Feb 22, 2008

Cinta bersyarat atau cinta tanpa syarat...?

"Apa falsafah cinta kau?" Mirhad tiba-tiba mengeluarkan satu soalan yang menarik untuk dibincangkan.

"Apa maksud kau?" Farid menyoal kembali sambil memandang terus ke mata temannya itu, mengharapkan diberi sedikit huraian untuk soalan yang tiba-tiba tersembur dari mulut kawannya itu.

" Setiap orang ada falsafah hidup yang dipegang, dan cinta adalah satu dari cabang laluan yang mengisi kehidupan. Jadi tentunya kau ada pegangan tersendiri bila bercakap tentang cinta, ada falsafah cinta yang kau jadikan pegangan." Jelas Mirhad.

"Falsafah cinta kau?" Farid memulangkan soalan yang sama.

"Aku tanya kau, kau tanya aku pulak. Aku tak pernah bercinta, tak reti nak bercinta, tak ada orang yg nak bercinta dgn aku, jadi macam mana aku nak ada falsafah cinta. Sebab tulah aku tanya kau, kot-kot aku boleh pegang falsafah cinta kau dan lepas ni mana tahu aku akan ditakdirkan untuk bercinta." Kata Mirhad pula.

"Hahaha... Macamlah aku ni dah ada calon. Aku pun macam kau jugaklah. Erm... Kalau boleh, kita jgn sempitkan istilah cinta. Cinta ada dimana-mana. Ia ada dlm setiap langkah yang kita atur, setiap apa yg kita buat, setiap keputusan yg kita pilih. Sedar atau tidak, semua tu berlaku kerana cinta. Cinta pada harta dunia, lalu ada orang yg berusaha mengejarnya sehingga sanggup mengorbankan masa dan tenaga. Sedari kecil kita telah diajar untuk untuk menyintai ilmu, belajar sehingga keluar negara, itupun cinta sebenarnya. Cinta pada kebersihan, kerana itu kau mandi setiap hari. Dan kerana kau mandi dan bau wangi, aku boleh duduk dekat dgn kau... kalau tak mesti aku dah cabut lari. hahaha...." Farid sedar topik ini satu topik yang menarik untuk dibincangkan. Falsafah tentang cinta terlalu banyak dan ianya hanya sesuai untuk sesetengah keadaan sahaja. Tidak ada satu falsafah yang dia temui yg di rasakan benar-benar bertepatan dgn apa yang digambarkan difikirannya.

"Ceh... ada ke bagi contoh macam tu..." Mirhad juga turut tergelak kecil.

"Itukan contoh... apa-apapun boleh bagi per. hehe." Dia tergelak lagi, kemudian menyambung dengan suara yang lebih serius; "Sebenarnya byk lagi contoh ttg cinta yg wujud setiap masa dan ketika. Sebab tulah aku cakap hidup kita penuh dgn cinta. Itu tak masuk lagi cinta yang paling abadi yang kita perlu sirami setiap hari, cinta Allah. Kita hidup dan bernafas adalah kerana cinta Allah pd kita."

"Erm..."

"Kerana cinta, manusia boleh bangkit dan berkuasa. Kerana cinta juga manusia boleh jatuh, menderita dan mati kerananya." Air tembikai yang tinggal separuh, dihirup lagi.

"Memangpun. Tapi kau jawab lagi soalan yg aku tanyakan tadi. Aku nak tahu falsafah cinta kau, itupun kalau ada lah."

"Bagi aku, cinta itu bersebab dan cinta aku bersyarat." Farid berkata sambil merenung jauh.

"Mestilah cinta tu bersebab... Orang tak akan jatuh cinta tanpa sebab, kan. Tapi cinta kau bersyarat? Apa maksud kau?" Mirhad kelihatan sedikit keliru.

"Yup. Cinta aku bersyarat. Orang mudah terharu kalau disebut cinta tanpa syarat, tapi aku lain, cinta aku bersyarat. Aku tak perlu buat orang terharu dan aku tak kisah orang terharu atau tidak, sebab hakikat cinta aku jelas berpijak di bumi realiti. Itu yang penting."

