Dec 27, 2008

Selamat Tahun Baru Hijrah.

Masa terus berlalu. Ada tika mimpi jadi nyata, ada waktu impian jadi debu. Namun itulah hakikat kehidupan. Tak semua yang dihajati mampu dimiliki. Malah mungkin yang tak disukai itulah yang terbaik sebenarnya.

Sebagai muslim, seharusnya kita lepaskan semalam dengan penuh rasa keinsafan di dada, dan kita mulakan lembaran baru dengan azam sebaik cara.

Kita ada Allah untuk kita bergantung dan memohon. Dia Al-Waliyy, Allah Yang Maha Pelindung dan Al-Mujiid, Yang Maha Mengabulkan Doa. PadaNya kita meminta, padaNya kita serahkan jiwa dan raga.

Seharusnya kita akhiri tahun 1429H dengan doa, memohon agar segala dosa dan kesilapan kita di tahun lepas akan diampunkan Allah. Dan kita mulakan 1430H juga dengan doa, meminta agar hanya yang baik-baik saja berlaku dalam kehidupan kita untuk tahun seterusnya.

Kepada sesiapa yang tinggal di sekitar Selangor, terutama Shah Alam dan kawasan yang berjiran, anda semua dijemput untuk menghadiri sambutan Maal Hijrah. Maklumat lanjut adalah seperti berikut;

Tempat : Masjid Negeri, Shah Alam.
Tarikh : 28 Disembar 2008
Masa : 6.30 petang - 10 malam.
Pengisian : Bacaan doa akhir dan awal tahun, qasidah dan forum.

Salam Maal Hijrah dari saya untuk semua. Assalamualaikum.

Dec 17, 2008

...Korban Terakhir...

Raya korban terakhir.... untuk tahun ini. (errkkk.... ada ke raya korban berkali-kali?)

Saya dilanda badai kesibukan akhir tahun. Siri Penyakit Misteri tergendala buat seketika. Masih ada beberapa kisah yang mahu saya kongsi. Kepada yang berminat membacanya, sabar ye!

Mungkin buat sementara, saya boleh kongsikan kemeriahan perayaan Aidiladha di kampung saya. Sedikit kisah bergambar tentang acara tahunan keluarga. Err.... acara makan-makan tentunya. :)

Cuti raya adalah cuti yang paling saya tunggu. Tika ini, semua akan berkumpul. Anak-anak buah yang masih belajar diasrama dan di IPTA, akan pulang.

2 hari sebelum Aidiladha.

Makan steamboat di rumah kak ngah bersama keluarga kak long dan adik-adik.

Hidangan yang mudah dan ringkas, tapi cukup menyelerakan. Berselera bukan hanya disebabkan hidangan, tapi lebih kepada kemeriahan berkumpul, bergurau senda, mengusik dan bercerita.

Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah, kerana masih berikan masa untuk kami menikmati ini semua.


Sehari sebelum Hari Raya Korban.

Ayah mertua saya anak yang sulung, dan rumahnya memang menjadi tempat berkumpul. Satu keluarga yang cukup besar, hampir 40 orang dari 4 keluarga dan 3 generasi.

Hidangan yang simple juga, nasi goreng berlaukkan ayam BBQ. Memang enak bila dimakan dalam keriuhan gurauan.

Menjelang Hari Raya Aidiladha (hari pertama)

Tumbangnya lembu pertama. Ayah mertua saya menyembelih sendiri lembu yang terpilih untuk dikorbankan. Penuh gaya, kalah orang main bowling. Hehe...

Langit yang mendung, tanpa titisan air hujan menyediakan suasana yang cukup damai untuk dinikmati. Suasana desa memang begitu.



Tahun ini, dua ekor lembu, hanya untuk kami anak beranak. Lembu pertama dilapah oleh bapa saudara, abang-abang dan adik-adik ipar (mereka semua terdiri dari cikgu-cikgu, ustaz, doktor pakar dan bakal fisiotherapist.)

Bagi kami orang kampung, walau setinggi mana pelajaranpun, harus tahu cara nak melapah lembu, kerana itu juga acara tahunan keluarga.




Selepas siap 'mengerjakan' seekor lembu, kami dihidangkan dengan masakan ma. Nasi minyak berlaukkan gulai daging, daging goreng, acar dan sambal cili. Enak sekali. Licin. Memang berbeza sekali rasa manis daging lembu yang segar.

Syukur Ya Allah...




Hari Raya Korban (Hari Kedua)

Kembali beraya di rumah kak ngah.

