, bacaan Quran dipertingkatkan sebab nak khatamkan dalam masa sebulan, solat sunat dan solat malam elok dilebihkan dan zikir munajat diperbanyakkan. Jangan pulak kita lupa bahawa pahala berganda itu adalah rezeki sebenarnya.

Tapi sedih jugak bila melihat keasyikan saudara seagama mencari rezeki dunia membuatkan ada yang terabai mengutip rezeki akhirat. Semasa orang sibuk mengejar 10 malam terakhir, ada yang bersengkang mata menyiapkan tempahan pelanggan. Bukan tak boleh, tapi sulamilah dengan kutipan pahala akhirat. Paling tidak, berzikir sambil membakar kueh bangkit ke, berselawat sambil menjahit manik labuci di baju ke....

InsyaAllah, kalau benar mahu, pasti anda mampu mencapai keduanya. Namun buat orang seperti saya, rasanya hanya satu saja yang boleh diusahakan di bulan Ramadhan ini. Saya tak pandai buat biskut sebab tak suka makan, (heh, alasan!) nak menjahit baju berlabuci, rasa tak berbaloi sebab tak minat baju berkilat-kilat (alasan lagi...).

Memangnya masa untuk saya (dan juga kalian) berada di dunia ini semakin singkat. Lalu saya mahu mengejar rezeki buat bekalan di akhirat. Tapi ada ketika saya gagal saat diri terlantar keletihan (walaupun hanya kerja mengetuk papan keyboard je). Tadarus berakhir pukul 12 tengah malam. Balik ke rumah, hidangan untuk sahur perlu disediakan. Sudahnya solat malam tak terjaga, qiamullail pula entah ke mana. Latihan bangun dipertengahan malam sebelum 10 malam terakhir menjelang, nyata menghadapi kebuntuan.

Tak tersedar. Tak terjaga. 'Tak kaba' kata orang Kelantan. Aduhai.... Sedihnya...

Ya Allah... berikan aku tidur dan rehat yang cukup. Bekalkan aku dengan kekuatan untuk beribadat dan menyeru namaMu di pertengahan malam. Permudahkan aku untuk mencari malam lailatul qadar yang penuh keberkatan....

Sep 8, 2009

Rojak Minda

".... tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina. Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan...." - Dr MAZA, akhbar Sinar.

Saya kecewa bila membaca petikan pernyataan begitu, keluar dari seorang yang tinggi ilmu agamanya.

Melihat dan menilai sebelum menghukum, memang baik dan harus dilakukan. Tapi dimana garisan penentunya?

Saya tak banyak ilmu di dada, dosa juga menimbun banyaknya, tapi bila membaca petikan itu hati saya rasa cukup tak selesa. Lalu saya menulis di sini, sekadar mahu berkongsi suara yang terlintas di minda saya;

1. Jika lapar dan terdesak, mencuri boleh dilepaskan dari hukuman? Lalu bagaimana masyarakat terutama generasi muda nak belajar tentang apa yang dikatakan 'yang salah tetap salah'?

2. Bukankah zina bertaburan kerana tiada hukuman yang mampu membuatkan orang yang melakukannya berfikir berkali-kali untuk melakukannya? Lalu mestikah membiarkan penzina lepas selagi semua kes penceraian tak selesai? Mungkinkah selama ini hukuman diberi sekadar melepaskan batuk di tangga kerana menimbangkan banyaknya pendorong zina dan hukuman berat tak akan memberi kesan seperti yang di harapkan?

3. Mana yang lebih berkuasa dalam sesebuah negara, pemerintah atau golongan agama? Jika langkah dua golongan ini tidak seiring, tidak sehala, tidak sehaluan, bagaimana mahu merungkaikan kekeliruan secara berkesan?

Adakala kita tak payah menunggu sehingga kita berjumpa punca masalah, dengan alasan mahu mencari cara terbaik untuk membetulkan keadaan. Kita cuma perlu bertindak bila ada peluang dan keizinan Allah. Apapun tak akan selsai jika kita lebih banyak habiskan masa dengan menyelidik dan mencari sebab sesuatu musibah itu berlaku.

Ibarat selsema babi yang mengandungi virus babi, burung dan manusia. Mana yang nak dihapuskan untuk menghalang virus ini terus merebak? Babi, burung atau manusia? Pilihlah yang paling jelas. Dah namanya selsema babi, bunuhlah dan hapuskan babi dulu (dalam ertikata lain, tak payahlah nak besarkan dan tambahkan lagi ladang babi yang telah sedia ada)... tak kan nak tunggu manusia jadi pupus baru nak hapuskan babi?

Opss... tetiba emosional la pulak. Ampun Ya Allah...

Tetiba saya teringat satu ceramah dalam slot Bicara Ad-Din yang saya hadiri.

"Bila berlaku sesuatu musibah keatas sesuatu kaum atau seseorang individu, Khalifah Umar bertanya, 'Apakah dosa kaum kamu sehingga Allah timpakan musibah sebegini?'. Khalifah Umar tak sibuk mencari punca kenapa musibah itu berlaku, sebaliknya menyoal kaum tersebut dengan soalan begitu. Itu sudah cukup untuk menyelesaikan masalah. Ia membuatkan kaum tersebut berfikir apa yang perlu diperbetulkan dalam kehidupan mereka. Cara hidup, pendirian dan pegangan terhadap sesuatu perkara. Lalu, tak bolehkah kita gunakan soalan yang sama untuk situsi H1N1 yang kian parah kini?"

Apa dosa saya, dosa kamu, sehingga Allah timpakan musibah ini pada negara kita? Jom kita fikirkan dan kita perbaiki apa yang kurang dan rosak.

Nota : Maaf jika pengisian bercampur aduk, bahasa juga tak tersusun. Saya sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran yang sedang hebat terhayun bagai pusingan roller coaster. Salam Ramadhan semua.