"Aku tak faham kenapa kau cakap macam tu...."

"Simple. Aku tak percaya pada falsafah cinta tanpa syarat. Kalau adanya satu jalinan yg bernama hubungan, tak kira apa hubungan sekalipun, adik beradik ke, parent dgn anak, hubungan dgn kawan-kawan ke, bagi aku semua hubungan adalah bersyarat. Apatah lagi cinta antara lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi kalau cinta suami dan isteri." Jelas Farid

"Uih... dgn aku pun kau nak bersyarat?"

"Ye lah... syaratnya hari ni kau belanja aku makan? Boleh?"

"Oh... aku ingatkan syarat apalah. Ok, kalau itu syaratnya, no problem. Lagipun sebelum ni pun kau yang selalu bayar. Hahaha." Mereka ketawa.

"Kalau dari segi memilih pasangan, boleh aku tahu apa syarat kau? Mesti yg cantik? Yang muda? Yang berkerjaya atau nak yang dok kat rumah je?" Mirhad bertanya lagi.

"Kriteria seperti itu tak penting bagi aku. Untuk pasangan aku, ia boleh disesuaikan mengikut keadaan dan keperluan. Syarat yg fleksibel. Syarat pokoknya mestilah segalanya berpaksikan hukum Allah. Insyaallah, apa yang aku inginkan, apa yang aku syaratkan, itulah juga yang akan aku berikan."

"Kau nak beri apa? Kau nak mintak apa?"

"Allah menyuruh kita setia pd pasangan, itulah yg aku mahukan. Allah menggariskan kejujuran sebagai satu nilai penting dlm kehidupan, itulah juga yang aku mahukan dari dia. Allah mahukan kita saling mengingatkan dan berpesan-pesan dgn kebenaran, itulah juga yang aku harapkan akan sentiasa berlaku, kerana kita harus ingat, manusia ni makhluk pelupa. Itulah sebabnya Allah jadikan kita berpasang-pasangan, supaya kita boleh saling melengkapkan andai ada kekurangan dan berkongsi andai ada kelebihan."Kata Farid.

"Bila kau sayangkan seseorang, bila kau cintakan seseorang, mesti kau sanggup lakukan apa saja kan, malah akan lakukan apa saja. Pengorbanan tak semestinya di balas dgn wang ringgit atau sesuatu yg boleh dinilai atau di lihat, tapi paling tidak biarlah ada sedikit perasaan menghargai apa yang telah di buat. Contohnya bila seorang isteri sanggup mengorbankan nyawanya bila melahirkan zuriat penyambung keturunan, suami seharusnya membantu bagi membuktikan cinta yang wujud antara mereka. Bukankah itu juga satu syarat? Satu lagi contohnya ialah persahabatan kita. Kalau kau sayangkan hubungan kita, aku harap kau jujur pada aku, jgn tikam aku dari belakang, sesekali temankan aku makan ke, lepak dan berbual ke untuk hilangkan rasa bosan. Itu juga satu bentuk syarat dlm sesuatu hubungan, tapi tentulah aku kena faham jugak keadaan kau. Kalau diizinkan Allah, kita pasti boleh berjumpa macam sekarang ni. Saling berusaha untk faham keadaan kawan, itu juga satu syarat dlm perhubungan, kan?" Jelasnya panjang. Tak mahu kawannya itu salah mengerti apa yang dimaksudkan.

"Erm..."

"Setiap manusia punya kelemahan dan kekurangan. Apa yang lebih sekarang mungkin esok akan kurang. Apa yg kurang sekarang mungkin esok aku boleh lebihkan. Lalu aku tak mahu menjanjikan apa-apa ataupun meminta apa yg aku tahu mungkin hanya sementara. Harta, kemewahan, kecantikan, kesihatan... itu semua sementara. Akan menjadi milik kita jika ada izin Allah. Akupun bukan mencari kesempurnaan kerana kita manusia tak ada yang sempurna, kerana itulah aku hanya letakkan syarat begitu. Erm... Rasanya itulah jawapan yang boleh aku berikan untuk soalan kau tadi, falsafah cinta aku, apa yg aku katakan cinta aku ialah cinta bersyarat." Farid tersenyum sambil menghuraikan.