Permintaan anak buah yang teringin nak makan black pepper steak, lalu inilah yang menjadi menu utama selain dari bihun sup dan soto.

Nampak tak menarik, kan?




Tapi inilah rupa hidangan yang siap dihias untuk dihidangkan. Segar sekali warnanya. Seenak rasanya. :)

Alhamdulillah. Nikmat percutian yang membuatkan saya semakin rindu untuk pulang lagi.





Sebelum raya, makan.
Semasa hari raya, makan.
Selepas raya, makan lagi.
Tiba-tiba terdengar ada yang berbisik, 'Si Suara ni, makan untuk hidup atau hidup untuk makan?' Hehe...

Belum pernah saya masukkan gambar aktiviti keluarga. Ini entry ringkas yang mampu saya sediakan, mencuri masa di celah kesibukan. Sekadar sedikit gambar kemeriahan yang ingin dikongsi. Semoga kalian juga telah menikmati meriahnya Aidiladha.

Kata Tawel, 'Meriah itu relatif sifatnya; berbeza penafsirannya oleh insan yang berbeza'. Falsafah yang muncul diminda orang yang beraya di luar negara. Kan Tawel kannn.... :D

Untuk adik-adik dan teman-teman yang menyambut Aidiladha di luar negara, anggaplah entry ini sebagai catatan hiburan buat kalian yang kerinduan pada suasana perayaan tradisi di kampung halaman. :)

Dec 2, 2008

Penyakit misteri: Sihirkah puncanya? (Kisah 2)

Bismillah hirrahman nirrahim...

Saya kembali dengan kisah seterusnya. Kisah yang hanya berakhir disini, kerana realitinya juga telah berakhir.

Mulanya saya memikirkan untuk menjelaskan apa yang saya faham dan pengajaran yang boleh diambil dari setiap kisah diepisod terakhit kisah penyakit misteri ini. Tapi saya bimbang, ada yang tak akan membaca sehingga siri ini tamat. Lalu, saya buat keputusan untuk meletakkan nota, mengulas dan mengupas apa yang saya faham, yang saya tahu tentang kenapa ia terjadi.

Nota diakhir setiap kisah (termasuk kisah 1 yang saya tambah nota dibawahnya), adalah luahan minda saya, pendapat saya, dan saya mahu kita semua mengambil pengajaran untuk setiap peristiwa yang berlaku. Agar kita mampu menetapkan arah bagi hati kita, bahawa hanya Allah yang perlu dijadikan tempat mengadu dan meminta pertolongan.

Itulah yang sebaiknya, itulah ubatnya. InsyaAllah....

Kisah 2

“Aku panasss! Baju ada jarum! Sakit. Tak nak pakai!” Kata Rani sambil menanggalkan satu persatu baju yang membalut tubuhnya. Setiap lekukan dibadannya terlalu mahal untuk dipertontonkan begitu saja. Tapi Rani tak kisah. Dia kini tak mengenal dirinya sendiri, apatah lagi memahami erti malu yang harus ada pada setiap anak gadis. Yang dia tahu, dia rimas, sakit, pedih bila ada sesuatu menyentuh kulitnya.

“Jangan! Malu kat orang!” Tegah ibunya sambil mencapai helaian baju yang dilempar untuk disarungkan balik ke badan anak gadisnya itu. Sambil itu, Mak cik Mah kelam kabut menutup dan mengunci setiap pintu. Bimbang anak gadisnya itu berjaya meloloskan diri seperti sebelumnya.

“Tak mahu. Panas. Sakit. Pedih!” Rani memberikan alasan. Dia melarikan diri, bersembunyi disebalik pintu almari. Kini badannya tak berbalut. Ibu tua itu semakin panik.

“Mari sini, pakai baju ni. Cantiknya gambar kat baju ni. Marilah pakai!” Pujuk Makcik Mah lembut, laksana memujuk anak kecil lagaknya. Rani menggeleng kepala. Matanya melilau, mengintai peluang melarikan diri.

Cahaya yang masuk amat terbatas bila semua pintu dan tingkap ditutup. Suramnya merimaskan Rani. Dia makin gelisah. Panas dan pedih yang dirasa makin menjadi-jadi. Kepalanya memberat, terasa seperti mahu pecah.

“Aaaahhhhhhhhh.....Sakitnya!!!!... Perrgiiiiiiiiii!!!!....“ Jeritnya keras. Makcik Mah menggelabah. Dia tahu dia tak mungkin mampu melawan dan bertahan bila Rani kerasukan. Kekuatannya sebagai ibu tua tak setanding dengan anak gadis itu. Dia perlu segera mencari Pak Mahat dikebun.