"Wow! Menarik. Erm... Sebaiknya macam tu lah kan? Alahai... Bila la aku boleh merasa untuk bercinta jugak ni..."

"Buat apa kau nak tergesa-gesa. Biarkan cinta muncul dengan sendirinya kerana Allah akan berikan pd kau bila tiba masanya. Buat masa ni kita jgn bazir masa, kita mulakan dgn menyintai Allah dulu. Ada kata-kata yg menyebut, 'jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya. Tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan-Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.' "

"Betul tu. Aku setuju sangat." Kata Mirhad sambil mengangguk-angguk perlahan.

"Aku pernah baca satu artikel tentang cinta. Dalam artikel tu ada menyebut bahawa cinta ialah rasa yang ada dalam hati dan tidak boleh disukat-sukat. Hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah. Panjang ulasan yg dibuat tentang cinta nafsu dan ianya bagi aku cukup menakutkan. Nanti aku bagi artikel tu kat kau. Tapi yg aku ingat ialah apa yg disebutkan tentang cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah, dan cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya."

"Cinta sebenarnya bukan untuk antara lelaki dan perempuan je. Cinta ialah perkataan lain untuk kasih sayang. Jadi kalau mengikut pengertian itu, cinta tak mengenal jantina dan kedudukan. Dan cinta yang sebaik-baik cinta ialah cinta yang lahir hasil dari perasaan yang sama-sama cintakan Allah. Ia boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya." Jelas Farid lagi. Itulah yang disenangi oleh Mirhad bila berdamping dgn Farid. Temannya itu jelas mempunyai pandangan yang berbeza, dan selalunya pandangan yang diberi menjurus ke arah pendekatan agama.

Mereka terus berbincang dan berbincang. Segala perhatian, pengorbanan dan kemaafan yang diberikan haruslah dibalas walaupun hanya bermodalkan kesetiaan dan kepatuhan, berbekalkan keikhlasan dan ketulusan, bersumberkan kejujuran dan ketaatan. Andainya syarat yang begitu mudah dan murah tidak mampu dipenuhi, jgn rasa terkilan andai satu ketika kehilangan akan bertandang, sepi akan menjadi teman dan benci akan bertaburan kerana harga satu perasaan tak mampu dinilaikan di mana-mana pasaran.

Ungkapan cinta tanpa syarat, sayang tanpa syarat dirasakan terlalu 'buta' kerana ia tidak berpijak dibumi nyata, Tak ada perkara dalam dunia ini yang wujud atau diwujudkan tanpa sebab dan tanpa syarat. Pengorbanan harus disyaratkan agar dibalas dengan rasa dihargai, kemaafan harus bersyaratkan kejujuran dan cinta harus disyaratkan dengan kesetiaan dan keikhlasan. Andai segala syarat yang tak memerlukan modal itu dipenuhi, barulah kebahagiaan sebenar mampu dirasai dan ketenangan akan menjadi milik diri. Bukankah bahagia itu ialah ketenangan?

Feb 20, 2008

Warkah untuk ayahanda

Assalamualaikum w.b.t.

Kembali menemui ayahanda dan keluarga dikampung. Anakanda disini sihat seperti biasa, berkat doa ayahanda dan bonda. Semoga ayahanda dan keluarga juga begitu hendaknya.

Surat ayahanda telah selamat anakanda terima minggu lepas bersama duit yang dikirimkan. Terima kasih yang tidak terhingga untuk semua yang telah ayahanda lakukan untuk anakanda. Terubat juga segala kerinduan anakanda tatkala menatap warkah dari ayahanda. Namun begitu anakanda ingin memohon maaf kerana kelewatan membalasnya. Kesibukan menghadapi pelajaran di sini telah menghadkan masa anakanda untuk menulis, tapi ingatan anakanda tak pernah lepas pada ayahanda. Ayahanda.... anakanda memang selalu rindukan ayahanda dan semua keluarga kita di kampung...

Untuk pengetahuan ayahanda, anakanda akan menghadapi peperiksaan bermula minggu depan. Doakan kejayaan anakanda ya! Doa ayahanda amat penting untuk anakanda. Selesai peperiksaan, anakanda akan bercuti selama dua minggu. Namun begitu anakanda telah ditugaskan untuk menguruskan penerbitan majalah sekolah, jadi kemungkinan anakanda akan balik lambat sedikit kerana perlu menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan oleh guru.

Ayahanda yang sentiasa dirindui,
Kalau mengikut perkiraan anakanda, musim buah sudah menghampiri, kan? Bagaimana dengan kebun kita agaknya. Sudahkah ayahanda menyiapkan bangsal menunggu durian didusun nenda? Oh ya, bagaimana dengan nenda sekarang? Masih sihatkah dia untuk mengerjakan batas-batas kebun di dusun kesayangannya itu? Sudahkan sakit lututnya itu pulih sepenuhnya?

Tiba-tiba anakanda terbayangkan kebun nenda yg pastinya telah penuh dgn batas-batas ubi yang telah mula tumbuh subur. Menjelang masa untuk buah-buah di kebun masak, pastinya tika itu juga durian telah mulai gugur, ubi-ubi yang nenda tanam pula tentunya telah cukup matang untuk di cabut. Nenda memang pakar menjangkakan tempoh untuk ubi itu menjadi besar kan?

Tahukah ayahanda bahawa anakanda pernah bertanya pada nenda, kenapa nenda hanya tanam ubi pada masa tertentu saja? Katanya, dia lakukan semua tu sebab mahu cucunya menikmati ubi bakar semasa menemaninya menunggu durian. Anakanda harap, anakanda akan berpeluang untuk menemani nenda lagi menjelang musim durian gugur nanti. Ketika menulis surat ini, anakanda sedang membayangkan bau ubi kayu dan keledek bakar yang wangi. Aduh... tak sabar rasanya nak menunggu masa itu tiba.

Ayahanda jangan lupa buat bangsal yang tahan lama sikit kali ini ya. Jangan sampai bila hujan ribut melanda, bumbungnya terbang lagi seperti tahun lepas! Anakanda suka sangat tidur dibangsal yang ayahanda sediakan itu. Bangsal yang berlantaikan buluh, berbumbungkan rumbia dan ringkas berdindingkan daun kelapa. Sejuk dan nyaman sekali rasanya bila berbaring disitu...

Ayahanda yang di kasihi,
Surat akan datang, tak perlulah ayahanda sertakan duit belanja untuk anakanda ya, kerana kiriman ayahanda yang lepas masih ada, belum terusik pun lagi. Tak banyak yang anakanda belanjakan kerana anakanda tinggal diasrama dan pihak pengurusan telah menyediakan makanan yang mencukupi untuk keperluan pelajar di sini. Hanya sesekali saja anakanda akan membelanjakan duit itu bila teringin untuk makan kueh di kantin ataupun bila perlu membeli alat tulis di koperasi. Lagipun sekolah ada memberikan sedikit biasiswa untuk anakanda dan rasanya ia mampu menampung sebahagian daripada perbelanjaan anakanda disini. Kalau anakanda perlukan belanja yang lebih sikit dari biasiswa yang diberikan, anakanda akan beritahu ayahanda nanti. Janganlah ayahanda bimbang ya!

Sudah agak panjang surat yang anakanda lakarkan untuk ayahanda, semoga terubat kerinduan ayahanda pada anakanda bila menatap titipan bicara ini. Sampaikan salam kerinduan anakanda pada nenda, kekanda berdua dan juga saudara mara kita yang lain. Andai ayahanda menziarahi pusara bonda, katakan juga padanya, anakanda diperantauan sentiasa merindui segala kenangan bersama dengannya. Hanya Al-Fatihah yang mampu anakanda kirimkan, semoga roh bonda damai dipersemadian. Amin.