Makcik Mah membaling baju ke arah Rani. Helah untuk mengalih tumpuan Rani yang dibimbangkan akan mengikutnya keluar. Cepat-cepat pintu dibuka dan ditutup kembali. Terketar-ketar tangannya mengunci pintu.

Makcik Mah bersandar seketika melepaskan lelah dan resah. Airmatanya mula mencurah.

Baru Makcik Mah mahu melangkah menuruni anak tangga, Pak Mahat kelihatan berlari-lari pulang. Jeritan anak gadisnya walaupun tak mampu didengari, tapi hati seorang ayah mampu mengesan getar derita yang ditanggung anak isterinya. Terus dia melepaskan cangkul dan berlari pulang.

“Ayahnya, cepat tolong!!!… Rani mengamuk lagi!” Seru Makcik Mah bersulam tangisan.

“Pegi cari Atim. Cepat!” Arah Pak Mahat. Tanpa memakai selipar, Makcik Mah berlari ke rumah Atim, satu-satunya menantu lelaki yang tinggal berhampiran dengan rumah mereka.

Pintu yang terkunci dibuka. Bilik kecil itu dah jadi seperti tongkang pecah. Belumpun dia sempat melangkah masuk, daun pintu dihempas kuat dari dalam sehingga mengenai kepalanya. Pandangannya jadi sedikit kabur.

Tiba-tiba badannya dirempuh kuat. Tapi Pak Mahat lebih cekap memaut anak gadisnya yang kini tak berbaju. Rani terus menjerit dan meronta. Pergelutan berlaku. Pak Mahat tak boleh biarkan Rani terlepas dengan keadaan begitu. Maruah anak gadisnya perlu dijaga walaupun Rani tak macam orang siuman lagi.

Rani memaut leher Pak Mahat lalu telinga orang tua itu digigit Rani sekuat hati. Pak Mahat menjerit keras. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Lelehan darah mula mengalir memenuhi tepi wajahnya. Pak Mahat berpusing sehingga Rani tercampak ke dinding. Jeritan sakit dan marah bercampur. Kegilaan Rani semakin menjadi-jadi.

“Rani, maafkan ayah.“ Bisik Pak Mahat. Simpati dan rasa bersalah menyerang benaknya. Tapi dia terpaksa lakukan begitu. Airmatanya mengalir kini. Dia mendekati Rani. Sebaik saja tangannya dihulur untuk membantu, Rani menyerang lagi. Tangan Pak Mahat digigit kuat sehingga dia terduduk. Terkejut dan sakit.

Rani tergesa-gesa bangun bila melihat pintu yg terbuka luas. Peluang untuknya melarikan diri kini di depan mata. Namun kaki Pak Mahat cekap menahan langkahan Rani sehingga anak gadis itu jatuh tertiarap. Tangan Rani dikilas kebelakang. Kain tuala yang berada berhampiran dicapai, diikat tangan Rani agar tidak mampu bergerak. Kain lilit kepalanya dibuka, kaki Rani pula diikat. Rani menjerit dan terus meronta. Pak Mahat menekan badan anaknya, untuk memastikan Rani tak akan terlepas.

Jeritan Rani semakin lemah sehingga akhirnya tak kedengaran lagi. Rani pengsan, keletihan. Pak Mahat tahu kerana itu bukan kali pertama situasi itu berlaku. Sehelai kain batik sarung diambil, dibuka dan diselimutkan sekujur tubuh anak gadisnya yang tadinya tak dibalut dengan seurat benangpun.

Pak Mahat tersandar ditepi katil usang dengan nafas yang tercungap-cungap. Peluh dan darah mengalir sealiran diwajahnya. Pedihnya mula terasa. Setitis demi setitis darah bercampur peluh itu menitik. Selari dengan detikan jam dinding usang di rumahnya.

“Abang!!..“ Jerit Makcik Mah terperanjat melihatkan Pak Mahat yang berlumuran darah. Telinganya.... sebahagian cuping telinganya dah hilang!!!...

Tangisan kuat Makcik Mah bergema bila melihatkan keadaan suami dan anaknya. Jelas menggambarkan keadaan yang berlaku sepeninggalannya tadi. Derita yang menghuni hatinya yang hebat terasa. Rani terbaring dilantai dengan keadaan terikat. Rambutnya kusut masai.