Wassalam.

Note : Bila membaca entri k'Kujie, tentang anaknya yang tinggal di asrama, benar-benar buat saya teringat kenangan masa sekolah dulu. Dan entri Sejuta Rasa benar-benar buat kerinduan saya pada arwah ayah membuak-buak. Saya cuba mengingatkan kembali surat-surat yg pernah saya kirimkan pd dia dan cuba mencari kembali surat-surat lama yg pernah dia hantar, tapi tak jumpa. Sememangnya saya masih menyimpan kebanyakan surat-surat yang dihantar oleh keluarga, teman dan suami. Saya ada sekotak yg berukuran sederhana yg isinya hanyalah surat-surat lama. Namun kini yg tinggal hanyalah sekotak kecil saja. Kebanyakannya telah saya buang bila saya dapati ia rosak dimakan anai-anai semasa ia ditinggalkan di rumah arwah di kampung.

Kerana kerinduan yg membuak-buak bila membaca entri
k'Kujie, saya cuba bayangkan zaman yg pernah saya lalui dan melakar kembali surat yg pernah saya kirimkan pada arwah ayah. Terasa agak kekok untuk menulis dgn kata-kata sebegitu, lantaran terlalu lama ia ditinggalkan.

Arwah ayah seorang yang berjiwa seni. Kehalusan jiwanya tergambar dari setiap hasil kerja tangannya. Tulisannya yang kemas bersambung masih jelas terbayang di mata saya. Dulu, kami berutus khabar melalui surat kerana semasa saya mula tinggal di asrama, kampung saya masih belum diberikan kemudahan telefon. Lalu hanya itu saja cara untuk kami berhubung.

Al-Fatihah untuk arwah.

Feb 14, 2008

Bahagia itu apa?

Dan hari demi hari terus berlalu. Musim pantas mencantas waktu bagai embun dijilat suria. Hidup tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.

”Bahagiakah kita?”
Soalan itu kembali mengusik rasa.
”Di mana bahagia itu?”
”Di hujung atau di pangkalnya?”
Lalu saya temukan jawapannya...
”Bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga di hujung jalan... tetapi ia ada di sepanjang jalan.”
”Bahagia itu apa?”
Sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. Mencari kata untuk menggambarkan rasa. Mampukah?

”Bahagia itu ketenangan!” kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.
”Ketenangan itu apa?”
”Hati yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang, miskin ataupun kaya, sihat mahupun sakit, pujian dan kejian... sama sahaja.”
”Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?”
”Ingat Allah... hati akan menjadi tenang.”
Bertalu-talu monolog diri itu menerjah kamar hati. Apa yang diketahui, apa yang dirasa, apa yang dilihat, apa yang dibaca sekian lama... terburai semuanya di malam ini – ditusuk sebuah pertanyaan: "Bang, bahagiakah kita?”

”Tanpa Tuhan, tiada ketenangan. Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan.”
”Isteriku, kebahagiaan itu terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu dapat dirasai. Jika kau tanyakan, bahagiakah kita? Ertinya, kau tanyakan tentang ketenangan kita. Dan jika kau tanyakan tentang ketenangan kita... kau sebenarnya bertanyakan sejauh mana kita ingatkan DIA – Tuhan kita!”
”Bang apakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?”
”Jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu... apakah aku telah tenang?”
”Kenapa?”
”Hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan...”
”Ah, semakin sukar pula mencari jawapan... semakin diselam, semakin dalam.”

Perlahan-lahan, saya bangun, bergerak ke meja tulis. Sebuah sajak yang saya hasilkan sewaktu berjauhan dahulu saya keluarkan dari lipatan buku catatan peribadi. Terasa kesal juga tidak kirimkan kepadanya. Akibatnya, sajak ”Jauh itu dekat” tidak pernah dibacanya. Saya baca kembali baitnya satu persatu:

Kembali kita berjauhan
salam terpisah, senyum tertahan
rindu berbuah, sayang merendang
jauh-jauh begini...
menguji percintaan

Suaramu telus di langit kelabu
setiamu selimut dingin hujanku
arca bayang-bayang malam
sinar remang-remang siang
melukis setiamu di awan gemawan

Terpisah semakin indah
kian terlarut keruhan rasa
terimbau semula nostalgia lama
jari-jari merahmu...
di malam pertama

Sayang... Jauh itu DEKAT!

Note : Petikan daripada tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya.
Entah kenapa bila baca sajak dlm karya ini, teringat pada cara dan gaya penulisan Ani.
Erm... Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama kepada kenalan saya, Ani dan Anuar. Semoga bahagia dihati kekal dimiliki.
Selamat menyambut ulang tahun kelahiran untuk Ana (anak buah saya). Semoga bahagia yg dirasa mekar sentiasa.
Amin

Feb 5, 2008

Mahu yang baik...?

"Amboi, lepak je memanjang. Tak baca buku ke?" Aku menegur bila melihat dia terbaring leka mendengar MP3nya. Aku melabuhkan punggung di birai katil.

"Alah... Sekarang ni kan cuti semester, tak kan nak baca buku lagi. Relaks lah." Jawapan yang telah aku jangkakan.

"Laa... buku yg dibaca tak semestinya buku yang nak exam je. Abih exam, bacalah buku lain pulak." Aku dah mula rasa nak membebel. Lagipun dah lama sangat aku tak borak dengan anak buah yang sulong ni.

"Nak baca buku apa?" Tanyanya ringkas.

"Buku yang macam buku AJie bagi Su hari tu?" Aku cuba mengingatkan yang dia pernah bagi aku buku setebal 2 inci berkenaan dengan hadis nabi untuk di jadikan bahan bacaan.

"Buku apa?" Adoi... hilang ingatan la pulak anak buah aku nih...

"Buku agama, lah. Tak kan bagi buku kat Su tapi AJie sendiri tak baca." Kepalanya yang berambut kasar dan lebat itu aku usap.

"Erm..." Tak terbalas kata aku agaknya.

"Su tengok AJie dah tak macam dulu lagi. Anak buah Su yang hari tu suka bercerita tentang topik-topik berkenaan agama dah jadi lain pulak sekarang ni. Kenapa ni?" Aku meluahkan rasa tak puas hati melihatkan perubahannya.

"Tak de apalah..." Jawabnya malas.

"Mak we apa khabar?" Aku cuba untuk mengumpan topik perbualan.

"Mana ada makwe. Mengarut je lah." Malas nak layan soalan aku agaknya.

"Hari tu, AJie ada cerita kat Su pasal budak yg ambik medik tu. Jadi tak dgn dia?" Aku masih ingat lagi dia pernah menyebut tentang kawan perempuannya. Pasti ada sesuatu yang boleh dicungkil.

"Malaslah nak tunggu dia lagi. Dah 3 tahun. Cukuplah. Orang tak nak kat kita, buat apa nak tunggu." Uih... agakan aku telah mengena. Budak perempuan tu punya pengaruh yang besar ke atas AJie

"Kenapa pulak AJie rasa dia tak nak?" Aku cuba mencungkil lagi.

"Yelah, kita ni bukannya baik sangat. Dia tu pulak pakai tudung labuh, alim. Mana naknye kat kita ni." Ada nada kecewa kedengaran.

"Macam tu pulak. Orang kata, kalau nak yang berharga, kena sabar tau. Kena usaha lebih."

"Dah usaha lebih dah. Tunggu sampai 3 tahun, tak sabar lagi ke tu?" Balasnya pula.

"Fuh.. Dahsyat tu... Dah cuba memikat budak tu selama 3 tahun rupanya..." Aku mengusik.

"Biarlah. Malas nak fikir tentang dia lagi. Mungkin dia nak cari orang yg lagi alim, lagi baik dari AJie sbb tu lah dia tak nak terima." Kesianlah pulak aku mendengarnya.