Hati seorang ibu dipagut sayu. Tika rutin hidup mereka mula berubah, usia Rani baru mencecah 16 tahun. Anaknya dulu manis dan sopan, disukai oleh teman dan adik beradik. Walaupun kemampuan belajarnya tidak seberapa, tapi dia rajin berusaha.

Semuanya bermula semenjak perkahwinan anak lelakinya. Sehari selepas kenduri, dia sekeluarga dikejutkan dengan jeritan Rani. Seperti orang kerasukan. Histeria. Rani tak mampu dipegang oleh ayah dan abang-abangnya. Rehatnya hanyalah bila dia pengsan, sedarnya bersulam dengan jeritan, kewarasannya hilang sekelip mata.

Dukun dan bomoh silih berganti ditemui. Pantang ada yang mengatakan ada orang pandai mengubati penyakit misteri, pasti tempat itu akan dituju. Wang simpanan habis dikeluarkan, namun tak mampu memulihkan Rani sepenuhnya. Dia jarang lagi menjerit liar, tapi ada kelakuannya seperti kanak-kanak sedangkan rakan seusianya ada yang telah berumahtangga dan beranak pinak. Ada masa menungannya panjang seolah cuba mencari sisa ingatan yang telah hilang.

“Ada orang yang marah dengan salah sorang anak kamu. Ada yang baru kawin ye?“ Tanya Pak Tam sambil matanya tekun memerhati kain warna berkuning yang terhampar didepannya.

“Anak lelaki saya baru kawin.” Jawab Pak Mahat ringkas.

“Masa tu lah semua ni mula berlaku, kan?” Pak Mahat mengangguk.

“Salah makan ni. Ada orang hantar makanan pada kamu, dan anak perempuan kamu ni yang makan dulu. Jadi dia yang kena paling teruk. Kalau ada orang lain yang makan pun, mungkin kesannya sikit je. Demam atau sakit kepala. Ada tak?“ Tanya Pak Tam lagi. Pak Mahat terperanjat. Memang anaknya Rahim demam selepas kejadian tu. Kata Sita, menantu barunya tu, Rahim sakit kepala sampai tak boleh bangun.

“Ada. Anak lelaki saya yang baru kawin tu lah.“ Pak Mahat mengakui.

“Tapi dia tak de maracau dan mengamuk macam anak kamu yang ni kan?”

“Memang tak. Cuma tak boleh bangun 2-3 hari lepas tu. Sakit kepala katanya.” Jelas Pak Mahat lagi.

“Ada orang suka kat anak kamu, tapi dia tak balas. Marah benar budak tu kat dia. Orang dekat, dan kamu memang kenal dia. Sebab tu mudah dia nak kenakan kau dengan makanan.“ Cerita Pak Tam. Segala penjelasannya seakan kena dengan segala kejadian. Hampir dapat jelaskan segala yang tersembunyi. Menjelaskan sangkaan yang bersarang dihati.

“Kalau ada yang masukkan benda tak elok tu masa masak untuk makanan kenduri, mesti ramai yang kena, tapi kenapa anak perempuan saya yang kena teruk?“ Pak Mahat musykil.

“Dia hantar makanan yang disediakan kat rumahnya, dan dia tujukan pada anak beranak kamu. Sebab tu lah yang kalau ada anak kamu yang makan, dia lah yang kena teruk. Orang luar makan tak ada kesan apa pun.“ Jelas Pak Tam. Pah Mahat dan Makcik Mah saling berpandangan.

“Memang ada yang hantar makanan. Tak tak tahu yang mana satu. Sebab kat kampung kami memang begitu. Bila ada kenduri, orang tu hantar sikit lauk, orang ni hantar sikit kueh. Ramai yang hantar makanan, untuk kami makan sama-sama masa dok bergotong royong buat persiapan kenduri tu.“ Makcik Mah bersuara. “Pak Tam tahu ke mana satu yang buat khianat kat kami ni?“ Sambungnya lagi.

“Itu aku tak boleh cakap. Tak elok menuduh. Allah saja lah yang tahu betul ke tak orang tu. Aku cuma boleh bagitahu sikit-sikit je. Rasanya kamu lebih tahu sapa yang suka kat anak kamu tu, kan?” Balasnya tak menjawab persoalan yang bermain di fikiran Makcik Mah.

Tergambar difikiran mereka, anak lelaki yang baru saja melangsungkan perkahwinan. Pemuda berkulit putih, tinggi lampai dan pandai mengambil hati itu memang ramai yang meminati. Namun jodoh telah tersurat. Pilihan hati telah dibuat. Hubungan dengan kekasih idaman telah diikat.