"Erm... rupanya hari tu bila AJie jadi baik sgt dan selalu bercakap ttg hal agama, rupanya ada niat lain erk. Berubah jadi baik sbb nak pikat makwe rupanya." Dia terperangkap. Aku rasa ada sesuatu yang perlu aku sematkan didlm fikirannya. Pesanan untuk dia sebelum dia pergi lebih jauh melayari kehidupan yang entah bagaimana coraknya.

"Ok, dengar cakap su ni...." Aku membetulkan suara sebelum bersyarah panjang.

"Su suka dengan perubahan AJie sebelum ni. Berusaha untuk berubah jadi lebih baik memang digalakkan. Selama ni, budak perempuan tu telah menjadi motivasi untuk AJie berubah dan memperbaiki diri. Su bersyukur dan berterima kasih pada dia tapi sebaiknya AJie perlu berubah kerana Allah... kerana keinginan sendiri yg mahu jadi orang yang baik dan berilmu, bukan kerana ada niat lain. Kita harus sentiasa berusaha untuk jadi org yang bukan saja ada ilmu dunia, tapi juga ilmu akhirat."

"Su tahu AJie dah besar panjang, dah mula berfikir tentang perempuan, ttg pasangan hidup. Su tahu, semua org mahu dpt pasangan yang baik untuk dirinya sbb mana ada orang yg nak kawin dgn org yang jahat, kan. Tapi Su nak ingatkan awal-awal lagi, jangan keterlaluan sgt dalam soal cinta ni. Masa utk fikirkan ttg jodoh masih panjang, masih ramai yang akan AJie jumpa nanti. Tak tahu siapa yang akan dipasangkan dgn AJie nanti. Hanya Allah yang tahu siapa yg terbaik yang Dia nak padankan dengan diri kita. Budak yang AJie tunggu tu mungkin baik, sopan santun dan alim pulak tu, tapi mungkin dia bukan yang terbaik untuk AJie. Sebab tu lah Allah tak buka pintu hatinya untuk terima AJie." Aku berceramah lagak kaunselor. Dia hanya mendengar tanpa mencelah walau sedikitpun.

"Jangan tergesa-gesa. Belajar dulu. Itu tugas utama yang AJie perlu lakukan sekarang ni. Kalau nak cari yang baik, perbaikilah diri dulu, insyaAllah, akan di temukan dgn orang yg baik jugak nanti. Lagipun AJie kan lelaki, patutnya ada ilmu yg lebih kalau nak diri dihormati oleh isteri nanti. Rasanya tentu pernah dengar orang cakap, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Kalau benar kata-kata itu, berusahalah untuk menjadi orang yang lebih baik, semoga jodoh AJie nanti adalah seperti yang diidamkan, walaupun bukan budak medik tu." Aku berhenti seketika untuk melihat reaksi dia. Namun hanya kebisuan yang mengisi ruang masa yang aku berikan.

"Selalu baca doa 12 pembuka pintu, sebab dalam doa itu ada juga doa untuk ditemukan dengan cinta sejati. Itu doa yang diberikan oleh Datuk Dr Fadhilah Kamsah masa Su pegi dengar ceramah dia dulu." Entah apa yang aku cakap masuk ke dalam mindanya atau hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Aku hanya berusaha memberi ingatan, memberi sedikit panduan agar dia tak hilang pedoman dalam usaha mencari pasangan yang diimpikan. Waktu remajaku dulu, aku hanya berpandukan suara hati, tak ada yang menasihati. Namun aku percaya bahawa Allah telah memberikan yang terbaik untuk diriku, sesuai dengan apa yang ada pd diriku dan aku bersyukur atas segala pemberianNya.

Dia merenung jauh. Entah apa yang difikirkannya. Entahkan sekarang ini telah ada insan lain yang cuba di dekati tapi masih dirahsiakan. Biar siapapun pilihannya, aku mengharapkan agar dia sentiasa menjadikan hukum Allah sebagai garisan yang perlu dirujuk bila membuat sesuatu keputusan. Aku hanya mampu berdoa agar apa jua yang Allah sediakan untuk dia, adalah yang terbaik untuk dirinya.