Kisah cinta tidak berbalas memang perit. Sakit hati hanya sendiri yang merasa. Sakit yang merebak ibarat barah, penyelesaian yang terlintas di minda singkat, hanyalah melepaskan geram dan dendam dengan cara yang hina dan keji.

"Pak Tam tak nak bagitahu, tak pe. Kami faham. Tapi boleh tak hantar balik apa yg orang tu buat kat kami. Biar dia pulak yang rasa!" Pinta Makcik Mah geram.

"Susah... Yang dihantar ni kuat sungguh. Apa yang aku boleh cuba, buat sikit pendinding untuk anak kamu ni. Harapnya dia tak mengamuk lagi. Itupun aku tak jamin berjaya." Kata-kata Pak Tam seperti yang dijangka. Pak Tam bukanlah orang yg pertama berkata begitu. Bukan juga yang kedua dan ketiga. Dia adalah orang yang entah keberapa.


Rani tak pernah pulih seperti asal. Derita yang ditanggung seolah ombak yang sesekali membadai tinggi, sesekali beralun rendah, namun ia tak pernah surut. Apa lagi yang harus dilakukan? Apa yang tak kena pada kehidupan?

Berbelas tahun Rani menderita. Pak Mahat dan Makcik Mah yang memikul bebannya. Bila Pak Mahat meninggal, kesihatan Makcik Mah semakin merosot. Menjaga anak gadis yang ditimpa penyakit misteri bukan mudah.

Saban masa fikiran Makcik Mah berserabut memikirkan nasib Rani. Siapa yang akan menjaga Rani jika dia pula yang meninggal nanti? Abang-abang dan kakak-kakak Rani telah punya keluarga dan tanggungjawab sendiri. Adik-adik Rani juga baru memulakan kehidupan mereka. Tak sanggup Makcik Mah membebankan mereka.

“Ya Allah… bantulah aku… bantulah aku Ya Allah… Tunjukkan apa yang harus aku lakukan....” Hanya doa itu yang kedengaran.

Sesungguhnya Allah itu Maha berkuasa. Mengatur hidup hambanya sebegitu rupa. Doa Makcik Mah didengari Allah. Rintihan Makcik Mah mendapat perhatianNya. Tak lama bersama bonda mengharungi hidup yang semakin sunyi, Rani mengikuti jejak ayahanda tercinta. Meninggal di usia awal 30-an dengan cara yang cukup mudah. Dijemput Allah semasa tidurnya. Berbelas tahun Rani menderita penyakit misteri. Penyakit yang meragut kewarasannya sebelum segalanya berakhir dengan kematian.

Antara syukur dan sedih, Makcik Mah sujud dalam tangisan. Tak sampai 2 tahun, dia pula menyusul. Bersemadi di kerak bumi milik Allah bersama anak dan suami. Al-Fatihah.

....InsyaAllah, kisah 3 akan menyusul...

Nota : Mengingatkan kisah ini, dan kembali pada tulisan emjay, saya seolah faham apa yang Allah cuba sampaikan. Pak Mahat yang saya kenali satu ketika dulu (dengan sedikit masa yang diberi Allah, ketika dia belum ditimpa musibah), juga insan lemah yang kerap meringankan suruhan Allah. Mengambil apa yang paling asas, sekadar sambil lewa.

Iman yang lemah, pastinya mudah syaitan nak menguasai. Lalu Allah turunkan dugaan untuk menarik dia kembali ke jalan benar. Tapi sayangnya, keinginan untuk menyembuhkan penyakit misteri yang menimpa anak gadisnya, membuatkan dia berusaha pelbagai cara, terutama melalui bomoh. Mungkin dia tak pernah terfikir, bahawa bila dia berusaha mencari bantuan dari orang yang tak sepatutnya, dia telah membuatkan syaitan semakin kuat menguasai.

Bukankah mudharat itu Allah datangkan kerana sayang pada hambaNya. Lalu kenapa tak kembali pada Allah, membalas kasih sayang Allah dengan membetulkan apa yang salah? Menampung apa yang kurang? Menjahit apa yang carik?

Saya bukan nak mendedah keburukan insan yang telah menjadi sejarah, tapi kisah kini amat baik untuk dijadikan iktibar oleh kita semua.

'Astaghfirullah.... Mohon ampun Ya Allah atas perkongsian ini. Moga hanya kebaikan yang akan diambil oleh pembaca, dan membuang jauh kejahatan yang tercatat. Lindungi hati kami Ya Allah.'